Friday, 14 July 2017

SEBAT DEPAN KHALAYAK RAMAI

Kota Bahru – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 Julai 2017 meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yaa’kub kemudiannya mengumumkan kelulusan RUU itu selepas disokong sebulat suara oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mohd Nassuruddin ketika membentangkan usul itu berkata terdapat beberapa faktor utama yang diambil kira bagi melakukan pindaan enakmen itu antaranya ia telah berusia 15 tahun dan keadaan semasa dunia ketika ini yang berkembang terlalu pesat.

“Pindaan itu perlu dilakukan bagi membantu hakim syariah, pendakwa syarie, peguam syariah, penguat kuasa agama dalam menjalankan prosedur kes jenayah syariah dengan lebih teratur dan seragam.

“Antara pindaan yang akan diguna pakai adalah bagi membolehkan seseorang yang dihukum bersalah disebat di khalayak, penguat kuasa agama boleh menggunakan gari dan video boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan,” katanya.

Sementara itu di luar Dewan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata RUU itu merupakan sebahagian daripada persiapan untuk melaksanakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) (yang telah dibentangkan) jika ia diluluskan di Parlimen kelak.

“Terdapat 33 fasal dalam RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah ini dan semuanya dipinda bagi memperkemaskan hukuman seperti sebat, denda dan beberapa proses teknikal yang lain.

“Contohnya seperti hukum sebat yang kini boleh dilaksanakan di dalam ataupun di luar penjara bergantung kepada keputusan mahkamah. Ia menepati kehendak agama (berkaitan hukuman sebat) sebab hukuman syariah itu mesti dibuat di hadapan khalayak,” katanya.

– Bernama

Catatan:

Diharap usaha perlaksanaan sebat depan khalayak ramai bukan satu retorit politik, sebaliknya satu usaha memperkasakan Islam sepertimana diperintahkan oleh Allah. 


No comments:

Post a Comment