Sunday 30 April 2017

Mangsa produk kosmetik ada merkuri

MANGSA 1: Bila mangsa memakai produk bermerkuri, muka akan berasa gatal dan kemerah-merahan. Untungnya mangsa ini sebab kulit mereka boleh kesan andai produk yang digunakan ada merkuri. Kalau terjadi, segera tinggalkan produk tersebut.

Jadi pengguna kategori ini tentu sekali tidak akan terus menggunakan produk berkenaan yang secara nyata memberi kesan buruk kepada muka atau bahagian badan yang terkena atau dipakaikan produk bermerkuri itu.

Mereka tidak terus menjadi mangsa dan terhindar dari kesan buruk berterusan daripada produk mengandungi merkuri.
.
MANGSA 2: Masa pakai produk tinggi merkuri, muka mereka akan kelihatan cantik, glowing, flawless dan gorgeous. Tapi bila stop, perlahan-lahan kulit akan ditumbuhi jerawat bernanah yang bengkak-bengkak. Sindrom ini memang banyak terjadi di kalangan orang Malaysia.

Mangsa kategori ini ditentukan oleh diri sendiri sama ada terus menjadi mangsa atau berhenti. Ada yang meneruskan penggunaan produk berkenaan kerana ingin kekal cantik dan mendakwa bahawa produk itu sesuai untuk dirinya.  Jika tidak terus menggunakan, maka masalah kulit akan berlaku.

Jika mereka bijak dan sedar kesan penggunaan produk berkenaan, pasti akan mengambil tindakan serta merta untuk berhenti daripada menggunakan produk berkenaan. Sebenarnya kesan 'baik' yang diperoleh itu bukan bermakna produk itu sesuai atau serasi dengan kulit mereka, tetapi itu tanda ada merkuri. Merkuri memang berkesan secara pantas untuk mencantikkan kulit kerana telah berlaku kerosakan pada sel kulit.

Produk bermerkuri memberi kesan tidak timbul jerawat sama sekali. Keadaan ini disebabkan lapisan kulit epidermis kita telah rosak, kulit sudah tidak mengandungi protein dan melanin yang berfungsi untuk melindungi radiasi paparan matahar juga sudah tidak berfungsi, sehingga bakteria tidak mampu hidup kulit yang telah tercemar merkuri termasuk nyamuk sekalipun.

Jerawat dalam keadaan normal adalah berfungsi sebagai indikator tingkat kandungan protein di dalam kulit yang juga untuk mengawal perawatan kulit wajah, bila anda lupa untuk melakukan kebersihan wajah, umumnya jerawat akan timbul. Jika produk ada merkuri, keadaan ini tidak terjadi kerana struktur protein kulitnya telah berubah dan rosak.

Pori-pori tampak mengecil dan halus, ini sebenarnya disebabkan lapisan kulit terluar wajah kita telah menipis oleh logam merkuri yang sekali pandang kelihatan mengecil dan halus. 

Kesan cepat adalah tanda produk berkenaan ada merkuri atau bahan kimia berbahaya lain.

MANGSA 3: Konsisten pakai produk bermerkuri lebih kurang 2-3 tahun. Bila berhenti menggunakan produk berkenaan pun kulit tak naik apa-apa. Terus kekal cantik dan menarik. Tidak ada masalah langsung. 

Tetapi ingat. Itu tidak bermakna ia selamat dan serasi dengan kulit. Sebenarnya, sepanjang penggunaan itu merkuri telah perlahan-lahan dan berterusan makan organ dalaman, badan akan jadi cepat lesu, demam, migrain, dan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf. Bagi ibu mengandung dan ibu yang sedang menyusukan anak, ianya boleh mengganggu perkembangan anak-anak juga.

Untuk mengelak terjebak atau menjadi mangsa produk kosmetik mengandungi merkuri, pastikan produk itu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Untuk mengelak produk tiruan, berhati-hati dengan kesan penggunaan. Jika kesannya amat hebat dan cepat, itu tanda ada sesuatu yang tidak kena pada produk berkenaan. 

Kalau nak cantik dan menawan, kena bersabar dan konsisten mengguna sesuatu produk. Biarlah mengambil masa yang lama asalkan selamat.

Friday 28 April 2017

Masjid jadi medan politik

Disebabkan masjid dijadikan medan politik, ada jemaah yang tidak tahan dengan kerenah dan semakin menjauhkan diri daripada masjid. Mereka berasa seperti serba tidak kena walaupun datang dengan tujuan untuk beribadat.

Niat asal untuk memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala selain mengimarahkan rumah Allah SWT itu dengan aktiviti kemasyarakatan bertukar menjadi tempat yang menimbulkan api kebencian sesama penduduk setempat.

Pihak yang tidak bertanggungjawab menganggap apa yang dilakukan itu sebagai ‘betul’ dan suruhan agama. Kononnya untuk menegakkan kebenaran dan mengelak perkara buruk, maka mereka dengan secara terbuka menyebarkan fitnah dan mengumpat pihak lain yang tidak sehaluan dengan mereka.

Terdapat masjid yang menjadi program rutin ceramah agama, tetapi menyimpang dengan menuding jari menyalahkan atau mengagungkan sesuatu pihak. Biasanya hanya pada mula saja disentuh soal agama, sedang selepas itu terus melancung dalam hal-hal lebih kepada kepartian.

Lebih menyedihkan perkataan kesat, mencela dan gelak tawa tiada batasan dianggap perkara biasa yang diamalkan di dalam rumah ibadah.

Ternyata apa yang dilakukan itu bertentangan dengan konsep yang dituntut oleh Islam, lebih-lebih lagi perbuatan buruk itu dilakukan di masjid. Masjid yang dibina sebagai rumah ibadah bagi umat Islam memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala bertukar sebaliknya menjadi sarang membuat dosa.

Di masjid sepatutnya menjadi medan untuk membentuk kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk setempat, selain mendapat ilmu agama melalui kelas agama yang diadakan di situ.

Tidak wajar ada pihak atau individu disindir dan dipandang serong oleh segelintir jemaah berikutan berlainan fahaman politik atau minat.   

