Wednesday 17 August 2016

Khasiat isi buah kabung

Isi buah kabung biasanya menjadi bahan campuran dalam cendol, air batu campur dan hidangan lain. Kelembutan isinya seumpama gula-gula getah dan rasanya manis.
Pokok kabung juga dikenali pokok kantor atau enau ialah satu spesies pokok palma dalam famili Arecaceae yang berasal dari Asia Tenggara. Nama botaninya arenga pinnata.

Buah kabung dihasilkan dari pokok matang dengan buahnya akan kelihatan berjuntai-juntai pada tandan sepanjang 1.5 meter. Setiap tandan buah kabong mempunyai purata sebanyak 10 tangkai. Setiap tangkai terdapat lebih kurang 50 biji buah kabung.

Buah kabung mempunyai kulit berwarna hijau, tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal.

Kerja memetik buah kabung agak sukar kerana memerlukan kepakaran tertentu. Selain perlu pandai memanjat, pemetik juga perlu lasak kerana tandan dan tangkai buah mempunyai debu dan mengeluarkan getah yang menyebabkan badan menjadi gatal.
Proses mengeluarkan isi kabung bermula dengan merebus buahnya dalam air yang mendidih. Buah itu kemudian dipotong pada tampuknya bagi membolehkan isinya keluar dengan mudah menggunakan pengepit kayu.
Setiap biji buah kabung mempunyai tiga ulas isi yang berwarna putih jernih tetapi isi buah itu tidak boleh dimakan selagi ia tidak direndam dalam air bersih selama tiga hari.
Selain dengan cara merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan untuk mengeluarkan isi buah kabung ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak.
Isi buah kabung yang siap diproses amat enak dimakan sebagai kudapan iaitu dengan mencampuri air sirap, puding atau ais kacang.
Selain itu, isi buah kabung segar juga boleh dimakan begitu saja kerana lembut dan manis secara semula jadi.
Isi buah kabung ini yang mempunyai pelbagai warna, rasa manis, kenyal dan seperti agar-agar amat enak dimakan dan dipercayai dapat menurunkan suhu badan.
Kandungan gizi buah kabung mengandungi kalori 164mg, sodium 19.58 mg, potassium 170.88 mg, karbohidrat 42.61 g, protein 0.64 g, Vit A 3.56 IU, vit C 0.89mg, calcium 78.32 mg, iron 0.52mg.

Buah ini mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu proses penghadaman. ia juga mengandungi karbohidrat yang boleh memberikan rasa kenyang dan memberikan tenaga.

Buah kabung mengandungi kalsium yang tinggi yang sangat baik untuk menguatkan tulang terutama bagi mereka yang alahan kepada susu.

Selain daripada menikmati buahnya yang enak, buah kabung dikatakan berkesan untuk :
- Untuk mengubati demam
- Mengubati sakit perut.
- Mengubati sembelit. 
- Mengurangkan noda-noda hitam di wajah
- Mencegah osteoporosis.
 
 

 

Thursday 11 August 2016

Hukum membuat replika

Replika dibuat sama ada sama dengan ukuran sebenar objek, atau lebih kecil atau lebih besar. Maknanya, tidak ditetapkan ukuran raplika berdasarkan ukuran sebenar. Banyak pihak telah membincangkan tentang hukum membuat replika. 

Apa hukum membuat replika? Jika ia berupa badan manusia atau binatang, maka itu termasuk dalam perbuatan membina atau membuat patung. Maka, hukum membuat replika berkenaan hendaklah dirujuk berasaskan kepada hukum membuat patung.

Jika replika itu berdasarkan kepada bangunan atau bentuk lain, ia adalah diharuskan. Namun, jika ia berkaitan dengan hak cipta terpelihara, maka perlulah dipatuhi hal-hal yang berkaitan dengannya.

Namun, jika raplika itu berbentuk Kaabah dan dibina secara tetap serta dilakukan urusan yang berkaitan tawaf dan mengadapnya sebagai kiblat, maka hukumnya adalah haram. Itu bagi tujuan mengelak ada umat Islam menyamakan raplika Kaabah itu fungsi dan tarafnya sama dengan Kaabah sebenar di Makkah.

Bagaimanapun, dalam latihan tawaf yang mana dibuat bentuk yang merujuk seperti Kaabah, tidak dianggap sebagai raplika Kaabah. Tambahan pula ia tidak dikekalkan di situ. Maka untuk tujuan latihan dan pengajaran, maka raplika Kaabah sedemikian adalah diharuskan.

Pun begitu, ada pendapat mengatakan adalah tidak harus dalam apa keadaan dan tujuan sekalipun untuk membuat raplika Kaabah yang menampakkan ciri-ciri seperti Kaabah asal. Ia bertujuan untuk mengelak salah faham di kalangan mereka yang jahil agama.

