Saturday 29 July 2017

Asal jangan putus rokok

Setiap kali harga rokok naik, perokok tidak membantah atau melahirkan rasa tidak puas hati tindakan kerajaan itu,berbeza dengan kenaikan harga gula dan barang lain yang pasti mendapat bantahan rakyat.

Perokok yang sudah berada di peringkat ketagih pasti tidak berganjak daripada amalan itu biarpun harga rokok dinaikkan. Mereka yang berada di tahap ketagih rela membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli rokok. Sebab itu, perokok tidak membantah kenaikan harga rokok.   

Kata-kata, “biar putus cinta jangan putus rokok” membuktikan perokok sanggup berdepan dengan segala masalah asalkan tabiat merokok dapat diteruskan. Mengapa begitu tegar tabiat perokok yang rela melakukan apa saja demi meneruskan tabiat merokok? 

Merokok bukan saja membahayakan kesihatan dan membazirkan wang, bahkan ditegah oleh agama Islam.  

Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat ke 2 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.”

Manakala firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat 157)

Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. Jadi, anggapan kebanyakan perokok mengatakan perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar.  

Komitmen kerajaan memerangi gejala ketagih dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  Kerajaan membelanjakan peruntukan besar bagi mengatasi tabiat buruk ini. Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ membabitkan kos promosi sebanyak RM100 juta, namun gagal mengurangkan tabiat merokok. Sebaliknya, amat mengejutkan jumlah perokok wanita pula meningkat sekali ganda.

Statistik menunjukkan rakyat Malaysia yang merokok sekitar 3.4 juta orang melibatkan kira-kira 23.7 bilion batang rokok setahun. Jumlah perokok dijangka meningkat menjadi empat juta perokok menjelang 2020. Sebanyak lebih RM15 juta sehari dibakar oleh perokok.

Sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk tujuan mendatangkan kebaikan. Kedudukan orang Islam semakin kukuh jika wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi. Apa lagi jika ia digunakan ke jalan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjermuskan diri dalam jurang kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”

Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada kesihatan. Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Bayangkan sekiranya perokok menghisap 20 batang rokok sehari, dalam masa 30 tahun dia menghisap kira-kira 200 ribu batang rokok. 

Kenaikan cukai rokok adalah selari dengan syor yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya cukai rokok dinaikkan 65 peratus daripada harga runcit rokok dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.

Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat mengurangkan permintaan terhadap rokok di kalangan perokok baru. Harga yang mahal juga diharapkan perokok lebih kedekut untuk berkongsi rokok dengan orang lain. Cara itu diharapkan mengurangkan kadar merokok secara berkumpulan. 

Wednesday 26 July 2017

Faktor perniagaan pasar malam berjaya

Sikap peniaga yang ramah dan mesra berurusan dengan pelanggan menjadi faktor utama kejayaan perniagaan di pasar malam. Layanan secara baik membuatkan pembeli merasa selesa dan mudah menjalankan urus niaga dengan mereka. 

Selain itu, peniaga pasar malam juga lebih bertolak ansur dalam soal penawaran harga barang yang dijual mencetuskan kepuasan dalam diri pembeli. Budaya tawar-menawar apabila berbelanja di pasar malam merupakan satu kemestian. Mereka akan membuatkan pengguna mencari mereka lagi jika mengunjungi pasar malam sama.

Rata-rata rakyat Malaysia sangat ghairah jika ke pasar malam. Bukan itu sahaja, kehadiran pasar malam juga pasti dinanti. Pengguna juga berkira-kira untuk membeli barang dan bersabar menanti kehadiran pasar malam. 

Sedikit sebanyak kemunculan pasar malam membantu mereka melancarkan urusan harian. Bagi remaja dan kanak-kanak, waktu pasar malam peluang untuk keluar malam dan menikmati suasana meriah. Mereka sanggup berjimat wang saku sekolah bagi membolehkan berbelanja di pasar malam. 

Jika kita amati, setiap pengunjung yang hadir ke pasar malam tidak akan pulang dengan tangan kosong. Sekurang-kurangnya mereka akan pulang dengan bungkusan makanan kegemaran atau barangan keperluan. Biarpun kebanyakan pengunjung tidak membeli dalam kuantiti banyak, tetapi kalau hampir semua pengunjung membeli, bermakna jumlah urusniaga juga tinggi.  

Sebab itu, berniaga di pasar malam bukan peniaga kelas kedua. Mereka mampu mendapat keuntungan yang besar terutama pada musim perayaan. Resiko kerugian amat rendah, sedangkan peluang untung agak tinggi. Terdapat peniaga pasar malam berjaya mengumpul kekayaan mencecah jutaan ringgi setelah sekian lama berniaga.

Sebab itu peniaga pasar malam tidak mahu berpindah kepada premis tetap biarpun berpeluang melakukannya, kecuali mereka yang ingin menceburi perniangaan secara besar-besaran. Banyak peniaga berjaya mula berniaga di pasar malam, mendapat pengalaman dan modal, kemudian beralih kepada perniagaan yang lebih besar serta memberi pulangan keuntungan yang besar.

Jelas sekali, pasar malam memberi sumbangan yang besar melahirkan peniaga berjaya, terutama di kalangan kaum Melayu, selain memberi peluang kepada peniaga kecil menceburi bidang perniagaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. 

Kewujudan pasar malam masih releven biarpun di kawasan yang terdapat banyak pusat belibelah serba canggih dan hebat.  

Pasar malam lahir ushawan berjaya

Kewujudan pasar malam memberi kebaikan kepada peniaga dan pembeli. Berniaga di pasar malam boleh dimulakan dengan modal tidak besar. Kadar purata modal pusingan untuk memulakan perniagaan di pasar malam sekadar sekitar RM300 hingga RM1000 sahaja. Malah ada yang hanya bermodalkan beberapa puluh ringgit saja mengikut jenis barang yang dijual. 

Pengalaman dalam bidang perniagaan tidak begitu penting bagi mereka yang ingin mencuba peluang perniagaan di pasar malam. Ini kerana ia tidak melibatkan banyak ‘strategi’ atau ilmu khusus mengenai perniagaan. Saiz perniagaan di pasar malam juga tidak ditetapkan. Peniaga boleh menjalankan perniagaan secara berdiri, meja kecil, gerai, hamparan, longgok atas kenderaan dan sebagainya. 

Kadar keuntungan bergantung kepada jenis barang atau produk yang anda jual. Produk makanan dan minuman biasanya boleh memberi kadar keuntungan sehingga mencecah 100% hingga 200% daripada modal dibelanjakan. Namun resikonya besar jika tidak laku atau hari hujan. Makanan dan minuman tidak boleh disimpan untuk berniaga pada hari keesokkannya.  

Perniagaan di pasar malam amat ringkas dan mudah. Peniaga tidak memerlukan pengetahuan khusus mengenai produk yang dijual. Pembeli tidak banyak soal berkaitan barang di pasar malam. Mereka lebih bersikap tengok dan jika sesuai terus membeli dengan tawar menawar harga. 

Berniaga di pasar malam tidak sukar untuk mencari produk yang sesuai. Apa-apa saja produk boleh dicuba diniagakan di pasar malam. Kebanyakannya berkaitan keperluan dapur, makanan, minuman, pakaian, buah-buahan, sayur-sayuran, peralatan berkebun, cenderahati dan sebagainya. Peniaga di pasar malam berpeluang memasarkan pelbagai produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. Mereka tidak berniaga produk sama sepanjang masa.

Malah terdapat pembekal yang beri peluang memasarkan produk mereka tanpa perlu mengeluarkan modal. Barang dibekal dan hanya perlu membayar yang laku dijual. Barang tidak laku boleh dipulangkan sepenuhnya. Peniaga mendapat untung jualan yang juga boleh dianggap upah menjual. Mereka tidak berdepan masalah tanggung rugi terhadap produk. 

Setengah-setengah peniaga berniaga di pasar malam untuk memasarkan barangan mereka sendiri atau barangan orang lain. Contohnya, mereka mempunyai kemahiran memasak lalu mereka menjual makanan seperti lauk-pauk, kuih-muih, biskut dan kek dan sebagainya.

Kini banyak perniagaan di pasar malam menggunakan konsep francise yang mana pembekal menyediakan peralatan dan produk untuk dijual dengan bayaran yang berpatutan serta perlu mengikut terma yang ditetapkan. Mereka tidak perlu memikirkan tentang resipi produk dan pengiklanan. Semuanya diuruskan oleh pemilik francise. Perniagaan cara ini semakin berkembang dan banyak terdapat di pasar-pasar malam. 

Peniaga tidak sukar untuk memilih pasar malam yang sesuai. Memang ada pasar malam yang sudah sesak dan tidak dapat menerima peniga baru. Bagaimanapun masih banyak pasar malam lain boleh dijadikan tapak berniaga, biarpun mungkin tidak mendapat sambutan hangat. Apa yang penting peluang masih ada dan peniaga perlu bijak menarik minat pembeli. 

Ada peniaga sanggup pergi ke satu-satu pasar malam biarpun jarak melebihi 100 KM dari tempat kediaman. Namun tidak kurang juga yang hanya berniaga di pasar malam yang tidak jauh dari tempat kediaman sebagai kerja sambilan menambah pendapatan. Pada waktu siang mereka ada perkerjaan tetap lain, menghalang pergi ke tempat jauh yang bukan saja mengambil masa bahkan memenatkan.

Biasanya pasar malam yang bersaiz kecil tidak ramai pengunjung, tetapi tidak bermakna peniaga tiada peluang untuk mendapat untung kerana persaingan antara peniaga juga kurang. Seorang peniaga boleh mempelbagaikan barang dijual untuk memaksimakan untung. Jika tidak sesuai, mereka bertukar ke pasar malam lain.

