Friday, 29 December 2017

KEDIAMAN PELAJAR PONDOK BETA HILIR TERBAKAR


Sebanyak 14 unit kediaman Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir (Pondok Beta Hilir), Kota Bharu yang menempatkan 24 pelajarnya musnah dalam kebakaran pada 28 Dis 2017.

Kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu berlaku ketika kesemua pelajar sedang membaca Yassin sejurus selesai solat Maghrib berjemaah di masjid yang terletak bersebelahan pondok-pondok berkenaan.

Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Sunday, 24 December 2017

ROTI TISU REBUNG BULUH

Ada orang panggil kuih rebung. Sebab bentuknya macam rebung buluh.

Nama sebenar kuih ni roti tisu. Mengapa roti tisu? Cuba tengok bentuknya. Ada bentuk macam tisu atau kain diletakkan di atas pinggan di majlis makan di hotel.

Satu lagi kenapa dipanggil roti tisu kerana ianya hanya nipis aje. Rapuh. Jadi jangan fikir besar sangat macam mana nak habis makan.

Roti tisu dimakan dengan susu pekat atau air gula yang memang telah tersedia disapu padanya.

Nak cuba roti tisu? Datanglah ke Restoran Masyhur.

Di mana Restoran Masyhur? Mudah aje nak cari. Depan Wisma Persekutuan Kota Bharu, Jalan Bayam.  Kena masuk jalan yang sama depan dengan pintu Wisma Persekutuan Kota Bharu. Terus aje sampai hujung.

Selamat menjamu selera. 

Friday, 22 December 2017

LELAKI ZAKAR PANJANG



Adakah memiliki zakar berukuran luar biasa satu kebanggan atau beban? Kepada lelaki yang berusaha untuk memanjangkan zakar perlu berhati-hati agar tidak menerima nasib seperti lelaki ini.

Seorang lelaki warga Mexico yang dipercayai mempunyai zakar terpanjang di dunia disahkan oleh pihak berkuasa sebagai orang kelainan upaya (OKU) kerana tidak mampu menjalani kehidupan seperti orang normal.

Lelaki itu memiliki zakar sepanjang 48.26 sentimeter (19 inci) selepas dia secara sengaja memanjangkan alat sulit itu dengan mengikatnya kepada bebanan berat.

Dia yang menerima bantuan kewangan kerajaan Mexico dikatakan enggan menjalani pembedahan untuk mengecilkan zakar selepas dinasihatkan doktor.

Keadaan organ luar biasa lelaki yang masih bujang itu termasuk sukar bekerja menyebabkan kesukaran seperti tidak boleh berjalan pantas dan sukar memakai pakaian yang sesuai menyebabkan dia memohon kepada kerajaan untuk diiktiraf sebagai seorang OKU. 

Thursday, 21 December 2017

NASI TUMPANG MENU TERKENAL DI KELANTAN




Satu menu nasi yang cukup sinonim dengan masyarakat negeri Kelanatan ialah nasi tumpang. Dipercayai  ianya telah dipasarkan di sekitar Kota Bharu terutamanya di Pasar Kubang Pasu sejak berpuluh tahun yang lalu.

Nasi tumpang menarik perhatian kerana rasa unik dan cara dibungkus dengan daun pisang dalam bentuk kon. Daun pisang yang digunakan perlu disalai atau dilayurkan untuk mengelak ia mudah carik dan memudahkan kerja pembungkusan.

Sekarang ini ada pembuat nasi tumpang menggunakan kertas pembungkus makanan untuk menggantikan daun pisang yang sukar diperoleh. Namun, penggunaan kertas pembungkus itu dianggap menghilang identiti nasi tumpang dan mengubah aroma rasa.

Nasi tumpang yang mana nasinya lembek, dibungkus di dalam daun pisang yang mana diisu secara berselang seli (layer) dengan lauknya.  Kebiasaannya lauknya terdiri daripada udang, ikan, sambal ikan, gulai dan telur dadar.

Setiap proses tersebut perlu dilakukan dengan cermat supaya nasi dan lauk berada dalam keadaan kemas, selain mengelak daun pisang koyak mengakibatkan nasi terkeluar.

Setelah siap, bungkusan nasi tumpang itu dikepilkan dengan lidi dan bahagian luar daun pisang disapu minyak supaya kelihatan segar dan menarik.