Tindakan segelintir pihak yang menjadikan masjid sebagai landasan berpolitik kepartian layak dipanggil sebagai golongan pecah belah. Sepatutnya di masjidlah peluang untuk melupakan seketika perbezaan fahaman politik. Betulkan niat kita untuk menjadi tetamu Allah dan menghampirkan diri kepada Maha Pencipta. 

Masjid bukan tempat menyebarkan fahaman politik yang lebih kepada menyebabkan perpecahan. Masjid yang sepatutnya digunakan sebagai pusat penyatuan umat Islam tanpa mengira fahaman politik, kedudukan dan bangsa.

Pada zaman Rasulullah SAW, urusan politik memang dibuat di dalam masjid. Namun politik yang dimaksudkan ialah lebih kepada urusan pentadbiran negara dan kepentingan umat Islam.  

Malangnya, istilah politik yang dibawa dalam masjid sekarang ini adalah politik kepartian. Masing-masing ingin menyalahkan pihak lain dan mengagungkan pihak sendiri. Inilah menjadi bibit perpecahan di kalangan jemaah yang berlainan fahaman.

Lebih malang lagi, ada pihak yang membina masjid atau surau sebagai markas parti. Walaupun nampak seperti masjid, hakikatnya ia lebih kepada ‘pejabat’ parti. Maka itu, orang berlainan parti tidak akan pergi ke masjid itu. Masjid itu hanya ‘meriah’ apabila ada urusan dilakukan di situ. Sedangkan pada waktu lain ia sunyi dan tidak ada aktiviti lain.

Ini menunjukkan kedangkalan dan ceteknya pemikiran kita dalam berpolitik sehingga membabitkan rumah ibadat. Di mana lagi tempat kita nak bersama kalau semua tempat dijadikan medium perpecahan.

Ingatlah, sesuatu yang membawa kepada perpecahan ummah ditegah dilakukan seperti mengumpat, fitnah dan sikap ego. Jadi, jika perkara ini dilakukan di masjid, maka ia menjejaskan institusi masjid yang dibina bagi menjadi pusat ibadah dan aktiviti umat Islam apabila dijadikan sebagai sarang mengumpul dosa.

Sepatutnya masjid atau rumah ibadah digunakan sebagai tempat menyucikan hati dan melakukan pelbagai kegiatan berfaedah dalam usaha menyatukan perpecahan yang berlaku di luar, bukan tempat menyakitkan hati atau sebaliknya membawa perpecahan daripada luar.

Gambar sekadar hiasan

Monday 24 April 2017

Wasatiyyah paksi perjuangan

Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam. 

Pendekatan pejuang sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah.

Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama.

Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.

Pendekatan wasatiyyah yang diamalkan pejuang adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam.

Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam.

Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143 yang bermaksud: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".

Sebab itulah, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga.

Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.

Budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme.

Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas. 

Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf.

Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai. 

Kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera. 

Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan.

Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak.

Sunday 23 April 2017

Agong bebas pengaruh politik

Kuasa Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dari sudut Perlembagaan untuk mengetahui hal ehwal kerajaan. Baginda menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja, diiringi oleh Perdana Menteri (PM).

Setiap awal pagi Rabu sebelum mesyuarat Kabinet, PM menemui baginda untuk memaklumkan perkembangan negara dan perkara-perkara yang mungkin menarik perhatian baginda. Baginda boleh menggunakan sesi ini untuk memberi pandangan kepada PM.

Bahagian IV Bab 1 Perlembagaan Persekutuan menegaskan banyak perkara penting berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Agong. 

Ada beberapa perkara, terutamanya sejarah feudal telah terserap ke dalam Perlembagaan Malaysia. Salah satunya adalah perkataan 'Raja' dan 'kerja', disatukan untuk menjadikan kerajaan di mana Sultan atau Raja adalah lambang kuasa dan kedaulatan.

Negeri Melayu berdaulat yang kuno bertakhtakan Raja atau Sultan masih lagi subur di dalam negeri-negeri yang diketuai Sultan di Semenanjung pada hari ini.

Kini Raja digelar sebagai Raja Berperlembagaan tetapi hakikatnya mereka masih mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar ke atas masyarakat, khususnya orang Melayu.

Dari fakta keputusan pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong sudah dapat memastikan ketua parti mana yang layak dan dapat menguasai keyakinan bilangan besar, iaitu parti yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

Frasa 'percaya dapat menguasai' ini mungkin disalahtafsirkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berhak sepenuhnya membuat penilaian dan pemilihan secara subjektif dalam pelantikan seseorang Perdana Menteri.

Tetapi, apabila diteliti keseluruhan ayat ini dan atas dasar prinsip yang diterima, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik sesiapa sahaja yang beliau berkenan.

Orang yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri mestilah seseorang yang dapat menguasai keyakinan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.

Artikel 40 memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hampir dalam semua perkara bertindak atas nasihat Kabinet.

Dalam konteks ini, Yang di-Pertuan Agong dipandang sebagai pemegang kuasa tertinggi kerana semua perkara yang dilaksanakan sebagai sebuah kerajaan dilakukan bagi pihak baginda. Kedudukan baginda sebagai Komander Tertinggi Angkatan Tentera menunjukkan lingkungan kedudukan baginda sebagai eksekutif yang tinggi.

Friday 21 April 2017

Fikir positif tangkis kata negatif

Hidup kita tidak pernah sunyi daripada umpat keji dan orang lain cari pasal dengan kita. Sikap dengki dan tidak dapat menerima kelebihan serta kebaikan orang lain menyebabkan perkara yang ditegah oleh agama itu dilakukan tanpa memikirkan soal dosa.

Usah peduli apa orang kata kepada kita jika kita yakin apa yang dilakukan itu adalah benar dan memberi kebaikan. Jangan kita rasa bersalah dengan perkara baik yang kita lakukan. Sebaliknya, jadikan kata-kata negatif dilontarkan kepada kita sebagai pembakar semangat untu terus melakukan kebaikan.

