Friday, 7 July 2017

SYARIKAT KREDIT KARBON

KUALA LUMPUR: 1 Feb 2017 - Syarikat kredit karbon pertama Malaysia berharap lebih banyak negeri akan mengikuti langkah Kelantan yang memperuntukkan 25 peratus kawasan tanahnya untuk dilindungi serta mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).

Berdasarkan program usaha sama dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) - Melindungi Alam Sekitar daripada Pemusnahan Hutan dan Degradasi (REDD), Climate Change Protector (CCP) Sdn Bhd diperuntukkan 396,000 hektar hutan untuk melindungi flora dan fauna kawasan itu.

Syarikat berkenaan yang membuat pengkhususan dalam tenaga boleh baharu dan lestari, memperoleh projek itu menerusi inisiatif REDD PBB membabitkan tempoh konsesi 30 tahun dengan kerajaan negeri Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif CCP Tang Too Siah berkata pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) pada 9 Jan itu merupakan inisiatif kerajaan Kelantan untuk melindungi kawasan berkenaan daripada aktiviti perlombongan yang sah dan haram.

"Saiz (kawasan) luas, inilah kali pertama kerajaan memperuntukkan 25 peratus tanahnya untuk komitmen terbabit," katanya kepada Bernama.

Matlamat keseluruhan program adalah untuk mengurangkan pelepasan hutan dan meningkatkan stok karbon dalam hutan, dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan lestari negara.

Dalam konteks hutan, stok karbon merujuk kepada jumlah karbon yang disimpan di dalam ekosistem hutan dunia, sebahagian besarnya biojisim kehidupan dan tanah.

Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Greenpeace International pada Mac 2013 mengenai 'Mengenal pasti Stok Karbon Tinggi untuk Dilindungi', menyatakan hutan tropika mengandungi kandungan karbon yang tinggi, menyimpan biodiversiti penting yang kritikal untuk kehidupan komuniti tempatan.

Tang berkata penukaran hutan kepada pertanian atau perladangan merupakan antara pelepasan terbesar gas rumah hijau.

"CO2 ialah antara punca utama kesan rumah hijau ... ia sebagaian besarnya dihasilkan oleh industri pembuatan.

"Memandangkan CCP merupakan syarikat perdagangan kredit karbon, matlamat kami adalah untuk mengimbangi pelepasan CO2 menerusi pemuliharan yang kami jalankan," katanya.

Pada masa ini, industri diperuntukkan jumlah tertentu pencemaran dalam bentuk sijil (perakuan) yang boleh dijual beli atau permit yang membolehkan hak untuk melepaskan satu tan CO2 atau gas rumah hijau lain.

Tang berkata sebaik sahaja industri mencapai kuota mereka, mereka perlu membeli lebih banyak karbon kredit bagi menambah had semasa.

"Pada masa ini, syarikat itu menyasarkan pasaran Eropah," katanya.

Mengenai prospek inisiatif ini, beliau berkata ia menyediakan aliran tunai positif antara kerajaan negeri dan syarikat itu, yang dijangkakan masing-masing sebanyak 55 peratus dan 45 peratus daripada pendapatan.

"Pulangan akan dapat dilihat selepas penilaian dan pengesahan saintifik mengenai jumlah stok karbon yang boleh diperoleh. Ini dilakukan oleh juruaudit PBB bertauliah dalam tempoh 24 bulan mulai tarikh MoA ditandatangani," katanya.

Selain pulangan keuntungan, kerajaan akan menerima dron terkini, pengimbas haba dan teknologi pemantauan, secara percuma.

"Satu pasukan petugas bersama akan ditubuhkan untuk memantau kawasan bagi mengesan aktiviti haram. Syarikat itu akan menggunakan teknologi terkini, yang kemudiannya akan diserahkan kepada kerajaan secara percuma, termasuk perkakasan dan perisian," kata Tang.

Komitmen Malaysia ke arah pemuliharaan hutan hujan semula jadi tropika dilihat sebagai inisiatif yang positif, memandangkan negara ini merupakan antara peneraju dalam penghasilan minyak sawit mentah, katanya.

Tang berharap negeri lain akan mengikuti Kelantan, memandangkan inisiatif ini akan memberi gambaran positif kepada masyarakat antarabangsa mengenai usaha negara menjalankan peranannya dalam mengimbangi perubahan iklim.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment