Tuesday, 22 January 2013

MAULIDUR RASUL TANDA CINTA RASULULLAH



 Sambutan Maulidulr Rasul

Sesungguhnya keagungan Nabi Muhammad tidak dapat diukur dan dinilai melainkan Allah. Apa yang pasti, baginda adalah insan terpilih di kalangan umat dan kehadiran baginda adalah rahmat bagi sekalian alam.

Allah berfirman maksudnya:  "Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat Allah dan kurnia-Nya hendaklah mereka bergembira". (Surah Yunus, ayat 58).

Memperingati kelahiran Nabi Muhammad adalah manifestasi kecintaan kepada insan termulia sepanjang zaman. Sewajarnya baginda mendapat pengiktirafan secara simbolik atas nikmat agama dan panduan hidup yang disebarkan oleh baginda kepada seluruh manusia. 

Kelahiran Rasulullah membawa bersama membawa rahmat tidak terhingga.  Ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada alam sejagat." (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Siapakah kita tanpa kelahiran Nabi Muhammad.   Hakikat ini antara sebab mengapa kita perlu bersyukur dan berterima kasih.  Perasaan sayang dan cinta kepada Rasulullah perlu ada dalam hati setiap Muslim sepanjang masa, mengatasi segala rasa keinginan terhadap makhluk lain.    

Betapa bangganya umat Islam yang menyertai setiap kali sambutan Maulidur Rasul.  Seluruh masyarakat mengakui dan menzahirkan kesyukuran menjadi umat Rasulullah.  Tidak ada individu lain yang ulang tahun kelahirannya disambut umat seluruh dunia sepanjang zaman. 

Mencintai diri Rasulullah samalah mencintai agama.  Sesiapa menerima keesaan Allah, tetapi menolak kecintaan terhadap Rasulullah, bermakna masih tidak lengkap keimanannya. Kalimah syahadat yang menjadi lambang pengesahan keimanan turut merangkaikan ungkapan tentang kebenaran kerasulan Nabi Muhammad. 

Sambutan Maulidur Rasul amat bermakna.  Jadi, tidak tepat jika dikatakan sambutan Maulidur Rasul sekadar upacara rasmi.  Setiap peristiwa tetap memberi kesan, biarpun amat kecil.  Ia bergantung kepada tahap penerimaan setiap orang.  Tidak mungkin individu menyertai sambutan Maulidur Rasul tidak mendapat apa-apa manfaat. 

Biarpun sambutan secara bermusim, hakikatnya ia satu musim untuk memperkasakan kembali ingatan kita mengenai sirah Rasulullah.  Kita menjadi lebih dekat dan semarak kasih terhadap baginda ketika sambutan Maulidul Rasul dan sepanjang bulan Rabiulawal.  Pemugaran perasaan itu kemudiannya dilanjutkan sepanjang tahun. 

Bayangkan jika tidak ada satu sambutan khusus mengingati Rasulullah.  Bagaimana dengan golongan muda yang semakin asing mengenai perjalanan hidup baginda?  Melalui acara sambutan inilah peluang terbaik membongkar kembali sirah Rasulullah untuk dijadikan panduan dan ikutan kita semua. 

Kita mencintai Rasulullah kerana baginda membawa risalah kebenaran.  Islam disebarkan di muka bumi hasil usaha dan pengorbanan baginda.  Islam membawa kebenaran dan kekuatan dalam hidup manusia. 

Justeru, hanya Islam diterima oleh Allah sebagai agama anutan.  Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 19).

Tanpa diutuskan Rasulullah, manusia masih dibelenggu kehidupan primitif dari segi akhlak, tingkah laku dan kepercayaan.  Kehidupan bersendarkan kepada mengikut hawa nafsu dan kekuasaan tidak ubah seperti masyarakat haiwan. 

Rasulullah diutuskan tepat pada masanya di mana ketika itu peradaban kemanusiaan berada pada tahap paling merosot sepanjang sejarah tamadun manusia.  Pada mulanya kedatangan Islam tidak mendapat sambutan, termasuk di kalangan keluarga Rasulullah sendiri.  Ketika itu Rasulullah dipulau, dihina dan ditentang hebat sehingga wujud cubaan bunuh.

Keadaan itu membawa kepada penghijrahan Rasulullah dan para sahabat dari Makkah ke Madinah.  Pun begitu, penghijrahan itu bukan lambang takut atau menyerah kalah, tetapi satu ketentuan yang diperintahkan oleh Allah. 

Baginda membawa pembaharuan nilai hidup kepada manusia sejagat.  Dakwah baginda meliputi segenap aspek kehidupan yang diakui seluruh umat manusia.  Baginda menjadi ‘uswatun hasanah’ atau contoh terbaik.  Firman Allah dalam surah al-Qalam, ayat 4 bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Kebenaran dakwah dibawa Nabi Muhammad tidak dapat disangkal sesiapa.  Tidak ada hujah untuk menolaknya, kecuali keangkuhan, rasa kepentingan diri dan godaan dunia.  Dalam hati mereka mengakui kebenaran seruan Rasulullah, tetapi menolaknya disebabkan alasan palsu yang direka-reka.  Hakikatnya, hanya Allah memberikan hidayah kepada sesiapa yang diingini-Nya. 

Kejayaan dakwah Rasulullah kerana kekuatan peribadi dan kepimpinan yang terbentuk hasil petunjuk secara langsung daripada Allah.  Rasulullah mempunyai peribadi yang sangat mulia.  Sebab itu baginda digelar al-amin, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan. 

Gelaran al-amin bukan sahaja diakui di kalangan penganut Islam, bahkan di kalangan musuh Islam.  Mereka menolak ajaran dibawakan Rasulullah, tetapi tidak mampu untuk menipu diri sendiri memburuk-burukkan keperibadian Rasulullah.  Pada mereka keperibadian Rasulullah tetap dikagumi dan dihormati.

Sebab itu, masyarakat Arab Jahiliah yang menolak Islam, tetapi tidak menolak kepimpinan Rasulullah.  Baginda ditawarkan pangkat, kemewahan dan kekayaan asalkan meninggalkan tugas berdakwah menyeru manusia kepada agama tauhid.  Mereka ingin Rasulullah menjadi pemimpin mereka. 

Hal ini jelas membuktikan betapa hebatnya peribadi dan kepimpinan Rasulullah.  Sebab itu, seluruh pengkaji peradababan bangsa dan kepimpinan tidak menemui individu lain yang lebih hebat daripada kemampuan Rasulullah dalam membentuk masyarakat sempurna meliputi akhlak, pekerti dan cara hidup.

Firman Allah bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar).  Dan sebagai penyeru (untuk umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi.” (Surah al-Ahzab, ayat 45-46).

Sesungguhnya, jika umat Islam ingin kembali berkuasa, cara hidup yang ditunjukkan oleh Rasulullah perlu dijadikan amalan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya sebagai teras yang menunjangi setiap lapangan hidup.

Ajaran Islam perlu dihayati secara keseluruhannya, bukan diambil sebahagian dan ditolak sebahagian lain. 

Perkara ini dijelaskan firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam addin Islam (dengan mematuhinya) segala hukum hakamnya dan jangan kamu menurut jejak langkah syaitan.  Sesungguhnya syaitan adalah musuh kamu yang terang nyata." (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Amat tepat jika seluruh umat Islam menyatakan terima kasih dan tanda ingatan terhadap Rasulullah dengan melakukan sambutan secara khusus.  Maulidur Rasul acara terbaik memberikan makna yang tersirat dan tersurat di sebaliknya.      

Tiada hadis memerintahkan supaya kita menyambut Maulidur Rasul. Namun, ulama berpendapat memperingati hari berkenaan sebagai tanda kasih kepada baginda adalah harus selama mana tiada unsur bertentangan syariat Islam.

Semua amalan kebajikan pada hari Maulidur Rasul dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan tanda kasih kepada Rasulullah seperti solat, membaca al-Quran, selawat dan seumpamanya adalah harus.  Itulah cara terbaik untuk umat Islam menyambut kelahiran Rasulullah.

No comments:

Post a Comment