Wednesday 30 November 2016

Menderma darah perlu untuk selamat nyawa

Pusat Darah Negara dan tabung darah di hospital di seluruh negara sering berdepan kekurangan stok darah. Bakalan darah tidak mencukupi memandangkan bilangan penderma darah tidak selari dengan keperluan semasa. Sebab itu mengapa amat perlu ada kempen kesedaran menderma darah. 

Satu unit darah yang dikeluarkan dari badan penderma dapat menyelamatkan nyawa penerimanya seperti mangsa demam denggi, mangsa kemalangan yang banyak kehilangan darah, ibu-ibu yang mengalami tumpahan darah selepas bersalin, bayi yang memerlukan pertukaran darah, pesakit talasemia, pesakit anemia, mangsa kebakaran, pesakit leukemia dan pesakit haemifilia.

Darah adalah cecair berwarna merah mengalir di dalam tubuh manusia dan binatang. Ia ‘kuasa’ menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin. Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah. Dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia dapat menggantikannya.  

Percubaan menggunakan darah binatang tidak pernah berjaya. Seorang pakar bedah cuba menggunakan darah binatang menggantikan darah manusia dituduh sebagai pembunuh setelah pesakitnya meninggal dunia akibat pemindahan darah itu. 

Bahkan, darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya. Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB.  

Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja. Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima. Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. Begitulah uniknya darah.    

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah. Individu mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut. Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa melalui proses pemindahan darah. 


Proses menderma darah amat ringkas. Tidak mengambil masa yang lama. Tidak ada rasa sakit ‘melampau’ atau kesan sampingan. Penderma darah dapat meneruskan tugas seharian sebaik selepas menderma kecuali mereka yang melakukan tugas menggunakan banyak tenaga.

Pusat atau unit menderma darah sentiasa mengalu-alukan penderma darah. Jangan takut menjadi penderma. Itu satu bakti besar kepada yang memerlukan. Anda wira menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan pemindahan darah.

Menulis membaca pencetus ilmu

Membaca dan menulis mempunyai hubungan amat rapat. Kita dapat membaca jika ada apa yang ditulis. Manakala orang akan terus menulis jika ada orang ingin membacanya. 

Hasil penulisan melahirkan buku, akhbar, majalah dan terkini dalam bentuk maya seperti blog, laman sesawang dan sebagainya. Semua itu menjurus kepada merealiasikan konsep ‘iqra’ dalam kehidupan. 

Penulisan satu kaedah manusia untuk merakam, mendokumentasi dan memberi maklumat kepada manusia. 

Kita banyak mendapat maklumat mengenai masyarakat dulu melalui tinggalan penulisan di dinding gua, kawasan perkuburan, binaan, tembikar dan batu. Apabila kertas mula dicipta, penulisan menjadi lebih mudah dan lebih banyak rakaman sejarah dapat disimpan. 

Ann Quindlen, seorang pengarang terkenal Amerika Syarikat dalam bukunya How Reading Changing My-Life (1998) menulis: “Saya percaya membaca pelbagai karya orang luar akan mengajar kita untuk mengetahui, menghayati dan mentafsir pengalaman orang lain dan hal ini menjadikan saya menemui mutiara-mutiara baru dalam kehidupan saya”. 

Sememangnya membaca dapat membawa seseorang kepada dunia kehidupan lebih luas. Kita dapat menyelami ungkapan dialog, kekayaan imaginasi, luapan emosi dan gelora kreativiti yang digarapkan penulis. 

Kita dapat berkongsi maklumat dan pengalaman dalam masa singkat, biarpun sebenarnya himpunan maklumat dalam buku itu mengisahkan tempoh masa yang panjang atau masa untuk menulisnya agak lama. Itulah kehebatan membaca.

Ini bermakana mudahnya untuk kita mendapat sesuatu melalui pembacaan, sedangkan pengarang buku itu telah berkorban masa, tenaga dan wang untuk menyiapkan buku itu. 

Bahkan, kita dapat membaca kisah sukar ketika peperangan atau keadaan tidak selamat yang mana penulis sendiri berdepan suasana antara hidup dan mati.

Dengan kata lain, menerusi buku dan pembacaan manusia dalam mengalami sesuatu peristiwa dan pengalaman tanpa perlu melalui situasi sebenar. Jika ia berkaitan ilmu atau penemuan baru, pembaca mendapat 'barang siap' tanpa perlu melakukan ujikaji mengenai sesuatu perkara dengan hanya membaca.  

Ilmu pengetahuan amat penting dalam kehidupan manusia terutamanya ketika semua pihak sedang bersaing untuk mencari ilmu yang berkualiti bagi pembangunan dan kemajuan sesuatu bangsa. 

