Friday 3 November 2017

Akibat ikut nafsu haiwan

Kes sumbang mahram, seks bebas dan tukar pasangan semakin terjadi dalam masyarakat. Ibu atau bapa lacurkan anak seawal usia 10 tahun juga berlaku. Ibu bapa jenis apakah ini? 
 
Semua kejadian ini berlaku akibat tiada pegangan agama atau kurang didikan agama. Hukum agama tidak dipedulikan asalkan dapat puaskan nafsu. Mereka tidak kira erti dosa dan pahala. Jauh sama sekali untuk ambil kisah cemuhan masyarakat.  

Hidup bebas seks berlaku yang berlaku dalam masyarakat Melayu sudah seakan-akan seperti di negara Barat. Itu semua ajaran sesat yang semakin menular dalam masyarakat kita. 

Ini tidak termasuk kes abang ipar layan nafsu adik ipar, adik ipar lelaki dengan kakak ipar perempuan, sumbang mahram adik beradik dan sebagainya. 

Ada yang kongsi bini dengan lelaki lain, main dengan isteri rakan, main dengan isteri jiran, kongsi suami, adik main kakak, bertukar pasangan suami isteri, suami jual isteri dan macam-macam istilah yang menjijikkan. 

Hidup tidak ubah macam alam haiwan, bahkan lebih teruk. Binatang tahu menjaga pasangan masing-masing. Binatang akan berlawan hingga mati semata-mata untuk mengelak jantan lain mendampingi pasangannya.  

Sebenarnya apa yang diketengahkan adalah soal hubungan terlarang dalam keluarga. Perkara yang jijik, tetapi dianggap seronok oleh mereka yang sudah bernafsu binatang.

Hubungan terlarang tidak berlaku jika masing-masing menjaga batas hubungan. Ingat, hubungan keluarga dan tinggal serumah bukan alasan untuk bergaul bebas.  

Syaitan sentiasa menjadi orang tengah menggalakkan maksiat. Syaitan yang diketuai iblis ingin kita menemaninya di neraka. Syaitan mengajak manusia ingkar perintah Allah dan menjadi sesat. 

Antara yang perlu dijaga ialah soal batasan aurat yang boleh menaikkan nafsu ghairah. Berpakaianlah dengan sopan biarpun berada di dalam rumah sendiri. Jangan dedahkan bahagian mudah mengundang ghairah pasangan berlainan jantina.  

Sumbang mahram, selikuh dan seks terkutut di dalam rumah mudah berlaku kerana tidak ada yang melihat. Ia tidak ubah seperti pesta seks keluarga. Mereka menganggap rumahku syurgaku. Sedangkan hakikatnya rumahku sudah menjadi nerakaku. 

Sikap saling percaya dan anggap tidak ada apa-apa banyak punca berlaku maksiat di dalam rumah. Mereka berkongsi dan memberi kepada yang tidak sepatutnya.

Jangan terkejut jika lesbian, gay, biseksual dan transgander juga wujud di dalam rumah. Inilah yang membimbangkan. Maksiat dalam rumah yang terselindung di sebalik hubungan kekeluargaan.

Isteri curang, suami jahat, kakak ipar atau adik ipar menggoda dan macam-macam lagi terjadi dalam keluarga yang tidak mementingkan batasan hukum agama. Lebih malang, suami lacurkan isteri, ibu atau bapa paksa anak perempuan mereka layan nafsu lelaki.  

Banyak kes berpunca adik atau kakak, suami isteri bercerai akibat masalah ini. Justeru, layanan terhadap ahli keluarga perlu dibatasi untuk elak maksiat dan fitnah.  

Akibat nafsu buas, kanak-kanak perempuan menjadi mangsa. Kisah bapa rogol anak satu kejadian yang menyedihkan. Sama juga kejadian bapa cabul dan rogol cucu. Mereka tidak kira umur. 

Ada kes kanak-kanak yang masih berstatus bayi berumur bawah satu tahun menjadi mangsa seks gila. Manusia hilang kewarasan dan nilai kemanusiaan.

Islam melarang hubungan bebas, tambah lagi seks bebas. Hubungan seks menjadi satu ibadah jika berlaku antara suami isteri yang sah nikah. Islam menghalalkan nikah dan mengharamkan zina.   

Kepada yang terlanjur, cepatlah bertaubat nasuha dan berusaha menjauhkan perbuatan dosa itu. Ingatlah, perbuatan dosa membawa ke neraka. Rebutlah perluang taubat yang masih terbuka sebelum ajal menjemput. 

Ingat, ajal tidak mengenal usia. Yang muda pun banyak mati secara mengejut atau disebabkan penyakit berbahaya. 

No comments:

Post a Comment