Friday 18 May 2018

Doa memohon kepada Allah

Perkataan doa diambil dari Bahasa Arab yang merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa. Maksud doa secara etimologinya (bahasa) bererti seruan, panggilan, ajakan atau permintaan. 

Dari segi terminologi (pengertian syarak), doa adalah ‘memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan.

Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya. Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah. Doa juga merupakan satu bentuk zikir kepada Allah SWT. Maka, doa menjadi senjata ampuh bagi setiap mukmin menghadapi realiti kehidupan.

Doa adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’raaf ayat 55-56 bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang dan penuh pengharapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat baik.”

Ketika menjelaskan perkara sama, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tidak ada yang dapat memanjangkan umur melainkan memperbanyakkan amal kebajikan, (Hadis riwayat Tirmizi)

Berdasarkan peringatan Rasulullah SAW ini, ternyata kepada kita bahawa pengaruh doa itu amat hebat sehingga ia mampu mengubah takdir Allah SWT dan alangkah hebatnya pengaruh amal kebajikan kerana ia dapat memanjangkan umur seseorang.

Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia sedar bahawa sesungguhnya kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada Allah SWT.

Kadangkala timbul pertanyaan, kita sering berdoa tetapi diyakini doa kita tidak dimakbul Allah SWT?

Berdasarkan besar peranan doa dalam kehidupan umat Islam, maka Islam meletakkan doa sebagai sebahagian daripada ibadah kepada Allah. Dengan demikian permohonan doa itu hendaklah mematuhi adab tertentu.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu sekalian berdoa untuk kebinasaan diri, kebinasaan anak, dan janganlah pula berdoa untuk kebinasaan harta benda lebih-lebih lagi jika waktu doa berkebetulan dalam waktu yang mustajab”.

No comments:

Post a Comment