Monday 21 May 2018

Ketidaksamaan sosial dalam masyarakat

Ketidaksamaan sosial tidak dilihat dalam sudut negatif sepenuhnya. Malah, jika dikendalikan dengan baik, keadaan itu memberi rahmat yang besar kepada kehidupan manusia.

Isu-isu yang berkaitan dengan ketidaksamaan sosial dilihat melalui dua teori iaitu fangsionalisme dan konflik.

Teori Fungsionalisme.

Fungsionalisme melihat ketidakasamaan sosial memberi kebaikan kepada masyarakat. Kerana ada keadaan itulah manusia dapat menikmati kehidupan dengan teratur secara menggunakan kedudukan dan kelebihan setiap individu atau kelompok. 

Bayangkan jika semua manusia sama taraf, katakan dari segi pemilikan harta. Jika semua manusia kaya, siapakan yang sanggup menjadi kuli atau buruh kepada pihak lain. 

Golongan kaya dapat menggunakan khidmat golongan miskin kerana golongan miskin memerlukan upah. Dalam hal ini, golongan miskin sebenarnya bersyukur kerana adanya golongan kaya. 

Manakala, golongan kaya pula pula bersyukur kerana adanya golongan miskin, maka dapatlah mereka menggunakan khidmat golongan miskin untuk kesenangan hidup.

Dengan kata lain, kedua-dua golongan itu sebenarnya saling memerlukan. Justeru itu, sepatutnya antara golongan kaya dan miskin perlu saling menghormati dan tolong menolong.

Hal yang sama juga diperlukan dalam perbezaan-perbezaan lain yang wujud dalam masyarakat seperti tua dengan muda, bijak dengan kurang bijak, kuat dengan lemah dan sebagainya. 

Semua ketidaksamaan sosial ini saling melengkapkan antara satu sama lain yang melahirkan kehidupan yang aman, harmoni dan selamat. 

Teori Konflik.

Namun, jika ketidaksamaan sosial itu dijadikan asas untuk menindas pihak yang lemah, maka perbezaan akan menyebabkan kehidupan terancam, tertindas dan segala keadaan tidak baik.

Teori konflik melihat pihak yang menduduki tangga sosial yang teratas mampu menindas golongan bawahan. Contohnya, golongan kaya menindas golongan miskin. 

Mereka yang cerdik pula menipu dan memperbodohkan mereka yang kurang berakal. Pihak yang kuat pula menyiksa golongan lemah.

Teori konflik ini banyak dipengaruhi oleh Karl Marx yang melihat kewujudan kelas dalam masyarakat pada Era Revolusi Perindustrian di Eropah banyak mendatangkan keburukan. 

Fenomena yang sama dilihat berlaku dalam masyarakat moden hari ini apabila golongan buruh dibayar dalam kadar upah yang rendah oleh majikan dianggap tidak setaraf dengan tenaga yang disumbangkan.

Golongan pengusaha atau majikan mendapat keuntungan besar di atas usaha yang dilakukan oleh golongan pekerja. Pengusaha berkuasa menentukan tingkat upah mengikut sesuka hati memandangkan ada pihak lain sanggup menerima upah yang rendah jika pekerja sedia ada tidak sanggup lagi bekerja.

Di negara kita contohnya, majikan mempunyai kuasa menentukan upah yang rendah memandangkan ada pekerja asing yang sanggup menerima upah yang rendah.  

Jadi, jika pekerja tempatan ingin terus bekerja, maka dia perlu bersedia menerima upah rendah, atau meninggalkan kerja itu kerana ada pekerja asing yang sanggup menggantikan untuk melakukan kerja itu.
           
Keadaan itu sebenarnya satu konsep penindasan apabila yang berkuasa mendapat keuntungan besar dari 'penderitaan' pihak lain yang terpaksa menerima apa yang diberikan demi untuk terus mendapat kerja dan upah bagi menyara kehidupan.             

