Sunday, 19 February 2017

UMNO BERSATU DENGAN PAS

JERLUN - Umno menjangkakan bahawa parti itu akan bersatu dan bersama dengan Pas dalam soal Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lama lagi.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun Umno dan parti Islam itu sering tidak sependapat, tetapi apabila tiba soal perhitungan agama khususnya RUU355 kedua-dua parti itu akan bersatu demi menjaga kepentingan serta kedaulatan agama.

“Politik itu politik, tetapi agama itu lebih tinggi daripada politik. Tak lama lagi kita akan tengok apabila RUU355 nak memperkasakan mahkamah syariah, bila sampai bab agama itu, politik parti di bawah dan agama perlu berada di atas.

“Apabila agama perlukan pembelaan, kita akan lihat dalam Parlimen siapa yang akan membela Islam. Adakah DAP akan sokong? Adakah parti cap bunga akan sokong ataupun PKR akan sokong? Mereka tidak akan sokong sebab mereka ada perhitungan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena siri jelajah penerangan Umno pusingan ketiga di pekarangan Dewan JKKK Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, di sini, kelmarin.

Menurutnya, apabila sampai pada soal agama, bangsa dan negara, maka kebergantungannya adalah kepada Umno.

“Kita berpolitik bukan kerana saja-saja seronok nak perintah parti, kita tidak boleh berpolitik hanya soal dendam peribadi, kita tidak bermain politik kerana kebetulan ikut mak ayah semata-mata, kita tidak bermain parti kebetulan orang suruh, kita semua terlibat dengan politik kerana dari sudut kehidupan beragama kita sedang tunaikan fardhu kifayah,” katanya.

Jelasnya, politik itu merupakan sebahagian daripada ibadah dan ibadah tidak boleh dibuat main-main dan tak boleh dibuat ikut perasaan. Ia bukan dilakukan kerana sayangkan kepada individu tertentu dan bukan soal jasa pemimpin tertentu.

Dalam perkembangan lain, Annuar mengakui kasih sayangnya dan rasa hormat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berubah meskipun tokoh pemimpin itu kini tidak lagi berada dalam Umno.

“Jasa tetap saya kenang, tetapi dalam soal bicara bangsa dan masa depan negara kita adalah lebih besar daripada soal masa depan seorang individu.Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Musa Hitam ataupun Tun Abdullah Ahmad Badawi sampailah hari ini, soal peribadi individu dibandingkan dengan matlamat dan tanggungjawab kita pada agama, bangsa dan negara, soal individu itu terlalu kecil.

“Kita mesti melihat dari perspektif kepentingan bangsa dan negara. Orang yang sama apabila dia meninggalkan saf perjuangan parti yang kita dokong bersama, ia hanyalah seorang pemimpin biasa. Siapa Datuk Onn Jaafar apabila dia meninggalkan Umno? Walhal dialah yang menjadi pengasas Umno, dialah yang melahirkan Umno dan dia jugalah orang yang terawal mengadap Raja-Raja untuk bergerak ke arah menggabungkan kekuatan orang Melayu yang ratusan tahun tidak dapat bergabung,” katanya.

Annuar berkata, terlalu besar jasa Datuk Onn Jaafar tetapi apabila beliau meninggalkan Umno, beliau hanyalah Datuk Onn Jaafar.

Beliau turut mendoakan supaya Tun Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan kembali kepada Umno.



--------------------------------------

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menghargai setiap titik peluh dan pengorbanan UMNO berhubung kerjasama mereka bersama parti Islam itu dalam usaha mengukuhkan lagi kekuatan agama Islam di negara ini.

Sokongan UMNO terhadap perkara yang melibatkan Islam dilihat sebagai satu bentuk kerjasama yang berjaya jika hendak dibandingkan dengan kerjasama daripada Pakatan Harapan.
PAS dan UMNO juga dilihat sangat secocok bersama ketika memperjuangkan martabat Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerjasama antara PAS dan UMNO telah membawa kepada penerimaan memorandum yang meletakkan Islam dalam Perlembagaan… Memorandum tersebut diserahkan kepada Suruhanjaya Reid.

Hadi Awang mengakui bahawa kerjasama bersama UMNO dalam pelbagai aspek terutama sekali yang melibatkan Islam telah diwujudkan sejak sebelum merdeka lagi.

Jadi sokongan UMNO sangat penting terhadap rang undang-undang (RUU) yang akan membawa kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Atas dasar Islam, PAS lebih rela memilih UMNO daripada Pakatan Harapan… Ekoran itu tidak hairanlah kenapa PAS lebih selesa berkongsi pentas bersama parti Melayu tersebut.