Percayalah. Jika ada orang bercakap mengenai kita di belakang, itu tandanya kita sudah ada di depan. Kita telah meninggalkan mereka dengan angan-angan yang tidak pernah memberi kebaikan.

Ketika orang bercakap merendahkan diri kita, itu tandanya kita sudah berada di tempat yang lebih tinggi. Sesungguhnya, apa saja kata-kata merendahkan kita tidak berjaya selagi kita terus yakin berusaha melangkah ke puncak lebih tinggi. Mereka yang merendah-rendahkan kita akan lebih jauh ketinggalan dan selamanya berada di bawah kita.

Saat orang bercakap dengan nada iri mengenai kita, itu tandanya kita sudah jauh lebih baik daripada mereka. Di sebalik iri hati itulah bukti kita sebenarnya lebih baik daripada mereka. Kerana, mereka tidak iri hati apa yang kita ada dan capai jika kita dapat dan ada lebih rendah daripada mereka.

Jika ada orang bercakap buruk mengenai kita, padahal kita tidak pernah mengusik kehidupan mereka, itu tandanya kehidupan kita sebenarnya lebih indah daridapa mereka. Mereka perlu mencipta dan menyebarkan kononnya kita buruk semata-mata untuk menutup kelemahan dan keburukan yang mereka lakukan atau alami.

Maka, usah kita pedulikan kata orang kepada kita. Yang penting kita tahu apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan diri, keluarga, agama dan negara. Jika kita terpengaruh kata-kata buruk orang terhadap kita, maka kita akan jadi sepertimana apa yang orang kata itu. Ketika itu, benarlah apa yang mereka kata itu.

Jom sentiasa berfikiran positif kerana anda adalah sepertimana yang anda fikirkan.

Tuesday 18 April 2017

Bahaya merkuri dalam kosmetik

Merkuri disenarai antara bahan kimia semulajadi yang berbahaya. Sebab itu, jika berlaku tumpahan sedikit merkuri, akan dipanggil bomba untuk membuat pembersihan. Sedikit tumpahan yang terkena pada bahagian badan akan mendatangkan bahaya.

Malang sekali ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan unsur merkuri dalam produk kosmetik, terutamanya berkaitan dengan pemutihan. Penggunaan merkuri dalam produk pemutih akan mempercepatkan kesan wajah nampak putih. Inilah kesan yang digilai oleh kebanyakan wanita hendak kelihatan putih dan berseri.

Penggunaan produk mengandungi merkuri menyebabkan kerosakan pada melanin yang berfungsi untuk mencegah redikal bebas. Melanin menyebabkan kulit kita kelihatan kehitaman. Jika melanin rosak, itulah menyebabkan kulit kelihatan lebih putih. Sebenarnya bukan puih, tetapi pucat tanda kulit tidak sihat.  

Produk bermerkuri memberi kesan tidak timbul jerawat sama sekali. Keadaan ini disebabkan lapisan kulit epidermis kita telah rosak, kulit sudah tidak mengandung protein dan melanin yang berfungsi untuk melindungi radiasi paparan matahar juga sudah tidak berfungsi, sehingga bakteria tidak mampu hidup kulit yang telah tercemar merkuri termasuk nyamuk sekalipun.

Jerawat dalam keadaan normal adalah berfungsi sebagai indikator tingkat kandungan protein di dalam kulit yang juga untuk mengawal perawatan kulit wajah, bila anda lupa untuk melakukan kebersihan wajah, umumnya jerawat akan timbul. Jika produk ada merkuri, keadaan ini tidak terjadi kerana struktur protein kulitnya telah berubah dan rosak.

Pori-pori tampak mengecil dan halus, ini sebenarnya disebabkan lapisan kulit terluar wajah kita telah menipis oleh logam merkuri yang sekali pandang kelihatan mengecil dan halus. 

Selain kerosakan kepada kulit atau kanser kulit, merkuri turut memberi kesan menggangu fungsi otak, kegelisahan dan gugup, kerosakan pada hati dan gingal, kecacatan bayi baru lahir, serta menyebabkan keguguran dan kesan buruk lain kepada sistem badan.

Nasihat kepada wanita, tidak perlu fikirkan soal kulit putih. Jika telah ditakdir berkulit gelap atau hitam, terimalah hakikat itu. Putih bukan penentu kecantikan. Banyak Ratu Cantik Dunia adalah mereka yang berkulit gelap. Di negara rakyat berkulit gelap, mereka berbangga dengan warna kulit mereka sedemikian.

Dan, paling penting Allah tidak pernah menilai hambaNya berdasarkan kepada warna kulit.  Sebaliknya yang menentukan mulia atau hina seseorang hamba adalah berdasarkan kepada takwanya.

Monday 17 April 2017

Panduan hidup sihat

Jagalah kesihatan anda sebelum ditimpa penyakit. Tiada harta dan wang ringgit yang bertimbun banyaknya pun yang bolih menebus kesihatan bila sudah dilanda penyakit kronik.

Pencegahan penyakit adalah lebih baik dari rawatan. Tapi bila sudah ditimpa penyakit perlu cari ubat dari peringkat awal. Cari ubat dari doktor bertauliah dulu. Rawatan alternatif dan tradisional boleh digabungkan kemudian.

Berdoa kepada Allah SWT setiap hari dan setiap waktu dan ditempat yang makbul doa agar dikuatkan iman dan diberi kesihatan badan, jiwa dan panca indera. Jangan putus doa atau putus harapan. Allah Maha Pengasih dan Penyayang.

Kuasai, kawal dan urus diri untuk mengikuti cara, gaya, budaya dan tabiat hidup kearah sihat walafiat. Jangan asyik bergantung dengan ubat. Ubah minda dan ubah tabiat kepada ciri-ciri positif. Hapuskan kepercayaa dan amalan kuno yang tidak berasaskan ilmu pengtahuan.

Sekarang dua perkara menjadi punca utama bagi berbagai penyakit iaitu makanan tidak seimbang dan gangguan jiwa dan rohani. Memang benar. Lain-lain punca penyakit ialah keracunan dari berbagai punca saperti bahan kimia, radiasi dan pencemaran.