Bahkan ada peniaga yang membuka pasar malam secara solo di sesuatu kawasan, sebelum ada peniaga lain turut serta memeriahkan dan membesarkan lagi. Inilah dikatakan betapa mudah untuk berniaga di pasar malam asalkan ada keyakinan diri dan keinginan untuk berjaya.

Pasar malam biarpun nampak 'bebas' tetapi tetap terikat dengan peraturan dengan pihak berkuasa tempatan, pemimpin setempat atau ketua bagi sesuatu kawasan. Urusan yang berkaitan perlu diuruskan dan sebab itu ada individu atau kumpulan yang dianggap sebagai 'penganjur' di sesuatu tempat. Penganjur bertanggungjawab mengurus dan mengawal agar operasi pasar malam berjalan lancar. 

Peluang berniaga di pasar malam

Pasar malam sinonim dengan masyarakat negara kita. Kamus Dewan mendefinisikan pasar malam adalah kelompok gerai yang menjual barang-barang makanan keperluan atau tempat orang berjual beli pada waktu malam. Pasar malam kebiasaannya beroperasi seawal jam 05.00 petang dan berakhir sekitar 11.00 atau 12.00 malam.

Pasar malam merupakan tempat menjalankan perniagaan runcit yang dikategorikan sebagai pasar atau gerai yang bergerak, susunan gerai yang memanjang menyusuri jalan dan menggunakan tapak awam atau persendirian.  

Perniagaan pasar malam juga ditakrifkan sebagai aktiviti penjajaan walaupun ianya semi-statik. Kewujudannya ada di mana-mana sama ada bandar mahupun desa, banyak menyumbang kebaikan kepada perkembangan ekonomi, membentuk hubungan sosial dan membantu pembangunan masyarakat setempat. 

Konsep pasar malam berbeza dengan uptown walaupun kedua-duanya menjalankan perniagaan pada waktu malam. Uptown melibatkan tempat khas dan beroperasi hingga awal pagi yang hanya diwujudkan di kawasan bandar besar.

Kewujudan pasar malam adalah disebabkan terdapatnya penawaran dan permintaan daripada pihak peniaga pasar malam yang memberi peluang kepada mereka untuk menambah pendapatan dan bagi pembeli pula pasar malam dapat membantu mereka memperoleh kepelbagaian keperluan harian dengan harga yang murah dan hampir dengan tempat tinggal mereka.

Lokasi pasar malam ini di kawasan perumahan atau berhampiran jalanraya utama memberi banyak kebaikan kepada pembeli. Penduduk di kawasan perumahan dan kawasan sekitar, tidak perlu pergi jauh-jauh untuk membeli barang keperluan.

Boleh dikatakan bahawa berkunjung ke pasar malam adalah budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum, menjadikan pasar malam tempat mendapatkan keperluan yang dikehendaki mereka. Ada yang singgah ketika perjalanan pulang dari pejabat. 

Manakala yang lain pula keluar secara santai dan ada berpakaian tidur datang ke pasar malam. Jelas sekali keadaan ini akrabnya masyarakat dengan pasar malam. Tuntasnya, pasar malam ini  memudahkan penduduk setempat membeli keperluan mereka.

Perniagaan pasar malam mudah diadakan asalkan ada kawasan lapang. Ia tidak memerlukan bangunan, bekalan elektrik atau sumber air. Apa yang penting ialah asalkan ada potensi untuk menarik minat pembeli datang membeli di situ, maka perniagaan pasar malam boleh diadakan di kawasan itu. 

Kewujudan pasar malam memberi kebaikan kepada peniaga dan pembeli. Berniaga di pasar malam boleh dimulakan dengan modal tidak besar. Kadar purata modal pusingan untuk memulakan perniagaan di pasar malam sekadar sekitar RM300 hingga RM1000 sahaja. Malah ada yang hanya bermodalkan beberapa puluh ringgit saja mengikut jenis barang yang dijual.

Tuesday 25 July 2017

Kenapa kubur bercahaya terang

Diriwayatkan satu kisah dahulu kala. Pada suatu malam seorang lelaki melalui sebuah kawasan perkuburan yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang keluar dari salah satu kubur, dan terus menjulang ke langit.

Lelaki itu terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa di sisi Allah. Mungkin orang yang disemadikan itu sama ada dia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang amat istimewa kedudukannya di sisi Allah.

Maka lelaki itu mengambil sebatang kayu, lalu dipacak di atas kubur yang bercahaya itu sebagai satu tanda. Keesokan harinya lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani beberapa orang kampung.

Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu sehingga kuburnya bercahaya pada malam hari.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung ke rumah keluarga simati dan bertemu dengan isteri simati. Lelaki itu lalu menceritakan kepada isteri simati tentang keajaiban yang dilihat di kubur suami wanita itu.

Perkhabaran itu tentu sekali menyebabkan isteri si mati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa yang hebat dari segi amal ibadatnya. Suaminya seorang petani biasa saja.