Ini kerana UMNO lebih memahami keperluan yang melibatkan orang Islam, termasuk dalam menyatakan simpati terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Beberapa pemimpin UMNO dilihat sudi menyatakan sokongan mereka terhadap cadangan yang dibawa presiden PAS tersebut apabila bersikap positif terhadap usaha PAS meminda akta itu.

Hadi enggan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP kerana ada pihak yang benci dan mengecam hebat cadangan yang diutarakan tersebut. Malah ada diantara mereka menganggap ia sebagai satu cadangan yang lapuk.-TiraGomez/UtaraNews.com - 19 Feb 2017

Monday, 13 February 2017

KES PERLAHAN AZAN SUBUH

Isu memperlahankan azan di Masjid Aman Taman Kenangan diselesaikan secara aman apabila kedua-dua pihak tampil berbincang bagi memperbetulkan keadaan.

Isu berkenaan menjadi tular di media sosial apabila surat didakwa ditulis usahawan berbangsa Cina, Datuk Sri Sunny Ung kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Aman, Taman Kenangan, Kota Bharu, Kelantan meminta agar suara azan subuh diperlahankan. Surat bertarikh 10 Januari 2017.

Antara kandungan surat tersebut: "untuk mengalih serta memperlahankan pembesar suara masjid terutama ketika Azan Subuh agar lebih fokus kepada kawasan perumahan penduduk Melayu di belakang Taman Kenangan".

Menurut Sunny, pertemuannya dengan ahli jawatankuasa masjid berjaya merungkai masalah berkenaan.

"Didapati berlaku kekeliruan mengenai surat layang yang dikaitkan dengan saya," jelas Sunny.

Katanya, surat berkenaan dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan namanya dan cuba untuk mengeruhkan suasana harmoni di kawasan ini".

Menurut Sunny, dia telah tinggal di kawasan itu lebih 18 tahun dan tidak pernah berasa terganggu dengan laungan azan subuh, mauhupun waktu lain sepanjang tinggal di situ.

"Saya tidak rasa terganggu dan tidak ada alasan untun menulis surat itu, kata Sunny yang tinggal kira-kira 100 meter dari berkenaan.

Tambah Sunny lagi, walaupun isu berkenaan dilihat sebagai usaha untuk mensabotaj hubungannya dengan kaum Melayu yang telah dianggap seperti keluarganya.

"Isu ini tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk terus menjalin hubungan baik dengan orang Melayu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," ujar Sanny yang kini membantu kira-kira 250 orang anak yatim yang diambil sebagai anak angkat.

Katanya, beliau melihat isu ini lebih kepada salah faham semata-mata dan berharap ianya tidak dipanjangkan lagi oleh mana-mana pihak.

"Selama ini pun kami hidup aman, harmoni dan tidak timbul isu mengenai bunyi azan yang menganggu penduduk di kawasan ini.

"Begitu juga umat Islam tidak kisah apabila ada upacara di tokong berhampiran kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha masjid berkenaan, Zakaria Ibrahim berkata, bunyi azan masih dikekalkan pada tahap sediakala dan ia tidak mengganggu penduduk setempat.

"Bunyi azan tidak mengganggu penduduk tempatan termasuk masyarakat bukan Islam dan ramai penduduk beragama Islam di sini juga tinggal di kawasan penduduk Cina," katanya.

Dengan penjelasan oleh kedua-dua pihak ini, kita berharap tidak ada lagi sebarang usaha untuk mensabotaj dengan menimbulkan isu perkauman di negeri ini dan di negara ini amnya,

Dalam isu yang sama, Pengerusi Kelab Warisan (Keris) Kelantan, Lokman Ismail berharap orang ramai tidak mencetuskan isu yang boleh mendatangkan perasaan marah dan saling tidak mempercayai antara kaum.

"Isu kaum dan agama mudah mendatangkan perasaan marah sehingga boleh mencetuskan keadaan tegang antara kaum," ujarnya.

Katanya lagi, pihak tidak bertanggungjawab akan cuba menimbulkan perbalahan antara kaum untuk menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara.

"Jika ada isu melibatkan kaum di cetuskan, jangan mudah ambil tindakan berdasarkan perasaan marah dan dendam.  Sebaliknya, cuba selidik dan berbaincang dengan pihak yang berkenaan untuk mengetahui perkara sebenar dan seterusnya menyelesaikan masalah yang timbul," tambahnya.

Tambahnya lagi, dalam Islam amat penting untuk mengesahkan sesuatu perkara sama ada benar atau palsu. Tambah-tambah lagi dalam soal yang boleh mencetuskan sesuatu yang buruk kepada individu atau masyarakat.