Friday, 18 May 2018

FAHAMI AL QURAN DAN HADIS IKUT JENIS LAFAZ

Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236 ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun 2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah. Ia melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf. Setelah dikumpulkan, ia dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.

Manakala sunnah pula terdapat ratusan ribu yang tersebar di kalangan para sahabat dan dikumpul oleh para pakar hadis.

Maka itu, kita dapat bayangkan akan wujud bermacam-macam bentuk lafaz yang digunakan di dalam setiap dalil sama ada dari al-Quran mahupun sunnah. Ulama telah membahagikan kepada dua kategori, iaitu lafaz yang jelas dan lafaz yang tidak jelas.

JENIS-JENIS LAFAZ YANG JELAS PENGERTIANNYA

Lafaz yang jelas pengertiannya terbahagi empat iaitu al-zahir, an-nas, al-mufassar dan al-muhkam.

Al-zahir. Ia bermaksud setiap lafaz atau kata-kata yang mempunyai maksud yang jelas berdasarkan kepda gaya bahasa lafaz itu sendiri, tanpa melihat kepada lafaz-lafaz dalam ayat lain di luar dari lafaz itu dan tanpa membuat sebarang penelitian terhadap ayat tersebut.

Antara contoh lafaz zahir adalah ayat 38, surah al-Maidah yang bermaksud: "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka..."

Lafaz dalam ayat itu jalas dapat kita fahami maknanya, iaitu orang lelaki dan orang perempuan yang mencuri hendaklah dihukum potong tangan. Bagaimanapun, maksud ayat itu dianggap umum tanpa dapat difahami maksud sebenar kepada ayat itu. Sedangkan ayat itu jika dirujuk kepada ayat seterusnya antara yang ingin dijelaskan ialah tentang sesiapa yang melakukan kesalahan dan kemudiannya menyesal dengan perbuatannya serta ingin memperbaiki kesalahan itu, maka Allah akan mengampunkan segala dosa itu.

Penggunaan lafaz zahir sebagai hukum disepakati oleh ulama sebagai wajib berpegang kepada maksud yang diperoleh secara zahir dari ayat yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah, sama ada lafaz yang digunakan adalah umum atau khusus. 

Penolakan penggunaan hukum dari lafaz zahir itu hanya berlaku jika terdapat dalil-dalil yang menunjukkan maksud yang berbeza.daripada lafaz itu. Penolakan juga berlaku dalam kes lafaz zahir itu telah dinasakhkan. 

An-nas.  Bermaksud lafaz yang menunjukkan makna dan dalil dan ia merupakan makna asal bagi lafaz tersebut. Namun ia masih boleh menerima takwil dan boleh dinasakhkan ketika zaman penurunan wahyu.

Contoh lafaz dalam jenis nas ialah ayat berkaitan keharusan berjual beli dan pengharaman riba.

Firman Allah bermaksud: "Orang yang makan riba, tidak dapat berdiri kecuali seperti orng yang dirasut syaitan kerana mereka telah mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba.  Pada hal berniaga itu dihalalkan oleh Allah, sedangkan riba diharamkan." - (al-Baqarah, ayat 275).

Lafaz dalam ayat itu secara zahirnya menyebut mengenai keharusan berjual beli dan diharamkan riba. Namun, secara nasnya, ayat itu sebenar sebagai menafikan dakwaan orang Yahudi yang menyatakan jual beli dan riba itu sama saja, iaitu dihalalkan. Orang Yahudi tidak mahu menerima hakikat bahawa amalan riba mendatangkan banyak keburukan, khususnya penindasan.

Nas berfungsi menjelaskan dan menerangkan maksud yang difahami daripada zahir untuk mengetahui maksud sebenar yang ingin dijelaskan atau disampaikan oleh Allah. Maksud sebenar itu dapat diketahi dengan cara melihat perbezaan dan persamaan di antara zahir dan nas. Tegas di sini, kedudukan nas lebih tinggi daripada zahir.

Dari segi penyataan hukum, lafaz nas dan zahir tidak ada bezanya, yakni wajib beramal dengan kedua-duanya. Bagaimanapun, lafaz nas juga boleh ditakwilkan sekiranya terdapat lafaz khas, sedangkan lafaz itu adalah lafaz umum. Begitu juga lafaz nas boleh menerima nasakh. Pun begitu, penasakh hanya boleh berlaku pada zaman Rasulullah masih hidup.

Al-mufassar. Al-musassar bermaksud lafaz yang menunjukkan kepada makna yang jelas yang menjadi makna asal kepada ayat al-Quran atau hadis. Ia tidak boleh ditakwil tetapi masih boleh dinasakhkan pada zaman wahyu sedang diturunkan.

Contoh ayat yang termasuk dalam jenis mufassar ialah firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 30 yang bermaksud: "(Setelah selesai kejadian Adam), maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali."