Suaminya bukan seorang alim, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru al-Quran. Malah suaminya tidak pandai membaca Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Quran.

Untuk menyelidik lanjug, lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.

Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam suaminya akan mengambil wuduk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Suaminya akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta huruf al-Quran. Dia akan meraba-raba ayat-ayat Quran itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi.

Tambah isteri simati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu ini. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini ya Allah.”

“Wahai Qalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah-kalimahmu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu.“

“Wahai Qalamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapan Allah di akhirat nanti”.

Lelaki itu meminta untuk melihat al-Quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan roh alQuran. Dia sangat mengasihi kalimah-kalimah Allah itu dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Allah dengan seluruh jiwa dan raganya.

Maka yakinlah lelaki itu bahawa punca Allah melebihkan simati dengan keadaannya kuburnya bercahaya disebabkan semasa hayatnya simati amat mengasihi al-Quran biarpun tidak pandai membacanya. 

Resolusi Persidangan Ulama Antarabangsa

Nadwah Ulama Antarabangsa yang berlangsung di Kelantan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) telah meluluskan 10 resolusi.

Berikut adalah resolusi yang tersebut:

1. Mewujudkan Kesatuan Ulamak Asia dan Timur Jauh yang berpusat di Kuala Lumpur untuk menyelaraskan isu-isu yang berkaitan umat Islam.

2. Mewujudkan permuafakatan antara negara minoriti dengan negara majoriti Muslim agar kekuatan Islam dapat digarap secara berkesan dan sekali gus dapat menaungi umat Islam yang lemah.

3. Memastikan segala isu dan permasalahan dalam setiap negara Islam dan umat Islam tidak perlu dilibatkan campur tangan pihak luar (negara Barat) dalam menanganinya.

4. Mempelopori usaha untuk mengharmonikan isu-isu khilafiyyah di kalangan masyarakat supaya tidak memberi ruang kepada musuh memecahbelahkan kesatuan umat Islam.

5. Mempergiatkan pengembangan ilmu Islam di kalangan masyarakat di negara masing-masing dengan pelbagai wasilah yang ada.

6. Mengambil inisiatif yang bersungguh-sungguh untuk melahirkan ulama pelapis yang akan mewarisi kepimpinan ulama di seluruh negara rantau Asia.

7. Menangani permasalahan dan isu umat Islam yang ditindas di negara-negara minoriti Muslim seperti Chechnya, Pattani, Rohingya, Kasymir, wilayah Xingjang dan lain-lain.

8. Mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkutuk yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi dengan penutupan Masjidil Aqsa yang bertujuan untuk meroboh dan memusnahkannya.

9. Memahamkan masyarakat khasnya umat Islam bahawa Islam adalah agama pembawa kesejahteraan dan kesederhanaan ke arah mengekang pengaruh radikalisme dalam kalangan umat Islam.

10. Mengembleng tenaga ulama untuk mengembalikan peradaban Islam rantau ini sebagai model peradaban Islam sejagat.

Dicatatkan pada 22 Julai 2017

Monday 24 July 2017

Mancis Cap Lada paling lama di Malaysia

Tahukah anda, Kilang Mancis Cap Lada di Kelantan merupakan kilang mancis paling lama dan tertua di Malaysia. Ia dibuka sejak tahun sebelum merdeka iaitu pada 1933 sehingga kini (2023).

Mancis Cap Lada atau 'gesek' sinonim dengan Kelantan Match Factory. Mancis Cap Lada terdapat di setiap rumah yang digunakan untuk menghidupkan api.

Kilang Mancis Cap Lada yang terletak di alamat 4874- A, Jalan Atas Banggol, Kota Bharu, Kelantan atau lebih dikenali Sungai Keladi.  Kilang ini menjadi 'land mark' kepada kawasan ini yang dikenali kebanyakan orang Kota Bharu.

Kilang itu cukup terkenal dan berjasa menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk Kota Bharu. Orang Kelantan panggil mancis sebagai 'gesek'. Maka, ketika itu peluang bekerja di kilang gesek sudah dianggap hebat.

Kilang ini pada kemuncak kegemilangan pernah mengeluarkan kira-kira 2 juta kotak mancis sebulan dengan 300 orang pekerja yang bekerja dua shif. Namun pengeluran sekarang sekitar 200,000 kotak sahaja sebulan dengan pekerja 38 orang.

Penggunaan gesek kini semakin kurang disebabkan diganti pemetik api yang lebih mudah digunakan. 

Mancis jenis batang atau gesek semakin dilupakan biarpun masih ada permintaan terhadapnya. Generasi hari ini tentu sudah ramai tidak mengenali gesek. 

Di hujung batang mancis atau dipanggil kepala mancis terdapat belerang.

Terdapat dua jenis mancis iaitu mancis flaksible yang mana kepala anak mancis boleh digesekkan di mana-mana bahagian permukaan kasar untuk menghasilkan api.

Manakala mancis keselamatan pula hanya boleh digunakan apabila kepala mancis digesekkan kepada kertas belerang yang dilekatkan pada kotak mancis. Kilang Mancis Cap Lada hanya mengeluarkan mancis keselamatan.

Apabila digesekkan, akan terhasil api yang akan turut membakar batang mancis secara perlahan-lahan. Sebab itu, dalam dialek Kelantan, mancis jenis ini dipanggil 'gesek' manakala pemetik api menggunakan gas dan 'batu' pula dipanggil 'meceh'.

Friday 21 July 2017

Cara turun berat badan

Bukan mustahil turun berat badan jika ikut cara atau panduan betul. Fikir positif dan yakin diri melakukan cara berkesan. Pastikan bersungguh-sungguh dan istiqamah untuk capai berat badan diingini agar kelihatan cantik dan sihat. Badan langsing dan menawan memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian. Jauhi obesiti kerana ia sarang penyakit. 

Pakar psikologi dan pemakanan memberi 13 panduan untuk menurunkan atau mengawal berat badan. Selamat mencuba dan semoga berjaya.

1. Ada visi dan yakin kepada: ’Saya boleh langsing’. Sikap positif itu perlu ditanamkan kerana ia menjadi pemacu kepada tindakan lain sehingga impian untuk langsing menjadi satu kenyataan. Kita tidak boleh ragu-ragu dengan kebolehan sendiri.    

2. Ingin langsing kerana ingin sihat. Ini motif yang tepat untuk langsing. Kesihatan adalah harta yang paling berharga. Hidup menjadi lebih bermakna jika keadaan diri sihat dan mampu meneruskan kehidupan yang selesa biarpun usia telah meningkat. 

3. Tahu risiko berlebihan berat badan. Berat badan berlebihan memberikan pelbagai risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis, kadar kolesterol tinggi dan angin ahmar.

4. Jalani ujian kesihatan.  Banyak orang merasakan dirinya sihat kerana tidak ada tanda ketara menunjukkan dirinya mengidap sesuatu penyakit. Inilah antara punca mengapa penyakit kronik sukar diubati setelah keadaan parah. Jadi, lakukan pemerikasaan secara berkala, dan ambil langkah berjaga-jaga yang antara lainnya dilakukan dengan mengawal makan.

5. Tetapkan matlamat realistik untuk turunkan berat badan. Banyak orang yang berusaha menurunkan berat badan ingin mencapai matlamat dengan cepat. Akibatnya mereka mudah kecewa jika tidak mencapainya. Sebenarnya, kejayaanmenurunkan berat badan satu hingga dua kilogram sebulan sudah memadai.

6. Timba ilmu tentang pemakanan yang tepat.  Ilmu tentang pemakanan merangkumi sistem pemakanan yang tepat dan berkesan. Diet tidak semestinya menjauhkan daripada memakan nasi, roti, mi dan biskut atau makanan yang disebut sebagai berat. Apa yang penting ialah seimbang dan merangkumi segala jenis makanan mengikut carta pemakanan.

7. Hadiri kelas sokongan dan motivasi. Ada yang sudah bersemangat untuk langsing, tetapi masih gagal kerana melakukannya seorang diri. Carilah rakan yang sama-sama berusaha mengawal berat badan.

8. Ikut kaedah diet tepat. Anda perlu amalkan pemakanan yang tepat agar anda boleh langsing dan kekal langsing dan bukan mengikuti diet yang membuat berat badan anda sekejap naik dan sekejap turun.  

9. Tidak menyeksa diri. Ramai merosakkan tubuh mereka kerana menjalani program diet yang tidak makan, kurang makan atau sekat makan.

10. Amal kaedah senaman yang berkesan. Senaman tanpa teknik berkesan tidak akan membuahkan hasil yang diinginkan. Misalnya, teknik pernafasan sangat penting untuk membakar lemak dan ini boleh dipelajari melalui nasihat pakar senaman.

11. Berhati-hati memilih produk langsing. Banyak produk langsing tubuh yang telah diharamkan kerana boleh merosakkan tubuh. Ada kes kematian akibat mengambil pil pelangsing mengandungi unsur racun. Jadi, berhati-hatilah sebelum membeli.

12. Belajar cara membaca label makanan. Pilih makanan yang kurang kalori dan kandungan gula. Pentingkan makanan yang mempunyai pelbagai kandungan vitamin dan mineral.   

13. Jangan salahkan orang lain atau keadaan. Usaha yang dilakukan ada kehendak dan ditentukan sendiri. Jika gagal, jangan salah orang lain. 

Sekiranya, peraturan yang dicadangkan ini dipatuhi, tidak ada alasan anda akan gagal melangsingkan badan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Selamat mencuba.

Thursday 20 July 2017

Banyak juga penganut Islam di Malaysia bukan orang Melayu

Tiada Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang Islam di Malaysia mesti Melayu. Tetapi ada Perkara menetapkan seorang Melayu mesti Islam. Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut. 

