Saturday 30 September 2017

Amal istighfar cara buka rezeki

Satu sebab terhalang usaha dan doa adalah dosa. Maka, satu usaha untuk membuka halangan itu adalah beristighfar dan bertaubat. Justeru lazimkan untuk menyebut kalimah istighfar.  

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang tetap melakukan istighfar, maka Allah SWT akan membebaskannya daripada segala kesusahan dan melapangkannya daripada setiap kesempitan serta akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak diduganya." (riwayat Abu Daud)

Sedangkan ketika menerima kurniaan atau nikmat, Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca sebagaimana maksud hadis berikut, “Setiap orang yang diberi kurnia Allah SWT lalu ia membaca Alhamdulillah maka Allah SWT akan memberikan yang lebih utama daripada apa yang telah ia terima." (riwayat Ibnu Majah)

Allah SWT telah memuji para hamba-Nya yang gemar beristighfar, terutama pada waktu-waktu mulia dan istimewa. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Orang-orang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah) dan yang memohon ampun di waktu sahur.” (Ali-Imran: 17)

Kesempurnaan istighfar di waktu ini diawali dengan kegiatan solat malam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan di mata air-mata air sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Az-Zariyaat: 15-18)

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka aku katakan kepada mereka, ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu’, sesunguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakan harta dan anak-anakmu dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai”. (Surah Nuh: 10-12)

Ibnu Katsir dalam tafsirnya berkata: Maknanya, jika kalian bertaubat kepada Allah, meminta ampun kepadaNya dan kalian sentiasa mentaatiNya, nescaya Ia akan membanyakkan rezeki kalian menurunkan air hujan serta keberkahan dari langit, mengeluarkan untuk kalian berkah dari bumi, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan untuk kalian, melimpahkan air susu perahan untuk kalian, membanyakan harta dan anak-anak untuk kalian, menjadikan kebun-kebun yang di dalamnya bermacam-macam buah-buahan untuk kalian serta mengalirkan sungai-sungai di antara kebun-kebun itu (untuk kalian). 

Cabaran hebat terhadap umat Islam

Negara sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari kita mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam.

Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Lebih malang lagi ada pihak berkepentingan sanggup mengiyakan apa yang dilakukan bukan Islam, biarpun ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan norma-norma kehidupan masyarakat Melayu.

Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara. 

Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia.

Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober 2014 memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain.

Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan. 

Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme.

Dalam konteks perjuangan agama bangsa, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan sesama sendiri yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. 

Justeru, amat penting umat Islam terus kukuh berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar. Jangan mudah terpengaruh dengan fahaman baharu yang menyeleweng.


Kedudukan ekonomi Melayu lemah

Fakta menunjukkan kedudukan ekonomi orang Melayu masih rendah berbanding kaum lain. Dalam era pasca DEB, data Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud.

Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera.

Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

Satu kebenaran pahit untuk akui kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta.

Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama.

Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta.

Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing.

Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu.

Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. 

Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju. 

Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. 

Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

Dasar pengagihan adil ekonomi

Dasar-dasar kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana kaum untuk memiliki dan menguasai kekayaan asalkan dilakukan mengikut lunas undang-undang. Malaysia untuk seluruh rakyat tanpa mengira agama anutan dan bangsa.

Dalam memacu ekonomi negara, kerajaan memperkenal pelbagai dasar sejak negara mencapai kemerdekaan. Antara dasar paling berkesan adalah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara.

Gagasan dasar itu juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. 

Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.

Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar.

Tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain.

DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB.

Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu.

Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud.

Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera.

Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

Demikian, adalah tidak berasas untuk melabelkan dasar kerajaan hanya menuntungkan satu-satu kaum sahaja.  Untuk keadilan, kek kekayaan negara perlu diagihkan dengan lebih adil dan dinikmati semua kaum. 

Mengapa bantah keistimewaan Melayu

Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan bangsa Melayu, kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi. Mereka tidak lagi peduli soal kontrak sosial yang termeterai sebelum kemerdekaan dahulu.

Menariknya, orang Melayu sendiri bersikap sama seperti bukan Melayu, sama-sama mempertikaikan perkara yang telah dipersetujui itu. Mereka lupa selama ini apa yang dinikmati adalah hasil 'peraturan' yang dibuat pemimpin generasi terdahulu.

Apabila pejuang bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata pejuang rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Mereka berjuang untuk hak mereka, tetapi apabila orang lain lakukan perkara sama dituduh pula rasis.

Sama juga, apabila pejuang bangkit mempertahankan kedudukan Islam, pejuang dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperakui Islam agama Persekutuan. 

Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Memang di Malaysia mengamalkan hak kebebasan beragama, tetapi perlu dalam ruang lingkup ditetapkan Perlembagaan. Mengapa, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin dipersoalkan.

Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh pejuang mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik.

Pejuang yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; pejuang yang memperjuangkan keadilan sosial; pejuang yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, pejuang dituduh sebagai zalim, menindas, menjajah rakyat.

Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah pejuang. Seolah-olah tiada setitik pun jasa pejuang kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada pejuang juga berubah.

Kita perlu mengajar rakyat tentang sikap bersyukur dan menghargai apa telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan. Kepimpinan negara telah berusaha sebaik mungkin ke arah itu. Ia tidak akan tercapai jika rakyat tidak sama-sama menyokong inspirasi kerajaan.

Syarat sah jual beli

Terdapat syarat jual beli yang perlu dipatuhi agar menepati syarak. Jual beli ditakrifkan sebagai "pertukaran sesuatu harta dengan harta yang lain bagi tujuan pemilikan kekal (al-Khin, et al, 2004).

Jual beli termasuk perkara dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: "Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Tegas di sini, pertukaran harta antara pihak berakad perlu berlaku dalam jual beli untuk tujuan pemilikan. Jika tidak berlaku pertukaran harta, maka tidak dianggap satu jual beli. Harta itu dalam bentuk berbeza dan mempunyai kepentingan berbeza. Harta itu perlu memenuhi maksud harta berdasarkan syarak.

Pertukaran wang dengan wang, walaupun dalam bentuk dominasi berbeza, contohnya A menyerah note RM10 kepada B, dan B membalasnya dengan 10 keping note RM1, ia bukan satu bentuk jual beli. Ini kerana ia barang yang sama dan melibatkan nilai yang sama. 

Dalam urusniaga melibatkan pertukaran dua barang berbeza jenis, ia dianggapkan pertukaran dua harta kerana mempunyai 'nilai' berbeza dan manfaat juga berbeza. Sebiji kelapa ditukar dengan sekilo gula boleh dianggap satu jual beli yang sah. Jual beli jenis ini dikenali perniagaan batter, yakni barang ditukar dengan barang.

Syarat lain berkaitan dengan penjual dan pembeli, yang mana kedua-duanya adalah baligh, berakal dan boleh menguruskan harta dengan baik. Jual beli melibatkan orang gila tidak sah, sama ada sebagai penjual atau pembeli. 

Perkara ini bagi mengelak berlaku penipuan dalam jual beli yang boleh menimbulkan kerugian bagi pihak yang tidak berakal dan tidak mampu mengurusakan harta itu. Mereka bukan saja mungkin ditipu dari segi harga, bahkan mungkin membeli sesuatu yang tidak mendatangkan manfaat, malah mendatangkan bahaya.

Pihak berkenaan juga bebas melakukan pilihan semasa berakad. Tidak ada paksaan atau wajib dilakukan. Jual beli dengan paksaan tidak sah. Contohnya, jika penjual tidak mahu menjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya, walaupun dibayar dengan harga yang lebih mahal. 

Memandangkan pertukaran itu melibatkan dua pihak, maka penjual dan pembeli mestilah orang berlainan. Mereka mempunyai kepentingan dan kehendak berlainan atas tujuan pertukaran itu. Pembeli ingin memperoleh barang dijual itu, sedangkan penjual ingin mendapat balasan dalam bentuk wang atau sesuatu nilai tukaran yang dipersetujui bersama.

Satu lagi syarat melibatkan penjual dan pembeli yang perlu dipenuhi ialah boleh melihat. Ini bagi memastikan penjual atau pembeli mengetahui dengan jelas apa yang dijual atau dibeli. Maka orang buta tidak boleh melakukan urusan jual beli. Ini mengelak daripada berlaku penipuan dan penganiayaan terhadap orang buta.

Syarat jual beli seterusnya ialah adanya ijab dan qabul sebagai syarat sah. Ijab dan qabul itu mestilah dinyatakan dengan jelas, ada persamaan antara ijab dan qabul dan tiada pemisah. Perkataan akad itu hendaklah bersifat kekal dan pemilikan mutlak. Tidak dianggap akad jual beli jika dikatakan pemilikan terhadap barang dijual itu hanya untuk tempoh tertentu atau hanya untuk kegunaan tertentu sahaja. Contoh, sebuah kereta yang dijual kepada pembeli hanya untuk sehari adalah tidak sah. Ia lebih memenuhi kaedah sewaan.  

Syarat lain dalam jual beli adalah berkaitan dengan barang jualan itu. Barang yang hendak dijual beli mesti wujud. Tanpa kewujudan barang jualan, maka tidak mungkin berlaku jual beli. Jadi tidak sah jual beli bagi buah-buahan di pokok yang baru berbunga, kerana buahnya belum wujud dan belum boleh digunakan.

Syarat lain ialah barang itu boleh diserahkan dan diketahui tentangnya oleh pihak berakad. Contohnya, jika urusniaga itu melibatkan kereta, maka sepenjual dan pembeli mengetahui apa itu kereta, kegunaannya serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan sebuah kereta.

Barang itu ada nilai dan manfaat kepada pembeli. Nasi basi tidak sah untuk dijual beli kerana ia tidak boleh dimakan dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada pembeli. Tetapi, jika pembeli membeli nasi basi itu atas tujuan untuk dijadikan makanan kepada haiwan ternakannya, maka wujud manfaat di situ, dan jual beli itu sah.

Syarat barang terakhir adalah ia berada di bawah kuasa penjual. Di bawah kuasa pembeli bermakan dia boleh menentukan apa boleh dilakukan terhadap barang itu. Kereta yang masih dalam sewa beli tidak boleh dijual, kerana kuasa atau hak terhadap kereta itu masih di bawah institusi kewangan, walaupun pada daftar pemilikan dinyatakan atas nama seseorang.       

Aktiviti perniagaan membentuk hubungan paling penting sesama manusia. Tidak ada hari tanpa wujud perniagaan. Perniagaan wujud sejak manusia hidup secara bermasyarakat. Ini kerana keperluan manusia berbeza-beza atau banyak, sedangkan kemampuan menghasil sendiri amat terhad. Petani menghasilkan hasil pertanian memelukan ikan yang ditangkap oleh nelayan, sedangkan nelayan pula ingin hasil pertanian. Maka, mereka boleh melakukan pertukaran barang.

Apabila wujud sistem matawang, maka pertukaran itu dilakukan menggunakan matawang. Ia memudahkan urusan jual beli dan mempelbagaikan hasil barang yang boleh diniagakan.

Memandangkan betapa penting aktiviti perniagaan, maka terdapat lebih 500 buah hadis daripada Rasulullah SAW membincangkan atau memperkatakan mengenai perniagaan. Dalam al-Quran juga tidak terkuali menyebut mengenai perniagaan agar ia berlaku secara adil dan mengelak berlaku penindasan.

Justeru, perkara penting ini perlu diperhalusi secara jelas agar tidak berlaku kecelakuan atau menimbulkan suasana tidak baik dalam urusan jual beli. Sesungguhnya, Islam tidak memisahkan kehidupan seharian dengan panduan agama. 

Apabila ada sesuatu amalan baru dalam urusan kehidupan seharian, termasuk berkaitan jual beli, maka para faquha akan mengkajinya agar tidak bertentangan dengan syarak. Maka, satu garis panduan dibuat agar dipatuhi penganut Islam.  

Begitulah dalam urusan jualan atas talian yang semakin berkembang sekarang. Umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi pengguna, tetapi perlu juga mengambil kesempatan menjadi penjual melalui atas talian yang menjanjikan pulangan yang lumayan dan mudah. 

Agama bukan sekadar dalam urusan ibadat khusus semata-mata. Bahkan urusan di luar ibadat khusus lebih besar kesannya dalam kehidupan seharian. Sebab itu, dalam urusan jual beli perlu mematuhi rukun, syarat dan perkara lain yang membezakan antara Islam dan bukan Islam. 

Peraturan itu bukan menyusahkan atau menghalang kebebasan, tetapi satu pemangkin menjadikan jual beli lebih tersusun, selamat dan menjaga kepentingan pihak-pihak terlibat. 

Maksud definisi hadis

Dari segi bahasa, hadis berasal daripada perkataan Arab iaitu daripada kata dasar  hadatha  dan haddatha. Manakala makna hadis pula terbahagi tiga.  

Pertama ialah baharu yang merupakan lawan kepada yang lama. Manakala yang kedua ialah dialog, perbualan, percakapan atau kisah. Makna yang ketiga ialah khabar atau berita.

Menurut terminologi pula, beberapa pakar hadis mengemukakan definisi berbeza, namun tiada percanggahan dalam menjelaskan maksud. Contohnya, Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis sebagai: "Hadis ialah apa-apa yang disandarkan kepda Rasulullah SAW."  

Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir telah mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau tidur."

Hadis atau sunah Rasulullah SAW panduan bagi umat Islam bersama al-Quran. Hadis berkait rapat dengan Rasulullah SAW.  Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

Kepentingan al-Quran dan al-hadis digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik).

Maka itu, penganut Islam memerlukan kepada hadis-hadis untuk rujukan dan panduan hidup. Umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara kita Malaysia menggunakan kitab-kitab hadis untuk dijadikan rujukan. 

Antara kitab rujukan terkenal ialah Sahih Muslim dan Sahih Bukhari yang dijilid dalam bentuk lengkap sepenuhnya.

Bagaimanapun tidak semua orang berpeluang memiliki kitab Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Sebaliknya banyak yang merujuk kitab hadis berdasarkan kepada bab-bab tertentu saja yang disalin semula atau dijadikan sebahagian daripada sesebuah makalah, naskah atau rencana.

Kaedah tradisi mencari hadis ialah menggunakan kitab hadis atau buku-buku agama. Selain itu, banyak orang belajar hadis dengan berguru, kemudian mencatat sendiri hadis itu untuk rujukan atau kegunaan masa depan.  