Lantaran berikutan banyak jenis lauk yang 'menumpang' dalam nasi itu, maka akhirnya ia dikenali sebagai nasi tumpang dan dikenali sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, asal usul nasi tumpang mula dihasilkan, tiada individu yang dapat menyatakannya secara tepat.

Keadaan nasi itu yang lembek dan dicampur pelbagai jenis lauk, menjadikannya menu cukup istimewa dan amat sesuai untuk kanak-kanak serta orang tua yang tidak boleh memamah makanan keras.

Tuesday, 19 December 2017

PAKEJ TUKAR PASANGAN SUAMI ISTERI


Fenomena tukar pasangan boleh dilihatkan sebagai sebahagian revolusi seks pada dekad-dekad kebelakangan ini. Mengamalkan tukar pasangan dianggap lebih 'mulia' berbanding curang tanpa pengetahuan pasangan masing-masing.

Tukar pasangan, kekadang dirujuk sebagai gaya hidup bertukar pasangan, ialah "kegiatan seks bukan monogami yang boleh dihayati oleh sesuatu pasangan dan yang diperlakukan hampir serupa dengan mana-mana kegiatan sosial yang lain". 

Apapun alasan diberikan, amalan tukar pasangan menyalahi norma kemanusiaan. Amalan ini wujud dalam dunia haiwan. Bahkan, ada spesis haiwan menetapkan pasangan masing-masing dan menghalang jantan lain mendekati pasangannya.

Tegas di sini, mereka melakukan tukar pasangan layak dikategorikan lebih hina berbanding haiwan.  

Manusia punya akal untuk menolak betapa amalan tukar pasanan ini amat jelek dan melepasi kewarasan fikiran yang normal.

Kebahagiaan rumahtangga boleh dicapai dengan rasa lebih menyangi antara satu sama lain.  Hormat hak dan beri layan terbaik kepada pasangan sama ada zahir mahupun batin.   

Perkahwinan amat dituntut oleh Islam.  Ia adalah ikatan halal yang membolehkan lelaki dan perempuan menjalani kehidupan mengikut keinginan dan keperluan mereka. 

Melalui perkahwinan lelaki dan perempuan akan mengecapi nikmat hidup yang lebih bermakna.  Secara tabie, lelaki dan perempuan saling memerlukan bagi melengkapkan kehidupan sosial dan seks.

Firman Allah bermaksud: “Dan di antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” – (Surah ar-Rum ayat 21).

Monday, 18 December 2017

KOPI CUBA DIHARAMKAN ULAMA



Sejarah kopi dijadikan minuman agak unik. Kopi pertama kali dibuat di Yaman pada sekitar abad ke-9. Pada awalnya kopi membantu kaum sufi untuk berjaga bagi menunaikan ibadah pada larut malam.

Kemudian dibawa ke Kaherah oleh sekelompok pelajar. Kopi kemudiannya menjadi kegilaan ramai.  

Penyebaran kopi selari dengan penyebaran Islam. Di mana Islam berkembang, maka di situ ada peminat kopi.

Namun, pada masa sama kesan minum kopi diperdebatkan oleh sarjana Islam. Ada yang mengatakan haram minum kopi kerana memberi kesan yang ‘luar biasa’ kepada kesihatan dan rasa ketagih.

Ada yang cuba mengaitkan kopi dengan kesan minum arak yang diharamkan dalam Islam. Namun pada masa sama, mereka tidak menemui kesan memabukkan akibat minum kopi.  Sedangkan yang ditegah dalam Islam adalah perkara yang memabukkan.

Di kalangan penganut Kristian juga timbul persoalan hukum berkaitan minum kopi. Paus Celement VIII pernah mempertimbangkan menghukum amalan minum kopi sebagai bidaah atau tidak baik untuk penganut Kristian. 

Tokoh perubatan dan sains Islam, Ibnu Sina telah membuat penyelidikan mengenai kesan minum kopi, terutama dari segi kandungan kamia. Kajian itu ada yang pertama mengenai kopi dari segi perubatan dan kesihatan.   

Sekitar 1400M, penyebaran kopi dan pembinaan kedai kopi pesat di Semenajung Arab, terutama di Makkah dan Madinah.

Pada 1453M kopi diperkenalkan di Konstantinopel oleh bangsa Turki. Kedai kopi yang pertama kali tercatat di sana bernama Kiva Han.

Kini, kopi menjadi minuman masyarakat seluruh dunia, selain teh.


Sunday, 17 December 2017

RESTORAN MASYHUR TERKENAL DI KOTA BHARU








Adik kakak saudara mara sahabat taulan yang mana suka makan makanan mamak..  mari ambo nak khabar... kalau nak mkanan sedap....murah....mari di Restoran Masyhur.

Macam-macam ada.. roti canai, tosei, roti puri, capati, roti tisu, roti pisng, murtabak, mee goreng mamak, pasembur, rojak, nasi ala kandar, kari lauk ikan tenggiri, daging, ayam, ayam madu dan gulai kambing.

Di mana Restoran Masyhur? Mudah aje nak cari. Depan Wisma Persekutuan Kota Bharu, Jalan Bayam.  Kena masuk jalan yang sama depan dengan pintu Wisma Persekutuan Kota Bharu. Terus aje sampai hujung.

Selamat menjamu selera. 

PUNCA GAGAL KELUAR HIDUP PARAS MISKIN


Masalah sikap dan cara hidup antara punca golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) gagal keluar dari kepompong kemiskinan selain faktor ekonomi.

Indikator kemiskinan merangkumi faktor ekonomi; masalah sikap; pengetahuan dan kemahiran; hubungan dengan masyarakat dan persekitaran.

Sebenarnya terdapat projek penjanaan ekonomi oleh beberapa pihak untuk membantu golongan ini tetapi terbantut sekerat jalan kerana masalah tertentu termasuk komitmen kurang daripada B40 menyebabkan mereka kekal dalam keadaan itu.

Sudah menjadi kebiasaan dalam rutin kunjungan kita ke rumah golongan miskin apabila sesetengahnya masih belum bangun tidur walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi dengan alasan tidak ada kerja.

Malah kalau yang bekerja sendiri, mereka terlebih dahulu berada di kedai kopi sehingga berjam-jama sebelum memulakan pekerjaan.

Yang bekerja sebagai buruh kasar, pukul 11 pagi baru mula kerja. Masuk tengah hari, cuaca sudah panas dan mula hendak berehat dan makan. Sambung sebelah petang pukul tiga dan pukul empat sudah mahu pulang.

Sebelum balik ke rumah, sekali lagi singgah di kedai kopi atau warung. Sempat lagi duduk sejam dua sebelum masuk Maghrib.

Kononnya hendak rehat selepas penat kerja. Itu tidak lagi kira duduk kedai kopi pada waktu malam sehingga lewat malam.  

Kuantiti dan kualiti kerja tidak seberapa. Sukar untuk majikan memberi upah harian yang lebih.

Malah ada yang tidak datang kerja jika dapat gaji. Ada yang dibayar upah setiap minggu pada hari Khamis atau dua minggu sekali.

Mereka sepatutnya mempunyai halatuju dalam hidup. Tingkatkan kualiti dan kuantiti kerja. Kurangkan masa berada di kedai kopi berbual kosong. Balik kerja boleh usahakan tanah kosong di kawasan rumah. Elok jika dapat cari kerja tambahan lain seperti berniaga kecil-kecilan.

Nasib tidak akan berubah jika tidak berusaha untuk mengubahnya.

Saturday, 16 December 2017

BNM TIDAK IKTIRAF MATA WANG DIGITAL


Mata wang digital tidak diiktiraf sebagai mata wang sah, sekali gus tidak melindungi penggunanya jika berlaku sebarang pertikaian atau kerugian.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, mata wang itu tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan serta amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan.

Justeru, orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital tidak sah diperlakukan di Malaysia. Orang ramai perlu menilai dengan teliti risiko jika menjalankan urus niaga dalam mata wang digital.

Ini termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga ketara, ketiadaan pasaran yang dalam dan mudah terdedah terhadap serangan siber yang boleh menyebabkan kerugian ketara.

Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesaian pertikaian jika berlaku apa-apa pertikaian atau kerugian.

Sehubungan itu, BNM mengeluarkan draf cadangan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai penggunaan obligasi pelaporan untuk perniagaan pertukaran mata wang digital.

Menerusi cadangan itu, mata wang digital diletakkan sebagai institusi pelapor di bawah AMLA.

