Monday 2 October 2017

Teori Evolusi Darwin

Polemik mengenai teori evolusi manusia diperkenalkan Charles Robert Darwin pada 1859 sehingga kini masih menjadi perbalahan pendapat antara teori Darwinian dan teras kejadian manusia mengikut perspektif dan pemikiran Islam. Darwin mengasaskan teori evolusi yang mencetuskan pemikiran bahawa manusia berasal daripada beruk.  

Pendirian Islam amat jelas iaitu manusia pertama adalah Nabi Adam. Manusia berasal daripada air mani, lalu menjadi sebuku darah beku, sehingga membentuk sifat manusia.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya, kami (Allah) menciptakan manusia daripada pati yang berasal dari tanah. Kemudian kami jadikan pati itu air benih pada tempat penetapan yang teguh kukuh. Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, lalu kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian kami balut tulang itu dengan daging. Selepas sempurna kejadian itu, kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta." (Surah al-Mukminun, ayat 12-14).

Teori evolusi Darwin disebarkan melalui penebitan buku berjudul Origin of Species yang diterbitkan pada tahun 1859 dan dianggap sebagai 'buku yang menggegarkan dunia'. 

Soalnya, siapakah pengkaji asal mengenai Origin of Species? Apakah mungkin Darwin mencedok pemikiran asal pengkaji Islam Ibn Maskawaih (300 Masihi), cendekiawan Islam pertama mencetuskan uraian mengenai hubungan alam dan kehidupan, serta hubungan kejadian biologis dan evolusi pemikiran?

Darwin bukanlah orang pertama mencipta teori evolusi, sebaliknya teori itu sudah dibincang secara meluas pada zaman Darwin sendiri. Dikatakan bahawa datuk Darwin, Erasmus, pernah menceritakan mengenai evolusi ini dalam karya puisinya.

Justeru, Darwin dikatakan hanya menyambung kajian datuknya dan memerap idea itu selama lebih 20 tahun. Darwin terus mempercepatkan usaha menerbitkan bukunya pada 1859  apabila idea sama turut dicetuskan Alfred Russell Wallace. Sebab itu ada orang menyebutnya sebagai teori evolusi Darwin – Wallance.

Banyak persoalan mengenai Theory on Evolution boleh dipelajari dan digarap mengikut perspektif al-Quran.

Teori evolusi diperkenalkan Darwin diasaskan kepada sistem klasifikasi 'Binomial' yang membawa konsep efiniti antara pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan terdiri daripada spesies, genera, order, kelas dan phyla.

Mengenai klasifikasi binomial pula, setiap spesies berpunca daripada satu keturunan sama dan asal usul ini berkesinambungan daripada permulaan alam hayat di muka bumi ini.

Proses evolusi ini menekankan bahawa dalam keadaan semula jadi, sesuatu spesies mengalami perubahan dari segi fizikal dan wujud variasi bagi tujuan survival, manakala persaingan berlaku bagi membolehkan spesies lebih kuat dan dominan akan terus hidup.

Tidak semua pemikir Barat menerima teori Darwin ini. Misalnya, pihak gereja menganggap ia bercanggah dengan pendirian agama mereka seperti dalam Bible Genesis Fasal 1, ayat 1-25 yang menyebut setiap spesies itu melalui kejadian khas oleh Tuhan.

Apa pun, gereja menganggap Tuhan dimaksudkan ialah Tuhan anthropomorfik, iaitu tuhan yang disekutukan dengan sifat manusia yang kemudian menjelma sebagai Yesus Kristus dalam konsep triniti.

No comments:

Post a Comment