Friday 3 November 2017

Ambil tahu apa rakyat mahu

Ketokohan seorang pemimpin dapat dilihat dari segi kemampuannya memegang amanah dan disukai rakyat. Keadaan itu hanya dapat dicapai jika pemimpin itu benar-benar mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat dan ia penting untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukan rakyat.

Jika ada pemimpin yang sangat berkira untuk menemui rakyat, apatah lagi yang berada dalam kesusahan, maka pemimpin itu bukanlah pemimpin boleh menyampaikan nasihat kerana tidak mampu menyesuaikan diri.

Perlu diingat bukan semua rakyat memerlukan bantuan kerajaan atau pemimpin, kadangkala mereka hanya ingin melihat pemimpin menjenguk muka dan ambil peduli. Mereka bangga dilawati pemimpin biarpun sekadar disampaikan sedikit sumbangan.

Pemimpin yang menemui rakyat di peringkat bawah tidak akan hilang wibawa atau kedudukan. Seperti kata pepatah, tidak hilang bisa ular menyusur akar. Watak dan ketokohan pemimpin semakin dipandang tinggi dengan sikap selalu menemui rakyat.

Melalui lawatan, pemimpin dapat mengetahui keadaan sebenar apa dialami rakyat. Rakyat berkesempatan untuk menyampaikan atau berkongsi pandangan dalam urusan yang berkaitan secara langsung dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Pemimpin berkhidmat untuk rakyat. Maka itu pemimpin perlu mendekati rakyat untuk mengetahui apa diingini rakyat. Turun padang menemui rakyat adalah aspek penting yang perlu diamalkan setiap pemimpin.

Sehebat manapun seorang pemimpin, yang memilihnya adalah rakyat yang dilakukan melalui peti undi. Jadi, dampingilah rakyat sepanjang masa, dan bukannya hanya pada masa kempen pilihan raya.

No comments:

Post a Comment