Cadangan ini bertujuan untuk memastikan langkah yang berkesan dilaksanakan bagi menangani risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

BNM berkata, cadangan itu termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan memberi maklumat berkaitan, supaya orang ramai memahami dan menilai dengan lebih baik mengenai risiko berkaitan dengan penggunaan mata wang digital.

Sebagai institusi pelapor, penukar mata wang digital juga perlu mengisytiharkan maklumat terperinci kepada BNM.

Kegagalan mematuhi obligasi pelaporan membolehkan penukar mata wang digital dikenakan tindakan di bawah AMLA dan perkhidmatan ditamatkan atau tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

BNM tidak mengawal selia mata wang digital kerana ia tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa BNM memberikan kebenaran, pelesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terbabit dengan penyediaan perkhidmatan mata wang digital.

Friday, 15 December 2017

PENIPUAN UMRAH DAN SISTEM IMAMS


Banyak yang mengeluh apabila mendengar tentang Sistem Imams yang digunakan untuk UMRAH dicaj sehingga RM90.10 (termasuk GST) apabila pengumuman dibuat pagi tadi.

Penipuan demi penipuan umrah yang berlaku melibatkan ribuan jemaah terkandas dan kerugian jutaan ringgit menyebabkan kami Melalui Majlis Kawal Selia Umrah memutuskan untuk melakukan penambahbaikan bagi sistem pengurusan Jemaah Umrah ini.

Ianya merupakan satu lonjakan transformasi dalam pengurusan kawal selia Umrah di Malaysia secara total yang menutup ruang-ruang penipuan pakej Umrah di sepanjang nilai rantaian pengendalian Umrah dan memperkasakan aktiviti pemantauan, penyiasatan dan penguatkuasaan pengendalian pakej Umrah yang berada di pasaran secara sistematik dan teratur.

(Statistik dari KPDNKK menunjukkan terdapat 3,762 Kes dengan nilai tuntutan berjumlah RM23,164,370.47 yang telah difailkan dari tahun 2012 hingga Oktober 2017 di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia)

Untuk itu, pelaksanaan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu atau Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) berkuatkuasa hari ini ke atas semua 65 agensi pelancongan berstatus Muasassah di Malaysia yang dilesenkan dengan Lesen Khas Umrah sejak 1 Oktober 2017.

Malah Kerajaan Malaysia turut mendapat persetujuan dan sokongan pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur ke atas pelaksanaan Lesen Khas Umrah dan penggunaan Sistem IMAMS ini. Mulai 15 Disember 2017, Sistem IMAMS adalah satu-satunya akses rasmi kepada permohonan Visa Umrah yang akan diproses oleh Konsul Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

Pelaksanaan sistem IMAMS ini akan mengatasi dan menutup ruang-ruang penipuan dalam rantaian pelaksanaan pakej Umrah daripada terus berlaku melalui pengwujudan:

Pangkalan data dan proses pemantauan induk ke atas pengendalian pakej Umrah di Malaysia;

Platfom memohon kelulusan pakej Umrah dan iklan oleh Kementerian sebelum ianya dipasarkan kepada orang awam;

Integrasi pangkalan data pendaftaran Pegawai Pemasaran Umrah yang dilantik agensi pelancongan berlesen;

Pemberian akses kepada semua pihak berkepentingan khususnya Kementerian dan jemaah itu sendiri dengan maklumat secara langsung untuk menyemak status semasa tempahan mereka; dan

Notifikasi pengemaskinian maklumat secara berkala setiap pelaksanaan tempahan item di dalam pakej Umrah terutamanya tempahan berkaitan penerbangan, penginapan, permohonan Visa Umrah dan insurans takaful jemaah yang telah dipertanggungjawabkan kepada agensi pelancongan.

Pelaksanaan sistem IMAMS ini  melibatkan caj pada kadar RM45/jemaah. Kadar tersebut adalah yang paling rendah di dunia berbanding negara-negara lain yang mengguna pakai sistem seumpamanya dalam menguruskan jemaah Umrah seperti di Jordan, Mesir dan Sudan.

Sistem IMAMS ini juga adalah komprehensif, bersepadu dan juga bersesuaian dengan sistem milik Kerajaan Arab Saudi yang membolehkannya dihubungkan secara terus khususnya dengan sistem Kementerian Luar Negeri Arab Saudi bagi permohonan Visa Umrah.

Sistem IMAMS ini dapat memastikan setiap jemaah umrah turut dilindungi insurans takaful Umrah dengan perlindungan insurans.

Sistem IMAMS menawarkan perlindungan takaful yang komprehensif kepada agensi pelancongan bagi jemaah kendaliannya pada kadar premium yang munasabah iaitu RM40/jemaah. Kadar ini adalah terendah di pasaran bagi skim takaful perjalanan yang komprehensif dan memenuhi kehendak Kementerian.

Antara perlindungan Insurans Takaful ini adalah:
- Perlindungan sewaktu  kemalangan diri termasuk khairat kematian.
- Perlindungan sewaktu kesulitan perjalanan( kehilangan bagasi/ barang peribadi).
- Perlindungan Perubatan.
- Perlindungan khidmat pemindahan kecemasan.
- Perlindungan bayaran balik sepenuhnya deposit tiket perjalanan sekiranya pembatalan perjalanan berlaku yang bukan disebabkan visa ditolak.

Secara rumusannya, caj keseluruhan yang terlibat bagi penggunaan sistem IMAMS ini dan perlu dimasukkan ke dalam harga pakej Umrah sedia ada bagi setiap jemaah adalah sebanyak RM90.10 (termasuk GST RM5.10).

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melaksanakan inisiatif ini di bawah payung Majlis Kawal Selia Umrah dalam pelaksanaan LKU dan penggunaan Sistem IMAMS pada hari ini dapat menambah baik pengendalian industri Umrah dan seterusnya membanteras sebarang manipulasi dan penipuan pakej-pakej Umrah demi menjaga kepentingan agama, negara dan umat Islam di Malaysia.

Mas Ermieyati Samsudin
Pengerusi Majlis Kawal Selia Umrah
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
15 Disember 2017

SETELAH MENDAPAT BANTAHAN BANYAK PIHAK, IMAMS DIBATALKAN SERTA MERTA.


16 Disember 2017 - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini mengambil keputusan menangguhkan perlaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Ketua Setiausahanya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, penangguhan itu dibuat berikutan maklum balas orang ramai serta pengendali pakej umrah berhubung sistem tersebut.

Katanya, kementerian akan mengkaji semula mekanisme bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah daripada menipu para jemaah.

"Sistem IMAMS ini bagus tetapi aspek-aspek kos terlibat perlu diperhalusi kerana kita rasa ia terlampau mahal dan sebagai kita sebagai pihak yang prihatin tidak mahu rakyat terbeban," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Perlaksanaan IMAMS yang berperanan sebagai pemantau lesen khas umrah telah mendapat bantahan Pemuda UMNO, hari ini.

Exco Pemuda, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pergerakan itu memahami keputusan kerajaan untuk mengatasi masalah penipuan umrah yang semakin berleluasa tetapi IMAMS bukan kaedah yang terbaik.

Beliau berkata, IMAMS bukan percuma malah mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10 selain bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 (insurans) kepada setiap umat Islam yang hendak mengerjakan umrah.

Ditanya tentang langkah seterusnya, Rashidi berkata, kementerian akan mengadakan mesyuarat bersama pengendali pakej umrah serta pihak-pihak berkepentingan berhubung perlaksanaan sistem tersebut. - UTUSAN ONLINE

SEMENTARA ITU TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MEMBERI KENYATAAN BERIKUT


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kerajaan akan mencari satu kaedah baru bagi menangani masalah penipuan jemaah umrah berikutan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dibatalkan serta-merta hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara perkara utama yang akan diambil kira ialah kaedah tersebut mesti cekap selain memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dikecualikan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos.

"Kita alu-alukan cadangan untuk penambahbaikan bagi memastikan kes jemaah umrah ditangani.


"Cadangan-cadangan yang disuarakan ini akan kemudian dibawa ke Majlis Kawal Selia Umrah untuk kita jalankan kajian pasaran terlebih dahulu agar kaedah yang diambil tidak menjadikan rakyat terbeban," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

GAYA HIDUP PUNCA MASALAH KEWANGAN

Perubahan gaya hidup menjadi punca bebanan kewangan rakyat. Banyak perbelanjaan yang dahulunya tidak perlu, kini menjadi senarai perbelanjaan.