Dicadangkan, untuk tujuan latihan tawaf, sudah memadai ia ditanda dengan satu bentu tiang atau apa-apa tanda yang difahami ia dianggap kedudukan Kaabah.

Satu lagi raplika yang sering dibina sekarang ini ialah raplika al-Quran. Banyak raplika al-Quran dijadikan mercu tanda sesuatu kawasan yang dijadikan hiasan atau pengenalan tempat. 

Raplika al-Quran juga sering dijadikan bahan sebagai cenderamata tanda kenang-kenangan. Selain itu, raplika al-Quran lama juga dijadikan bahan pameran di muzium dan sebagainya.

Apa hukum membuat raplika al-Quran. Hukumnya adalah harus atau dibolehkan. Namun, perlu dijaga adab-adab berkaitan al-Quran. Biarpun ia hanya sebagai raplika, dan jika dipandang sebagai lambang kesucian Islam, biarpun tidak ada tulisan ayat al-Quran padanya, maka hendaklah dijaga agar tidak berlaku penghinaan atau perbuatan yang boleh menjatuhkan syiar Islam. 

Jika pada raplika al-Quran itu ada tulisan atau surah al-Quran, maka hendaklah ia dijaga sepertimana menjaga al-Quran yang lengkap. Hakikatnya, di mana-mana pun tulisan al-Quran ditulis, maka hendaklah dihormati dan dilindungi kemuliannya.  

Pada zaman Rasulullah SAW, ayat-ayat al-Quran sebelum dibukukan (dikumpulkan sepenuhnya) ditulis pada kulit binatang, batu, pelepah tamar dan sebagainya.

Maknanya, dibolehkan menulis ayat al-Quran pada mana-mana tempat atau medium selagi mana ia bukan pada najis atau tempat-tempat yang tidak melambangkan kesucian seperti di tandas, di tempat penyembahan penganut agama lain, tempat maksiat dan sebagainya.

Kisah popular malam Jumaat

Malam ini malam Jumaat, beritahu Mak Limah kepada suaminya Pak Ali. Pak Ali hanya tersenyum dan faham apa yang diberitahu Mak Limah. Ada tugas yang perlu ditunaikan oleh Pak Ali. 

Tugas itu sudah menjadi rutin Pak Ali dan Mak Limah pada setiap malam Jumaat. Jika tidak dilakukan seperti rasa tidak sempurna pula malam Jumaat minggu itu. 

Menjadi kebiasaan Pak Ali dan Mak Limah akan mengikuti kelas agama pada setiap malam Jumaat di masjid di Kampung Padang Bongor.

Intro kisah Pak Ali dan Mak Limah itu tentu ramai ingin terus membacanya. Namun, setakat itu sahajalah. Tidak larat nak teruskan cerita Pak Ali dan Mak Limah semasa mendengar ceramah. 

Sebenarnya, kisah malam Jumaat sering disebut dan diingati. Malam penuh istimewa, berkat dan penting. Hari Jumaat penghulu kepada hari-hari lain. Macam-macam gurauan malam Jumaat. 

Kisah suami isteri malam Jumaat paling popular dan diperkatakan. Suami kena balik awal malam Jumaat dan ada yang langsung tidak keluar rumah kerana kena 'kurung' atau 'rantai' oleh isteri.

Dalam kalendar Islam, permulaan malam Jumaat ialah apabila terbenam matahari hari Khamis atau apabila masuk waktu Maghrib. Permulaan hari atau tarikh dalam kalendar Islam tidak bermula pada pukul 12.00 malam seperti kalendar masihi. 

Dalam masyarakat Melayu ada beberapa perkara yang selalu mereka ingat berkaitan malam Jumaat. Selain dari membaca Yasin, mereka selalu bercerita tentang hantu yang kononnya suka muncul pada malam Jumaat. Sebab itu, jika ada sesuatu yang pelik berlaku pada malam Jumaat, maka terus dikaitkan dengan hantu. 

Satu lagi ialah kepercayaan bahawa sunat untuk suami isteri melakukan hubungan intim pada malam Jumaat. Maka digelarkan malam Jumaat sebagai malam kaum ibu atau hendak pakai isteri atau suami.

Sekarang ini, gurauan mengenai malam Jumaat selalu dijadikan bahan di laman sosial seperti di Muka Buku dan WhatsApp. Tetapi biasanya lebih kepada soal hubungan suami isteri.  

Jarang sangat orang nak ingatkan tentang kelebihan malam Jumaat untuk menambahkan ibadat.  

Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari. Di dalamnya Allah melipatgandakan kebaikan, menghapuskan keburukan, mengangkat darjat, mengijabah doa, menghilangkan duka dan menunaikan segala hajat-hajat yang besar.   

Imam Jaafar As-Shadiq berkata: "Malam Jumaat dan Hari Jumaat mempunyai hak, maka janganlah sia-siakan kemuliaannya, jangan mengurangi ibadah.  Dekatkan diri dengan Allah SWT dengan amal-amal soleh, tinggalkan semua yang haram. Kerana di dalamnya Allah SWT melipatgandakan kebaikan, menghapuskan keburukan dan mengangkatkan darjat."

"Hari Jumaat sama dengan malamnya, jika kamu mampu, hidupkanlah malam dan siangnya dengan doa dan solat. Kerana di dalamnya Allah SWT mengutuskan para malaikat ke langit dunia untuk melipatgandakan kebaikan dan menghapuskan keburukan. Sesungguhnya Allah SWT Maha Luas ampunannya dan Maha Mulia."

Saidina Ali bin Abu Talib berkata: "Sesungguhnya Allah SWT memilih hari Jumaat lalu menjadikan harinya sebagai hari raya dan memilih malamnya sebagai malam raya. Di antara keistimewaannya adalah orang yang memohon hajatnya kepada Allah, maka Allah SWT mengijabahkannya."

"Satu bangsa yang sudah layak menerima azab lalu mereka memohon pada malam dan hari Jumaat, Allah SWT pasti akan menyelamatkan mereka darinya. Tidak ada sesuatu pun yang Allah SWT tentukan dan utamakan kecuali Ia menentukannya pada malam Jumaat. Kerana itu malam Jumaat adalah malam yang paling utama dan harinya adalah hari yang paling utama."

Gunalah kelebihan malam Jumaat sebaik-baik. Penuhi dengan perkara baik dan elak daripada melakukan amalan buruk. Berilah penghormatan sewajarnya kepada malam dan hari Jumaat. Ingatan kepada kaum lelaki jangan ponteng sembahyang Jumaat. Jangan hanya ingat malam Jumaat dan lupa tugas pada tengah hari Jumaat.

Jering rebus dimakan dengan kelapa parut

Jering atau dipanggil juga jengkol terkenal di Malaysia dan Nusantara. Khasiat buah jering diperakui sajak turun temurun. Selain dibuat ulam ketika buah masih muda atau lembut, buah jering tua atau isi yang telah keras boleh juga direbus. 

Rasa jering rebus enak dan sedap. Jadi, tidak hairan jika jering rebus mendapat sambutan dan diminati penggermarnya.

Di Kelantan, jering rebus merupakan salah satu makanan tradisional yang agak popular. Sehingga kini jering rebus masih lagi menjadi santapan dan masih ada kelihatan dijual di pasar-pasar sekitar Kelantan apabila tiba musim buah jering.

Jering rebus biasanya akan dihidangkan bersama kelapa parut yang diadun dengan sedikit garam dan gula. Bagi mereka yang mengemari makanan ini sudah pasti akan mendapatkan jering rebus biarpun sukar ditemui sekarang ini.

Bagi mereka yang tidak pernah makan jering rebus, elok mencubanya. Sekali mencuba, pasti anda anda akan menyukainya. Paling tidak pun anda akan berkata 'boleh tahan'. 

Jering rebus dihasilkan daripada jering tua yang direbus selama berjam-jam lamanya. Cara rebus jering amat mudah. Jering itu direbus dalam air yang dicampur dengan berbagai bahan seperti beberapa jenis daun dan kulit pokok jering itu sendiri. 

Selain itu turut dimasukkan paku, abu, kulit batang kelapa dan sebagainya. Ini adalah untuk membuang kandungan getah atau 'bisa' jering ini.

Kaedah memasak cara ini perlu dilakukan untuk mengelak masalah apabila makan jering rebus, terutama jika makan dengan banyak. Antara kesan yang dialami ialah kencing tidak lawas atau dalam istilah Kelantan dipanggil kapit atau kepit

Cara merebus jering yang diamalkan itu dapat mengelak kesan buruk makan jering rebus. Tujuan dimasukkan bahan-bahan itu untuk 'tarik' kerluar bahan kimia di dalam buah jering menjadikan ia lembut dan kurang berbau, selain mengurangkan kesan 'racun' yang terdapat di dalamnya.   

Buah jering rebus sedap dimakan bersama kelapa muda parut yang dicampurkan dengan gula dan sedikit garam. Memang sedap dan unik rasanya. Makan jering rebus tidak memberi kesan kepada bau air kencing yang tidak menyenangkan berbanding makan jenis tanpa direbus.

Dari segi sains permakanan, biji jering mengandungi sejenis bahan alkoloid yang memberi rangsangan untuk membuang air kecil. 

Bagi pesakit penyakit kencing manis, jering boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit. Kerana kandungan sebatian alkoloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Namun, jering tidak baik jika dimakan dalam kuantiti yang banyak atau setiap hari. 
 
Jering dikelaskan sebagai racun sedarhana kerana ia mempunyai asid yang menyebabkan keracunan. Ia menyebabkan sakit mencucuk atau berdenyut (spasmodic pain), penyakit gout, salur kencing tersekat dan kegagalan renal akut (acute renal failure).