Wednesday, 5 July 2017

SKANDAL KARBON KREDIT

SKANDAL KARBON KREDIT BERTUKAR MENJADI JUALAN BIT COIN YANG MEMBOLEHKAN SYARIKAT MENGAUT KEUNTUNGAN SEGERA - TIADA TINDAKAN TEGAS KERAJAAN KELANTAN

Saya membaca kenyataan rasmi MB Kelantan hari ini.

Ulasan saya adalah seperti berikut:

1. Tiada penjelasan tentang kelayakan Climate Protector menerusi kenyataan itu.
Tiada langsung penjelasan mengenai kriteria pemilihan syarikat, sama ada dari segi kekukuhan kewangan, kepakaran, pengalaman dan rekod kejayaan.

Apa lagi apabila disemak pemegang saham yang memungkinkan unsur kronisma tanpa merit yang meyakinkan.

Umpamanya penama yang beralamat di Wakaf Baru dan dua pemegang saham yang lain.
Sekali lagi saya mencadangkan MB menjelaskan asas pemilihan syarikat ini.

2. Keraguan tentang kemampuan syarikat dan tujuan sebenarnya makin menebal bila mana banyak tindakan syarikat yang mencurigakan, seperti:
a. Melanggar undang-undang berkaitan sehingga BNM mengeluarkan kenyataan bertarikh 23 Jun 2017.
b. Dakwaan berada dalam mekanisma Bangsa-Bangsa Bersatu (UN REDD) adalah palsu. Ia juga dinafikan oleh Kementerian.
c. Dakwaan bahawa mereka mendapat Taman Negara bagi tujuan karbon kredit adalah tidak benar.
d. Melaksanakan aktiviti penjualan bit coin di bawah EcoBit tanpa persetujuan Kerajaan dan melencong dari tujuan asal yang dinyatakan.
e. Alamat pejabat syarikat yang dinyatakan adalah tidak wujud.
f. Penjualan bitcoin EcoBit Asia sebelum syarikat didaftarkan iaitu hanya pada 19/5/17.

Ini semua menunjukkan sesuatu yang mencurigakan dan niat serta integriti syarikat yang diberikan hak ke atas sejuta ekar bumi Kelantan amat membimbangkan.
Isu ini langsung tidak disentuh oleh kenyataan MB.

3. MB menyatakan projek ini amat baik.
Tetapi bolehkah sesuatu yang baik dilaksanakan oleh pihak yang tidak berkelayakan? Apa lagi niatnya mungkin mencurigakan berdasarkan tindak tanduk dan banyaknya dakwaan yang salah?

4. Saya merujuk kenyataan MB seperti di bawah:
"Untuk merealisasikan hasrat tersebut, maka pihak kerajaan negeri Kelantan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. pada 9 Januari 2017 yang lalu. Pihak kerajaan negeri telah memperuntukkan tempoh selama 24 bulan atau 2 tahun sebagaimana tertera dalam dokumen perjanjian untuk dilakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri. Fasa pelaksanaan seterusnya adalah bergantung kepada tempoh kajian ini dengan melihat kepada keupayaan syarikat mengendalikan projek terbabit"

Kenyataan sebelah pihak seperti ini tidak boleh disahkan kecuali perjanjian berkenaan didedahkan sepenuhnya.

Memandangkan isu ini adalah serius dan melibatkan kepentingan orang ramai, saya sekali lagi mencadangkan perjanjian berkenaan didedahkan sepenuhnya.

Dalam tempoh enam bulan sejak perjanjian itu ditanda tangani, apakah kemajuan kajian yang telah dibuat?

Adalah agak mustahil, selepas dua tahun dihabiskan, syarikat ini akan ditamatkan begitu sahaja.
Berdasarkan kenyataan syarikat dan ucapan Kerajaan sebelum ini, tempoh dua tahun adalah untuk kajian stok penyerapan karbon dari hutan itu dan tiada dinyatakan perniagaan karbon dari hutan itu akan ditimbangkan kemudian.

Dalam erti kata lain, ikatan antara kerajaan dan syarikat itu telah berlaku sejak dari tarikh perjanjian ditanda tangani, tanpa pemisahan antara dua tahun tempoh kajian dan pelaksanaan.
Saya bimbang Kerajaan telah diikat tanpa exit clause dan kerana itu syarikat boleh bertindak
bebas sekarang.

5. Saranan MB supaya mana-mana orang yang telah membuat bayaran (membeli bit coin EcoBit) membuat laporan polis menunjukkan dua perkara:
a. Mengakui tindakan penjualan bit coin oleh syarikat yang dipilih adalah melanggar undang-undang.
b. Kerajaan negeri sendiri pula cuba berlepas tangan dengan tidak membuat laporan polis berasingan kerana syarikat telah mempengaruhi orang ramai dengan mengiklankan sejuta hutan simpan yang diluluskan Kerajaan Kelantan kepada mereka.

Atau mengambil apa-apa tindakan ke atas syarikat.


YB Dato Husam Musa
Naib Presiden Parti Amanah Negara,
ADUN Salor,
5 Julai 2017/11 Syawal 1438

No comments:

Post a Comment