Saturday 19 May 2018

Poligami bukan tuntutan nafsu

Islam membenarkan lelaki beristeri sehingga empat pada satu masa. Beristeri lebih daripada satu pada masa yang sama dipanggil berpoligami. Berpoligami juga sunnah Rasulullah. Bagaimanapun konsep poligami Rasulullah dilakukan atas kepentingan agama dan bukannya kepada tuntutan nafsu. Setiap sunnah Rasulullah ada hikmahnya. 

Justeru, lelaki yang ingin berpoligami perlu menimbangkan baik buruknya. Jangan jadikan  hukum dan sunnah sebagai alasan untuk berpoligami dengan sewenangnya. Jika ia benar ‘perlu’, maka lakukan ia dengan asas takwa agar tidak berlaku perkara mendatangkan keburukan akibatnya.

Hakikatnya, ramai suami tidak terlayan isteri yang seorang, inikan jika berkahwin lebih daripada seorang. Justeru beristeri seorang lebih baik, jika ditakuti tidak dapat berlaku adil.  

Sambungan dari ayat 3 surah an-Nisa bermaksud: “Kemudian jika kamu takut tidak akan berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja. Yang demikian itu adalah lebih baik kepada tidak berbuat aniaya.”

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya kamu bersekedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu telah mengambil satu perjanjian yang amat berat.” (Surah an-Nisa, ayat 21).

Perjanjian dimaksudkan ialah kesediaan menjalankan tugas sebagai suami; pemimpin, penjaga dan pengawal. Sebagai pemimpin lelaki bertanggungjawab memastikan isteri melakukan kebaikan dan menjauhkan larangan Allah. 

Sesungguhnya setiap pemimpin akan dipersoalkan tentang kepentingannya. Apa dilakukan oleh orang di bawah pemimpin akan memberi kesan baik dan buruknya kepada pemimpin.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah at-Tahrim, ayat 6).  

Manakala maksud sabda pula: “Setiap pemimpin akan ditanya tentang apa yang telah dilakukan.”

No comments:

Post a Comment