Namun, keadaan sekarang sudah banyak berubah selari dengan perubahan taknologi moden. Paling ketara perubahan yang berlaku dalam dekad ini ialah penggunaan internet atau hubungan dunia maya dan perisian. Mereka yang ingin mencari sesuatu maklumat hanya perlu melayari internet dan mengikut prosudur yang amat ringkas untuk mendapat apa yang diingini. 
           
Kaedah melayari internet juga kini dimanfaatkan oleh mereka yang ingin mencari sesuatu hadis. Cara ini semakin meluas dan telah diterima oleh semua golongan, terutama mereka yang dikategorikan sebagai celik komputer. Kaedah ini diterima secara global dan menjadi satu transformasi dalam penyebaran maklumat atau ilmu.

Penggunaan interaksi alam maya juga telah digunakan sebagai satu pendekatan dakwah. Justeru itu, kemasukan atau entri hadis-hadis juga berlaku secara meluas dalam rangkaian internet. 

Friday 29 September 2017

Mencari reda Allah

Rebut keredaan Allah dengan melakukan perkara yang disuruh dan menjauhi perbuatan dilarang. Dalam pada itu, kita perlu faham tentang mencari reda Allah. Tidak memadai dengan melakukan ibadat semata-mata kerana banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mencari reda Allah.

Kitab Mukasyafatul Qulub, karya Imam Al-Ghazali menukilkan.

Nabi Musa: Wahai Allah, aku telah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuatkan Engkau reda?

Allah SWT: Solat? Solatmu itu untuk dirimu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara daripada perbuatan keji dan munkar. Zikir? Zikirmu itu hanya untuk dirimu sendiri, membuatkan hatimu menjadi tenang. Puasa? Puasamu itu untuk dirimu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri.

Nabi Musa: Lalu ibadahku yang manakah yang membuatkan Engkau reda ya Allah?

Allah SWT: Sedekah, infaq, zakat dan perbuatan baikmu. Itulah yang membuatkan Aku reda, kerana ketika engkau membahagiakan orang yang sedang susah, Aku hadir di sampingnya. Dan Aku akan menggantikannya dengan ganjaran 700 kali ganda.

Apabila kamu sibuk dengan ibadah yang lazim dan berbangga dengannya, maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukannya Allah.

Tetapi, apabila kamu berbuat baik dan berkorban untuk orang lain, maka itu tandanya kau mencintai Allah dan tentu Allah reda kerananya.

Buatlah perkara yang Allah reda maka Allah akan limpahkan rahmat-Nya dgn membuatkan hidupmu lapang dan bahagia.

Serah hak kepada lebih layak

Berikan bantuan kepada yang lebih layak menerimanya. Suatu hari, seorang ulama salaf melalui sebuah kebun. Tiba-tiba, beliau terlihat seorang lelaki berkulit hitam sedang makan. Ada seekor anjing duduk di hadapan lelaki itu. Setiap kali ia menyuap sepotong makanan ke mulutnya, ia melemparkan juga sepotong makanan kepada haiwan tersebut. Ulama tadi berasa sangat takjub.

Ulama: Adakah anjing ini kepunyaan kamu?
Lelaki: Bukan.
Ulama: Lalu, mengapa engkau memberinya makananmu?
Lelaki: Aku malu jika seekor makhluk Allah memandangku apabila aku sedang makan, sedangkan aku tidak memberinya makan."
Ulama: Kamu hamba atau merdeka?
Lelaki: Hamba milik seorang bani Asim.

Lalu ulama tersebut pergi menemui pemilik hamba tersebut. Dia membeli hamba itu berserta kebun tempatnya bekerja. Beliau kembali menemui lelaki tersebut.

Ulama: Allah telah memerdekakan dirimu. Dan memberikan kebun ini untukmu.
Lelaki: Segala puji bagi Allah. Saya bersaksi bahawa kebun ini saya wakafkan kepada orang fakir yang ada di negeri ini.

Ulama itu terkejut. Beliau tidak menyangka orang itu akan menyedekahkan kebun tersebut.

Ulama: Mengapa engkau mewakafkan kebun ini?  Bukankah engkau juga miskin dan memerlukan harta?"
Lelaki: Aku malu kepada Allah yang telah bermurah hati kepadaku, sedangkan aku kedekut kepada-Nya.

PENGAJARAN:

Ada kalanya orang yang paling pemurah ialah orang yang paling memerlukan. Mereka lebih tahu betapa sukarnya menjadi orang miskin. Oleh itu, mereka selalu membantu orang lain supaya bebas daripada belenggu kemiskinan.

Thursday 28 September 2017

Kawal ketat aktiviti arak

Singapura mengadakan kawalan ketat berkaitan penjualan dan minum arak. Keadaan ini berdasarkan kepada kesan buruk akibat minum arak. Biarpun Singapura didiami majoriti penduduk berbangsa Cina yang dikatakan sinonim dengan arak, negara berkenaan tidak kompromi dalam soal kawalan terhadap aktiviti berkaitan arak.

