Tuesday 17 October 2017

Bina kekuatan sesama Islam

Kekuatan umat Islam perlu diperkukuhkan. Usaha membina ummah perlu kerjasama semua pihak. Antara perlu dilakukan ialah saling mengenali sesama Islam. Usaha pertama ialah mencari jalan untuk berkenalan dan diikuti dengan usaha mendapat kerjasama serta sokongan.

Jauhkan kerja yang merenggangkan kita dengan ummah. Mereka adalah saudara dan sahabat kita. Dapatkan kerjasama semua pihak untuk menjayakan niat suci membina kembali umat dan bangsa yang dikasihi. Niat suci yang besar ini, jika mendapat kerjasama semua pihak akan dapat diterjemahkan menjadi kenyataan.

Ingatlah bahawa usaha membina ummah, berjalan atas asas persaudaraan, kasih sayang, kesungguhan dan pergantungan dengan seluruh anggota ummah adalah berkat sokongan semua pihak. Justeru, kerja yang berat akan menjadi ringan dan yang susah akan menjadi mudah.

Kerjasama adalah sebahagian fenomena persaudaraan yang hendak ditegakkan Islam di kalangan umatnya. Kerjasama itu, jika diteruskan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan, akan berkembang mencapai tahap tadhamun iaitu ikatan setia kawan antara umat Islam.

Inilah yang perlu dicapai masyarakat Islam seperti dirakamkan melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perumpamaan orang-orang beriman di dalam kasih sayang dan prihatin antara mereka adalah seperti satu jasad yang jika sebahagian anggota itu mengadu sakit, ia membawa seluruh jasad itu berjaga malam dan demam." (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim )

Oleh kerana adanya setia kawan yang kuat dan padu, masyarakat Islam pada zaman awal Islam tidak boleh dipermainkan oleh sesiapapun. Mereka mempunyai maruah yang tinggi dan disegani kerana mereka prihatin terhadap kesusahan dan kesulitan saudara mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: “Muhammad pesuruh dan mereka yang bersama-samanya bersikap tegas terhadap orang-orang kafir dan saling berkasih sayang sesama mereka.” (Surah Al-Fath, ayat 29)

Tetapi ketegasan dalam tindakan mereka sentiasa berpegang kepada keadilan. Mereka akan memihak kepada yang benar, walaupun terpaksa menghukum diri serta saudara. Mereka berpegang kepada prinsip yang ditetapkan al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu kitab supaya kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia dengan apa yang dipeliharakan kepada kamu kepada Allah dan jangan kamu menjadi pembela kepada orang yang khianat." (Surah al-Nisa, ayat 105)

Ayat itu mengenai Ibn Ubairaq yang mencuri sebilah pedang dan kemudian melemparkan tuduhan kepada seorang yang tidak bersalah. Orang yang dituduh itu sama ada daripada kalangan orang Ansar atau Yahudi.

Larangan menjadi pembela kepada pengkhianat itu merangkumi perbuatan khianat terhadap orang Islam atau kafir muahad (yang memeterai perjanjian damai dan hidup bersama secara aman). Kerana itu, keadilan adalah menjadi pegangan kukuh mereka dalam pelaksanaan sikap tegas.

No comments:

Post a Comment