Friday 3 November 2017

Tanggungjawab pejawat awam

Pejawat awam perlu melaksanakan tugas diamanahkan rakyat dan negara secara jujur dan tekun. Setiap pekerja dipertanggungjawabkan dengan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat kelak. Dosa atau pahala diperoleh kelak bergantung kepada sejauh mana individu tersebut berjaya atau gagal dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Setiap individu yang menjawat jawatan kerajaan sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian ke­pada tugas dipertanggungja­wabkan kepadanya tanpa me­ngira siapakah pemimpin dan parti politik yang menerajui kerajaan. Mereka dilantik oleh kerajaan tanpa melihat fahaman politik masing-masing.

Setiap penjawat awam mempunyai tugas khusus yang perlu dilaksanakan secara proaktif dan dedikasi supaya setiap peranca­ngan kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kebaik­an masyarakat dan negara. 

Patuh dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah adalah piagam yang perlu dipegang oleh setiap pejawat awam. Jika tidak dapat bersama-sama melaksanakan dasar dan perintah ditetapkan, adalah lebih adil dengan meletakkan jawatan dan diserahkan kepada individu lain.

Sikap cuai dan kurang prihatin terhadap tugas dipertanggungjawabkan adalah faktor utama yang boleh menggagalkan setiap pe­rancangan kerajaan. Indivi­du dilantik sebagai kakitangan ke­­rajaan adalah harapan rakyat bagi merealisasikan perancang­an kerajaan untuk membangun ma­syarakat dan menjamin ke­selamatan negara.

Kurang kesedaran terhadap ta­nggungjawab dan pembalasan di hari akhirat adalah faktor utama bertambahnya gejala rasuah, pe­nyalahgunaan kuasa dan peng­khianatan terhadap masyarakat dan negara.

Individu-individu yang dilantik  oleh kerajaan sepatutnya me­numpukan perhatian kepada tugas secara ikhlas dan dedikasi supaya tenaga dan pengorbanan mereka dihargai masyarakat dan dirahmati Allah dengan ganjaran pahala istimewa di hari akhirat.

Kesedaran terhadap pembalasan di hari akhirat sahaja mampu memperkukuhkan prinsip dan jati diri mereka sebagai orang beriman dan sentiasa mengharapkan pembalasan baik daripada Allah SWT dan keberkatan dalam kehidupan. Tugas sebagai anggota keselamatan seperti polis dan tentera adalah satu ‘perniagaan’ yang paling baik di hari akhirat.

Berdasarkan kepada keistimewaan bertugas untuk masyarakat dan negara maka setiap individu yang terlibat dalam tugas tersebut sepatutnya melatih diri menjadi orang yang proaktif dan jujur dalam perkhidmatan supaya jasa dan tenaga yang dicurahkan selama ini diberkati Allah dan memperoleh ganjaran istimewa di hari akhirat. 

No comments:

Post a Comment