Dengan kata lain, adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut 'kemelayuan' semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan hanya terbentuk daripada kelompok Melayu sahaja.

Berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Banci dijalankan setiap 10 tahun sekali), meskipun Melayu menjadi kelompok majoriti dengan mewakili 50.4 peratus daripada keseluruhan 28,908,795 penduduk Malaysia, namun harus diingat peratus penduduk beragama Islam di Malaysia ialah 60.4 peratus.

Dalam kata lain, terdapat 10 peratus atau 2.9 juta rakyat Malaysia dari kalangan umat Islam yang bukan berbangsa Melayu. Atau dalam kata lebih mudah, bagi setiap enam orang Muslim di Malaysia, satu daripadanya adalah bukan Melayu.

Justeru, perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak wajar dieksklusifkan dari perspektif Melayu sahaja.

Islam perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih inklusif menjangkau sempadan perkauman sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Namun, tidak dinafikan Melayu dan Islam itu amat rapat di Malaysia. Kebanyakan orang Islam bukan keturunan Melayu pada dasarnya sudah kelihatan seperti orang Melayu. 

Mereka hidup dalam masyarakat Melayu sesuai dengan saudara seagama. Perhubungan dalam hal-hal keagamaan dan melakukan amalan yang sama berkaitan Islam menjadi mereka seperti Melayu. Tambahan, Melayu yang ada pada hari ini pada hakikatnya bukan Melayu jati.  Mereka memenuhi Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi Melayu, sedangkan bukan keturunan Melayu asli. Inilah uniknya Melayu.

Kembali kepada isu bukan Melayu yang memeluk Islam menjadi seperti Melayu memang tidak dapat dinafikan. Lebih-lebih lagi apabila mereka berkahwin dengan pasangan Melayu. Mereka akan hidup dalam keluarga Melayu. Jadi segala yang berkaitan dengan Melayu akan menjadi sebahagian daripada indentiti mereka. Pun mereka lebih dikenali sebagai mualaf.

Mungkin, fakta itulah yang menyebabkan orang beranggapan memeluk Islam itu sebagai masuk Melayu. Bangsa tidak boleh ditukar. Seseorang yang dilahirkan sebagai sesuatu kaum akan kekal sehingga ke akhir hayat.  

Istilah masuk Melayu tidak sesuai digunakan. Orang Cina atau kaum lain yang peluk Islam tidak perlu menukarkan budaya kaum, melainkan yang bertentangan dengan agama Islam. Begitu juga dari segi, hubungan kekeluargaan. Hubungan anak dan ibu bapa serta adik beradik lain tidak putus semata-mata ada di antara mereka memeluk Islam. Islam pentingkan persaudaraan dan ukhwah.  

Justeru, anak yang memeluk Islam masih perlu taat pada ibu dan bapanya walaupun berlainan agama selama dia tidak dipaksa melakukan perkara dosa. Malah, Islam membenarkan ibu bapa yang berlainan agama itu tinggal bersama dengan anak yang telah memeluk Islam. Begitu moleknya Islam. 

Takwa dan keimanan menjadi tonggak menjadi Islam sejati. Islam menjadi panduan dan pedoman hidup. Kita tidak akan sesat selagi mengikut ajaran Islam yang benar dan lurus.

Jadi, tidak ada alasan tidak atau terhalang memeluk Islam kerana kasih kepada ibu bapa. Kasih terhadap ibu bapa tidak berkurang kerana berlainan agama. Islam mementingkan hormat kedua ibu bapa.   

Wednesday 19 July 2017

Dataran Muhammadi Kota Bharu

Zon Warisan Budaya antara lokasi tarikan pelancong di Kota Bharu.  Antara yang telah lama menjadi daya tarikan di Zon Warisan Budaya ialah Bank Kerapu, Masjid Muhammadi, Istana Balai Besar, Istana Jahar dan Dataran Rehal. Kini satu lagi yang semakin mendapat perhatian ialah Dataran Muhammadi.

Dataran Muhammadi menjadi sebahagian daripada identiti yang beriringan dengan nama Masjid Muhammadi yang telah lama gah di Kota Bharu. Projek yang siap 2017 membabitkan pembinaan 12 kios perniagaan, dua wakaf, satu pondok polis, tempat duduk dan ruang parkir kenderaan jemaah serta bas pelancong.

Kawasan parkir yang luar memberi kemudahan kepada jemaah yang hadir ke Masjid Muhammad serta pengunjung ke Bazar Tengku Anis yang sering menjadi tumpuan pengunjung. Selain itu, ia memberi kemudahan selesa untuk rombongan pelancong yang menggunakan bas.

Dataran Muhammadi juga sering dijadikan sebagai tempat ceramah secara terbuka. Kawasan yang luas dan diterangi cahaya lampu memang amat sesuai untuk dijadikan tempat ceramah, mahupun aktiviti santai. 