Penyakit timbul dari tabiat makan yang tidak sesuai serta pemilihan makanan yang kurang berkhasiat dan berzat. Sering berlebihan gula dan karbohaidrat. Juga makanan yang mungkin mengandungi toksin sebab diawet, diperoses, ditambah perisa serta disimpan dalam tin.

Jauhkan makanan tersebut dan juga makanan segera dan junk serta minuman manis dan bergas. Makan bahan mentah dan segar. Banyakkan sayur dan buah. Kurangkan gula dan garam dalam masakan. Juga jangan memasak keterlaluan panas atau lama.

Makan bila lapar berhenti sebelum kenyang. Kunyah makanan perlahan-lahan dan berulang-ulang sehingga makanan dalam mulut jadi lumat sebelum ditelan. Tebaik konyah antara 15 hingga 20 kali  setiap suap makanan.

Mulakan makan dengan buah-buahan dan tunggu 15 hingga 20 minit sebelum makan nasi. Kalau boleh jangan tambah nasi; tambah lauk (perotin) dan sayur-sayur jika sajian pertama tidak mengeyangkan.

Waktu selingan (tea dan coffee break) makan kacang badam, peanuts, gajus atau walnut berserta kismis, keroma atau berries yang dikeringkan.

Biasakan minum juz buah-buah yang segar. Jus air kelapa muda tanpa ditambah gula adalah jus buah yang terbaik dari segi kandungan zat, vitamin dan logam. Banyakkan minum air mineral atau air kosong.

Jadikan suka makan ulam dan salad sebagai satu tabiat dan budaya hidup. Ulam raja telah dikaji dan diboktikan sebagai antikanser. Begitu juga berbagai-bagai pucuk daun yang mudah ditanam di sekitar rumah.

Stress yang tidak terkawal dan berlanjutan adalah punca bagi 1001 jenis penyakit. Sukar untuk kita lari dari berbagai jenis tekanan fizikal, mental dan rohani kerana ia boleh timbul di mana-mana saja.

Kaedah utama mengawal stress ialah mengamalkan ibadah mengikut jadual dan arahan Allah - solat fardu dan sunat, baca Al-Quran, zikir dan selawat, puasa dan sedekah. Quran adalah satu mukjizat dan rahmat terbesar dari Allah dan didalamnya terdapat syifa iaitu penyembuh bagi segala penyakit. Baca Al-Quran setiap hari.

Senyum selalu, ucap salam kepada sesiapa kita bertemu, bersalaman mesra dan berkenalan, kawal marah, jangan menyakiti dan menghina orang lain, terima teguran, rasa tawaduk dan rendah diri. Terima segala jenis musibah dan ujian Allah sebagai ' qada' dan kadar Allah '

Pergerakan tubuh badan juga satu kaedah kurangkan tekanan perasaan. Pilih saja apa jenis exercise sesuai dengan caragaya hidup kita selama 30 minit asalkan berpeluh. Contohnya berjalan kaki, jogging, tunggang basikal, pergi gym, treadmill, taichi, silat atau yoga.

Pergerakan badan hasilkan banyak khasiat kesihatan, menfaat dan kebaikkan bagi kehidupan sesorang; bantu kawal penyakit diabetes, darah tinggi dan serangan jantung dan angin akhmar.

Pantau berat badan. Sebaiknya jangan biarkan melebihi 60 kg. Memang mudah naik berat tetapi untuk menurunkan berat badan sangat sukar. Kawal makan khususnya gula dan karbohaidret. Lakukan exercise setiap hari.

Amalkan makan multivitamins, fish oil, kalsium dan vitamin C terus menerus sehingga akhir hayat. Makanan harian kita tidak dapat menampung keperluan vitamin untuk tujuan baik pulih tisu dan organ penting dalam tubuh badan.

Semoga Allah berkati hidup kita dengan keteguhan iman, kesihatan badan dan murah rezeki yang halal. Serta kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Aamin.                        

Haram khianat pemimpin Islam

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum muslimin. Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran. 

Wajib bersolat di belakang mereka dan di belakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. 

Rasulullah SAW bersabda, "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin perlu ditaati walau apa sekali. Demi untuk mencapai cita-cita tertentu, ada pihak sanggup melakukan tindakan yang menyebabkan mudarat, kesengsaraan dan kerugian kepada orang lain. 

Keghairahan yang tidak mengenal betul dan salah, dilaksanakan dengan sokongan mereka yang taksub dan wala membabi buta. Mereka sebenarnya menjadi barua dan broker melakukan kejahatan.  

Rakyat yang bijak pasti dapat membuat pilihan tepat untuk mengelak diri daripada terbabit sama dengan tindakan yang mencetuskan huru hara dalam negara.  

Pihak luar yang ingin menjatuhkan negara bersedia memberi dana dan khidmat nasihat serta sokongan moral kepada golongan tertentu di dalam negara kita. 

Allah SWT menjadikan hidup di dunia bukan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya menyalahi fitrah.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?." (Surah Yusuf, ayat 109).

Sesungguhnya setiap perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk tidak terkecuali biarpun satu, dicatat dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikatnya untuk dihitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.  

Catatan itu tidak mungkin silap atau berlaku pilih kasih. Malaikat Raqib di sebelah kiri mencatat amalan jahat sementara Malaikat Atid di sebelah kanan mencatat amalan baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencatat amalan baik dan buruk manusia. Maka sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan kebaikan namun tidak jadi melakukannya, akan ditulis untuk kebaikan sempurna. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukannya lalu ia benar-benar melakukannya, maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda bahkan hingga tidak terbatas. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia keinginannya lalu benar-benar melakukannya, maka akan ditulis untuknya satu kejahatan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Janganlah berangan ingin memasuki syurga Allah SWT jika gaya hidup dipenuhi kedurhakaan. Kehidupan berdasarkan matlamat mencari kesenangan dan bersuka-ria akan menjauhkan diri daripada syurga.  