Masyarakat membaca mencapai kejayaan dalam apa juga bidang diterokoi. Ilmu yang diperoleh melalui pembacaan membolehkan mereka mengaplikasikan untuk kejayaan.

Bagi mereka yang masih di bangku sekolah atau pusat pengajian tinggi, bersemuka dengan guru dan pensyarah adalah kaedah untuk menuntut ilmu. 

Namun, bagi orang ramai, peluang terbuka luas untuk menuntut ilmu ialah melalui pembacaan.  Sesiapa yang membaca bermakna secara berteruskan berada dalam proses menuntut ilmu.

Cara galak minat membaca

Kerajaan meningkatkan usaha galak minat membaca di kalangan rakyat sesuai dengan usaha melahirkan rakyat yang berilmu. Sekarang boleh dikatakan semua golongan muda boleh membaca.  Jadi, golongan ini tidak sukar untuk terus mendapat ilmu melalui pembacaan biarpun telah berhenti dari alam persekolahan atau pendidikan formal.

Dalam tempoh masa sedekad lalu, negara mengalami pembangunan pesat dalam mewujudkan pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Pendidikan tinggi negara bukan saja membuka peluang kepada rakyat, bahkan Malaysia kini menjadi hub pendidik tinggi yang menarik pelajar antarabangsa. Kini terdapat kira-kira 107 ribu pelajar asing menuntut di negara kita dalam pelbagai bidang.

Namun, dalam kita merasa bangga prestasi pembangunan pendidikan negara, satu perkara yang masih mengecewakan ialah pemugaran budaya membaca.

Kadar membaca rakyat Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan kadar celik huruf dan kebolehan mendapat bahaan bacaan dengan mudah. 

Perkara ini merenjatkan proses berterusan menuntut ilmu. Didapati golongan pelajar hanya membaca buku atau nota untuk tujuan peperiksaan.  Selepas tamat pengajian amalan itu ditinggalkan. 

Mereka yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan belum tentu dapat digelar bijak pandai. Ini kerana ilmu dipelajari di sekolah dan institut pengajian tinggi hanya sebahagian daripada ilmu yang banyak.

Perlu ditegaskan, ilmu atau kemahiran yang diperoleh sepanjang belajar secara formal hanya asas dan ia perlu dikembangkan secara berterusan untuk menghadapi realiti ilmu yang sebenar. 

Tambahan pula, apa yang dipelajari mudah dilupai jika kita tidak terus membaca dari sumber lain untuk proses pengukuhan ilmu. Ilmu yang dipelajari sebelum ini mungkin menjadi ‘basi’ akibat perubahan masa dan teknologi. Maka, proses mengemaskini ilmu perlu dilakukan melalui pembacaan.

Kita dapat lihat bagaimana budaya membaca di kalangan rakyat Jepun diamalkan secara meluas. Di mana-mana saja kita dapat melihat orang membaca di Jepun seperti dalam kenderaan awam, di taman-taman dan restoran sambil menikmati hidangan. Membaca menjadi rutin rakyatnya tidak kira usia. 

Jepun yang mempunyai rakyat celik huruf yang tertinggi di Asia iaitu sebanyak 99 peratus. Industri buku berkembang pesat di Jepun sehinggakan kedai buku di negara itu menjadi tempat istimewa untuk dikunjungi.  

Kedai buku menyediakan kemudahan dan layanan seperti hotel yang menyediakan lobi bagi memudahkan pengunjung membuat temu janji dan mengadakan sesi perbincangan.

Wednesday 9 November 2016

Adab ziarah rumah jiran

Ziarah atau bertandang ke rumah jiran mahupun sesiapa sahaja satu amalan baik. Semasa ziarah, ada adab yang perlu diikut.  

Islam menetapkan agar kita memberi salam terlebih dahulu apabila tiba di hadapan rumah seseorang yang ingin dilawati atau diziarahi. Banyak sebab mengapa perlu memberi salah.

Pertamanya untuk memberitahu kepada tuan rumah mengenai kedatangan kita.  

Keduanya, memberi peluang kepada penghuninya bersedia untuk menerima tetamu.  

Ketiganya, sebagai satu doa kepada penghuni rumah. Kedatangan tetamu adalah membawa rahmat kepada penghuni rumah. 

Jika salam diberi sebanyak 3 kali dan tiada sebarang respon, maka pulanglah. Kita tidak perlu prejudis atau menganggap bukan-bukan tentang mengapa salam tidak berjawab.  Mungkin tuan rumah memang tidak ada di rumah.  

