Sunday 15 January 2017

Kuasa hak majikan buang pekerja

Berdasarkan kepada peruntukan undang-undang, majikan memang mempunyai kuasa hak istimewa yang dimiliki oleh majikan dan kes pembuangan pekerja. Namun, keistimewaan itu bukan bersifat mutlak atau boleh dilakukan sesuka hati.  

Sebaliknya ia dihadkan oleh undang-undang dan prosedur yang perlu dipatuhi. Jika tidak dipatuhi majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.

Proses pemecatan mesti dilakukan dengan adil dan tepat berdasarkan kepada alasan dan sebab yang munasabah. Jika tidak tindakan yang dibuat itu dianggap sebagai tindakan pemecatan yang tidak adil.

Dengan kata lain, proses penyiasatan dalaman organisasi atau jabatan perlu diadakan apabila timbul sesuatu perkara melibatkan salahlaku pekerja. Siasatan itu sama ada dilakukan oleh pihak pengurusan atau dilantik satu badan bebas. 

Bagi organisasi yang mempunyai kesatuan sekerja, elok wakil dari kesatuan berkenaan turut menganggotai lembaga penyiasatan. Wakil kesatuan dalam hal tertentu, selain menjadi ahli lembaga penyiasatan, wakil kesatuan juga boleh mewakili pekerja untuk mendapat keadilan. 

Proses penyiasatan amat penting bagi mementukan bahawa pertuduhan atau perkara 'salah' yang dilakukan oleh pekerja dilakukan dalam keadaan sedar atau ada niat untuk melakukan perbuatan itu. 

Sebagai contoh, pekerja yang melakukan kesilapan tidak sepatutnya terus dikenakan hukuman. Kesalahan itu mungkin berpunca satu keadaan yang pekerja itu sendiri tidak dapat mengawalnya. 

Contohnya, pekerja tukang masak yang gagal melaksanakan tugas memasak mungkin berpunca bahan-bahan untuk memasak tidak disediakan secukupnya. Sedangkan tugas menyediakan bahan masakan itu dilakukan oleh pihak lain.

Badan penyiasat mesti bersikap telus mencari kebenaran mengenai tindakan sebenar yang dilakukan oleh seseorang pekerja. Kesilapan yang dilakukan mungkin tidak disengajakan. Apa yang berlaku amat dikesali dan sememang dia sendiri tidak mahu perkara itu berlaku. 

Dengan kata lain, kesalahan itu wajar dimaafkan atau sekadar dikenakan tindakan amaran.
Dengan kata lain, proses penyiasatan mesti berasaskan untuk mencari kebenaran, bukannya mencari kesalahan. 

Perkara salah memang mudah ditemuai, sebaliknya perkara yang benar sengaja tidak dilihat. Maka itu, untuk kebaikan kedua-dua pihak, majikan dan pekerja, penyiasatan rapi perlu dilakukan secara adil dan telus.  

Pekerja perlu dipanggil untuk menjelaskan atau mempertahankan diri terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya. Banyak kes berlaku, pertuduhan yang dibuat terhadap pekerja adalah perkara yang direka-reka oleh pihak lain. Maka, dengan cara memanggil sendiri pekerja berkenaan, maklumat sebenar akan diperoleh.

Dalam keadaan biasa, antara kesalahan yang membawa kepada pemecatan pekerja ialah pecah amanah, tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, mendatangkan mudarat kepada majikan serta pekerja lain, moral tidak baik, mencemarkan nama syarikat dan sebagainya.

Berdasarkan kepada Seksyen 14(2) EA 1955, memperuntukkan untuk tujuan mengadakan penyiasatan dalaman, majikan boleh menggantungkan tugas pekerja untuk tidak lebih daripada dua minggu dan membayar gaji tidak kurang separuh daripada yang sepatutnya.

No comments:

Post a Comment