Merpati jinak di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan

Tuesday 18 July 2017

Fungsi omega 3

Omega 3 berperanan meningkatkan aliran darah dalam badan ke otot semasa bersenam dan membantu meransang enzim yang membawa lemak yang tersimpan dan kemudian tukarkan menjadi tenaga dan seterusnya turunkan berat badan anda secara tidak langsung.

Kebanyakkan kita tidak mampu mengambil jumlah Omega 3 yang mencukupi berbanding orang eskimo yang sememangnya ikan merupakan makanan ruji mereka. Oleh itu, pengambilan supplement Omega 3 membantu anda mendapatkan jumlah Omega 3 yang diperlukan oleh tubuh untuk membakar lemak yang tersimpan dalam tubuh anda.

Kadar obesiti di negara-negara  Norway dan Jepun yang rakyatnya gemar menikmati ikan adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain kerana diet mereka kaya dengan Omega 3.

Pengambilan konsisten Omega 3  juga membantu meneutralkan masalah hormon leptin anda yang memberi isyarat lapar dan kenyang kepada otak.


Tanpa anda sedari, hormon leptin yang tidak berfungsi dengan baik gagal memberi isyarat lapar dan kenyang dengan baik ke otak dan menyebabkan kita terus mengambil makanan walaupun sebenarnya tubuh perlukan tambahan air bukan makanan.


Masalah hormon leptin yang gagal berfungi dengan baik inilah antara sebab kenapa anda yang sedang berdiet gagal turunkan berat badan.


Asid Lemak Omega-3 memberikan kesan positif pada metabolisme dan keupayaan badan untuk membakar lemak, selain itu ia juga turut memberi kesan kepada penghasilan pelbagai hormon termasuk leptin.


Leptin adalah hormon yang memberi kesan kepada selera makan. Hormon leptin yang terdapat dalam tubuh manusia berfungsi menghasilkan sel lemak dan berperanan memberi amaran kepada individu sama ada tahap pengambilan makanan yang diambil sudah mencukupi atau berlebihan.


Tugas hormon leptin:

-  Leptin membantu mengawal selera makan dan metabolisme.
-  Leptin adalah sejenis hormon yang adipose-generated, yang bermaksud dihasilkan oleh lemak badan.
-  Leptin menghantar isyarat kepada otak supaya menghadkan rasa lapar.
-  Semakin rendah tahap leptin, semakin mudah seseorang itu berasa lapar.
-  Rangsangan leptin mengurangkan aktiviti neuropeptida Y, iaitu neurotransmitter yang boleh mencetuskan refleks kelaparan.
-  Neuropeptida Y pada tahap yang tinggi juga boleh mengurangkan pengeluaran tiroid, yang mana tiroid boleh memberi kesan yang negatif terhadap metabolisme.

Kesimpulannya, asid lemak Omega-3 membantu mereka yang sedang berdiet atau berhasrat untuk mengekalkan hatta menurunkan berat badan kerana  kesannya dalam mengurangkan selera makan dengan meningkatkan hormon leptin yang mengawal tahap kelaparan di samping ia sendiri berupaya untuk membakar lemak.

Mengawal tahap kelaparan adalah antara perkara penting dalam kejayaan diet. Ramai yang 'tewas' dalam usaha untuk diet kerana gagal mengawal selera makan.

Rasa lapar akan mendorong kita untuk makan. Apabila rasa lapar dapat dibendung, proses diet akan menjadi lebih mudah dan tidak 'menyeksakan'.

Kebanyakan orang mengamalkan diet dengan cara kurang makan, tetapi dalam masa yang sama perasaan untuk makan membuak-buak.

Dengan kesan yang dapat Omega-3 berikan terhadap hormon leptin, cabaran untuk mengawal selera makan lebih mudah dan berlaku secara semulajadi.

Walaubagaimanapun, perlu disedari..hanya dengan pengambilan asid lemak omega-3, berat badan tidak akan turun seperti magik. Pengambilan makanan tetap perlu dikawal dan senaman tetap perlu diamalkan.

Sunday 16 July 2017

Pening makan daging kambing

Ramai rasa pening lepas makan daging kambing. Punca berlaku keadaan itu kerana kolestrol kambing boleh menguraikan kolestrol dalam darah yang menjadi punca kepada penyakit darah tinggi. 

Kolestrol kambing yang menguraikan darah yang tercemar dengan kolestrol tepu akan menyebabkan isipadu darah meningkat. Pesakit darah tinggi yang mengambil daging kambing akan mengalami gejala penguraian akibat peningkatan isipadu darah seperti gejala rasa pening seperti yang biasa dialami kebanyakan orang.

Walaupun daging kambing bertindak sebagai pengurai protein yang terbaik, tetapi pesakit darah tinggi yang tidak tahan dengan kesan pembongkaran penguraian ini dinasihatkan agar tidak mengambil daging kambing sebagai terapi. 