Sebab lain mungkin tuan rumah sedang tidur dan tidak sedar atau tidak mendengar salam yang diberikan oleh tetamu.  

Mungkin juga, tuan rumah tidak sedia untuk menerima tetamu dan tidak membuka pintu biarpun salam itu dijawab. 

Jika anda menziarahi rumah seseorang, pastikan anda tidak berdiri betul-betul di hadapan pintu rumah tersebut ketika menanti pintu rumah dibuka. Kita hendaklah berada di sisi kanan atau kiri pintu tersebut.

Ini adalah salah satu cara menghormati tuan rumah kerana berkemungkinan ketika tuan rumah menjenguk siapa yang berada di luar, tuan rumah dalam keadaan yang mengaibkan (mungkin tidak menutup aurat atau sebagainya).

Bayangkan jika kita berdiri betul-betul di hadapan pintu rumah tersebut, pasti tuan rumah atau kita sendiri yang malu.

Cara itu juga untuk mengelakkan tuan rumah merasa rendah diri atau aib jika tetamu melihat rumahnya dalam keadaan bersepah-sepah atau tidak terurus. 

Selagi tuan rumah tidak memberi keizinan untuk masuk, maka selagi itulah kita tidak boleh masuk. 

Biarpun hak tetamu perlu dilayan, hak tuan rumah sebenarnya lebih utama sama ada menerima tetamu atau sebaliknya. 

Adab ziarah juga perlu dipatuhi di mana lelaki tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah yang hanya di dalamnya terdapat perempuan. Ini bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini seperti zina dan fitnah.

Kisah hubungan terlarang lelaki perempuan banyak berlaku apabila lelaki berkesempatan memasuki ke rumah perempuan yang keseorangan.  

Kisah kongsi isteri jiran atau main isteri jiran bukan rahsia lagi, terutama di kejiranan kawasan bandar.

Soal hubungan kejiranan yang telah terjalin tidak sama sekali mengharuskan lelaki memasuki ke rumah perempuan tanpa ada lelaki muhrim bersama.  


Jagalah adab-adab hubungan kejiranan untuk mengekal perkara buruk berlaku.

Wartawan dapat hidayah

Allahuakbar. Seorang wartawan Australia menceritakan bagaimana beliau memeluk Islam setelah datang ke Malaysia. Sebelum ini, Sarah Price, sering kali beranggapan masyarakat Asia Tenggara sama seperti Arab di Timur Tengah mengenakan pakaian hitam kerana ditindas.

Tetapi, selepas kedatangannya ke Malaysia untuk sesi pertukaran pelajar membuatnya membuka mata tentang cara hidup dan persekitaran masyarakat Islam di sini. Bagaimanapun, Sarah tidak langsung memeluk Islam ketika berada di Malaysia sebaliknya hanya melafazkan syahadah sebaik sahaja berada di negara kelahirannya.

Selepas pulang ke Australia, beliau terus mendalami agama Islam melalui beberapa rakannya. 

 “Perjalanan ke Malaysia pastinya menjadi asas bagi penukaran saya kepada Islam. Saya pergi ke sana selepas memutuskan untuk sesi pertukaran pelajar dan tidak sama sekali membayangkan pengembaraan gila saya ini mendedahkan diri saya kepada perkara yang tidak pernah saya dilihat sebagai seorang gadis Australia dari bandar kecil di Gippsland” kata Sarah.

Kisah beliau itu dikongsi melalui tulisannya di portal berita Yahoo! News Singapura. “Saya tidak memeluk agama Islam di Malaysia – saya memeluk agama Islam selepas setahun setelah diperkenalkan dengan keindahan Islam dan cara mengesakan Allah”ujarnya.

Tambahan lagi,Sarah menyatakan bahawa beliau tidak didedahkan tentang pengetahuan agama Islam sebelum ini. 

“Sebelum ke Malaysia, saya tak tahu apa-apa tentang Islam. Saya tidak pernah bertemu dengan seorang Muslim dan saya selalu berfikir umat Islam memakai pakaian hitam seperti yang berlaku negara Timur Tengah” katanya.

Selain itu, tentang hak wanita dalam al-Quran, Sarah juga pada mulanya menyangka kaum wanita Islam di negara ini ditindas dan amat jauh ketinggalan daripada ‘tamadun’ manusia. 

“Saya fikir wanita Islam ditindas. Mereka tidak boleh pergi ke mana sahaja tanpa suami mereka, malah mereka juga tidak boleh mempunyai kerjaya, dan terpaksa memakai hitam sepanjang masa” katanya.