Dahulu tidak ada kos membayar bil internet dan telefon pintar, tetapi kini menjadi senarai penting. Masa tahun 80an tidak ada televisyen berbayar. Dahulu tidak ada restoran besar yang menyediakan berbagai jenis makanan dari Korea, Jepun dan Barat.

Dahulu, rakyat menggunakan air paip atau air telaga tanpa ditapis. Tetapi kini boleh dikatakan setiap rumah ada penapis air yang setengahnya harga mencecah RM5000.

Dahulu kalau sakit urat atau lengah badan, cari tukang urut atau makan majung. Namun, sekarang ada 'tukang urut' di rumah yang dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit.

Semua itu perubahan gaya hidup yang memerlukan kos. Tidak salah untuk berubah asalkan mendapat keselesaan hidup. Namun, jika tidak mampu, hiduplah secara ikut kemampuan.

BUAH CUPU SEMAKIN SUKAR DITEMUI


Di Kelantan nama buah ini dipanggil cupu. Di Perak biasa disebut ceghopu, sementara di Negeri Sembilan disebut disebut kecupu. 

Di tempat lain ada mengenalinya dengan nama mencupu, cerapu, cekau dan cupak. Mungkin ada nama lain lagi kerana pokok ini cukup 'dekat' dengan kehidupan masyarakat dulu. 

Dalam bahasa Inggeris ianya disebut sebagai "button mangosteen" atau nama Latinnya ialah "garcinia prainiana".

Buahnya bewarna hijau tua semasa mudanya, berubah menjadi hijau muda bila beransur tua, sehingga menjadi kekuningan seperti warna pinang masak apabila ianya masak.

Buah cupu muda biasanya dijadikan sebahagian sambal yang ditumbuk dengan ikan bakar dan sedikit kelapa parut.

Jika sudah masak, buah cupu rasanya masam manis. Buah cupu mempunyai getah yang lekit, boleh melekatkan bibir atas dan bibir bawah kita, tetapi tidak sukar untuk dibuang.

Thursday, 14 December 2017

SARJANA ISLAM PERTAMA LAKU PEMBEDAHAN


Tamadun Islam yang bermula di Damsyik, kemudian berpindah ke Cardova sebelum membina kegemilangan di Baghdad telah memberi sumbangan besar kepada dunia dalam pelbagai bidang.  Namun, perkara itu dinafikan oleh Barat yang mengaku penemuan dalam banyak bidang bermula di Barat.

Hakikatnya, ilmu dari sarjana Islam telah dicedok dan diperkembangkan di Barat sebelum mengaku itu hasil penemuan atau ciptaan awal mereka. Contohnya ilmu kedoktoran berkaitan pembedahan. 

Sekitar tahun 1000M, seorang doktor Al-Zahrawi menerbitkan 1,500 halaman ensiklopedia bergambar tentang operasi bedah yang digunakan di Eropah sebagai rujukan perubatan selama lebih dari 500 tahun. 

Di antaranya, Zahrawi menggunakan larutan usus kucing menjadi benang jahitan, sebelum menangani operasi kedua untuk memindahkan jahitan pada luka. Dia juga yang dilaporkan melakukan operasi caesar dan mencipta sepasang alat-flop pembedahan.

Sir John Bagot Clubb (16 April 1897-17 Mac 1986) menulis: "Sekolah-sekolah perubatan sangat aktif di Baghdad setibanya zaman Mamun. 

Hospital awam percuma pertama dibuka di Baghdad pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid. Dengan pembangunan sistem ini, para pakar perubatan dan pembedahan dilantik sebagai pensyarah kepada penuntut perubatan dan mengurniakan diploma kepada mereka yang dikira layak menjadi pengamal perubatan. 

Hospital pertama di Mesir dibuka pada tahun 872 M dan selepas itu hospital-hospital awam dibuka di seluruh empayar Islam, dari Al-Andalus dan Maghribi hinggalah ke wilayah Parsi."

INDIVIDU PERTAMA CIPTA SABUN


Salah satu penemuan penting yang dicapai umat Islam di era keemasan adalah sabun. Sejak abad ke- 7 M, umat Islam telah mengembangkan sebuah gaya hidup higienis yang mutakhir. 

Menurut Ahmad Al-Hassan dalam bukunya berjudul, Technology Transfer in the Chemical Industries, kota-kota Islam seperti Nablus (Palestin), Kufah (Iraq), dan Basrah (Iraq) telah menjadi pusat industri sabun.

Sabun yang kita kenal hari ini adalah warisan dari peradaban Islam. Sabun yang terbuat dari minyak sayuran seperti minyak zaitun serta minyak aroma.

Salah seorang sarjana Islam yang telah mampu menciptakan formula sabun adalah Al-Razikimiawan berasal dari Persia. Hingga kini, formula untuk membuat sabun tak pernah berubah.

Sabun yang dibuat umat Islam di zaman kejayaan sudah menggunakan pewarna dan pewangi.

Selain itu, ada sabun cair dan ada pula sabun basuh tangan. Bahkan, pada masa itu sudah tercipta sabun khusus untuk mencukur kumis dan janggut.

Resepi pembuatan sabun di dunia Islam juga telah ditulis seorang doktor terkemuka dari Andalusia Sepanyol Islam bernama Abu Al-Qasim Al-Zahrawi alias Abulcassis (936-1013 M).


DAKWAH SECARA SABAR BERHEMAH DAN BIJAKSANA


Melakukan tugas dakwah perlu berhemah, bijaksana dan bersabar. Cara ini akan memudahkan usaha mengajak orang lain melakukan kebaikan. 

Firman Allah bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Menggunakan perkataan baik, berbudi bahasa dan menghormati pihak yang didakwah adalah satu pendekatan yang baik.  Sampaikan dakwah itu dengan kata-kata yang lembut dan menyenangkan hati. 

Firman Allah dalam surah Fushshilat ayat 33 memberi panduan bagi mereka yang ingin melakukan kerja-kerja dakwah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah serta berbaik-baik dan mengaku ‘aku seorang Muslim.”

Justeru, amatlah bersalahan dengan apa yang disuruh oleh Allah apabila golongan yang menolak dakwah dipulau dan dipisahkan daripada masyarakat.   

Seseorang yang diseru melakukan kebaikan, tetapi masih enggan menerimanya bukan menjadi ‘beban’ pendakwah.  Tugas menyampaikan risalah Allah telah dilakukan, tinggal lagi tidak berjaya seperti diharapkan.

Allah telah menjelaskan bahawa urusan memberi hidayah kepada seseorang bukan di tangan manusia.  Rasulullah SAW sendiri berdepan dengan kesukaran ketika berdakwah di Makkah.  Tidak banyak yang menerima Islam sebagai cara hidup biarpun Rasulullah SAW telah melakukan pelbagai usaha.

Seseorang pendakwah tidak boleh mudah putus asa.  Sekeras-keras hati manusia akan tiba masanya menjadi lembut dan menerima apa yang didakwahkan kepadanya.

Rasulullah SAW memberi ingatan agar pendakwah sentiasa berhati-hati dalam menyentuh maruah, perasaan dan kepentingan orang yang ingin disampaikan risalah Allah.  Kehadiran pendakwah jangan sampai dianggap musuh oleh orang yang didakwah.

Memandangkan konsep menyampaikan dakwah amat luas, maka setiap muslim perlu mempunyai semangat ingin menyampaikan dakwah dalam apa bentuk yang mampu dilakukan olehnya.

Melakukan perkara yang baik dengan niat dicontohi orang lain juga satu usaha dakwah.   Dengan kata lain dua kebaikan diperoleh serentak iaitu mendapat kebaikan dan dakwah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa menyeru manusia kepada sesuatu kebaikan, dia akan beroleh pahala sebanyak pahala orang yang mengikutnya dan berkekalan selagi orang itu terus melakukan perkara kebaikan itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Jika tidak mampu melakukan dakwah secara nyata (perbuatan, lisan, tulisan), selemah-lemah dakwah yang boleh dilakukan melalui hati.

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu (berbuat demikian) hendaklah mengubahnya dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hatinya dan yang demikian itu adalah iman yang paling rendah.”

Melakukan kebaikan semata-mata masih belum cukup untuk meletakkan seseorang muslim itu dianggap manusia beruntung selagi dia tidak melakukan amalan saling menasihati antara satu sama lain (dakwah).

Sebenarnya, menjalankan tugas dakwah mengajak orang lain melakukan kebaikan mengingatkan agar diri sendiri melakukan apa yang diserukan kepada orang lain.  Cara ini memberi kekuatan untuk meletakkan diri lebih baik daripada orang yang didakwah itu. 

