Thursday 7 July 2016

Komunikasi tanpa prejudis

Komunikasi biasa terhalang atau terganggu apabila pihak terlibat saling meragui dan cuba mencari kesalahan pihak lain. Akibat situasi itu, mereka tidak menumpukan kepada apa yang dibincangkan. Masing-masing merasakan mereka akan menjadi mangsa kepada pihak lain.

Sebab itu, setiap komunikasi perlu diadakan dengan jujur dan ikhlas. Apa yang dibincangkan itu tidak ada agenda atau maksud yang tersembunyi. Apa yang dibincangkan adalah secara berfokus dan masing-masing ingin mendapat kebaikan.

Komunikasi tanpa prejudis akan berlaku dengan ikhlas dan ia pasti akan berjalan lancar. Kita tidak perlu memikirkan perkara terselindung yang berniat jahat. Mereka tidak perlu merahsiakan perkara yang tidak sepatutnya dirahsiakan. 

Namun, tidak pula bermaksud semua perkara perlu dipersetujui. Apa yang dibincangkan perlu berdasarkan kepada matlamat yang ingin dicapai. Maka, jika ada perkara tidak patut dipersetujui, perkara itu kena dipertahankan.

Dengan kata lain, berkomunikasi tanpa prejudis bukan bermakna semua boleh dan tidak ada bantahan. Perbincangan memang ada yang tidak sefahaman. Justeru, komunikasi secara bijaksana dan tertib mesti diamalkan selalu. Berilah peluang setiap orang memberi pandangan dan harapan mereka.

Kita jangan mudah tersinggung jika ada apa yang diperkatakan oleh pihak lain tidak menepati apa yang kita inginkan. Jangan mudah membuat penilaian buruk atau menyalahkan pihak lain.

Setiap orang ada pandangan dan pendapat. Raikan dan hargai perbezaan pendapat itu. Perbezaan ini mungkin memberi satu dimensi baru dalam pemikiran dan pendapat kita. Berfikir secara positif dan hasilnya juga akan positif.

Kalau kita bersedia memberi ruang lebih luas dalam minda kita mengenai pendapat orang lain, akan memberi kita kematangan berfikir. Kita akan lebih mempunyai pilihan dalam membuat keputusan. Itu dinamakan pemikiran terbuka dan mengelak perkara jumud.

Sikap hanya menganggap pendapat diri sahaja yang betul tidak patut diamalkan. Itu satu sikap ego dan tidak mahu menerima pandangan orang lain. Pendapat dan perbuatan orang lain semuanya salah dan tidak menepati kehendak. Inilah punca berlaku krisis dalam hubungan dan pengurusan.

Konflik dan krisis dalam pengurusan organisasi merupakan keadaan yang menyebabkan pertembungan kehendak, matlamat, konsep dan cara-cara untuk mengurus serta membawa organisasi ke hadapan. Untuk mengatasi konflik itu perlu kepada keterbukaan minda. Buangkan sikap prejudis dan berasa hanya diri sendiri betul.

Konflik, dalam maksud yang mudah dapat dihurai sebagai perbezaan pendapat antara dua pihak yang membawa kepada percanggahan. Konflik tidak pernah diselesaikan apabila keputusan yang terhasil tidak mewakili kepentingan pihak-pihak yang terlibat.  

Konflik sebenarnya berlaku dalam kehidupan manusia sama ada dalam institusi formal atau tidak formal. Apabila berlaku pertentangan yang tidak ada kata kesepakatan, hingga menimbulkan konflik kontroversi antara pihak yang terlibat dalam organisasi, maka bermula kisah baru iaitu timbulnya krisis yang tidak dipertimbangkan dengan wajar malahan lebih bersifat emosional.

Maka itu, untuk mengelak konflik berterusan sehingga dikuasai emosi tidak stabil, amalkan sikap tanpa prejudis dalam berkomunikasi. Sikap tanpa prejudis akan memberi kelegaan berfikir dan mencambahkan kematangan.

Friday 1 July 2016

Mengharap rahmat dari Allah

Rahmat Allah SWT amat luas. Balasan pahala disediakan kepada mereka melakukan kebaikan biarpun nampak kecil dan dipandang muda. Setiap orang berpeluang melakukan kebaikan berdasarkan kemampuan masing-masing asalkan dilakukan dengan ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah. 

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT. Lakukan amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah yang dikenali sunah atau hadis. Tidak perlu kita mencari kelainan semata-mata untuk kelihatan dan dilihat hebat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak” (Hadis riwayat Muslim).

Firman Allah SWT bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Surah Az-Zalzalah, ayat 7-8).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya (untuk dibuang), dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah Mengampunkannya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).