“Pandangan saya meleset sama sekali apabila saya tiba di Malaysia. Sebaliknya saya mendapati gadis Islam di Asia Tenggara Islam sangat cantik dengan hijab berwarna-warni pada pakaian mereka. Malah, ramai daripada mereka pergi ke universiti dan mempunyai pekerjaan” ujarnya lagi.

Sarah memberitahu bahawa ekoran daripada itu beliau jatuh hati pada agama Islam lebih-lebih lagi selepas beliau ditugaskan membuat satu artikel mengenai hak-hak wanita Islam. 

“Saya mahu belajar lebih lanjut mengenai agama Islam, mata dan minda saya telah terbuka apabila sebagai pelajar kewartawanan saya ditugaskan membuat satu artikel mengenai hak-hak wanita Islam. Itu adalah permulaan segala-galanya” jelasnya.

“Fikiran saya tiba-tiba penuh dengan pengetahuan tentang Islam dan hakikat bahawa wanita mempunyai banyak hak dalam Islam! Wanita Islam secara undang-undang telah diberikan hak-hak (termasuk perceraian, hak tanah, hak-hak kewangan, hak untuk memilih siapa yang berkahwin, dan lain-lain) dalam al-Quran dan Hadis beratus-ratus tahun sebelum wanita Barat memenangi hak yang sama” jelasnya.

Tambahnya lagi, keinginan memeluk agama Islam bertambah kuat apabila beliau melangkahkan kaki ke masjid dan mendengar seruan azan. 

“Kali pertama saya melangkah masuk ke dalam sebuah masjid di Malaysia, saya rasa sangat tenang dan damai. Tunduk ke arah kaabah Seruan azan juga sangat menyentuh hati saya dan perasaan yang mana apa yang saya rasakan ini begitu berbeza dari sebelum ini” katanya dengan nada lembut.

“Apabila saya mula-mula menundukkan kepala saya ke arah Kaabah, saya merasakan ia begitu dekat dalam hati saya” katanya lagi. 

Bagaimanapun, mendekati dan menganuti agama Islam ini bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi bagi seorang pengikut setia agama Kristian ini.

“Memeluk Islam bukan sesuatu yang mudah. Saya telah menerima pelbagai ujian di mana saya hilang kawan dan pekerjaan serta berdepan dengan situasi yang sukar bila berdepan dengan keluarga” jelas Sarah. 

“Kristian sebenarnya adalah agama yang paling dekat dengan Islam, bukan sahaja dari segi teologi tetapi juga sejarah. Terdapat banyak salah faham tentang apa yang Islam ajar tentang agama Kristian” jelasnya.

“Satu-satunya perbezaan antara Kristian dan Muslim adalah bahawa kita mengambil Isa sebagai nabi dan menyembah Allah. Islam mengajar mengesakan Allah, dan menyembah Allah semata-mata dan percaya bahawa Isa mengajar sendiri perkara ini” jelasnya lagi.

Tuesday 8 November 2016

Ingat mati motivasi diri

Ingat mati bukan untuk melemahkan semangat.  Sebaliknya, ingat mati memberi motivasi untuk lebih aktif dan kuat ibadat. Ini kerana kita sedar perlu membawa banyak bekalan pahala ke akhirat nanti. 

Generasi umat Islam yang paling aktif bekerja dan menggunakan masa dengan berkesan adalah para sahabat dan salaf soleh.

Mereka berjaya menakluk dunia, membangun tamadun dan mengembangkan dakwah Islam dalam masa yang sangat singkat. Semua itu kerana berpegang kepada pesanan Nabi SAW agar selalu mengingat kematian.

Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkanlah mengingat penghancur semua kelazatan, iaitu maut." (riwayat al-Tirmizi)

Mengingat kematian akan melahirkan sifat-sifat terpuji. Antaranya adalah sebagai berikut:

Ingat mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas dosa-dosa dan kesalahan kita.

Besarnya nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan itu tidak akan dilayan apalagi dituruti.

Abu Hazim Salah bin Dinar berkata: "Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan tidak mampu dibeli."

Daripada Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur (mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia dan seisinya." (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)

Ingat mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai menundukkan hawa nafsu. Cara hidup yang kita jalani menjadi lebih efektif kerana berasaskan, Begin with end in mind.

Rasulullah SAW bersabda: Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan bekerja untuk kehidupan setelah mati." (al-Tirmizi)

Ingat mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif. Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu berusaha untuk meraihnya.

Ramai orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali.

Sebaliknya, amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.

Rasulullah SAW bersabda: Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya, keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang tinggal hanyalah amalannya. (riwayat al-Bukhari)

Sungguh beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti.