Monday 16 October 2017

Yakin jual diri cipta kejayaan

Kalau bercita-cita ingin berjaya dalam perniagaan, tetapi tidak berani untuk mengubah gaya hidup dan berfikir masih cara lama, percayalah anda tidak akan ke mana.

Berniaga bukan hanya membeli dan menjual sesuatu produk. Perniagaan satu yang kompleks dan memerlukan ilmu untuk menceburinya. Bukan boleh dianggap sebagai hanya cuba-cuba. Lainlah, jika sekadar mencuba berniaga modal dua tiga ratus ringgit saja.

Dalam kebanyakan perniagaan, kita perlu menjual diri untuk berjaya. Bina keyakinan diri agar nampak menonjol dan berjaya. Lakukan sesuatu membuatkan diri kita dipandang oleh orang lain. Untuk membentuk keyakinan dalam diri bukannya mudah, ia memerlukan kekuatan mental yang kuat untuk terus mengekalkan kepercayaan kepada diri sendiri.

Cara menjual diri sangat penting untuk orang mudah berurusan dengan kita. Penjenamaan diri sangat penting sebagai wakil kepada produk kita.

Sebagai usahawan, tidak hanya menjual barangan atau servis semata-mata, tetapi diri sendiri itu mewakili jenama masing-masing.

Betapa pentingnya ilmu perniagaan kepada usahawan. Kalau setakat berniaga, mungkin tidak perlu untuk seseorang itu memikirkan hal mendalam mengenai sesebuah produk dan kerjanya hanya mengambil barang serta menjualnya.

Berbeza dengan usahawan yang perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap produk atau perkhidmatan ditawarkan. Usahawan misalnya perlu mengetahui mengenai kandungan produk, kelebihan serta kekurangannya, pembungkusan, penjenamaan, strategi pemasaran, modal dan sebagainya.

Banyak yang perlu diberi perhatian dan inilah sebabnya usahawan harus memiliki ilmu. Ilmu itu penting untuk berdepan dengan kesulitan.

Dampingi dan terima tunjuk ajar atau sekurang-kurangnya berkongsi pengalaman mereka yang telah berjaya. Konsep ‘mentoring’ sangat bagus kalau dipraktikkan untuk mereka belajar lebih rapat dengan mentor.

Jangan hanya tahu ambil jalan mudah dan pintas untuk untung cepat. Biasanya yang cepat naik itulah yang cepat merudum.

Di dalam perniagaan tiada jalan pintas untuk berjaya kecualilah kalau seseorang usahawan itu dilahirkan di dalam keturunan orang kaya yang hartanya tidak habis dimakan.

Jadi, kita perlu sedar di mana kedudukan kita. Apakah kita mempunyai kekayaan warisan atau sebaliknya. 

Kalau kita sering fikir susah, nescaya kita akan rasa susah. Kalau fikirkan ia mudah, insya-Allah ia mudah.

Dalam mana-mana pekerjaan pun, kalau kita fikir ia sesuatu yang susah, memang akan jadi susah. Sebab apa yang kita fikir, buat dan rasa itu adalah doa.

Kita perlu memujuk akal supaya menerima sesebuah cabaran dengan positif. Kalau minda kata bagus, maka baguslah. Pemantapan ilmu penting kerana tidak mahu menjadi peniaga ‘kosong’.

No comments:

Post a Comment