Jadi, apa alasan untuk orang Cina mendakwa kerajaan Malaysia menghalang kebebasan mereka dalam soal arak. Aktiviti berkaitan arak sebenarnya lebih terbuka dan bebas di Malaysia berbanding di Singapura.

Akta Kawalan Arak di Singapura: 
- Dilarang minum arak di tempat awam dari pukul 10.30 malam - 07.00 pagi.
- Dilarang jual arak dari pukul 10.30 malam - 07.00 pagi.
- Di Geylang dan Little India, dilarang minum arak di Zon Kawalan Arak dari 07.00 pagi Sabtu - 07.00 pagi Isnin.
- Kedai di Zon Kawalan Arak dilarang jual arak dari 07.00 petang hujung minggu termasuk cuti umum. 
- Boleh minum arak melebihi masa yang ditetapkan dengan syarat ada permit sah dan boleh minum arak dalam tempoh permit itu sahaja. Minum arak pun dilokasi BBQ sahaja.
- Nak jual arak melebihi 10.30 malam, kena mohon dari Polis. Kelulusan Polis bergantung kepada kesannya pada orang awam. Pihak penjual juga mesti melaksanakan kawalan untuk mecegah kesan dari masalah minuman arak.
- Sesiapa sahaja yang melanggari peraturan ini akan didenda SGD 1 ribu - SGD2 ribu serta penjara 3 bulan. 
- Kedai yang menjual lebih dari masa yang ditetapkan akan didenda SGD 10 ribu.
- Denda akan dilipatgandakan sebanyak 1.5 kali jika perlanggaran terhadap kawalan ini berlaku di Zon Kawalan Arak.

Sepatutnya Malaysia juga mencontohi peraturan itu.

Wednesday 27 September 2017

Haramkan pesta arak

Pesta arak, bermakna satu program diadakan sekala besar melibatkan khalayak ramai. Apa-apa program pesta atau melibatkan peserta ramai, mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa. Sebelum meluluskan, sudah tentu pihak berkuasa tempatan akan mempertimbangkan pelbagai aspek dari segi keselamatan, kesan masyarakat setempat dan kesan sosial.

Jika permohonan dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan difikirkan tidak mendatangkan masalah, sudah tentu perkara itu diluluskan. Namun, jika sebaliknya, permohonan itu tidak akan diluluskan.

Jika tidak diluluskan, itu bukan bermakna menyekat kebebasan bukan Islam untuk minum arak. Kebenaran minum arak tidak disekat yang boleh dilakukan di tempat-tempat yang dibenarkan selama ini.

Tidak meluluskan sesuatu pesta atau perhimpunan bukan dalam soal pesta arak sahaja. Ia juga melibatkan dalam aspek hiburan, politik, agama dan sebagainya. Banyak kedatangan penghibur antarabangsa tidak diluluskan untuk mengadakan persembahan di Malaysia. 

Adakah itu bermakna kerajaan menyekat rakyat berhibur? Tentu sekali bukan, tetapi ia tidak diluluskan kerana berkaitan aspek tertentu yang telah dipertimbangkan baik buruknya.

Dengan kata lain, soal lulus atau tidak bukan hanya berkaitan pesta arak. Perkara lain juga banyak yang tidak diluluskan. Sepertimana dijelaskan tadi, sebelum meluluskan sesuatu permohonan, ada prasyarat yang perlu diambilkira.

Dalam isu pesta arak, perkara utama difikirkan adalah aspek keselamatan. Pihak polis ada pesta itu mungkin menjadi sasaran pihak pelampau untuk mencetuskan keadaan bahaya. Ancaman ini perlu diberi perhatian serius agar tidak terjadi perkara tidak diingini.

Perkara kedua ialah soal bantahan masyarakat. Banyak pihak telah menyatakan bantahan dan laporan dibuat kepada pihak berkuasa agar tidak meluluskan permohonan mengadakan pesta arak itu. Ia melibatkan isu sensitiviti kaum dan agama.

Bantahan itu bukan bermakna pihak membantah tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara majmuk kerana mereka bebas untuk minum minuman keras di rumah, namun pesta arak adalah berbeza.

Tiada pihak menghalang bukan Islam minum arak di rumah atau di tempat lain yang dibenarkan, namun jika mahu menganjurkan pesta arak, ia tidak sesuai memandangkan Islam adalah agama Persekutuan yang rakyat majoritinya beragama Islam.

Justeru, penganjur program perlu menghormati agama lain kerana banyak kesan negatif bakal berlaku kesan daripada penganjuran pesta terbabit.

Kesan buruk minum arak

Kesan minum arak dan alkohol. Alkohol bukan sahaja boleh memabukkan, tetapi juga mampu memudaratkan kesihatan diri jika diamalkan berterusan. Ia umpama kombinasi dadah dan racun kepada badan kita.

Ilmuan Islam iaitu Abdul Laith Assamarqandi berkata dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin: “Awaslah kamu dari meminum arak kerana ia mengandungi sepuluh bahaya:

- Peminumnya berkelakuan seperti orang gila dan menjadi bahan ketawa anak-anak kecil dan tercela di kalangan orang-orang berakal.
- Memboroskan harta dan merosakkan akal.
- Menyebabkan permusuhan dengan kawan-kawan.
- Terhalang daripada mengingat Allah dan sembahyang.
- Terdorong melakukan zina kerana dalam keadaan mabuk si peminum mungkin menceraikan isterinya tanpa disedari.
- Arak adalah pembuka bagi segala kejahatan.
- Perbuatan meminum arak mengganggu Malaikat yang menjaga si peminum disebabkan kefasikan dan bau busuk arak yang diminumnya.
- Dikenakan hukuman dera 80 kali di dunia dengan disaksikan oleh keluarga dan teman-teman.
- Perbuatan meminum arak menutup pintu langit disebabkan segala kebaikan dan doanya tidak terangkat ke langit selama 40 hari.
- Membawa akibat buruk terhadap diri si peminum kerana ditakuti tercabut imannya ketika mati.

Maka, itu sesiapa yang akalnya waras sudah tentu tidak akan terlibat dalam amalan meminum arak. 

Sunday 24 September 2017

Pemimpin sokong pesta arak

Pemimpin yang menyokong penganjuran parti gay dan festival arak perlu ditolak di atas kegagalan mereka untuk memahami sensitiviti Islam sebagai agama Persekutuan dan adab tatasusila di negara ini.

Sekiranya pemimpin yang menyokong penganjuran gay dipilih, Malaysia akan menuju kehancuran kerana mempunyai ketua yang menyokong budaya bertentangan norma-norma manusia.

Kalau hendak jadi pemimpin, dia kena faham agama Islam itu sendiri memandangkan ia merupakan agama Persekutuan di Malaysia dan mempunyai peraturan, tetapi jika tidak faham, dia tidak layak jadi pemimpin.

Tindakan kerajaan Malaysia mengambil langkah sewajarnya untuk melarang dan menolak permit penganjuran kedua-dua acara tidak bermoral itu perlu disokong dan tidak dipertikaikan.

Sikap kerajaan bertegas menolak permohonan pengajuran pesta 'syaitan' itu tepat dan perlu dipuji kerana acara itu bukan sahaja bertentangan dengan norma-norma manusia biasa tetapi boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan membawa ancaman terhadap keamanan negara.

Penganjuran pesta arak bukan sahaja akan memberi keburukan (mafsadah) kepada mereka yang terlibat tetapi turut akan merosakkan individu, masyarakat dan imej negara Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara Islam.

Mafsadah (keburukan) pesta arak itu terlalu jelas samada dari sudut individu, masyarakat atau negara.

Biarpun penganjuran itu untuk bukan Islam, namun jika ia ternyata boleh mendatangkan keburukan, maka perlu disekat penganjurannya.

Orang bukan Islam perlu faham berkaitan konsep bukan Islam dalam negara Islam yang wujud pada hari ini sebagai akad ‘muwatinun’ iaitu perjanjian kewarganegaraan bermaksud mereka ada hak serta tanggungjawab yang perlu diberikan kepada negara.

Banyak hak yang telah diberikan kepada mereka seperti hak membina keluarga, hak tempat tinggal, hak bebas bergerak dan lain-lain. Jadi atas dasar itu mereka ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan atas hak yang diberikan tersebut.

Antara tanggungjawabnya adalah mereka perlu menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang mengganggu kehidupan masyarakat seperti menghina Islam atau orang Islam atau meminum dan jual beli arak secara terbuka atau apa saja yang diharamkan oleh Islam.

Kes sumbang mahram

Kejadian sumbang mahram menimbulkan ketakutan yang menggugat keamanan dalam institusi keluarga. Fenomena ini memperlihatkan wujudnya kecacatan dalam keluarga di mana hilang kasih sayang. 

Lelaki dalam keluarga yang sepatutnya menjaga keselamatan, kehormatan, maruah dan masa depan ahli keluarga perempuan tidak boleh lagi diharapkan.

Berdasarkan situasi sekarang, seperti tidak ada siapa lagi boleh dipercayai. Justeru, pendekatan jangan terlalu percayakan kepada lelaki mula wujud dalam diri sesetengah gadis.

Seseorang bergelar bapa, tidak kira bapa kandung atau bapa tiri, sepatutnya menjadi orang paling bertanggungjawab terhadap anak gadisnya. 

Bapa sepatutnya sanggup melakukan apa sahaja, hatta mengadaikan nyawa demi keselamatan dan maruah anak gadisnya.

Sesungguhnya, perbuatan bapa merogol anak adalah jenayah terkeji yang mengubah pandangan umum terhadap kedudukan bapa. 

Perbuatan itu yang dilakukan sebilangan kecil bapa durjana telah mencemar kemuliaan bapa pada pandangan seorang anak perempuan.

Rogol mahram turut melibatkan abang, abang tiri, adik, adik tiri, bapa saudara, abang atau adik ipar dan datuk.

Kejadian rogol mahram memperlihatkan kerakusan nafsu serakah tanpa mengenal mangsanya. Apabila nafsu tidak dikawal, akal fikiran tidak berfungsi lagi untuk membezakan baik dan buruk.

Ketika keinginan seks memuncak, soal halal haram tidak menjadi pertimbangan lagi. Malah, mereka tidak kisah lagi kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang yang berat.

Anak gadis dinodai mahram terpaksa melalui masa depan yang gelap. Pengalaman ngeri itu bertukar kepada pelbagai situasi dan kesan yang berkekalan. 

Mereka memberontak sehingga tidak memperdulikan nasib diri sendiri. Mereka hidup dalam keadaan tertekan dan memilih hidup bersendirian, pemarah, pendendam, pendiam dan mengalami penderitaan hidup.

Banyak mangsa di peringkat usia kanak-kanak tidak memahami takrif jenayah yang telah dilakukan terhadap mereka.  Penjenayah bijak menggunakan kejahilan mangsa untuk menuntup perbuatan yang dilakukan.  

Biasanya, perogol mahram melakukan perbuatan terkutut itu berulang-ulang kali. Mangsa tidak berani memberi tahu orang lain.

Nasib malang itu biasanya terbongkar apabila dirinya mengandung, mengalami kecederaan fizikal atau perubahan sikap yang ketara yang disedari orang lain.

Ambil pinjaman tidak berlesen

Kegiatan pemberi hutang (pemiutang) tidak berlesen atau dikenali Along berleluasa. Kes Along mendapat perhatian bukan kerana mereka memberi hutang, tetapi perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap penghutang yang tidak mampu menjelaskan hutang.  

Memberi penjaman tanpa lesen memang satu kesalahan, tetapi kesalahan lebih besar ialah melakukan jenayah.  

Kes jenayah Along kini semakin mendapat perhatian kerajaan untuk membanterasnya.  

Sekiranya dahulu Along sekadar mengugut peminjan yang gagal menjelaskan hutang, tetapi kini bertindak ganas menculik ahli, merosak harta benda, membakar kediaman, mencederakan dan membunuh. Along bertindak lebih berani apabila kegiatan mereka dilindungi pihak tertentu. 

Kegiatan Along lahir adanya permintaan orang ramai yang ingin berhutang disebabkan memerlukan wang segera dengan cara mudah. Ini membuktikan ramai terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan hidup terdesak dan pelbagai tujuan. 

Diakui kehidupan sekarang, terutamanya mereka tinggal di bandar memerlukan wang untuk pelbagai tujuan. Istilah, jika ada wang semua boleh jadi, membuktikan berapa pentingnya wang dalam kehidupan.  

Dalam dunia ekonomi kapitalis sekarang, wang menjadi raja kehidupan. Kuasa berada pada sesiapa yang memiliki banyak wang. 

Bagaimanapun, meningkatnya permintaan terhadap hutang disebabkan kehendak manusia yang pelbagai dan melampuai kemampuan.  

Ramai berbelanja tidak mengikut kemampuan masing-masing. Selagi ada wang di tangan, maka sebanyak itulah akan dibelanjakan. Sikap boros dibisikan oleh syaitan kerana ia mendatangkan banyak keburukan.

Wang lebih yang dimiliki selain keperluan harian sepatutnya disimpan untuk digunakan apabila perlu. Ada kalanya pendapatan kita tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa. Ketika itulah wang simpanan boleh digunakan.

Disebabkan tiada simpanan yang boleh digunakan semasa wang amat diperlukan, sumber paling mudah diperoleh daripada Along. Perkhidmatan Along amat mudah diperoleh. Mereka menyediakan perkhidmatan tanpa banyak birokrasi. 

Along boleh ditemui untuk membuat pinjaman biarpun waktu sudah larut malam. Along tidak cerewet dan sentiasa ingin menolong. Malah mereka menyediakan kad perniagaan dibahagikan kepada orang ramai. Along ada di mana-mana untuk menghulurkan bantuan.

Pinjaman boleh diluluskan hanya dalam tempoh kira-kira sejam. Jika kena caranya, pinjaman diluluskan dalam tempoh masa 10 minit.  

Jumlah pinjaman pula sehingga lebih 10 kali ganda pendapatan. Tiada penjamin diperlukan. Begitu budah sekali berurusan dengan Along, tidak seperti dengan syarikat kewangan dan bank. 

Sebab itulah perkhidmatan Along amat terkenal dan menjadi tempat orang ramai mengadu masalah. Nama Along sendiri dipercayai mengambil nama gelaran abang sulung yang sentiasa ingin menolong adik-adiknya. 

Bagaimanapun, segala kebaikan Along hanya ketika memberi pinjaman. Along berubah sikap apabila ingin memunggut hutang.  

Along menjadi garang dan sanggup melakukan apa saja asalkan hutang mereka dijelaskan. Along bertukar penjenayah apabila ingin memungut hutang. Kebaikan Along hilang serta merta.

Tindakan Along tidak sedikitpun melambangkan sifat disuruh oleh firman-nya dalam surah al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud: “Dan jika si berhutang dalam kesukaran, maka berilah masa sehingga dia mampu (membayar). Sebenarnya kalau kamu mahu menyedekahkan hutang itu adalah baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Dalam Islam, kegiatan Along dinamakan pemiutang mengamalkan riba. Amalan riba dilarang dalam Islam. Riba adalah malapetaka kepada kehidupan manusia yang terpaksa menambah kesengsaraan ketika mana mereka sebenarnya sudah menanggung kesengsaraan.

Keburukan riba bukan saja dilarang dalam Islam, bahkan menjadi perjuangan dalam beberapa fahaman atau mazhab agama lain. Mereka menyedari keburukan riba dan ingin menghapuskan amalan riba. Mengambil riba tidak ubah seperti merampas hak orang lain.   

Sambut Maal Hijrah

Ketibaan 1 Muharam setiap tahun disambut umat Islam dengan penuh ceria di seluruh dunia. Acara sambutan berbeza-beza mengikut tradisi tempatan. Namun, tujuan pengisiannya tetap sama yakni mengimbau kembali hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah. Peristiwa itu menjadi detik permulaan kejayaan umat Islam dan kiraan kalendar Islam.

Di negara kita, sambutan tahun baru Hijrah lebih dikenali Maal Hijrah. Program sambutan diatur rapi di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, kampung dan keluarga. Maal Hijrah menjadi sebahagian daripada tradisi sambutan berbentuk keagamaan.

Menyambut Maal Hijrah adalah tanda kekaguman seluruh umat Islam terhadap kejayaan yang dicapai hasil hijrah Rasulullah. Dengan sambutan itu diharap umat Islam dapat membina satu semangat untuk mengikut jejak kejayaan itu dalam urusan hidup kini.

Namun timbul pula persoalan yang mana ada pihak membantah sambutan tersebut. Mereka mengemukakan hujah mengatakan sambutan tersebut tidak dilakukan pada zaman hayat Rasulullah dan juga ketika pemerintahan empat khalifah di Madinah. 

Memang pada zaman Rasulullah sambutan tersebut tidak diadakan. Malah, ketika itu belum ada takwim Islam. Sejarah takwim Islam hanya bermula pada zaman pemerintahan Sayidina Umar al-Khattab. Sebelum itu tidak ada istilah tahun Hijrah. 

Bagi pendapat yang mengatakan sambutan itu harus, ia banyak bersandarkan kepada matlamat sambutan tersebut diadakan. Tambahan pula, tidak ada hadis dan ayat al-Quran yang boleh dijadikan alasan sambutan sedemikian adalah haram. 

Jika tidak ada pengharaman secara jelas, maka hukumnya bergantung kepada tujuan atau niat dan apakah kesannya. 

Sesungguhnya sambutan Maal Hijrah dilakukan dengan suasana kegembiraan atau ceria. Tiada pantang larang atau perbuatan menyakitkan tubuh badan dilakukan semasa sambutan seperti dilakukan oleh penganut agama lain ketika merayakan hari tertentu. 

Sambutan Maal Hijrah amat bermakna. Semua peringkat menyertai sambutan. Di negara kita, sambutan peringkat kebangsaan turut disertai pemimpin tertinggi negara, tokoh agama dan pegawai kanan kerajaan, selain puluhan ribu rakyat berkumpul dengan satu niat yang sama, yakni menanam sikap untuk bersama-sama menyertai hijrah yang mengajak umat berubah ke arah lebih baik dalam semua keadaan. 

Jadi, tidak tepat jika dikatakan sambutan Maal Hijrah sekadar upacara rasmi tanpa mendatangkan kebaikan. Setiap peristiwa tetap memberi kesan, biarpun amat kecil, bergantung kepada tahap penerimaan setiap orang. Tidak mungkin individu menyertai sambutan Maal Hijrah tidak mendapat apa-apa manfaat. 

Paling tidak, mereka yang menyertai sambutan dapat merasakan bahawa dirinya seorang Islam. Dia berada bersama-sama saudara seagama dengan tujuan mengharapkan sesuatu yang mendatangkan kebaikan. Dari situ akan lahir rasa kegembiraan dan bersyukur berada dalam kelompok umat Islam. 

Umat Islam perlu menghayati Maal Hijrah dengan kembali mematuhi tuntutan agama. Islam mengehendaki kita berhijrah mencari kebaikan dan kejayaan. Sambutan Maal Hijrah juga peluang untuk kita muhasabah diri mencari kekuatan dan kelemahan diri. 

Jika kita telah mencapai satu tahap yang baik, jangan nikmat itu membuatkan kita lupa diri. Sebaliknya jika masih di tahap tidak membanggakan, usaha lebih gigih perlu dilakukan. 

Semoga tahun Hijrah yang datang membawa sinar kejayaan lebih baik kepada seluruh umat Islam berbanding sebelum ini.