Friday 31 August 2018

SISTEM EKONOMI ISLAM MILIK SEJAGAT


Secara konsepnya, Islam telah menetapkan garis panduan dalam pengurusan ekonomi. Semua negara, syarikat, keluarga dan individu dilindungi daripada sebarang penindasan dan ketidakadilan ekonomi yang dilakukan oleh pihak lain.  Semua bentuk penindasan ditegah dalam Islam.   

Islam mementingkan hubungan baik sesama manusia bertujuan mewujudkan suasana hidup yang selesa, selamat dan sejahtera. Kesempurnaan iman seseorang tidak sekadar melakukan ibadat yang menghubungkan diri dengan Allah. Sebaliknya, Islam turut mementingkan soal hubungan manusia dengan manusia untuk melengkapkan tanggungjawab sebagai khalifah. 

Urusan ekonomi adalah salah satu urusan sesama manusia yang paling penting. Ekonomi merangkumi semua aktiviti yang bermaksud mencari keuntungan. Setiap individu moden tidak terlepas daripada aktiviti ekonomi. Selaku pengguna juga seseorang termasuk dalam kategori menjalankan aktiviti ekonomi. 

Konflik ekonomi tercetus apabila masyarakat Barat mentakrifnya sebagai sains sosial yang mengkaji usaha-usaha manusia menggunakan sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia yang tidak terbatas. Kehendak yang tidak terbatas melibatkan sifat tamak, tidak bersyukur dan cintakan dunia. 

Sesungguhnya, Allah mencipta dunia ini untuk manusia mendapat apa yang dihajati. Namun, perkara itu perlu dipenuhi mengikut batasan yang dibenarkan syariat. Sesiapa menjadikan kesenangan hidup di dunia sebagai matlamat utama di dunia ini, akan menghadapi kesesatan untuk memahami tujuan sebenar hidup. Mereka tertipu dengan keindahan dunia dan melupai janji Allah untuk kehidupan akhirat.

Kesenangan hidup di dunia adalah ujian bagi menentukan kekuatan iman seseorang. Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada sesiapa yang berjaya menahan dirinya daripada melakukan perbuatan dusta berkaitan kekayaan.

Individu di Barat percaya kepada kebebasan mekanisma ekonomi. Sistem ekonomi kapitalis memberi hak kepada sesiapa sahaja mengaut keuntungan, melakukan penindasan sesama manusia, atau melakukan apa sahaja untuk tujuan mendapat keuntungan.  Matlamat akhir dalam sistem ekonomi kapitalis ialah keuntungan dan kepuasan.     

Doktrin ekonomi bukan Islam menjadikan nafsu sebagai raja. Sebab itu, apa sahaja diingini dilakukan walaupun bertentangan dengan norma kemanusiaan. Perniagaan judi, arak, hiburan keterlaluan, urusan berbentuk spekulasi dan monopoli menjadi urusniaga mengaut keuntungan besar. Sedangkan masyarakat menanggung kerugian akibat urusniaga tersebut. 

Berdasarkan kepada kepincangan ekonomi Barat, pakar ekonomi bukan Islam semakin percaya hanya sistem ekonomi diasaskan berdasarkan kepada akidah lebih baik dan sesuai diamalkan dalam semua keadaan kehidupan, tidak kira zaman dan tahap ekonomi sesebuah negara.

Dalam surah al-Qashash ayat 77 pula firman-Nya bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.”  

Allah memberi peringatan agar hamba-Nya tidak terlalu mengejar kebahagiaan dunia sehingga melakukan perkara-perkara yang menyalahi tuntutan syariat dan adab-adab kemanusiaan. Mencari rezeki termasuk dalam ibadat yang terdapat peraturan yang perlu dipatuhi. 

Hakikat sebenar, tugas manusia sebagai khalifah adalah bukan untuk memiliki harta atau sumber dunia, tetapi mengurusnya. Manusia diberi hak untuk mengurus dan menggunakan segala sumber yang ada mengikut peraturan yang ditetapkan. 

Manusia bukanlah pemilik kekayaan yang ada di dunia ini. Sebaliknya, manusia hanyalah pengurus. Seperti peraturan di sebuah syarikat, sesiapa yang dilantik menjadi pengurus perlu mengikuti peraturan kerja dan kehendak pemilik syarikat. Syarikat itu bukan menjadi miliknya.   

Kekayaan yang diuruskan oleh manusia tidak kekal kerana semua itu akan ditinggalkan apabila meninggal dunia. Justeru, perkataan mengurus harta atau kekayaan adalah lebih tepat dalam menerangkan tugas manusia di dunia ini. 

Sesiapa mengurus kekayaan dengan melakukan kebaikan, maka kekayaan mendatangkan yang dimilikinya memberi kebaikan baginya di akhirat.   

Allah telah mencipta bumi ini dengan penuh kedamaian, cukup sumbernya dan sejahtera untuk kehidupan manusia. Namun, sikap rakus manusia telah menyebabkan dunia rosak. Keadaan tersebut adalah pembalasan dan peringatan kepada manusia akibat perbuatan yang dilakukan.

Firman Allah dalam surah ar-Rum, ayat 41 bermaksud: “Telah kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia, kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka kembali.”

No comments:

Post a Comment