Friday 31 August 2018

ISLAM SESUAI DIAMALKAN SEPANJANG ZAMAN

Sumber rujukan hukum Islam berdasarkan apa yang terkandung di dalam al-Quran dan sunah. Biarpun kedua-dua rujukan itu telah berusia lebih 1400 tahun dan merentasi jangkauan budaya dan geografi penganutnya, ajaran Islam tetap releven sepanjang masa.

Nmun begitu, di dalam teks al-Quran dan sunah, tidak semua hukum datang dalam bahasa yang jelas. Hukum-hukum yang sudah jelas pengertiannya biasanya melibatkan hukum-hukum asas ibadah, akhlak dan budi pekerti, hukum harta pewarisan, hukum akidah yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Allah dan alam ghaib, serta kisah-kisah sejarah umat terdahulu. 

Manakala terdapat juga ayat-ayat yang tidak jelas pengertiannya, sama ada kerana perkataan yang digunakan boleh memberikan pelbagai maksud, atau terlalu luas untuk dipraktikkan dalam sesuatu kes.

Di sinilah peranan para ulama mujtahid untuk mengkaji dan menggunakan ketajaman akalnya. Bahkan di sinilah juga hukum-hukum Islam akan diterjemahkan secara berbeza berasaskan kepada budaya setempat yang mencorak pemikiran para ulama mujtahid itu.

Di antara faktor lain yang menjadikan Islam sebagai undang-undang fleksibel juga ialah kerana Islam tidak menghadkan sumber perundangannya hanya kepada al-Quran dan sunah sahaja tetapi undang-undang Islam boleh mengambil kira sumber lain untuk disesuaikan dengan situasi semasa.

Para sarjana perundangan Islam telah mengemukakan beberapa sumber lain yang bersifat semasa dan setempat selain daripada al-Quran dan sunah, di antaranya seperti al-istihsan (kaedah pengecualian hukum dalam kes-kes tertentu), al-istislah (kemaslahatan masyarakat) dan al-urf (budaya setempat).

Sumber-sumber ini begitu signifikan untuk dinilai kerana tidak semua perkara yang wujud di atas dunia ini dinyatakan hukumnya di dalam al-Quran dan sunah. 

Sekalipun dalam karya perundangan klasik para sarjana berbeza pendapat dalam penerimaan terhadap sumber-sumber itu, perbezaan itu hanyalah berupa perbezaan daripada aspek penggunaan istilah teknikal sahaja atau dinamakan khilaf lafzi. Ia sebenarnya bukan perbezaan penerimaan secara prinsip sumber itu sendiri.

Sebagai contoh, terdapat beberapa bukti bahawa Imam Syafie (meninggal 820 Masihi) menolak prinsip al-istihsan yang dipelopori oleh Mazhab Hanafi. 

Namun sebenarnya penolakan Imam Syafie tersebut kerana beliau menolak istilah al-istihsan yang digunakan oleh mereka yang menjadikan semua perkara yang disukai oleh nafsu itu sebagai sesuatu yang baik. 

Pada masa yang sama, konsep tersebut digunakan juga oleh beliau tetapi dengan nama yang lain seperti maslahah dan dan qiyas.

Dengan adanya sumber-sumber tersebut, perubahan masa dan budaya masyarakat dapat diselaraskan hukumnya berpandukan kepada sumber-sumber perundangan itu. 

Pengiktirafan Islam terhadap sumber-sumber selain daripada al-Quran dan sunah ini membuktikan bahawa Islam meraikan budaya sesuatu tempat dan tidak menjadikan satu dunia sebagai satu budaya seperti globalisasi sekarang. 

Islam mengekalkan perbezaan budaya setempat yang tidak bercanggah dengan prinsipnya tetapi menerapkan nilai-nilai pensejagatannya dengan konsep `Satu Tuhan dan Satu Akidah' serta nilai-nilai moral yang murni dan kasih sayang.

Buktinya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya memakai pakaian khas untuk melakukan upacara ibadah. Seorang boleh memakai baju Melayu, memakai pakaian ala-Arab, memakai apa sahaja asalkan ia menutup aurat dan suci. 

Dalam hal ini yang menyatukan umat Islam ialah pelaksanaan hukum menutup aurat, dan yang menyerlahkan perbezaan manusia sebagai manifestasi kehebatan Allah ialah fesyen-fesyen pakaian warna dan reka bentuk daripada seluruh budaya di dunia!

Selain perbezaan budaya, terdapat satu lagi perbezaan yang lebih susah untuk disatukan iaitu perbezaan pemikiran dan ideologi. Seperti berbezanya budaya manusia yang berlainan bangsa, manusia juga berbeza cara berfikir dan menganalisis sesuatu. 

Perbezaan ini telah dimanifestasikan melalui pelbagai kumpulan seperti parti politik, aliran mazhab dan sebagainya. 

Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa kes persengketaan sesama saudara yang berpunca daripada sikap fanatik terhadap mazhabnya. Ini kerana mereka sendiri tidak faham asas-asas Islam yang mengiktiraf perbezaan pemikiran antara manusia.

Di dalam sebuah lagi buku Dr. Yusuf al-Qardhawi berjudul Fiqh al-Awlawiyyat, beliau menyarankan supaya umat Islam memahami kedudukan hukum bagi sesuatu perkara. 

Menurut beliau, Islam telah meletakkan beberapa perkara yang tidak dibenarkan berlaku perbezaan antaranya ialah perkara-perkara yang berkaitan dengan iman kepada Allah, dan yang kedua ialah kasih sayang sesama manusia. 

Inilah prinsip umum Islam yang mesti diletakkan pada prioriti yang tertinggi sebelum perkara-perkara lain.

Justeru, walau sejauh manapun perbezaan pemikiran yang berlaku, umat Islam wajar kembali kepada prinsip asas tadi iaitu keimanan kepada Allah dan kasih sayang sesama manusia. Atas prinsip inilah Imam Syafie secara sengaja meninggalkan doa qunut sewaktu solat Subuh di masjid Imam Abu Hanifah (meninggal 767 Masihi) di Baghdad.

Begitu juga Imam Malik (meninggal 795 Masihi) yang menolak tawaran pemerintah untuk menjadikan kitabnya, al-Muwatta' untuk dijadikan kitab resmi negara kerana ditakuti nanti semua umat akan berpandu kepadanya. 

Oleh itu, atas prinsip ini jualah, abaikan dahulu perbezaan aliran pemikiran apabila melangkah ke masjid untuk menghambakan diri kepada Allah, jua ketika berdepan dengan mereka yang tidak sependapat. 

Tidak salah berbeza pandangan selama mana kita meyakini kebenarannya, tetapi jangan pula terlalu taksub sehingga mengabaikan prinsip kasih sayang dan persaudaraan.

Untuk bersatu dalam realiti perbezaan masyarakat, undang-undang Islam perlu difahami daripada skop yang luas dan komprehensif. Bukan diambil hujung sana dan sini sahaja. 

Islam juga bukan sekadar meletakkan hukum-hukum sahaja, tetapi wujudnya hukum itu bermatlamat menegakkan kemaslahatan ummah dan mengelakkan kemudaratan kepada manusia sejagat. Inilah yang dinamakan maqasid al-syariah (matlamat Syariah).

Hukum tidak boleh sekadar difahami tanpa cuba memahami matlamatnya. Dengan pemahaman yang luas tentang Islam barulah kita dapat melihat bahawa Islam itu cukup menghargai perbezaan manusia di dunia ini. 

Tetapi sekadar melihat itu masih tidak cukup selagi kita sendiri tidak mengamalkannya untuk membuktikan bahawa umat Islam tetap bersatu padu di dalam perbezaan.

Indahnya syariah Islam yang disediakan untuk penganutnya yang sesuai diamalkan sepanjang masa dan memenuhi fitrah kejadian manusia. 

Tidak ada alasan perjuangan sesetengah pihak yang cuba mengubah ketetapan hukum hanya berdasarkan kepada pemikiran cetek mereka atas dasar kebebasan hak kemanusiaan seperti yang diperjuangkan oleh golongan liberal sekarang ini.

No comments:

Post a Comment