Thursday 29 June 2017

Pokok periuk kera

Pokok periuk kera (nama sainsnya Nepenthes spp.) biasanya tumbuh di tanah berasid, tidak subur dan kekurangan nitrogen. Periuk kera merupakan pokok maging yang memerangkap serangga dalam periuknya untuk membekalkan sebahagian nitrogen diperlukan. Cara tanam pokok periuk kera amat mudah dan bentuknya yang unik menarik minat orang menjadikan pokok hiasan. 

Nepenthes bermula sebagai pokok rosette dan matang sebagai pokok memanjat bersulur paut (tendril climbers). Sesetengan sulur membentuk periuk berongga. Spesies berlainan mempunyai periuk berbentuk dan bewarna yang berlainan. Kebanyakan spesies tumbuh di atas tanah, sementara sesetengah merupakan epifit (epiphytic).

Pokok periuk kera agak unik penampilannya dan sangat menarik untuk dijadikan sebagai tanaman hiasan. Keunikannya adalah terletak pada bekas atau pundi-pundi berbentuk seperti karung yang tumbuh di hujung daun matang.

Pokok ini dikenali pokok periuk kera kerana dikatakan kera sering meminum air yang terdapat di dalam pundi-pundi di hujung daun tersebut.

Ia adalah sejenis tumbuhan pemanjat yang tumbuh meliar di hutan belantara di negara ini tetapi kini kian popular ditanam sebagai tanaman hiasan yang unik dan menarik.

Terdapat lebih kurang 70 jenis spesies dan beratus-ratus lagi jenis hibrid atau kacukan dalam pelbagai saiz pokok dan juga bentuk pundi-pundinya.

Namun hanya beberapa jenis spesies sahaja yang mudah didapati dan sering ditanam oleh kebanyakan peminat seni taman.

Daunnya berbentuk bujur panjang dan bersinar di bahagian atas. Sementara di bahagian bawah pula berwarna hijau pucat.

Pundi-pundinya pula memiliki keistimewaan tersendiri iaitu pintunya dikatakan mengeluarkan cecair yang manis untuk menarik perhatian serangga datang dan merasa cecair tersebut.

Seterusnya serangga yang jatuh ke dalam pundi-pundi tersebut terperangkap dan akan reput untuk dijadikan sebagai makanan.

Pundi-pundi ini juga dapat mengumpulkan air hujan yang sering diminum oleh binatang seperti kera, monyet dan sebagainya.

Selain tumbuhan liar tempatan, ia juga dikatakan tumbuh meliar di beberapa buah negara lain di Asia Tenggara seperti Singapura dan Indonesia.

Selain dijadikan pokok hiasan, pundi-pundi pokok periuk kera kini dijadikan acuan atau bekas untuk membuat lemang.

Pundi-pundi pokok periuk kera menggantikan buluh yang biasa digunakan untuk membuat lemang. Pulut dimasukkan ke dalam pundi-pundi pokok periuk kera dan dikukus selama setengah jam. Turut dimasukkan ialah santan yang telah dicampur sedikit garam dan gula.

Wednesday 28 June 2017

Kampung Air Tawar Tok Bali

Replika perahu atau bot nelayan ini sinonim dengan nama Tok Bali. Tengok saja gambar replika ini, terus teringat Tok Bali. Malah, Kampung Tok Bali selalu dikaitkan dengan replika ini. Sedangkan nama sebenar letaknya replika ini ialah Kampung Air Tawar, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan. 

Nama Tok Bali lebih dikenali kerana adanya projek perikanan Tok Bali, pelabuhan Tok Bali dan pelbagai lagi nama yang menggunakan nama Tok Bali berada di sekitar kampung tersebut. 

Tok Bali sebenarnya nama kampung yang terletak berhampiran Kampung Air Tawar di seberang Terusan Semerak.

Kedua-dua kampung ini dihubungi oleh Jambatan Tok Bali yang menjadi ikon kepada kawasan Tok Bali. Jambatan itu dibina melengkung merentasi Terusan Semerak yang juga dikenali Sungai Semerak.

Nama Kampung Air Tawar tenggelam kerana faktor nama sesuatu tempat biasanya 'dikuasai' oleh nama tempat berhampiran yang lebih dikenali.

Maka itu, banyak orang merujuk atau menyebut nama sesuatu tempat mengikut nama yang mudah dikenali oleh pihak lain.

Akibat itu ada nama sebenar tempat itu terus hilang dari pengetahuan orang ramai, kecuali penduduk setempat dan kekal tertulis di geran hakmilik tanah.

Apapun nama dikenali, Kampung Air Tawar yang dulunya terpinggir arus pembangunan, kini antara kawasan mendapat perhatian ramai. 


Pembangunan berhampiran kawasan itu rancak berlaku dan membawa rahmat besar kepada penduduknya. 

Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho

Jalan Kebun Sultan kini dikenali Jalan Haji Cheng Ho. Nama Cheng Ho diambil dari nama seorang pelayar terkenal China. Cheng Ho, adalah seorang pelaut dan penjelajah China terkenal yang melakukan pelayaran jelajah samudra antara tahun 1405 hingga 1433.  

Di Jalan Haji Cheng Ho ini didirikan seni bina Cina yang dikenali Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho.  Pintu Gerbang ini menjadi mercu tanda baru di Bandar Kota Bharu.

Pintu gerbang ini merentang jalan Haji Cheng Ho dengan bumbungnya melengkung dan atap genting warna hijau, manakala tiang pula berwarna merah.

Tertera perkataan Dataran Cheng Ho dalam tulisan jawi, rumi dan Cina. Di tiang pintu gerbang Dataran Cheng Ho ditulis simpulan bahasa dalam bahasa Cina. 

Pintu gerbang seni bina Cina itu menggambarkan keunikan Kelantan biar pun penduduk majoriti Islam, namun tamadun Cina juga diberi perhatian.

Ini menggambarkan sikap keterbukaan rakyat yang menerima seni bina dan budaya Cina dalam masyarakat berbilang kaum.

Cadangan awal membina pintu gerbang seni bina Cina pernah diutarakan oleh rombongan masyarakat Tionghua yang melawat Kelantan.

