Nabi Muhammad SAW bukan pemimpin atau ketua parti
politik Islam. Biarpun proses
pemerintahan dikaitkan dengan politik, tetapi Rasulullah SAW tidak menubuhkan
parti politik. Bahkan ketika zaman Rasulullah SAW tidak wujud istilah parti
politik.
Dakwaan mengaitkan Rasulullah SAW sebagai pemimpin
parti politik bererti menyamakan baginda dengan status ketua parti seperti
sekarang. Sesungguhnya Rasulullah SAW bebas
daripada pengaruh ideologi politik. Apa
yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kepimpinan adalah merangkumi segenap
aspek kehidupan manusia termasuklah politik.
Sesungguhnya terdapat perbezaan amat ketara antara
Islam dengan parti politik. Jadi tidak
mungkin ada parti politik yang dapat berperanan sebagai parti untuk umat
Islam. Islam tidak mengasing-asingkan
umatnya berdasarkan parti politik.
Islam untuk seluruh manusia tanpa mengira batasan
geografi, pemerintahan, bangsa dan budaya.
Sedangkan parti politik hanya untuk sesiapa yang mendaftar sebagai
ahlinya. Keahliannya terbuka kepada
pemimpin di sesuatu kawasan sahaja.
Parti politik terikat kepada perlembagaan yang
dibuat oleh manusia. Tetapi, Islam
sepenuhnya diturunkan Allah SWT kepada manusia.
Tidak akan terjadi apa yang dibuat manusia akan menyamai apa diturunkan
Allah SWT. Sesiapa benar-benar mengikuti
apa diturunkan Allah SWT tidak perlu
mencipta yang baru.
Perjuangan politik berdasarkan kepada kepentingan
parti mengikut matlamat yang ditetapkan.
Setiap parti politik mempunyai perlembagaan yang berbeza. Mereka bebas mengubah perlembagaan parti jika
mendapat persetujuan majoriti ahli.
Manakala Islam memperjuangakan kepentingan
sejagat. Islam tidak memperjuangan kepentingan
kelompok. Islam adalah universal dan
hukum yang ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat diubah atau
ditukar-tukar mengikut selera kelompok tertentu sahaja. Seluruh umat Islam menggunakan sumber hukum
yang sama iaitu dari al-Quran, hadis dan keputusan bersama para ulama.
Perpaduan Islam menyeru kepada kesatuan dan tidak
boleh memulau mana-mana individu Islam.
Tetapi amalan parti membolehkan seseorang disekat menjadi ahli atau
dibuang menjadi ahli jika tidak mematuhi peraturan parti.
Peraturan itu samalah seperti melarang individu
atau kumpulan lain daripada bersama-sama berjuang menegakkan agama Islam
(berdasarkan apa yang didakwa). Sesiapa
melarang orang berjuang di jalan Allah SWT, bermakna menentang Allah SWT.
Jika keislaman ditentukan dengan parti politik,
bagaimana nasib orang yang ditolak dan dibuang daripada parti politik Islam? Apakah keislaman ditentukan oleh pemimpin
politik? Apakah orang yang tidak menyertai parti Islam
bermakna dia tidak Islam?
Apa yang ditekankan oleh Rasulullah SAW ialah
pemerintahan dalam masyarakat dan negara.
Banyak hal kenegaraan dijelaskan untuk membentuk keamanan, kemajuan dan
keadilan dalam pemerintahan. Sesiapa
yang mengikuti kaedah pemerintahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sudah
layak dipanggil pemerintah Islam biarpun parti atau negara yang dipimpin itu
tidak menggunakan nama 'Islam'.
Tugas pemerintah lebih penting ialah mewujudkan
persekitaran yang selamat, aman, kesejahteraan, harmoni, adil, peluang
pekerjaan, kemudahan awan dan pendidikan. Pemerintah boleh melaksanakan
dasar-dasar Islam tanpa pengiystiharan negara Islam. Sempurnanya Islam bukan atas gelaran atau
nama, tetapi berdasarkan apa yang dilakukan dengan niat mematuhi perintah agama
dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang ditegah.
Rasulullah SAW tidak menyebut mengenai penubuhan
parti politik Islam. Perkara ini tidak
pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW. Justeru, Rasulullah SAW bukanlah pemimpin
parti politik Islam. Baginda
pemimpin bagi seluruh umat Islam sepanjang zaman.

No comments:
Post a Comment