Friday, 18 May 2018

DOA SENJATA GHAIB MOHON PERTOLONGAN ALLAH

Doa adalah senjata ghaib umat Islam untuk memohon pertolongan Allah. Dalam hal ini ingin saya mengingatkan umat Islam bahawa terdapat tiga golongan yang doa mereka amat diterima oleh Allah bersandarkan kepada sebuah hadis Qudsi.

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak pernah ditolak doa mereka iaitu pertama, doa orang yang berpuasa; kedua, doa pemerintah yang adil; dan ketiga, doa orang yang dizalimi, di mana doa mereka terbuka luas dan Allah memberi jaminan doa mereka pasti dipenuhi”. (Hadis riwayat Tirmizi)

Sesungguhnya doa orang yang dizalimi dan teraniaya adalah mustajab. Apalagi kalau mereka itu orang lemah, tiada kuasa dan orang tua. Semakin lemah mereka, maka semakin besar dan cepat pula pertolongan Allah SWT datang membantu.

Dengan sikap berhati-hati ketika berdoa, insya-Allah kehidupan kita terjauh daripada melakukan pelbagai bentuk kezaliman, pembohongan, ketidakadilan, fitnah-memfitnah dan penganiayaan dalam keluarga, masyarakat, pertubuhan dan organisasi.

Berdasarkan peringatan Allah SWT dan Rasulullah SAW itu, amat yakin mereka yang melakukan kezaliman, fitnah dan penganiayaan kepada manusia tidak terlepas begitu saja.

Sebagai peringatan berhubung tingkah laku kita, marilah kita menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih, maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.’ (Surah Fussilat, ayat 46)

Selain berdoa kita perlu berusaha. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." - (Surah ar-Rad, ayat 11).

Keterangan daripada al-Quran dan hadis memperlihatkan bahawa Allah mengharapkan agar setiap hamba itu berdoa kepada-Nya, dalam setiap keadaan, ketika kaya, mewah, juga ketika dalam kesusahan, kerana berdoa itu merupakan otak ibadah.

Allah SWT menjanjikan kemakbulan setiap doa. Namun demikian andainya doa seseorang itu masih tidak dikabulkan, sakit yang dideritai tidak sembuh-sembuh, biarpun puas berubat, hutang semakin banyak biarpun usaha bisnes dilakukan bersungguh, ini tidak bermakna Allah SWT itu memungkiri janji-janji-Nya.

Ada rahsia-rahsia di sebalik ketentuan qada dan qadar yang perlu difahami untuk dijadikan pegangan dalam usaha melenyapkan rasa kecewa.

Andainya seseorang itu mengetahui rahsia qada dan qadar, sudah pasti dia menerima apa saja yang ditentukan oleh Allah SWT. 

No comments:

Post a Comment