Jalan Haji Cheng Ho seakan-akan Cina Town di negeri-negeri lain, di mana majoriti peniaganya kaum Cina. Namun orang Melayu ramai berniaga di lokasi tersebut pada sebelah malam.


Monday 26 June 2017

Istiqamah terus bertaubat

Bila sebut tentang isu istiqamah, hakikatnya ramai yang salah faham. Apa itu istiqamah? Bagaimana nak istiqamah. 

Adakah istiqamah bermakna bila kita taubat, kita dah tak buat dosa kembali?  Jika kita buat dosa walaupun dah bertaubat, adakah kita dikira tidak istiqamah?

Sekiranya itu maksud istiqamah, nescaya ia suatu yang mustahil. Kerana, semua manusia imannya turun dan naik. Kita tak mungkin terlepas dari dosa.

Semua orang tak pernah maksum melainkan nabi. Kita pasti akan melakukan dosa sama ada kecil atau besar, sengaja atau tak sengaja. Kerana kita manusia yang cukup lemah.

Apakah itu istiqamah dalam perubahan?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Istiqamahlah kamu walaupun kamu takkan mampu…”
(Hadis riwayat Ahmad).

Pelik bukan? Nabi suruh kita istiqamah, tapi Nabi kata kita takkan mampu. Lalu, bagaimana nak istiqamah dalam keadaan kita ni takkan mampu?

Ulama mentafsirkan hadis ini dengan sepotong ayat Al-Quran dalam surah Fussilat ayat ke-6 yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu beristiqamah di atas jalan yang lurus, serta pohonloh ampun kepadaNya..”

Dua kata kunci dari ayat ini ialah istiqamah dan meminta ampun. Bermakna, Allah dan Rasul tahu, bahawa, kita tak mampu istiqamah dalam semua perkara.

Sebagai manusia, kita takkan terlepas dari dosa dan noda. Maka hakikat istiqamah yang dimaksudkan ialah istiqamah dalam bertaubat.

Walaupun kita dah taubat, lalu kita ulang kembali dosa, maka taubatlah kembali. Andai kita jatuh lagi ke dalam lembah maksiat, bangkit dan bertaubatlah kembali. Andai sekali lagi kita tergelincir ke dalam dosa, bangun dan bertaubatlah kembali!

Seperti mana kita kerap melakukan dosa, maka, sekerap itu jugalah kita perlu bertaubat! Jangan sesekali putus-asa dalam bertaubat. Pengampunan Allah itu maha luas.

Tegas atasi masalah sosial belia

Masalah sosial di kalangan belia semakin meruncing. Isu-isu sosial dipaparkan di media antara lain melibatkan kegiatan buli, merempit, dadah, kongsi gelap, mengandung anak luar nikah dan sebagainya banyak melibatkan golongan muda.

Amat mendukacitakan perbuatan itu majoritinya dilakukan golongan muda Melayu.  Kita terfikir di manahkah nilai-nilai agama yang diterapkan dalam diri remaja Islam yang mana perbuatan itu bukan saja terkeluar dari nilai diingini masyarakat dan negara, tetapi lebih-lebih lagi agama Islam.

Islam mencegah umatnya daripada melakukan perbuatan mendatangkan keburukan. Islam mendidik umatnya melakukan perkara baik yang mendatangkan kebaikan dan mencegah berlaku kesan negatif.

Masalah berlaku disebabkan orang Melayu kini semakin hilang pedoman dan jati diri.

Sejak sedekad lalu, kesopanan dan nilai murni yang sering diterapkan dalam diri setiap lapisan masyarakat khususnya remaja dilihat semakin hilang ditelan zaman. Hal ini berlaku berikutan perkembangan arus teknologi tanpa sempadan yang sedikit sebanyak telah menghapuskan warisan Melayu.

Remaja kini dilihat bebas mengakses laman-laman web pornografi menerusi media sosial apatah lagi tanpa pengawasan ibu bapa dan orang dewasa.

Selain itu, latar belakang agama juga dikenal pasti punca remaja terdorong melakukan maksiat dan sebagainya. Hal itu disebabkan sesetengah keluarga Islam dilihat cenderung menerapkan unsur-unsur Barat dalam kehidupan seharian dan pergaulan bebas adalah perkara biasa bagi mereka.

Masalah keruntuhan akhlak remaja ini bukan perkara kecil dan jika tidak ditangani mereka akan menjadi liabiliti kepada negara pada masa depan. Siapa akan meneruskan legasi kepemimpinan negara jika bukan mereka?

Ingatlah, ini bukan masalah kecil yang boleh diselesaikan sekadar hanya menuding jari terhadap pihak-pihak tertentu. Kita sedia maklum, segelintir ibu bapa misalnya cenderung menyalahkan pihak kerajaan kerana membenarkan pengajian seks di sekolah rendah dan menengah.

Tidak kurang juga sikap sesetengah pihak menyalahkan ibu bapa dalam mendidik anak. Untuk menangani masalah ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak. Selain itu, tiba masanya masyarakat memainkan peranan sewajarnya termasuk ‘menjaga tepi kain orang’.

Perkara berkaitan itu ada dinyatakan dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran yang bermaksud: 

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung.”

Selain usaha serius dilakukan kerajaan dalam membendung gejala sosial yang semakin merebak dalam kalangan remaja Melayu itu, pengawalan ketat daripada ibu bapa juga penting dalam mendidik dan menerapkan budaya Melayu dalam diri permata hati mereka.

Lapar bentuk sifat positif

Lapar bentuk sifat positif, ubat penyakit dan juga memperkasakan sifat tawadhu dan rendah hati. Kesombongan yang merupakan puncak kedurhakaan dan kelalaian akan lenyap, kerana nafsu tidak dapat dikendalikan kecuali dengan menahan lapar.