Firman Allah bermaksud: “Maka serulah mereka dan tetapkan pendirian sebagaimana kamu diperintahkan.” (Surah al-Hajj, ayat 67)

Perkara ini bertepatan dengan konsep yang mana seorang pendakwah sebenarnya contoh kepada orang yang didakwah.  

Justeru, sebelum menyeru orang lain melakukan perkara yang diserukan itu, orang itu sendiri perlu memastikan dirinya telah terlebih dulu melakukannya atau menunjukkan yang baik.

SIAPA SAJA BOLEH LAKU TUGAS DAKWAH


Sesiapa saja boleh melakukan tugas dakwah, asalkan apa yang dilakukan itu satu kebaikan yang patut turut dilakukan oleh orang lain. Pendakwah tidak memerlukan satu kedudukan yang tinggi, kekayaan, pangkat atau keturunan yang baru boleh melayakkan dirinya untuk mendakwah orang lain. 

Rasulullah SAW mengarahkan agar tugas berdakwah dilakukan biarpun sekadar menyampaikan satu ayat.  Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat”  (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi).

Setiap perkara yang didakwah mestilah perkara yang benar, mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan.  Jika kita menyuruh atau melakukan perbuatan memunggut sampah yang dibuang merata-rata juga sebahagian daripada dakwah yang mana semua orang sepatutnya melakukan amalan mulia itu.

Menegur seseorang agar tidak melakukan perbuatan ditegah juga adalah dakwah, biarpun sekadar berkata ‘jangan’ kepada sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang itu.

Tugas dakwah penting dilakukan sepanjang masa memandangkan manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa.  Sesuatu dakwah mungkin perlu dilakukan berulang-ulang kali kepada orang yang sama. 

Sifat manusia mudah lupa dan tergoda melakukan perbuatan yang mendatangkan keseronakan, tetapi itulah yang mendatangkan keburukan kepada diri dan orang lain.  Jadi, tugas dakwah tidak hanya terhenti apabila telah menyatakan sekali kepada sasaran yang didakwah itu. 

Sebab itu juga, kita memerlukan lebih banyak orang yang bersedia menjadi pendakwah dan bukannya yang perlu didakwah.  Amalan nasihat dan menasihat perlu dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat untuk mengelak kerugian. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapkan kesabaran” (Surah al-Ashr 103: 1-3).

Kita memang perlu mengambil berat tentang apa yang berlaku di sekitar kita kerana ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kita juga.  Ini bukan soal menjaga tepi kain atau menjadi kaki sibuk, tetapi satu keperluan untuk kebaikan semua.

Yang menjadi pendakwah mesti melakukan secara jujur atas niat mebuat kebaikan, bukan sekadar ingin mencari kesalahan orang lain.  Manakala yang didakwah pula hendaklah menerimanya dengan hati dan fikiran yang terbuka. 

Setiap orang perlu menerima teguran dengan seadanya.  Jika benar telah lakukan kesalahan, perbetulkan segera dan berterima kasihlah kepada mereka yang menegur itu. 

Sebaliknya, jika apa yang dicuba diperbetulkan itu sebenarnya tidak ada apa yang harus diperbetulkan kerana ia sememangnya telah baik atau tidak mendatangkan keburukan, anggaplah ia salah faham.

Kesalahan dilakukan seseorang jika tidak diperbetulkan akan turut memberi kesan kepada orang lain.  Sebab itu ia tidak boleh dianggap urusan individu semata-mata.  Sebaliknya ia adalah permasalah seluruh anggota masyarakat yang perlu ditangani sebaik mungkin. 

Setiap kemungkaran yang berlaku perlu dicegah segera biarpun nampak kecil  Sebenarnya yang kecil perlu diberi keutamaan untuk dicegah kerana lebih mudah. 

Oleh itu, dalam menjalankan dakwah, kesabaran hendaklah diutamakan untuk menjamin kelangsungan walaupun diejek, ditentang dan diancam, tetap saja menyampaikan risalah Allah SWT kepada manusia tanpa rasa marah atau kecewa.

Pendakwah seharusnya mengerti bahawa tugasnya hanya menyampaikan, selebihnya adalah kuasa Allah SWT.  Firman Allah SWT bermaksud:  “Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah Allah) saja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” (Surah al-Maidah 5:99).