Tetapi bagi mereka yang tidak mengalami masalah tekanan darah tinggi dinasihatkan agar mengamalkan pemakanan daging kambing untuk mengelakkan penyakit darah tinggi.

Lemak di bawah permukaan kulit terbentuk akibat kolestrol yang gagal dicerna oleh hati. Ia akan menyebabkan masalah obesiti (kegemukan) jika terdapat dalam jumlah yang banyak. 

Pesakit obesiti yang mengambil daging kambing akan mengalami masalah tekanan darah yang tidak stabil dan turut mengalami pening kepala akibat kesan pembongkaran kolestrol tepu oleh kolestrol kambing. Selain itu, daging kambing akan membakar lemak yang berlebihan dalam badan. 

Kesan pembakaran lemak akan mengakibatkan gejala pembongkaran seperti panas badan, berpeluh dan telinga berdengung.

Cara buat telur masin

Telur masin atau dipanggil juga telur jeruk merujuk kepada telur diawet dengan menggunakan garam bagi mengekalkan ketahanannya. Cara buat telur masin amat mudah. Jenis telur sesuai dijeruk ialah telur itik. 

Umumnya telur itik akan rosak setelah disimpan lebih 2 minggu di ruang terbuka. Kerosakan berpunca dari kotoran yang terdapat di lapisan kulit telur dan penurunan mutu telur disebabkan dengan kelembapan persekitaran.

Prinsip pengawetan telur adalah bertujuan untuk mencegah peranan bakteria serta keluarnya air dari dalam telur. Justeru pengawetan telur penting untuk menjaga meningkatkan kualiti dan nilai tambah telur segar tersebut. Salah satu cara yang ekonomik ialah menjadikannya sebagai telur masin.

Telur itik dimasinkan juga atas alasan permintaan. Ada orang tidak berminat makan telur itik segar, tetapi peminat tegar telur masin, lebih-lebih lagi bahagian kuning telur. Peminat telur masin sanggup membayar harga lebih mahal untuk mendapatkan telur masin.

CARA MEMBUAT TELUR MASIN BASAH
Bahan-bahan:
- 10 biji telur itik.
- 250 gram garam kasar.
- 1 liter air bersih.
- Berus halus - untuk membersihkan kotoran pada telur.
- 1 bekas plastik atau kaca yang kedap udara.

Cara membuat:
- Cuci telur hingga bersih dan kemudiannya dikeringkan.
- Buat larutan air garam yang terdiri dari air dan garam kasar.
- Masukkan larutan tersebut di dalam bekas plastik yang berpenutup kedap udara.
- Masuk telur yang dibersihkan ke dalam bekas (hingga semua telur terendam) dan tutup bekas dengan penutup kedap udara.
- Simpan telur selama 10-20 hari sebelum digunakan.

Hukum boleh makan belangkas

Hukum makan belangkas dan telur belangkas. Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit.

Belangkas adalah dari famili Limulidae. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda. Haiwan ini merupakan artropod laut yang bentuk badannya mirip kepada 'ketopong besi' tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam.

Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci). Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.
Binatang ini oleh kerana sifatnya berada dalam air, maka ia adalah termasuk di dalam binatang bahriatau ma’i.

Berdasarkan umum nas hadis Nabi SAW: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.” - (Riwayat Abu Daud, al-Turmuzi, al-Nasa’ie, Ibn Majah)

Berdasarkan hadis ini, Syeikh Abdullah bin Bassam berkata, semua bangkai haiwan laut adalah halal. Kami perkuatkan hujahan dengan keharusan ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanannya.” – (Surah al-Ma’ida: 96)

Umar bin al-Khattab RA berkata: “Binatang buruannya, iaitu apa sahaja yang dapat ditangkap di laut, dan makanannya pula, iaitu apa yang dilemparkan laut ke pantainya dari binatangnya. Ibn Abbas berkata: Maknanya iaitu bangkai-bangkai yang dikeluarkan daripada perutnya.”

Begitu juga sebarang bentuk haiwan yang tidak ada nas qati’ie pengharamannya maka hukumnya adalah halal. Ini berdasarkan kaedah “Asal pada sesuatu itu adalah harus”.

Jenis haiwan yang boleh dimakan adalah binatang yang tidak memudaratkan kesihatan kita. Ini selaras dengan hadis Nabi SAW: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.” - (Riwayat Ibn Majah, no. 2341)

Berdasarkan kepada amalan sebahagian masyarakat Malaysia yang memakan belangkas, maka didapati tiada kesan kemudaratan atau keracunan terhadap mereka. Ini menjadi bukti dengan jelas tentang keharusan memakan belangkas.

Berkenaan dengan telurnya pula, jika binatang tersebut boleh dimakan yang menjadi induk atau ibu, maka telurnya juga boleh dimakan. Ini berdasarkan kaedah “Yang mengikut itu mengambil hukum yang mengikut asalnya.

Begitu juga dengan kaedah “Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Hal ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

- Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.

- Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.