Golongan ini menyangka apa yang mereka lakukan itu dapat membawa kebahagiaan berkekalan. Mereka tamak merebut semua perkara yang difikirkan dapat memberi kesenangan hidup di dunia tanpa memikirkan perkara itu halal atau haram. 

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sungguh, engkau (Muhammad) akan mendapati mereka (Orang-orang Yahudi), manusia yang paling tamak akan kehidupan (dunia), bahkan (lebih tamak) dari orang-orang musyrik. Masing-masing dari mereka, ingin diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Dan Allah Maha melihat apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 96) 

Cara menikmati hidup sihat ceria

Kesihatan perkara paling penting dalam kehidupan. Tidak guna ada banyak wang dan pangkat tinggi jika keadaan kesihatan tidak baik. Sebab itu, kita perlu jaga kesihatan agar sentiasa sihat dan terhindar daripada penyakit berbahaya.

Satu cara untuk hidup sihat dan bertenaga ialah mengamalkan gaya hidup sihat. Makan cara sihat dan perbanyakkan minum air kosong. Air amat penting untuk kehidupan. Jadi, jangan lupa minum banyak minum air kosong.

Kepada yang merokok, berusahalah untuk berhenti merokok. Perbuatan merokok boleh membahayakan kesihatan. Banyak kematian berlaku disebabkan perbuatan merokok, yakni punca kepada penyakit barah dan lain-lain. Berusahalah berhenti secara perlahan-lahan.

Istirahat yang cukup juga amat penting, terutama mereka yang sudah berumur. Badan perlu rehat dan dalam keadaan tenang. Jangan marah dan hindari perasaan tertekan. Biarpun banyak mana bebanan kehidupan, hadapinya dengan tenang. Berusahalah untuk mengatasinya dan berserahlah kepada Allah.

Jiwa yang tenang adalah tonik kehidupan sihat paling baik. Dekatkan diri dengan Allah dan bermohon kepadanya agar hidup kita berlangsung dengan tenang dan ceria.  

Sunday 16 April 2017

Sumbangan takaful kepada kewangan Islam

Penubuhan takaful sejak 1984 telah memberi sumbangan besar kepada perkembangan kewangan Islam Malaysia. Ia bukan saja melambangkan satu kejayaan berkaitan takaful, tetapi memberi sumbangan yang amat besar kepada kepentingan ummah. 

Peluang Pekerjaan. Industri takaful telah berkembang pesat di Malaysia. Ini secara langsung membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Kini terdapat 8 syarikat pengendali takaful yang menggajikan puluhan ribu orang pekerja untuk melancarkan perjalanan syarikat.

Peluang pekerjaan di institusi takaful terbuka luas kepada semua lapisan masyarakat. Pekerjaan itu terbahagi dua iaitu sebagai pekerja tetap atau berkhidmat terus dalam organisasi syarikat, dan keduanya adalah sebagai agen atau wakalah. 

Pekerja tetap di syarikat biasanya terlibat dalam tugas pengurusan dan pentadbiran. Mereka digajikan tetap setiap bulan dan bilangannya agak terhad untuk tugas-tugas tertentu saja. Pekerja ini menjadi tonggak perjalanan operasi syarikat.

Pekerja atau kerjaya sebagai wakalah atau wakil syarikat. Peluang pekerjaan kategori ini amat terbuka luas. Dilaporkan pengendali takaful masih memerlukan puluhan ribu wakalah bagi pihak syarikat.  

Peluang kerjaya ini boleh diceburi kebanyakan orang dengan memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh syarikat pengendali dan Bank Negara Malaysia. Biasanya seseorang perlu menduduki kursus dan peperiksaan khas sebelum layak dilantik sebagai wakalah. 

Wakalah diperlukan bagi memasarkan produk-produk takaful kepada masyarakat. Tugas ini sangat diperlukan oleh pengendali takaful kerana ia lebih berkesan berbanding kaedah kaunter yang mana operasi dijalankan di pejabat. 

Syarikat pengendali takaful melantik wakalah sebagai perantara dalam memasarkan produk-produk syarikat dengan dibayar upah. Akad di antara para wakil dan pengendali takaful adalah berasaskan akad wakalah. 

Konsep ini sejajar dengan prinsip Islam sebagaimana amalan Rasulullah SAW yang pernah mengutuskan pegawai (pekerjanya) untuk menerima zakat dan Baginda SAW memberi upah kepada mereka. 

Memandangkan wakalah tidak menerima gaji tetap, sebaliknya menerima upah berdasarkan produktiviti masing-masing, maka pengendali takaful boleh melantik seramai mungkin wakalah. Ini membuka peluang amat luas untuk mereka yang memenuhi syarat ditetapkan untuk menjadi wakalah kepada sesuatu pengendali takaful. 

Wakalah boleh menjadikan ia satu pekerjaan tetap atau sebagai sambilan saja. Ia bergantung kepada keupayaan masing-masing. Biarpun wakalah tidak melibatkan skop tugas tetap, namun ia dikategorikan sebagai salah satu kerjaya bertaraf profesional.  

Ganjaran atau upah lumayan yang diterima wakalah meletakkan mereka golongan dihormati di mata masyarkat. Industri takaful di Malaysia telah melahirkan ratusan wakalah berstatus jutawan.

Pekerjaan sebagai wakalah di institusi takaful adalah halal dan satu tugas mulia. Melalui takaful dapat mengelak masyarakat Islam terus terjebak dalam insurans konvensional yang diputuskan oleh Badan Fatwa Sedunia sebagai haram kerana ada unsur keraguan, riba dan judi, maka sesiapa yang terlibat dengannya sama ada sebagai agen atau pemilik polisi dianggap sebagai berdosa. 

Melalui kewujudan takaful, membuka ruang kepada umat Islam mendapat perkara yang halal sama ada sebagai pekerja tetap di institusi atau wakalah yang kerjayanya amat mencabar tetapi menyediakan ruang amat luas serta lumayan.

Mewujudkan dana pelaburan dan tabungan umat IslamMenurut Bank Negara dalam Laporan Tahunan Takaful 2005, merekodkan caruman bersih takaful keluarga dan takaful am mencecah RM1.3 bilion.  

Jumlah itu sentiasa meningkat setiap tahun selaras kepercayaan masyarakat terhadap institusi takaful. Peningkatan caruman takaful berkembang sekitar 15 peratus setahun, biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu seluruh dunia. 

Dana yang dikumpul itu boleh digunakan oleh syarikat untuk pelaburan dalam aktiviti yang dikawal oleh syariat. Ia membentuk satu rantian pelaburan yang halal lagi bersih. Ini memberi satu isyarat bahawa sesuatu niat yang baik akan berpanjangan berada di atas landasan kebaikan jika pengurusannya dilakukan oleh orang Islam berpegang kepada amanah.

Melalui dana yang dikumpulkan uantuk kebaikan ummah, maka saluran pelaburan aktiviti halal semakin bertambah dan pada masa yang sama pelaburan dalam sektor atau aktiviti yang meragukan akan berkurangan.  

Dengan cara itu, dalam tempoh masa akan datang, aktiviti ekonomi negara akan hanya dipacu oleh aktiviti yang dibenarkan syariat. Ini jauh berbeza padangan pada masa lalu iaitu mana-mana pelaburan yang tidak terlibat sama dengan perkara subahah sukar untuk berkembang dan mendapat keuntungan.

Pemilikan dana yang bersumberkan umat Islam sendiri memberi satu lambang bahawa umat Islam di Malaysia boleh bersatu dan membentuk gabungan aktiviti berteraskan Islam dengan berjaya. Biarpun pada permulaannya tidak banyak pihak yang percaya keupayaan mengembangkan institusi takaful di Malaysia, kini ia sudah diterima tanpa ragu.

Memberi imej baik kepada institusi kewangan Islam. Kejayaan pegumpulan dana berteraskan Islam melalui institusi takaful adalah selari dengan kejayaan sistem perbankan Islam. Gabungan daripada kedua-dua dana itu telah mewujudkan satu imej kewangan Islam yang baik di Malaysia. 

Fenomena ini memberi peluang lebih banyak pakar-pakar ekonomi Islam mengamalkan dasar ekonomi Islam secara lebih menyeluruh. Umat Islam dan bukan Islam kini semakin yakin dengan label aktiviti ekonomi yang mematuhi syariah. 

Perkembangan sekarang memberi peluang untuk umat Islam di negara kita memainkan peranan lebih besar dalam mengawal aktiviti ekonomi negara. Mana-mana pihak yang ingin mendapat atau mengguna dana kewangan dari isnstitisi kewangan Islam, maka mereka perlu terlebih dahulu memastikan bahawa penggunaan wang itu hanya kepada aktiviti yang dibenarkan syariat. 

Serentak dengan perkembangan institusi takaful dan institusi kewangan Islam lain sekarang, imej keupayaan umat Islam dalam ekonomi negara semakin dihormati. Dulu, sektor kewangan negara dikawal sepenuhnya oleh bukan Islam, kini keadaannya semakin berubah. Pengawalan pengurusan dana berteraskan syariat semakin diberi perhatian. 

Imej yang baik ini secara beransur-ansur mengikis perasaan fobia dengan kaedah ekonomi Islam. Orang bukan Islam sudah boleh menerima apa saja istilah dan kaedah pengendalian ekonomi berteraskan Islam. Mereka yakin bahawa mana-mana urusan ekonomi yang bersandarkan kepada pematuhan syariat akan diuruskan dengan baik.   

Bukan satu perkara asing lagi di negara kita apabila orang bukan Islam lebih berminat untuk menggunakan produk patuh syariah. Kerana mereka yakin aktiviti patuh syariah membuka ruang lebih besar untuk mencipta keuntungan.

Imej yang baik instrumen ekonomi Islam. Kejayaan institusi takaful di Malaysia membuka mata banyak pihak bahawa Islam itu syumul yang menyediakan semua rangka kegiatan ekonomi sesuai digunakan sepanjang masa dan dalam pelbagai keperluan.

Masyarakat Barat mengaku institusi insurans dicipta dan dikembangkan oleh mereka. Namun, akhirnya mereka menerima hakikat bahawa umat Islam sebenarnya lebih awal menggunakan kaedah takaful sejak 1400 tahun lalu.  

Kini umat Islam boleh membebaskan diri daripada sistem insurans konvensional dengan adanya institusi takaful yang ternyata dapat memenuhi keperluan umat Islam dalam soal jaminan perlindungan dan pelaburan.

Saling melengkapkan dan membantu institusi kewangan Islam. Kewujudan institusi takaful membawa kepada pengembangan institusi kewaangan Islam yang lain, seperti perbankan dan kredit. Bahkan institusi kewangan bank menjadi teras kepada penubuhan institusi takaful sebagai anak syarikat.                    

Syarikat takaful pertama di Malaysia, Takaful Malaysia Berhad ditubuhkan sebagai anak syarikat kepada Bank Islam Berhad. Majoriti institusi takaful di Malaysia sekarang adalah anak syarikat kepada bank.

Situasi saling melengkapkan itu memberi kekuatan dan kemudahan untuk insstitusi kewangan Islam lebih mudah menjalin kejasama kerana antara pihak yang terlibat telah mematuhi kehendak syariah. Sesuatu yang baik itu mesti bermula dengan sumber atau hubungan yang baik. Dengan kata lain, rantaian aktiviti ekonomi Islam lebih terbuka dan melibatkan sumber serta kaedah yang mematuhi syariah.   

Kejayaan membanggakan institusi takaful di Malaysia mendapat pengiktirafan seluruh dunia. Banyak negara Islam menjadikan institusi takaful di Malaysia sebagai model takaful untuk diamalkan di negara mereka. Salah satu pengendali takaful dari Malaysia menjadi pengendali takaful pertama di dunia yang ditarafkan oleh agensi penarafan Islam antarabangsa, Islamics International Rating Agency (IIRA). 

Penarafan ini membolehkan pengguna di peringkat antarabangsa lebih yakin dan mengakui keupayaan syarikat mematuhi piawaian syariah yang ditetapkan. Kejayaan itu memudahkan proses pengembangan syarikat ke luar negara. Kini beberapa syarikat takaful dari Malaysia kini telah beropeasi di luar negara. 

Pengembangan sayap ke luar negara memberi imej baik kepada negara sebagai sebuah negara Islam proaktif dalam penglibatan perniagaan mematuhi kehendak syariah. Penyertaan di luar negara membuka peluang untuk syarikat mendapat keuntungan lebih dan membawa pulang wang untuk negara. 

Takaful ganti insurans konvensional

Islam agama syumul menyediakan garis panduan lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia. Tidak terkecuali Islam menyediakan panduan berkaitan jaminan perlindungan dan tabungan yang dikenali takaful.  

Sikap proaktif sarjana Islam mengelak umat Islam terlibat perkara haram telah membuka lembaran sehingga tertubuhnya takaful moden bagi menggantikan insurans konvensional yang diputuskan Majlis Fatwa Sedunia sebagai haram.

Biarpun umum mengatakan insurans konvensional dicipta oleh Barat, hakikatnya masyarakat Islam terlebih awal mengamalkan takaful. Tidak timbul soal orang Islam terpaksa bergatung kepada sistem ciptaan bukan Islam. 

Kejayaan takaful membutikan instrumen berasaskan Islam adalah cara terbaik dalam usaha mengatasi kemelut ekonomi yang berteraskan kepada sistem kapitalis yang melihat aktiviti ekonomi sebagai cara meningkatkan kepuasan tanpa mengambilkira kesan buruk seperti berlaku pernindasan dan ketidakadilan. 

Aktiviti takaful berteraskan kepada konsep dan amalan patuh syariah ternyata memberi demensi baru cukup positif bahawa sistem Islam memberi kebaikan kepada seluruh masyarakat. 

Berdasarkan kepada perkembangan kejayaan yang dicapai, membuktikan masyarakat Islam yang selama ini dikuasai dasar dan kaedah Barat bersedia untuk berubah mengikut apa yang ditentukan syariah. 

Selama ini, umat Islam di Malaysia bukan tidak mahu menerima ketetapan syariah, tetapi tiada ada pendedahan dan tindakan proaktif. Namun, perkara ini semakin menampakkan perubahan apabila kerajaan mengamalkan penerapan dasar-dasar Islam dalam pentadbiran dan aktiviti kehidupan rakyat, termasuk dalam soal ekonomi, maka penerimaan keseluruhan rakyat terhadap tuntutan Islam semakin baik.   

Kelahiran institusi takaful bermakna kerajaan telah melaksanakan tugas fardu kifayah. Mencari yang halal itu adalah wajib ke atas setiap umat Islam.

Berdasarkan kepada sambutan takaful, tidak mustahil pada masa hadapan insurans konvensional tinggal dalam lipatan sejarah. Masyarakat bukan Islam mementingkan keuntungan dan mereka boleh menerima apa saja instrument. Jika mereka dapati takaful lebih menguntungkan dan memenuhi apa yang diharapkan, maka orang bukan Islam bersedia menerima apa jua instrument yang ditawarkan kepada mereka.

Sebenarnya, punca kejayaan utama takaful adalah penerimaan orang Islam sendiri. Orang Islam adalah majoriti di Malaysia. Maka, tidak ada sukarnya untuk menjayakan sesuatu berteruskan Islam jika seluruh umat Islam bersatu ke arah itu. Umat Islam perlu ditingkatkan untuk menerima dan menyokong segala dasar atau perkara yang ditetapkan syariah. 

Peningkatan kesedaran umat Islam dalam memajukan ekonomi berteraskan kehendak syariah membuka ruang luas untuk umat Islam takaful dan instrument kewangan lain berkembang.  

Kita mengharapkan pada masa hadapan umat Islam akan menjadi pemain utama dalam aktiviti ekonomi di Malaysia dan juga berkembang ke seluruh dunia. 

Institusi insurans atau takaful menjadi instrument terbaik dalam mengumpul dana dan menjana kembali dalam aktiviti ekonomi sesebuah negara, selain institusi bank. Di negara maju, dana dari insurans menjadi nadi utama sumber kewangan untuk pelaburan dan perniagaan.

Maka, sudah tiba masanya, umat Islam di Malaysia menjadikan institusi takaful penjana ekonomi, bukan dilihat sebagai satu bebanan apabila terpaksa menyediakan peruntukan untuk membayar fi atau premium setiap bulan.

Sejarah Pilihan Raya Umum (PRU)

Pilihan Raya Umum (PRU) adalah pilihan raya yang melibatkan semua kawasan pilihan raya parlimen di Malaysia.  Ia diadakan untuk tempoh setiap 5 tahun sekali bermula pada persidangan parlimen pertama untuk tempoh berkenaan.

Namun, berdasarkan sejarah PRU, tempoh sesuatu penggal tidak genap lima tahun kerana kuasa pembubaran parlimen adalah di bawah kuasa Yang Di Pertuan Agong setelah mendapat nasihat dari Perdana Menteri.

Berikut adalah tarikh dan keputusan PRU yang pernah diadakan di Malaysia.

PRU PERTAMA (1959) 

Bubar Parlimen - 27 Jun 1959
Penamaan calon - 15 Julai 1959
Hari pengundian - 19 Ogos 1959
Tempoh berkempen - 35 hari
Jumlah kerusi - 104

Keputusan:
Parti Perikatan (kini dikenali sebagai Barisan Nasional) - 74. 
Parti Negara - 1  
Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP) - kini dikenali sebagai PAS - 13  
Parti Prograsif Penduduk - 4
Barisan Sosialis - 8  
Parti Malaya - 1  
Bebas - 3

Perdana Menteri: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Sultan Abdul Hamid Shah.

PRU KEDUA (1964)

Bubar Parlimen - 1 Mac 1964
Penamaan calon - 21 Mac 1964
Hari pengundian - 25 April 1964
Tempoh berkempen - 35 hari
Jumlah kerusi - 104

Keputusan:
Parti Perikatan - 89 . 
Parti Islam Pan-Malaysia(PMIP) - 9 
Barisan Sosialis - 2  
Parti Progresif Penduduk (PPP) - 2  
Parti Demokratik - 1  
Parti Tindakan Rakya ( PETIR) - 1  

Perdana Menteri: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Sultan Abdul Hamid Shah.
PRU KETIGA (1969) 

Bubar Parlimen - 20 Mac 1969
Penamaan calon - 5 April 1969
Hari pengundian - 10 Mei 1969
Tempoh berkempen - 35 hari
Jumlah kerusi - 144

Keputusan:  
Parti Perikatan - 74  
Parti Islam Pan-Malaysia (PMIP) - 12  
Parti Progresif Penduduk (PPP) -  4  
Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) - 13  
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 13  
Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) - 8  
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - 5  
Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) - 9  
Parti Pesaka Sarawak (PESAKA) - 2  
Persatuan Cina Sabah (SCA) - 3  
Bebas - 1  

Perdana Menteri: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Sultan Abdul Hamid Shah.

PRU KEEMPAT (1974)

Bubar Parlimen - 31 Julai 1974
Penamaan calon - 8 Ogos 1974
Hari pengundian - 24 Ogos 1974
Tempoh berkempen - 16 hari
Jumlah kerusi - 154

Keputusan:
Barisan Nasional - 135  
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 9  
Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) - 9  
Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (PEKEMAS) - 1

Perdana Menteri: Tun Abdul Razak Hussein

PRU KELIMA (1978) 

Bubar Parlimen - 12 Jun 1978
Penamaan calon - 21 Jun 1978
Hari pengundian - 8 Julai 1978
Tempoh berkempen - 17 hari
Jumlah kerusi - 154

Keputusan:
Barisan Nasional - 130 kerusi. 
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 16  
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 5  
Pertubuhan Rakyat Sarawak (SAPO) - 1 
Bebas - 2

Perdana Menteri: Tun Hussein Onn.

PRU KEENAM (1982)

Bubar Parlimen - 29 Mac 1982
Penamaan calon - 7 April 1982
Hari pengundian - 22 April 1982
Tempoh berkempen - 15 hari
Jumlah kerusi -  154

Keputusan:
Barisan Nasional - 132 .
Parti Tindakan Demokratik(DAP) - 9
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 5  
Bebas - 8

Perdana Menteri: Tun Mahathir Mohamed.

PRU KETUJUH (1986) 

Bubar Parlimen - 19 Julai 1986
Penamaan calon - 24 Julai 1986
Hari pengundian - 3 Ogos 1986
Tempoh berkempen - 10 hari
Jumlah kerusi - 177

Keputusan:
Barisan Nasional - 148  
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 24  
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 1  
Bebas - 4  

Perdana Menteri: Tun Mahathir Mohamed.

PRU KELAPAN (1990) 

Bubar Parlimen - 4 Oktober 1990
Penamaan calon - 11 Oktober 1990
Hari pengundian - 21 Oktober 1990
Tempoh berkempen - 10 hari
Jumlah kerusi - 180

Keputusan:
Barisan Nasional - 127
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 20  
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 7 kerusi 
Parti Bersatu Sabah (PBS) - 14  
Parti Semangat 46 - 8
 Bebas - 4  

Perdana Menteri: Tun Mahathir Mohamed.

PRU KESEMBILAN (1995) 

Bubar Parlimen - 6 April 1995
Penamaan calon - 15 April 1995
Hari pengundian - 25 April 1995
Tempoh berkempen - 10 hari
Jumlah kerusi - 192

Keputusan:  
Barisan Nasional - 162  
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 9  
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 7  
Parti Bersatu Sabah (PBS) - 8  
Parti Semangat 46 - 6  

Perdana Menteri: Tun Mahathir Mohamed.

PRU KESEPULUH (1999) 

Bubar Parlimen - 10 November 1999
Penamaan calon - 20 November 1999
Hari pengundian - 29 November 1999
Tempoh berkempen - 9 hari
Jumlah kerusi - 193

Keputusan:
Barisan Nasional - 148  
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 10
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 27  
Parti Bersatu Sabah (PBS) - 3
Parti Keadilan Rakyat (PKR) - 5

Perdana Menteri: Tun Mahathir Mohamed.

PRU KESEBELAS (2004)

Bubar Parlimen - 4 Mac 2004
Penamaan calon - 13 Mac 2004
Hari pengundian - 21 Mac 2004
Tempoh berkempen - 8 hari
Jumlah kerusi - 219

Keputusan:
Barisan Nasional - 199. 
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 12  
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 6  
Parti Keadilan Rakyat (PKR) - 1  
Bebas - 1  

Perdana Menteri:  Tun Abdullah Badawi.

PRU KEDUA BELAS (2008)

Bubar Parlimen - 13 Febuari 2008
Penamaan calon - 24 Febuari 2008
Hari pengundian - 8 Mac 2008
Tempoh berkempen - 13 hari
Jumlah kerusi - 222

Keputusan:
Barisan Nasional - 140 .
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 28  
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 23  
Parti Keadilan Rakyat (PKR) - 31  
Bebas - 1

Perdana Menteri:  Tun Abdullah Badawi.

PRU KETIGABELAS (2013)

Bubar Parlimen - 3 April 2013
Penamaan calon - 20 April 2013
Hari pengundian - 5 Mei 2013
Tempoh berkempen - 15 hari.
Jumlah kerusi - 222

Keputusan:
Barisan Nasional - 133
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) - 21
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 38
Parti Keadilan Rakyat (PKR) - 30

Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak. 


PRU KEEMPATBELAS (2018)

Bubar Parlimen - 7 April 2018
Penamaan calon - 28 April 2018
Hari pengundian - 9 Mei 2018
Tempoh berkempen - 11 hari.
Jumlah kerusi - 222
 
Keputusan:
Parti Keadilan Rakyat - 104
Barisan Nasional - 79
Pas - 18
Parti Tindakan Demokratik (DAP) - 9
Warisan - 8
Bebas - 3
Solidariti - 1