Friday, 15 December 2017

PENIPUAN UMRAH DAN SISTEM IMAMS


Banyak yang mengeluh apabila mendengar tentang Sistem Imams yang digunakan untuk UMRAH dicaj sehingga RM90.10 (termasuk GST) apabila pengumuman dibuat pagi tadi.

Penipuan demi penipuan umrah yang berlaku melibatkan ribuan jemaah terkandas dan kerugian jutaan ringgit menyebabkan kami Melalui Majlis Kawal Selia Umrah memutuskan untuk melakukan penambahbaikan bagi sistem pengurusan Jemaah Umrah ini.

Ianya merupakan satu lonjakan transformasi dalam pengurusan kawal selia Umrah di Malaysia secara total yang menutup ruang-ruang penipuan pakej Umrah di sepanjang nilai rantaian pengendalian Umrah dan memperkasakan aktiviti pemantauan, penyiasatan dan penguatkuasaan pengendalian pakej Umrah yang berada di pasaran secara sistematik dan teratur.

(Statistik dari KPDNKK menunjukkan terdapat 3,762 Kes dengan nilai tuntutan berjumlah RM23,164,370.47 yang telah difailkan dari tahun 2012 hingga Oktober 2017 di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia)

Untuk itu, pelaksanaan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu atau Integrated Manasik Monitoring System (IMAMS) berkuatkuasa hari ini ke atas semua 65 agensi pelancongan berstatus Muasassah di Malaysia yang dilesenkan dengan Lesen Khas Umrah sejak 1 Oktober 2017.

Malah Kerajaan Malaysia turut mendapat persetujuan dan sokongan pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur ke atas pelaksanaan Lesen Khas Umrah dan penggunaan Sistem IMAMS ini. Mulai 15 Disember 2017, Sistem IMAMS adalah satu-satunya akses rasmi kepada permohonan Visa Umrah yang akan diproses oleh Konsul Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia.

Pelaksanaan sistem IMAMS ini akan mengatasi dan menutup ruang-ruang penipuan dalam rantaian pelaksanaan pakej Umrah daripada terus berlaku melalui pengwujudan:

Pangkalan data dan proses pemantauan induk ke atas pengendalian pakej Umrah di Malaysia;

Platfom memohon kelulusan pakej Umrah dan iklan oleh Kementerian sebelum ianya dipasarkan kepada orang awam;

Integrasi pangkalan data pendaftaran Pegawai Pemasaran Umrah yang dilantik agensi pelancongan berlesen;

Pemberian akses kepada semua pihak berkepentingan khususnya Kementerian dan jemaah itu sendiri dengan maklumat secara langsung untuk menyemak status semasa tempahan mereka; dan

Notifikasi pengemaskinian maklumat secara berkala setiap pelaksanaan tempahan item di dalam pakej Umrah terutamanya tempahan berkaitan penerbangan, penginapan, permohonan Visa Umrah dan insurans takaful jemaah yang telah dipertanggungjawabkan kepada agensi pelancongan.

Pelaksanaan sistem IMAMS ini  melibatkan caj pada kadar RM45/jemaah. Kadar tersebut adalah yang paling rendah di dunia berbanding negara-negara lain yang mengguna pakai sistem seumpamanya dalam menguruskan jemaah Umrah seperti di Jordan, Mesir dan Sudan.

Sistem IMAMS ini juga adalah komprehensif, bersepadu dan juga bersesuaian dengan sistem milik Kerajaan Arab Saudi yang membolehkannya dihubungkan secara terus khususnya dengan sistem Kementerian Luar Negeri Arab Saudi bagi permohonan Visa Umrah.

Sistem IMAMS ini dapat memastikan setiap jemaah umrah turut dilindungi insurans takaful Umrah dengan perlindungan insurans.

Sistem IMAMS menawarkan perlindungan takaful yang komprehensif kepada agensi pelancongan bagi jemaah kendaliannya pada kadar premium yang munasabah iaitu RM40/jemaah. Kadar ini adalah terendah di pasaran bagi skim takaful perjalanan yang komprehensif dan memenuhi kehendak Kementerian.

Antara perlindungan Insurans Takaful ini adalah:
- Perlindungan sewaktu  kemalangan diri termasuk khairat kematian.
- Perlindungan sewaktu kesulitan perjalanan( kehilangan bagasi/ barang peribadi).
- Perlindungan Perubatan.
- Perlindungan khidmat pemindahan kecemasan.
- Perlindungan bayaran balik sepenuhnya deposit tiket perjalanan sekiranya pembatalan perjalanan berlaku yang bukan disebabkan visa ditolak.

Secara rumusannya, caj keseluruhan yang terlibat bagi penggunaan sistem IMAMS ini dan perlu dimasukkan ke dalam harga pakej Umrah sedia ada bagi setiap jemaah adalah sebanyak RM90.10 (termasuk GST RM5.10).

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melaksanakan inisiatif ini di bawah payung Majlis Kawal Selia Umrah dalam pelaksanaan LKU dan penggunaan Sistem IMAMS pada hari ini dapat menambah baik pengendalian industri Umrah dan seterusnya membanteras sebarang manipulasi dan penipuan pakej-pakej Umrah demi menjaga kepentingan agama, negara dan umat Islam di Malaysia.

Mas Ermieyati Samsudin
Pengerusi Majlis Kawal Selia Umrah
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
15 Disember 2017

SETELAH MENDAPAT BANTAHAN BANYAK PIHAK, IMAMS DIBATALKAN SERTA MERTA.


16 Disember 2017 - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan hari ini mengambil keputusan menangguhkan perlaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Ketua Setiausahanya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, penangguhan itu dibuat berikutan maklum balas orang ramai serta pengendali pakej umrah berhubung sistem tersebut.

Katanya, kementerian akan mengkaji semula mekanisme bagi memantau dan mengawal syarikat pelancongan serta pengendali umrah daripada menipu para jemaah.

"Sistem IMAMS ini bagus tetapi aspek-aspek kos terlibat perlu diperhalusi kerana kita rasa ia terlampau mahal dan sebagai kita sebagai pihak yang prihatin tidak mahu rakyat terbeban," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Perlaksanaan IMAMS yang berperanan sebagai pemantau lesen khas umrah telah mendapat bantahan Pemuda UMNO, hari ini.

Exco Pemuda, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pergerakan itu memahami keputusan kerajaan untuk mengatasi masalah penipuan umrah yang semakin berleluasa tetapi IMAMS bukan kaedah yang terbaik.

Beliau berkata, IMAMS bukan percuma malah mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) RM5.10 selain bayaran tambahan RM45 untuk sistem dan pengurusan serta RM40 (insurans) kepada setiap umat Islam yang hendak mengerjakan umrah.

Ditanya tentang langkah seterusnya, Rashidi berkata, kementerian akan mengadakan mesyuarat bersama pengendali pakej umrah serta pihak-pihak berkepentingan berhubung perlaksanaan sistem tersebut. - UTUSAN ONLINE

SEMENTARA ITU TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MEMBERI KENYATAAN BERIKUT


KUALA LUMPUR 16 Dis. - Kerajaan akan mencari satu kaedah baru bagi menangani masalah penipuan jemaah umrah berikutan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) dibatalkan serta-merta hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, antara perkara utama yang akan diambil kira ialah kaedah tersebut mesti cekap selain memastikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh dikecualikan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos.

"Kita alu-alukan cadangan untuk penambahbaikan bagi memastikan kes jemaah umrah ditangani.


"Cadangan-cadangan yang disuarakan ini akan kemudian dibawa ke Majlis Kawal Selia Umrah untuk kita jalankan kajian pasaran terlebih dahulu agar kaedah yang diambil tidak menjadikan rakyat terbeban," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment