Monday, 13 February 2017

KES PERLAHAN AZAN SUBUH

Isu memperlahankan azan di Masjid Aman Taman Kenangan diselesaikan secara aman apabila kedua-dua pihak tampil berbincang bagi memperbetulkan keadaan.

Isu berkenaan menjadi tular di media sosial apabila surat didakwa ditulis usahawan berbangsa Cina, Datuk Sri Sunny Ung kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Aman, Taman Kenangan, Kota Bharu, Kelantan meminta agar suara azan subuh diperlahankan. Surat bertarikh 10 Januari 2017.

Antara kandungan surat tersebut: "untuk mengalih serta memperlahankan pembesar suara masjid terutama ketika Azan Subuh agar lebih fokus kepada kawasan perumahan penduduk Melayu di belakang Taman Kenangan".

Menurut Sunny, pertemuannya dengan ahli jawatankuasa masjid berjaya merungkai masalah berkenaan.

"Didapati berlaku kekeliruan mengenai surat layang yang dikaitkan dengan saya," jelas Sunny.

Katanya, surat berkenaan dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan namanya dan cuba untuk mengeruhkan suasana harmoni di kawasan ini".

Menurut Sunny, dia telah tinggal di kawasan itu lebih 18 tahun dan tidak pernah berasa terganggu dengan laungan azan subuh, mauhupun waktu lain sepanjang tinggal di situ.

"Saya tidak rasa terganggu dan tidak ada alasan untun menulis surat itu, kata Sunny yang tinggal kira-kira 100 meter dari berkenaan.

Tambah Sunny lagi, walaupun isu berkenaan dilihat sebagai usaha untuk mensabotaj hubungannya dengan kaum Melayu yang telah dianggap seperti keluarganya.

"Isu ini tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk terus menjalin hubungan baik dengan orang Melayu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," ujar Sanny yang kini membantu kira-kira 250 orang anak yatim yang diambil sebagai anak angkat.

Katanya, beliau melihat isu ini lebih kepada salah faham semata-mata dan berharap ianya tidak dipanjangkan lagi oleh mana-mana pihak.

"Selama ini pun kami hidup aman, harmoni dan tidak timbul isu mengenai bunyi azan yang menganggu penduduk di kawasan ini.

"Begitu juga umat Islam tidak kisah apabila ada upacara di tokong berhampiran kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha masjid berkenaan, Zakaria Ibrahim berkata, bunyi azan masih dikekalkan pada tahap sediakala dan ia tidak mengganggu penduduk setempat.

"Bunyi azan tidak mengganggu penduduk tempatan termasuk masyarakat bukan Islam dan ramai penduduk beragama Islam di sini juga tinggal di kawasan penduduk Cina," katanya.

Dengan penjelasan oleh kedua-dua pihak ini, kita berharap tidak ada lagi sebarang usaha untuk mensabotaj dengan menimbulkan isu perkauman di negeri ini dan di negara ini amnya,

Dalam isu yang sama, Pengerusi Kelab Warisan (Keris) Kelantan, Lokman Ismail berharap orang ramai tidak mencetuskan isu yang boleh mendatangkan perasaan marah dan saling tidak mempercayai antara kaum.

"Isu kaum dan agama mudah mendatangkan perasaan marah sehingga boleh mencetuskan keadaan tegang antara kaum," ujarnya.

Katanya lagi, pihak tidak bertanggungjawab akan cuba menimbulkan perbalahan antara kaum untuk menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara.

"Jika ada isu melibatkan kaum di cetuskan, jangan mudah ambil tindakan berdasarkan perasaan marah dan dendam.  Sebaliknya, cuba selidik dan berbaincang dengan pihak yang berkenaan untuk mengetahui perkara sebenar dan seterusnya menyelesaikan masalah yang timbul," tambahnya.

Tambahnya lagi, dalam Islam amat penting untuk mengesahkan sesuatu perkara sama ada benar atau palsu. Tambah-tambah lagi dalam soal yang boleh mencetuskan sesuatu yang buruk kepada individu atau masyarakat.




No comments:

Post a Comment