KETIDAKSAMAAN SOSIAL DALAM MASYARAKT     

Terdapat banyak contoh kehidupan manusia yang memperlihatkan ketidaksamaan sosial. Perkara ini dilihat dalam pelbagai aspek yang melibatkan semua peringkat masyarakat. Contoh ketidakadilan sosial yang boleh dilihat ialah seperti berikut.

Masyarakat Petani dan Orang Tengah.

Di kampung-kampung, akvititi pertanian dilakukan dalam skala kecil. Petani melakukan kerja-kerja pertanian menghasilkan tanaman seperti sayur, buah-buahan dan sebagainya. Untuk memasarkan hasil pertanian, mereka mengharapkan pihak lain untuk membawanya kepada pembeli atau peniaga lain. 

Golongan ini dipanggil peraih atau pemborong. Peraih berperanan membeli hasil pertanian untuk dibawa kepada pasaran di bandar untuk dibeli oleh peniaga lain atau pengguna. 

Perbezaan yang ketara antara kedua-dua golongan ini ialah dari segi keuntungan berbanding tenaga yang terpaksa dikeluarkan. Golongan petani terpaksa membanting tulang dan mengambil masa lama sebelum dapat memunggut hasil. 

Sedangkan, peraih hanya membeli dan membawanya ke pasaran yang hanya memerlukan masa singkat sebelum mendapat keuntungan. Menariknya, keuntungan yang diperoleh itu relatifnya besar berbanding petani sendiri.

Biarpun menyedari ketidaksamaan wujud, petani 'terpaksa' menjual kepada peraih memandangkan itu saja cara hasil pertanian itu dapat dipasarkan. Peraih pula mengambil kesempatan keadaan itu untuk mendapat keuntungan besar melalui sedikit usaha.

Keadaan ini memberi kesedaran sesetengah petani tidak menggunakan khidmat peraih. Mereka memasarkan sendiri hasil yang dikeluarkan. Ini mewujudkan golongan petani yang sekaligus menjadi peraih atau peniaga. 

Keadaan ini bertambah mudah apabila mendapat sokongan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA).

Golongan Berpendidikan Tinggi dengan Pendidikan Rendah

Umumnya, mereka yang berpendidikan tinggi berpeluang mendapat jawatan lebih baik berbanding berpendidikan rendah. Malah, jumlah pendapatan lebih tinggi diperoleh mereka yang berstatus profesional seperti doktor, peguam, akauntant dan jurutera.

Ketidaksamaan sosial ini wujud berdasarkan kepada teori fungsionalisme yang antara lain menentukan tangga gaji setimpal untuk kesukaran tugas, kelulusan dan tempat kerja.

Keadaan ini sebenar mempengaruhi kehidupan dan mobaliti sosial pekerja. Pekerja berkelulusan rendah kini tidak lagi sekadar berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Kini banyak pekerja mengambil peluang untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kemahiran masing-masing. 

Kewujudan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) umpamanya memberi peluang kepada orang ramai untuk mengubah distini hidup melalui pendidikan. Golongan pekerja boleh berkerja dan pada masa sama menyambung pendidikan ke tahap lebih tinggi. 

Peluang yang disediakan oleh OUM telah mengubah nasib banyak pekerja yang dapat naik pangkat atau bertukar kerjaya lebih baik apabila berjaya menamatkan pengajian.  
           
KESIMPULAN
           
Ketidaksamaan sosial tidak dapat dihapuskan dalam masyarakat. Apa yang penting, sebarang ketidaksamaan sosial perlu dimanfaatkan sepenuh untuk kebaikan dan sebarang masalah yang wujud akibatnya perlu diselesaikan secara bijaksana. 

Sebaliknya, ketidaksamaan sosial yang tidak difahami fungsinya akan menyebabkan masalah besar hingga menimbulkan konflik besar yang membawa malapetaka kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment