Sunday 20 May 2018

Masalih Mursalah kepentingan tiada keterangan nas

Satu cara menentukan hukum yang diterima dalam Islam ialah kaedah al-Masalih al-Mursalah. Istilah al-masalih al-mursalah didefinisikan oleh para ulama sebagai kepentingan yang tiada keterangan nas secara langsung sama ada memperakui atau menolaknya.  

Jamhur ulama berpendapat mengutamakan kepentingan rakyat satu hujah boleh diterima sebagai dalil hukum apabila ia berkaitan mendatangkan kebaikan kerana kebaikan sentiasa menjadi tujuan utama syarak. 

Selain itu, pendapat itu juga berdasarkan kepada kepentingan hidup manusia sentiasa berubah yang memerlukan kepada keperluan semasa yang tidak terdapat sebelumnya. Contohnya hukum berurusan di atas talian yang menjadi fenomina pada hari ini sedangkan perkara itu tidak wujud sebelum ini.

Selain itu, jamhur ulama juga berhujah berdasarkan apa yang dilakukan oleh para sahabat dalam melakukan sesuatu yang asalnya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, contohnya keputusan Abu Bakar mengumpul ayat al-Quran untuk kepentingan umat Islam.
           
Bagaimanpun, terdapat ulama seperti al-Qadi Abu Bakr dan beberapa yang lain menolak penggunaan al-masalih al-mursalah sebagai sumber hukum. 

Alasan mereka ialah untuk mengelak berlaku perubahan hukum berdasarkan kepada perubahan masa, tempat dan keperluan pihak tertentu sedangkan ia bukan satu keperluan yang kukuh atau sekadar satu anggapan atau sangkaan tidak kukuh kepada perkara itu.   

Hujah mereka, jika perkara ini berlaku akan terlalu banyak hukum yang berbeza-beza di kalangan umat Islam di seluruh dunia. 

Keadaan ini mungkin diambil kesempatan pihak tertentu membuat hukum sesuka hati sedangkan mereka tidak mahir dalam perkara yang berkaitan. Kekeliruan itu menyebabkan permasalahan besar kepada umat Islam. 

No comments:

Post a Comment