Manusia tidak dapat melihat kemuliaan dan kehebatan Penciptanya selama dia tidak melihat aib dan nafsunya sendiri. Seseorang hendaklah sering menahan lapar agar dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan penuh kesungguhan.

lnilah sebabnya ketika Allah SWT menawarkan kepada Rasulullah SAW untuk menjadikan bukit di Makkah menjadi emas, maka Rasulullah SAW berkata, "Tidak, aku ingin makan sehari dan lapar pada hari berikutnya, agar pada hari aku mengalami lapar, maka aku dapat bersabar dan meminta kepadaMu dengan merendahkan diriku di hadapan-Mu. Dan ketika aku makan, maka aku dapat bersyukur kepada-Mu.".

Seterusnya lapar mendatangkan sifat tidak melupakan orang lain yang terkena musibah, kesusahan, atau kelaparan. Orang yang makan kenyang, sedikit pun tidak dapat merasakan atau membayangkan apa yang dialami oleh orang-orang miskin yang kelaparan.

Nabi Yusuf  pernah ditanya, "Khazanah bumi ada di dalam genggaman engkau, tetapi mengapa engkau masih menahan lapar?". Beliau menjawab, "Aku takut jika perutku kenyang, lalu aku melupakan orang-orang yang lapar.".

Seseorang yang lapar dan haus akan merasakan semakin tertanam dalam fikirannya tentang lapar dan haus pada hari Kiamat. Maka, perasaan itu mendatangkan rasa takut kepada azab Allah SWT. 

Mudah mengingat hari yang pada hari itu para penghuni neraka akan merasakan kelaparan yang sangat dahsyat, lalu mereka diberi makanan (buah yang penuh duri dan pahit yang akan tersangkut dl kerongkongan mereka, dan mereka akan diberi minum darah dan nanah dari luka-luka para penghuni neraka.

Orang berlapar selamat dari perbuatan dosa, sebab perut yang kenyang merupakan induknya syahwat, sedangkan lapar dapat menghancurkan segala jenis syahwat. Orang yang dikuasai nafsunya adalah orang yang malang. 

Kuda yang liar dan sukar dijinakkan hanya dapat dikendalikan jika ia dibuat lapar. Jika ia banyak makan dan minum, ia akan menjadi liar, demikian juga halnya dengan nafsu.

Seorang alim ditanya: "Dalam usia yang sangat tua ini, mengapa engkau tidak mengurusi tubuhmu (dengan memakan makanan yang menyehatkan dan menguatkan badan)?". 

Dia menjawab bahwa nafsu bergerak cepat ke arah syahwat. Aku khawatir ia akan menjeratku dalam dosa. Kerana itulah aku lebih suka memberikan kesusahan padanya daripada ia menjeratku dengan perbuatan dosa.".

Aisyah berkata: "Permulaan bidah kaum muslimin setelah Rasulullah wafat adalah makan kenyang. Apabila perut manusia penuh (kenyang), maka nafsu mereka tertuju kepada dunia.".

Keadaan lapar dapat menyebabkan manusia selamat dari mengumpat, berdusta, mencela dan mengadu domba. Apabila makan kenyang, maka hati manusia ingin banyak bicara, yang biasanya menyinggung orang lain.

Jika makan kurang, maka tidur juga kurang. Mudah untuk bangun malam melakukan solat tahjud. Tujuh puluh orang ahii hikmah sepakat bahwa apabila banyak minum air, maka tidur pun akan lebih lama. Dan jika tidur lama, maka banyak umurnya yang dihabiskan dengan sia-sia.

Kehilangan solat tahjud adalah kerugian yang disebabkan oleh tidur yang lama. Tidur yang lama dapat menyehabkan badan menjadi lemah dan malas dan hati menjadi keras. 

Jika isteri tidak ada di sampingnya, orang yang tidur lama akan mengalami ihtilam (mimpi bersetubuh). Dan kerana peralatan dan keperluan mandi tidak dipersiapkan, solat tahjud pun terlepas.

Satu lagi kelebihan berlapar ialah mampu beribadah dengan mudah. Dalam keadaan kenyang akan datang perasaan malas, sehingga dapat menjadi penghalang untuk melakukan ibadah. Untuk mempersiapkan makan saja diperlukan waktu yang lama. 

Jika makanan itu harus dimasak, waktu untuk mempersiapkannya tentu lebih lama. Setelah makan, orang perlu membasuh tangan, mencungkil gigi dan bangun berulang kali untuk minum. Untuk hal-hal tersebut tentu menghabiskan banvak waktu. Jika waktu-waktu tersebut digunakan untuk mengingat Allah SWT dan mengerjakan ibadah-ibadah lainnya, maka betapa besar manfaat akan diperoleh.

Sirri Saqati berkata: "Ketika aku melihat Ali Jurjani sedang memakan tepung goreng saja, aku bertanya mengapa ia hanya memakan tepung goreng. 

Dia menjawab: "Setelah aku menghitung waktu untuk mengunyah dan menelan setiap makanan itu, ternyata boleh untuk membaca subhanallah 70 kali. Oleh kerana itu sejak 40 tahun aku tidak memakan roti lagi, kerana untuk mengunyah dan menelannya memerlukan waktu yang lama."

Pada hakikatnva, setiap pernafasan manusia sangat berharga dan perlu dijaga untuk simpanan di akhirat. Caranya hanyalah dengan menggunakan waktu dalam hidup ini untuk berzikir dan beribadah lainnya. 

Di samping itu, apabila banyak makan, maka air sembahyang akan mudah batal dan sering buang air. Akibatnya, orang tidak akan duduk lama di dalam masjid, dan akan keluar masjid untuk buang air atau berwuduk.

Barangsiapa terbiasa menahan lapar, mereka akan mudah berpuasa, beritikaf, sentiasa menjaga wuduk, menghemat waktu makan, sehingga dapat melakukan ibadah lainnya. Demikianlah, pendek kata sangat banyak faedahnya dan hal ini akan didapatkan dengan cara berlapar.

Barangsiapa lalai dan tidak menghargai agama, mereka tidak akan menghargai masalah ini. Mereka berpuas hati dengan kehidupan dunia yang fana ini dan tidak mengetahui apakah kehidupan akhirat itu. Mereka hanya mengetahui keadaan dunia.

Rasa lapar dorong laku ketaatan

Rasa lapar mempunyai daya yang sangat besar dalam mendorong diri seseorang untuk melakukan ketaatan. Ia melemahkan nafsu syahwat yang selalu mendorong kepada keburukan, biarpun kuatnya tekanan hawa nafsu itu pada diri seseorang.

Sahal ibn Abdullah berkata: “Demi Allah, Yang tidak ada Tuhan selain Dia, orang-orang yang terbiasa melakukan apa yang dibenci Allah tidak akan berubah menjadi orang-orang yang melakukan apa yang dicintai Allah, kecuali dengan lapar. Manusia tidak akan menjadi manusia yang benar kecuali dengan lapar.”

Ibrahim Adham menyatakan: "Aku telah menerima suatu riwayat bahawa Iblis melihat Nabi Isa berlapar-lapar di malam dan siang hari. Iblis bertanya, “Mengapa kau berlapar-lapar seperti itu? Maukah kamu aku bawakan makanan?’

Nabi Isa menjawab, “Kamu tahu bahawa sesungguhnya jika aku berkata kepada gunung-gunung dan lembah-lembah ‘Jadilah kalian makanan atas izin Allah’, mereka pasti menjelma menjadi makanan. Kamu adalah musuhku dan hawa nafsu adalah mata-matamu yang ada padaku.”

Rasulullah SAW bersabda bahawa sepertiga bahagian perut hendaknya diisi dengan makanan, sepertiga diisi dengan air dan sepertiga lagi dibiarkan kosong untuk udara. 

Ketika hadis ini terdengar oleh seorang falsafah, dia terperanjat dan berkata: "Baru sekarang ini aku mendengar perkataan yang sangat tepat dan baik untuk mengurangi makan. Tidak diragukan lagi, inilah kata-kata ahli hikmah.". 

Hari ini kebanyakan orang mati bukan kerana kekurangan makanan, tetapi disebabkan terlebih makan. Amalan makan lebih banyak mendatangkan masalah kepada kesihatan mengakibatkan diri mengidap penyakit berbahaya sehingga membawa kepada maut.

Sebab itu, cara terbaik untuk mencegah penyakit berbahaya ialah dengan mengawal makan. Makanlah sekadar untuk keperluan menjaga kesihatan dan memberi tanaga untuk aktiviti seharian.

Kebanyakan penyakit berasal dari banyak makan. Apabila banyak makan, maka lemak akan berkumpul di dalam usus dan urat, akibatnya timbul bermacam-macam penyakit, sehingga terhalang untuk beribadah dan hati sentiasa gelisah sehingga menghalangi zikir dan fikir.

Di samping itu perlu makan ubat, berpantang, harus mengunjungi doktor, memeriksa tekanan darah memeriksa najis. Pendek kata, mereka akan terperangkap dalam banyak peraturan akibat banyak makan dan tentu saja harus mengeluarkan banyak wang. 

Belum lagi kesusahan dan penderitaan yang harus dirasakannya. Hanya orang yang dapat menahan lapar yang selamat dari musibah ini.

Kebaikan lapar

Kebaikan berlapar untuk kesihatan, satu kaedah diperakui pakar kesihatan. Untuk mendapat manfaat lapar, bukan bermakna berlapar sehingga tidak bermaya dan kurang zat pemakanan. Faedah berlapar diperoleh apabila tidak makan terlalu banyak yang dikaitkan dengan penyakit. Makan hanya apabila perlu dan berhenti sebelum kenyang. 

Menahan lapar adalah salah perbuatan mulia. Jika diiringi dengan niat yang benar-benar kerana Allah SWT, seorang hamba akan mencapai darjat yang sangat tinggi.

 Abu Thalib Al-Makki (386 H/988 M) dalam bahagian kedua kitabnya yang berjudul Ilmu al-Qulub (Ilmu Psikologi) menjelaskan terdapat banyak kebaikan berlapar.  

Antara yang dinyatakan ialah memudahkan usaha untuk mengendalikan hawa nafsu. Hawa nafsu perlu dikendalikan agar dapat melaksanakan berbagai ketaatan dan memenuhi perintah Tuhan, demi memperoleh reda Allah SWT.  

Allah SWT berfirman: “Adapun orang-orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (Surah Al-Naziat 79: 40-41).

Al-Makki mengutip perkataan beberapa sufi terkenal, di antaranya Yahya ibn Muadz, yang mengungkapkan, “Seandainya kamu meminta syafaat (pertolongan) melalui para malaikat yang tinggal di tujuh lapis langit, 124 ribu nabi, semua kitab suci, hikmah dan para wali, supaya kamu dapat meninggalkan dunia dan menjalankan ketaatan, mereka tidak akan memenuhi permintaanmu. Tetapi, jika kamu memintanya melalui rasa lapar, ia akan memenuhi permintaanmu dan mendorongmu kepada ketaatan.”

Al-Hajjaj ibn Al-Gharafidhah berkata: "Aku menemui sekelompok orang yang sedang beribadah sambil menahan lapar di Makkah. Aku bertanya kepada mereka, “Beri tahulah aku, mengapa Allah SWT memerintahkan para wali-Nya untuk berlapar-lapar.”

Mereka menjawab, “Tidaklah kamu lihat bahwa ketika haiwan ternak atau unta tidak mahu menuruti keinginan pemiliknya, yang dilakukan si pemilik (supaya binatang piliharaan mahu menuruti arahan) adalah tidak memberi makan kepada mereka. Sesungguhnya bila seorang hamba melaparkan dan mendahagakan diri, Allah SWT membanggakan hamba itu di hadapan para malaikat."

"Tidak ada seorang hamba yang Allah banggakan kecuali kelak di akhirat kepalanya akan dimahkotai dengan mahkota cahaya. Allah SWT mengutus para malaikat untuk membawa cahaya dan perhiasan dari yaqut merah dan kuning serta permata yang sangat indah."

" Mereka juga membawa kendaraan dari zamrud nan hijau. Semua itu oleh para malaikat dibawa ke makam orang-orang yang sewaktu di dunia suka menahan lapar dan dahaga. Orang-orang itu kemudian dibangkitkan dari kubur lalu dinaikkan ke atas kenderaan yang telah disediakan dan mereka pun pergi menuju Allah SWT.”

Masalah sosial berpunca tidak ikut syariah

Syariah adalah panduan hidup yang ditetapkan oleh Allah. Atas sifat-Nya Maha Mengetahui keperluan manusia dalam melaksanakan tugas di dunia ini, syariah yang sediakan adalah memenuhi keperluan untuk memandu manusia menjalani kehidupan dengan sempurna.

Sebarang permasalahan sosial yang timbul adalah berpunca daripada tidak melaksanakan tuntutan syariah. Dengan kata lain, masalah sosial akan dapat diselesaikan jika mengikut apa yang ditetapkan syariah.

Sifat kelemahan dan keterbatasan manusia. Allah menjelaskan bahawa manusia dicipta dalam keadan sebaik-baik kejadian. Firman Alah dalam surah at-Tin, ayat 4 bermaksud: "Sesungguhnya Kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian."

Pun begitu harus disedari, terdapat banyak kelemahah dan keterbatasan yang wujud pada diri manunsia. Justeru itu, manusia perlukan syariah untuk menampung atau memperbaiki kelemahan dan keterbatasan itu.

Islam tidak hanya meletakkan keimanan dalam konteks hubungan dengan Allah semata-mata. Sebenarnya, hubungan sesama manusia lebih banyak diberi penekanan. 

Hubungan manusia dengan hanya Allah hanya tertumpu kepada perlaksanaan ibadat khusus seperti sembahyang, berpuasa, haji dan lain-lain. Sedangkan, hubungan manusia sesama manusia meliputi segenap kehidupan. Aspek pergaulan dalam keluarga, persaudaraan, peniagaan, kenegaraan dan sebagainya banyak dijelaskan oleh syariat. 

Biarpun manusia dikurniakan akal, ia tidak mampu menterjemah sepenuhnya keperluan hidup manusia. Sebab itu manusia memerlukan panduan dalam bentuk syariat. Setiap apa yang disuruh oleh syariat adalah bertujuan memberi kebaikan, sedangkan larangan adalah untuk mengelak berlaku perkara buruk atau merugikan. 

Setiap apa yang dilakukan manusia akan diberi pembalasan setimpal di akhirat kelak sama ada baik atau buruk. Pembalasan syurga atau neraka adalah satu motivasi untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan keburukan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mampu menundukkan nafsunya, maka syurgalah tempatnya. Sebaliknya, sesiapa yang menuruti hawa nafsunya, maka nerakalah tempat kembalinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pengaruh hawa nafsu kepada manusia. Keistimewaan manusia berbanding ciptaan lain ialah dikurniakan akal dan nafsu. Akal membolehkan manusia memilih atau menentukan apa yang baik dan buruk. Sedangkan nafsu adalah satu perasaan yang mendorong untuk melakukan sesuatu. 

Sembahyang raya di tanah lapang

Menjadi sunnah Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya di tanah lapang jika dapat berbuat demikian tanpa sebarang kesukaran atau tegahan seperti hujan, cuaca terlalu sejuk dan sebagainya.

Ini sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Sa’id al-Khudri: “Adalah Nabi SAW keluar pada hari raya fitrah dan hari raya korban menuju ke mushalla (tempat menunaikan solat)….” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). 

Mushalla (tempat solat) tersebut menurut ulamak adalah satu kawasan lapang yang terletak di hujung Madinah berhampiran al-Baqi’. (Lihat; al-Fiqhul-Wadhih, jil. 1. hlm. 267). Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad menyatakan; “Nabi SAW. tidak pernah menunaikan solat hari raya di masjidnya kecuali sekali sahaja iaitu ketika hujan turun…”. (Zadul-Ma’ad, 1/441).

Menurut jumhur ulamak; menunaikan solat sunat hari raya di kawasan lapang lebih afdhal dari menunaikannya di masjid kerana mengikut sunnah Nabi tersebut.

Namun menurut mazhab Syafie; Menunaikan solat hari raya di Masjid adalah lebih afdhal kecuali jika masjid sempit, maka ketika itu barulah afdhal ditunaikan solat di kawasan lapang. Nabi SAW menunaikan solat hari raya di kawasan lapang kerana masjid baginda sempit, tidak mampu menampung semua jamaah.

Sambut rasa sebulan, haram atau harus?

Puasa sebulan, raya pun sebulan. Bahkan, ada yang masih ada rumah terbuka selepas Syawal disebabkan tidak sempat mengadakan pada bulan Syawal. Benarkah raya pun sebulan kerana puasa sebulan? Sebenarnya tidak begitu.

Raya yang dianjurkan atau disebut sebagai Aidilfitri hanya pada 1 Syawal. Pun begitu tidak salah untuk terus merayakan untuk maksud kebaikan.

Budaya sambut Aidilfitri secara meriah dan berterusan dalam tempoh panjang sebenarnya hanya berlaku di Nusantara. Di negara Arab, sambutannya hanya dua atau tiga hari saja. Selebihnya dalam bulan Syawal mereka melakukan puasa sunat enam dan aktiviti seperti bulan lain.

Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sepanjang melaksanakan ibadat puasa Ramadan. Pari kemenangan itu perlu disambut dengan perasaan gembira, namun dalam batasan syariat.  

Pada hari kemenangan itu disunat perbanyakkan istighfar, tasbih dan tahmid, sebaik berakhirnya Ramadan terutama menjelang malam raya sehinggalah ke pagi hari raya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan takbir dan ibadah, tidak dimatikan hatinya pada hari dimatikan segala hati." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Malang sekali apabila malam raya dan hari-hari seterusnya disambut dengan bunyi mercun dan bunga api. Riuh bunyi detuman mercun dan bunga api memecah kesunyian malam. Ternyata sekali itu bukan tuntutan agama. Islam menegah melakukan perkara yang membazir dan membahayakan keselamatan.

Aidilfitri bukan sambutan berdasarkan adat dan kehendak nafsu, sebaliknya satu anugerah yang termasuk dalam ibadat. Sebab itu, sambutan perlu dilakukan mengikut tuntutan syariat dengan memperbanyakkan kebaikan dan menjauhkan apa yang dilarang. 

Namun dalam melaksanakan amalan sepanjang merayakan Aidilfitri hendaklah kita mengetahui mana amalan sunah Rasulullah SAW dan mana pula yang menjadi ritual atau adat dalam masyarakat.

Sungguh jauh berbeza antara Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang hanya berupa adat.  Setiap ibadat adalah mengikut apa disyariat, melakukan kerana Allah SWT dan tidak bercampur dengan perkara maksiat. Sedangkan adat mengikut kebiasaan yang diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat. 

Tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang dilakukan itu tidak bertentangan syariat.

Beraya sepanjang Syawal bukan tuntutan syariat. Pun amalan itu tidak pula ditegah. Apa yang diamalkan beraya sebulan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat.  

Adat yang dilakukan untuk kebaikan tidak ditegah, bahkan digalakkan. Ganjaran pahala bergantung kepada niat ikhlas mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi mesti tidak bertentangan dengan syariat.

Ibadat dan adat, kedua-duanya dipatuhi dalam masyarakat kita, tetapi sumber hukumnya berbeza.  Ibadat bersumberkan daripada perintah Allah SWT, sementara adat pula bersumberkan kehendak dan kebiasaan dalam masyarakat yang menjadi amalan turun-temurun.

Kejahilan pengetahuan mengenai agama menyebabkan ada ibadat menjadi adat, tidak mendapat apa-apa pahala biarpun dilakukan dengan penuh syaratnya, kecuali niat yang lebih menjurus kepada adat. 

Pun begitu, perlu diketahui ada adat yang menjadi ibadat atau diterima sebagai satu amalan dalam Islam.  

Dalam fikah Islam, sesuatu yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam diterima sebagai sesuatu yang baik baik untuk diamalkan. Ia merupakan salah satu daripada lima kaedah asas dalam al-Qawaid al-Fiqhiyyah.

Untuk diterima sebagai satu amalan yang baik, hendaklah dijauhi atau bercampur dengan perkara haram. Contohnya, bagi wanita hendaklah mengelak daripada berpakaian yang mendedahkan aurat. Begitu juga, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan juga mesti dijaga agar tidak terlibat perbuatan haram.

Turut perlu diberi penekanan ialah menolak sikap membazir ketika sambutan Aidilfitri. Jauhkan juga sikap yang ditegah seperti bongkak, sombong, riak dan ingin menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki.

Mengadakan rumah terbuka dan amalan ziarah sempena Aidilfitri amat digalakkan. Hal itu dapat merapatkan hubungan yang renggan akibat pada hari lain semuanya sibuk dengan urusan pekerjaan masing-masing. Hadirlah rumah terbuka dengan perasaan ikhlas, bukannya dengan harapan agar tuan rumah akan ‘membalas’ datang ke rumah kita pula.

Sambutlah Aidilfitri dengan sederhana. Islam melarang perbuatan melampau dan membazir. Bergembira keterlaluan mudah mengundang kelalaian. Lebih baik kita tumpukan perhatian kepada tugas seharian yang perlu dilakukan untuk kebaikan semua.

Bayangkan jika kita beraya sepanjang Syawal? Sepatutnya selepas menyambut Aidilfitri secara sederhana, tumpuan yang perlu diberikan ialah kepada urusan kehidupan seharian agar lebih berjaya dan cemerlang. Sesungguhnya Islam menggalakkan kita agar bersederhana dalam semua perkara.

Saturday 24 June 2017

Cara membuat meriam buluh

Meriam buluh dibuat daripada batang buluh. Dipanggil meriam kerana ia berfungsi seperti meriam digunakan untuk peperangan. Namun, meriam buluh hanya mengeluarkan bunyi dan tidak ada bom atau peluru. Cara buat meriam buluh amat ringkas.

Meriam buluh popular semasa musim perayaan. Pada masa dulu ia boleh dikatakan salah satu kemeriahan sambutan Aidilfitri. Ia tidak terlalu sukar untuk dibuat. Biasanya remaja paling minat bermain meriam buluh.

Meriam buluh diperbuat menggunakan batang buluh 'dinding' tebal. Biasanya sekurang-kurangnya dua hingga tiga cm. Sesetengah tempat memanggil jenis pokok buluh ini sebagai 'buluh minyak'.

Batang buluh dipotong kira-kira satu hingga dua meter atau kira-kira tiga atau empat ruas. Pembahagi antara ruas akan dipecahkan, melainkan di salah satu bahagian hujung yang dikekalkan.

Kira-kira sejengkal di bahagian ditebut lubang seluas ibu jari. Selain buluh, bahan lain untuk meriam buluh berfungsi ialah kalsium karbida atau dipanggil 'kabar' yang biasa digunakan untuk memeram buah. 

Kalsium karbida dicampurkan dengan air dan dimasukkan ke dalam buluh. Tindak balas kimia yang terhasil daripada campuran kalsium karbida dan air di dalam buluh menghasilkan asetilena sejenis gas yang mudah meletup. 

Gas asetilena akan meletup apabila didedahkan kepada api. Api didekatkan kepada gas melalui lubang yang terdapat di hujung.

Letupan kuat boleh menyebabkan buluh pecah dan tentunya membahayakan mereka berada berdekatan. Malah, ada juga akibat kecuaian berlaku letupan tidak diduga. 

Biasanya berlaku ketika proses memasukan dan memanaskan kalsium karbida. Berlaku juga bahaya ketika memeriksa meriam buluh yang lewat meletup.

Untuk ketahanan buluh, biasanya batang buluh akan dililit denga dawai atau tiub basikal atau apa-apa yang berbentuk tali untuk mengelak ia pecah.

Biar apapun cara langkah keselamatan dilakukan, ia tidak menjamin perkara buruk tidak berlaku. Cara terbaik mencegah kecelakaan ialah tidak membuat dan bermain meriam buluh.

Selain berbahaya, bunyi meriam buluh bolah mengganggu ketenteram awam. Apatah lagi ia dimainkan pada waktu malam. 

Sejarah jajahan Pasir Puteh, Kelantan

Pasir Puteh salah satu jajahan di Kelantan. Ianya bersempadan dengan jajahan Kota Bharu di sebelah Utara, jajahan Machang di sebelah Barat, jajahan Bachok di sebelah Timur Laut dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Daerah Besut, negeri Terengganu.

Pada asalnya Pasir Puteh dikenali sebagai Pengkalan Limbungan. Nama ini ditukar selepas lawatan Sultan Muhammad Ke-4 ke kawasan ini. Baginda melihat kawasan gemerlapan dengan pasir putih memutih di sepanjang tebing Sungai Semerak. Pada 1911, Baginda telah merasmikan nama Pasir Puteh sebagai sebuah jajahan.

Pasir Puteh amat sinonim dengan nama pahlawan terbilang Kelantan iaitu Tok Janggut yang berasal dari jajahan tersebut.

Jajahan Pasir Puteh wujud sejak tahun 1905 dengan keluasan 433.8 kilometer  persegi (167.2 batu persegi).

Topografi jajahan Pasir Puteh boleh dibahagikan kepada dua keadaan yang besar iaitu keadaan tanah yang berbukit-bukit dan tanah rendah.

Terdapat beberapa buah bukit di jajahan ini iaitu Bukit Mak Lipah, Bukit Jerus, Bukit Bayoh, Bukit Belakang Parang, Bukit Batu Kawi, dan Bukit Peraksi. 

Bukit Mak Lipah adalah merupakan bukit yang paling tinggi iaitu 269 meter yang terletak berhampiran dengan sempadan Daerah Bachok di sebelah Utara.

Pasir Puteh merupakan sebuah bandar yang wujud di antara dua buah sungai iaitu Sungai Rasau dan Sungai Semerak. 
 
Pada masa dahulu, sungai menjadi jalan pengangkutan utama. Sungai juga menjadi tempat hidupan air tawar seperti ikan, ketam dan udang yang dijadikan sumber makanan. Air sungai juga digunakan untuk tujuan pertanian. Jadi, kawasan tebingan sungai menjadi kawasan penempatan pilihan terbaik. 

Dari segi pembangunan, Pasir Putih semakin terkenal apabila Tok Bali yang terletak di dalam jajahan tersebut menjadi destinasi pelancongan dan pengkalan kepada pelbagai aktiviti berkaitan perkapalan. Tok Bali bakal menjadi pelabuhan utama di Pantai Timur pada masa akan datang. 

Hubungan emosi dengan kucing

Kucing sejenis haiwan peliharaan yang jinak. Banyak orang suka pada kucing. Kucing dijadikan haiwan peliharaan yang menghiburkan dan dijaga dengan kasih sayang. Keberadaan kucing di rumah menjadi penyeri dan mewujudkan hubungan mesra ahli keluarga yang mempunyai minat sama terhadap kucing.  

Persoalannya, bagaimana pula perasaan kucing terhadap manusia? Adakah haiwan peliharaan yang ada berharga sehingga ribuan ringgit seekor itu sekadar hadir dan hidup dalam kelompok manusia tanpa sebarang bentuk hubungan emosi.   

Berdasarkan penelitian, ada bukti bahwa kucing sensitif dengan emosi manusia. Mereka seperti mampu mengetahui emosi manusia dan mampu bertindakbalsa dengan aksi yang tertentu. Sebab itu hubungan manusia dengan kucing dianggap unik dan mempunyai daya deria yang rapat.

Dari mata turun ke hati. Kerdipan perlahan mata kucing terhadap kita menunjukkan dia percaya sepenuhnya dengan kita. Kita pun boleh buat kerdipan mata perlahan-lahan sambil pandang mata kucing. Kalau kucing itu bertindak balas kerdip mata juga, itu maksudnya dia percaya dan tidak takut kepada kita. Dia yakin dan selesa berada berhampiran kita.

Ada kajian mengenai tabiat kucing berkaitan hubungan dengan manusia. Didapati ketika pemiliknya tersenyum, kucing cenderung memperlihatkan sikap ‘positif’ seperti mengeluarkan suara khas, menggeselkan badan, atau duduk pada riba.

Kucing juga cenderung ingin menghabiskan waktu dengan tuannya ketika tuannya tersenyum dan ceria. Sebaliknya, sifat-sifat itu tidak ditunjukkan jika berada bersama dengan orang tidak dikenali.

Kajian itu juga mendapati sifat kucing hampir sama dengan anjing dalam soal mengenali ekspresi manusia. Sebenarnya, kucing mampu memahami emosi manusia lebih dari apa yang kita jangkakan.

Sebab itu, kucing yang dijaga dengan baik akan 'membalas' perbuatan itu dengan ciri-ciri haiwan peliharaan yang baik. Kucing boleh diasuh dan diarahkan melakukan amalan tertentu seperti tempat berak, tidak berada di tempat tertentu atau apa-apa yang kucing dapat mengerti.

Kucing memang tertarik kepada manusia bukan saja untuk mendapat makanan, bahkan untuk dibelai dan diberi perhatian. Sebab itu, kucing suka berada dekat dengan manusia dan mengharapkan untuk dibelai atau dijadikan sebahagian daripada kelompk manusia.

Selain sikap positif seperti mengeluarkan suara khas dan menggeselkan badannya, dapati bahawa kucing menunjukkan posisi tubuh tertentu di bahagian telinga dan ekor. Gerakan itu dikaitkan dengan perasaan puas.

Ekor pun memainkan peranan penting. Kucing kalau gembira dia akan main-mainkan ekor dia. Kalau dia perlahan-lahan usap ekor dekat kaki atau tubuh anggota kita yang lain, itu bermaksud dia selesa dan sayang dengan kita.

Satu lagi tanda kucing mempunyai hubungan rapat dengan kita ialah dia akan datang dan berada berhampiran. Kadang-kadang dia akan tidur berhampiran dengan kira. Ini salah satu tanda dia sayang kat kita. Nak teman kita setiap masa masa. Tabiat ini juga menunjukkan kita ini milik dia. Takkan membiarkan kita jauh dari dia walaupun waktu rehat dia.

Aksi kucing sentiasa dirakam untuk dilihat berulang kali. Kucing menjadi terapi untuk pemiliknya mendapat kehidupan lebih baik. Namun, ada orang alahan dengan kucing, terutama bulunya. Jika tidak suka kepada kucing, janganlah pula disiksa kucing itu.

Sunday 18 June 2017

Malas bersukan punca masalah kesihatan

Bersukan, beriadah, bersenam atau melakukan aktiviti kecergasan satu keperluan bagi setiap orang tanpa mengira umur. Namun, rakyat Malaysia didapati malas bersenam atau beriadah biarpun banyak kempen kesedaran dilakukan mengajak rakyat mengamalkan cara hidup sihat.

Menurut kajian, hanya kira-kira 25 peratus rakyat Malaysia terbabit dalam aktiviti senaman dan riadah secara berkala. Akibat sikap tidak suka bersenam itu memberi kesan buruk dan masalah kepada kesihatan. 

Rakyat Malaysia yang tidak melakukan aktiviti riadah dan kercergasan fizikal terdedah pelbagai penyakit yang membunuh secara senyap seperti kencing manis, kegemukan dan darah tinggi.

Kadar penyakit yang membabitkan jantung juga meningkat akibat kurang bersenam. Menurut laporan terbaru, 6.2 juta penduduk dewasa kita mempunyai kolesterol tinggi, 5.8 juta menghidap darah tinggi dan 2.6 juta menghidap diabetes.

Kaum Melayu dan India amat kurang beriadah berbanding kaum Cina di negara ini. Pergilah ke mana-mana pusat riadah terbuka, peratus kaum Cina yang aktif lebih tinggi berbanding kaum lain.

Itulah sebabnya jangka hayat wanita Cina ialah yang tertinggi di Malaysia - 79.8 tahun, melebihi kadar jangka hayat purata bagi rakyat Malaysia, 77 tahun. 

Kadar jangka hayat wanita India ialah 76.2 dan wanita Melayu 75.3. Lelaki kaum Cina hidup lebih lama dengan purata jangka hayat 74.4 tahun diikuti oleh lelaki Melayu (70.5) dan India (68).
Indeks Belia Malaysia mendapati sebahagian besar daripada hampir 11.5 juta belia di negara ini tidak berminat bersukan dan bersenam.

Kajian tersebut patut diberi perhatian. Bersukan, bersenam atau beriadah adalah satu keperluan kepada setiap individu. Aktiviti sukan melahirkan masyarakat lebih sihat, harmoni dan berinteraksi antara satu sama lain. Selain itu, ia penting dijadikan sebagai aktiviti masa senggang yang berfaedah. 

Aktiviti bersukan bukan sekadar untuk menyertai pertandingan. Disebabkan beranggapan bersukan hanya untuk menyertai pertandingan, banyak individu merasakan jika dia tidak hebat atau mahir dalam sesuatu sukan, dia tidak perlu bermain sukan berkenaan.   

Tidak dinafikan aktiviti bersukan dipertingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Adalah menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang menang pingat atau anugerah peringkat antarabangsa. 

Kerajaan memberi peruntukan yang besar untuk melahirkan jaguh sukan yang menyumbang pingat kepada negara dalam temasya besar peringkat dunia seperti Sukan Olimpik, Sukan Komenwel dan Sukan Asia. 

Perlu dicatatkan, Malaysia belum pernah memenangi pingat emas dalam mana-mana acara di Sukan Olimpik. Ini agak mengecewakan, sedangkan negara jiran kita dalam rantau Asia Tenggara ada yang sudah beberapa kali menang pingat emas di temasyar terbesar di dunia itu.

Bersukan tidak terhad kepada tujuan untuk menyertai pertandingan sahaja. Sebaliknya, bersukan sepatutnya dijadikan aktiviti berkala bertujuan menjaga kesihatan. 

Bersukan atau bersenam penting untuk membantu mengaktifkan otot-otot badan untuk meningkatkan kelancaran pengaliran darah dan ketahanan badan.  

Kelancaran pengaliran darah ke seluruh badan penting bagi pengangkutan horman dan zat pemakanan.

Pengaliran darah yang tersekat dan lemah akan mengakibatkan organ-organ badan tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan penyakit berbahaya berkaitan pengaliran darah. 

Aktiviti badan yang aktif meningkatkan kadar metabolisma badan dan pembakaran lemak. Ini dapat mengatasi masalah kadar berat badan berlebihan atau obesiti. Keadaan badan mengalami obesiti mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Kepentingan bersukan dan bersenam menyebabkan kerajaan melancarkan program sukan untuk semua dan gaya hidup sihat yang mana setiap orang perlu bersukan setiap hari atau sekurang-kurangnya selama 20 minit setiap kali sebanyak tiga kali seminggu.

Islam adalah agama yang merangkumi semua aspek kehidupan. Ini termasuk penjagaan dari sudut kesihatan, di mana Islam amat menitikberatkan kesejahteraan tubuh badan sebagaimana Islam menjaga jiwa dan akal. Justeru itu, kita amat dituntut supaya menjaga kesihatan kerana “sihat” merupakan anugerah berharga dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu” (Hadis riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah” (Hadis riwayat Muslim)

Islam juga meletakkan kesihatan dan kesejahteraan di tempat yang pertama selepas keyakinan (keimanan). Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman)” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Kita juga diajarkan oleh Islam untuk menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit seperti pepatah Inggeris “Prevention is better than cure” atau “Mencegah itu lebih baik daripada berubat”.

Tetapi, perlu juga diingatkan, di samping kita menjaga anugerah kesihatan yang diberikanNya kadangkala kita diuji dengan sedikit kesakitan. Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepada pesakit-pesakit supaya mereka berubat.

Sabda Baginda SAW: “Allah tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat” (Hadis riwayat Bukhari)

Di antara perkara yang menunjukkan Islam menggalakkan penganutnya menjaga kesihatan adalah Rasulullah SAW telah menyenaraikan beberapa jenis ubat yang boleh digunakan seperti madu, tumbuhan herba, berbekam, jampi syari (amalan doa, ayat Al-Quran dan Hadis), dan lain-lain lagi yang tidak bercanggah dengan Islam.

Perubatan perlu dirujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang ini. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika sesuatu urusan itu berkait dengan hal-hal keduniaan maka kamulah yang mengaturnya dan jika ianya berkait dengan hal-hal keagamaan maka rujuklah kepadaku”. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim).