Tuesday, 11 September 2012

HARI PAHLAWAN

Hari Pahlawan merupakan satu hari khusus untuk memperingati jasa pahlawan-pahlawan mempertahankan tanah air di beberapa negara. 

Hari Pahlawan di Malaysia disambut setiap 31 Julai setiap tahun. Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sebelum tahun 2010, acara sambutan Hari Pahlawan diadakan di Tugu Negara.
  Bagaimanapun, mulai tahun 2010 ini, kerajaan telah memutuskan lokasi sambutan dilakukan di dataran yang sesuai.  Sebagai permulaan, Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi sambutan.  

Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Dengan perpindahan tempat sambutan turut melibatkan perubahan acara yang diadakan.
  Acara sambutan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.  

Keputusan Majlis Fatwa Malaysia menjelaskan mengenai acara sambutan Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Sebelum kerajaan mengambil keputusan menukar acara sambutan dan lokasi, acara sempena Hari Pahlawan diadakan di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Ia melibatkan acara letak kalungan bunga oleh pemimpin negara iaitu Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertafakur selama seminit di Tugu Negara.

Acara tradisi ketenteraan lain yang diadakan ialah tiupan “Last Post” dan “Rouse” serta deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan tugu.

Manakala acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.


No comments:

Post a Comment