Pada permulaan ayat, perkataan 'malaikat' membawa maksud umum. Ia boleh dibahaskan kemungkinan semua malaikat atau sebahagian saja yang sujud. Tetapi, kewujudan perkataan 'sekalian' membawa maksud kesemua malaikat yang secara jelas lafaz itu tidak boleh ditaksihkan.

Orang Islam wajib beramal dengan maksud yang terkandung dalam lafaz mufassar dan maksud itu tidak boleh ditakwil atau ditakhsis. Bagaimanapun lafaz itu boleh dinasakhkan. Namun, seperti yang difaham, nasakh hanya berlaku pada zaman Rasulullah, yakni tidak ada lagi nasakh terhadap ayat al-Quran mahupun hadis selepas kewafatan Rasulullah. 

Al-muhkam.  Maksudnya ialah lafaz yang petunjuknya menunjukkan suatu pengertian yang jelas sesuai dengan susunan lafaz itu dan tidak mungkin menerima sesuatu yang lain sama ada takhsis, nasakh dan takwil.

Lafaz yang termasuk dalam jenis muhkam ialah berkaitan asas akidah dan hukum-hukum fiqh yang bersifat kekal dan berterusan.

Contohnya, firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu sepaya kamu bertakwa."

Lafaz itu jelas dan tidak mungkin difahami dari sudut lain, serta tidak membuka ruang untuk ditakhsis, nasakh atau takwil.

Muhkam terbahagi dua iaitu pertamanya muhkam lizatihi yang mana lafaz yang mengandungi masud yang jelas dan difahami daripada lafaz itu sendiri. Keduanya, muhkam lighairihi, yakni lafaz itu jelas maksudnya, tetapi difahami berdasarkan kepada faktor luaran.

Orang Islam wajib beramal dengan maksud lafaz dalam jenis muhkam kerana maksudnya jelas difahami, serta tidak boleh lagi menerima takwil, takhsis dan juga tidak boleh dinasakhkan.  

Contohnya, hukum wajib berpuasa tidak pernah dipertikaikan dan amalannya berkekalan hingga ke hari ini dan seterusnya hingga hari kiamat. Perlaksanaan ibadat puasa adalah sebahagian daripada Rukum Islam dan termasuk dalam perkara akidah umat Islam.

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa lafaz jenis muhkam paling tinggi kedudukannya kerana tidak boleh ditakwil, takhsis dan nasakh. Kedudukan kedua ialah musaffar kerana ia tidak boleh ditakwil dan ditakhsis, tetapi tidak boleh dinasakh. 

Di tahap ketiga ialah nas kerana maknanya boleh ditakwil, ditakhsis dan dinasakh. Zahir pula ditahap paling bawah kerana makna yang tersurat saja, serta boleh ditakwil, ditakhsis dn dinasakh.

JENIS-JENIS LAFAZ YANG TIDAK JELAS PENGERTIANNYA

Jika jenis-jenis lafaz yang jelas terdapat empat jenis, lafaz yang tidak jelas pengertiannya juga terbahagi kepada empat jenis iaitu al-khafi, al-musykil, almujmal dan al-mutasyabih. Penjelasan setiap satu daripadanya adalah seperti berikut:

Al-khafi -  Khafi ialah lafaz yang mengandungi makna yang tersembunyi dan maksud yang tidak jelas atau lafaz yang dilalahnya tersembunyi disebabkan terdapatnya kesamaran.

Pada dasarnya, maksud lafaz sebenarnya jelas dalam konteks ayat itu. Bagaimanapun, maksud itu menjadi tidak jelas apabila diaplikasikan kepada istilah yang mempunyai persamaan. 

Sebagai contoh, ayat ke 38 surah al-Maidah menyebut dengan jelas tentang hukum potong tangan terhadap lelaki dan perempuan yang mencuri. Timbul tidak kejelasan apabila perbuatan mencuri itu cuba dikaitkan dengan perbuatan penyeluk saku, peragut, penyamun dan sebagainya. 

Secara istilahnya, kesemua perbuatan itu membawa maksud yang berbeza. Maka timbul persoalan bagaimana untuk menghukum pesalah-pesalah itu? Kesamaran ini membawa kepada perbincangan ahli fiqh untuk menentukan sifat sebenar perbuatan-perbuatan itu dan seterusnya menentukan hukuman pelakunya.

Contoh dalam kes ini, ahli fiqh merumuskan perbuatan penyeluk saku mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan mencuri, maka hukumannya juga adalah sama.

Al-musykil - Ia bermaksud salah satu daripada bentuk lafaz yang tidak mengandungi makna yang jelas. Ini adalah kerana disebabkan oleh lafaz itu sendiri mengandungi lebih daripada satu makna seperti lafaz musytarak.

Ketidakjelasan maknanya adalah disebabkan oleh perkataan itu sendiri yang mempunyai maksud yang tidak jelas, yang memerlukan petunjuk lain untuk menjelaskannya.

Contoh paling popular dalam menjelaskan maksud musykil dan musytarak ialah perkataan 'quru' yang terdapat dalam ayat 228 surah al-Baqarah. Perkataan itu diselisih pendapat oleh ulama dalam menjelaskan maksudnya sama ada bererti suci dari hadas atau haid.

Para ulama membuat penelitian khusus dengan menggunakan petunjuk lain untuk menjelaskan maksud sebenar sesuatu lafaz yang dikategorikan jenis musykil. Terdapat banyak lagi ayat lain yang termasuk dalam jenis ini. 

Para ulama usul fiqh menyatakan pendapat bahawa wajib mengkaji dan meneliti perkataan yang musykil itu untuk mencari maknanya yang sebenar. Maka sebarang keputusan hendaklah dibuat berdasarkan kepada dalil dan qarinah. Keputusan yang diambil itu hendaklah diamalkan atau diterima sebagai hukum.

Al-mujmal - Mujmal ialah suatu lafaz yang hanya diketahui maksudnya oleh orang yang menyebut perkata itu. Sesungguhnya Allah melalui al-Quran dan hadis menggunakan perkatan tertentu untuk menerangkan sesuatu yang berkaitan dengan hukum syarak. Perkataan itu tidak dapat ditafsir dengan akal, melainkan merujuk kepada al-Quran dan hadis. 

Tiga perkara yang menyebabkan lafaz itu dikategorikan sebagai mujmal:-
- Perkataan itu mempunyai maksud yang banyak.
- Perkataan itu asing dalam bahasa
- Perkataan itu ditukarkan maksudnya dari sudut bahasa kepada maksud dari sudut istilah.

Kedudukan mujmal lebih rendah berbanding musykil kerana ia mengandungi pelbagai makna dan setiap makna itu mempunyai persamaan terlalu hampir sehingga tidak dapat dibezakan dengan mudah, kecuali dijalankan penelitian yang mendalam.

Sesungguhnya Allah tidak menurunkan sesuatu ayat, melainkan ia dapat difahami dan diamalkan. Maka itu, lafaz mujmal diterangkan sendiri oleh Allah melalui penjelasan di dalam ayat lain atau hadis.

Mana-mana lafaz mujmal yang telah difahami maksudnya, bertukar kategorinya kepada mufassar. Maka mana-mana hukum yang terbit dari maksud lafaz itu adalah terpakai.

Tetapi, jika lafaz mujmal tidak difahami sepenuhnya, ia bertukar kedudukan pada musykil saja. Maka, para ulama berusaha untuk mendapatkan makna yang dianggap 'tepat' dengan menggunakan ijtihad mereka. 

Al-mutasyabih.  Mutasyabih ialah suatu lafaz nas yang mana pengertian yang dikehendakinya sama sekali tidak dapat difahami kerana tidak terdapat qarinah yang boleh menghilangkan kesamarannya.

Antara contoh lafaz mutasyabih ialah firman Allah dalam surah al-Fath, ayat 10 yang bermaksud: "...tangan Allah di atas tangan mereka..."

Lafaz 'tangan' dalam ayat itu merupakan lafaz mutasyabih yang tidak dapat difahami sebagaimana adanya. Maka, lafaz ini telah menjadi perbahasan di kalangan ulama untuk menentukan maksudnya.

Sesungguhnya, lafaz 'tangan' tentunya tidak boleh diertikan seperti yang kita fahami seperti tangan manusia sama ada dari segi bentuk atau kegunaannya. Ini kerana Allah tidak menyerupai apa-apa bentuk yang ada di muka bumi ini. Jika kita cuba membayangkan Allah menyerupai sesuatu, maka bayangan itu sama sekali salah.

Dalam, mentafsir lafaz 'tangan' dalam ayat itu, para ulama menerima maksudnya sebagai 'kekuasaan' Allah.

Berdasarkan apa dibincangkan menunjukkan betapa perlunya orang Islam memahami kaedah pentafsiran teks al-Quran dan hadis bagi memudahkan mereka memahami hukum atau penduan yang terkandung dalam kedua-duanya. Tanpa ilmu itu, menyebabkan banyak orang Islam tidak memahami makna yang tersirat dan tersurat dalam al-Quran dan hadis. 

Keadaan ini menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengelirukan dengan menggunakan ayat al-Quran dan hadis. Maka itu amat penting umat Islam mengetahui ilmu berkaitan al-Quran dan hadis, bukan sekadar tahu membacanya saja.

Kepentingan al-Quran dan sunnah digabungkan bersama sebagai sumber hukum dan panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. 

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik).

No comments:

Post a Comment