Thursday 30 August 2018

KEPUTUSAN PERLAWANAN JADI PERTARUHAN KAKI JUDI


Usaha membanteras perjudian menghadapi jalan sukar selagi ada manusia ingin mendapat kekayaan dengan cara mudah. Mereka menggunakan pelbagai medium untuk dijadikan penentu kepada sesuatu menang kalah dalam sesuatu pertaruhan yang dibuat.

Perlawanan bola sepak tidak terkecuali dijadikan medan perjudian. Bookie atau pihak yang mengatur keputusan pertandingan telah menggunakan pemain untuk memastikan keputusan pertandingan adalah seperti yang telah ditetapkan. Tindakan itu mencemar imej bola sepak sebagai sukan paling diminati.    

Keputusan pertandingan bola sepak hanya sebahagian kaedah pertaruhan yang digunakan oleh kaki judi. Hakikatnya, semua perbuatan yang ada unsur pertaruhan untuk mendapat keuntungan besar yang bergantung kepada untung nasib adalah judi.

Perjudian diharamkan kerana ia lebih banyak mendatangkan keburukan kepada manusia. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219). 

Judi tidak memberi keuntungan kepada pemainnya. Pihak yang mendapat untung adalah pengusaha atau taukeh judi. Mereka dapat mengawal untung rugi berdasarkan apa yang mereka inginkan. Peluang untuk pemain judi mendapat keuntungan amat tipis

Tidak dinafikan ada orang menjadi kaya hasil berjudi, tetapi bilangannya amat kecil berbanding yang menjadi sengsara akibat ketagih judi. Disebabkan ada yang mendapat kekayaan dengan berjudi inilah mendorong orang lain ikut sama berjudi. Hakikatnya mereka lupa untuk mengambil pengajaran daripada mereka yang papa dan sengsara disebabkan judi.

Mereka yang terjerat dengan aktiviti perjudian sukar untuk melepaskan diri. Syaitan mudah mempengaruhi orang berjudi untuk melakukan perkara buruk kerana judi itu sendiri perbuatan syaitan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, sesungguhnya arak, judi dan bertenung nasib adalah najis (haram), dan ia adalah perbuatan syaitan.” (Surah al-Maidah, ayat 90).

Orang ketagih judi sanggup melakukan apa sahaja asalkan hajatnya hendak berjudi tercapai. Wang dan kekayaan yang dimiliki digunakan semahunya untuk berjudi sehingga banyak yang jatuh bankrap. Keadaan ini jugalah yang menyebabkan aktiviti peminjaman wang tidak berlesen berleluasa. Sebahagian besar yang menjadi mangsa ah long ialah kaki judi. 

Perjudian merupakan salah satu cara syaitan merosakkan manusia. Mereka yang berjudi akan melakukan banyak keburukan bukan sahaja terhadap diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, tidak pelik jika pemain judi sanggup hidup dalam serba kekurangan. Wang yang ada dihabiskan untuk berjudi. Mereka sanggup menggadaikan apa sahaja, termasuk maruah anak dan isteri demi untuk mendapatkan duit modal berjudi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan dengan kemiskinan dan kepapaan dan dia menyuruh kamu menjalankan perbuatan keji.” (Surah al-Baqarah, ayat 268).

Aktiviti perjudian bukan sahaja merugikan dalam bentuk kewangan, tetapi juga melahirkan masyarakat yang malas dan kuat berangan-angan. Produktiviti menurun disebabkan masa lebih banyak dihabiskan di meja judi. 

Sebab itu pakar psikologi dan pemimpin masyarakat bukan Islam turut mengatakan perjudian mendatangkan keburukan kepada pengamalnya. Justeru, seluruh ahli masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa perlu menjauhi judi dalam bentuk apa sekalipun.    

Kaki judi mengalami kehidupan yang tidak tenteram, terutama apabila mengalami kekalahan teruk. Akibat keadaan itu, banyak berlaku pergaduhan di kalangan kaji judi hingga berlaku pembunuhan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 91 bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti (daripada melakukannya).”

Orang yang memakan hasil haram akan menyebabkan hatinya sentiasa kegelapan. Hidayah daripada Allah SWT tidak dapat memasuki hati yang digelapkan oleh zat makanan haram. Ibadat dan doanya juga tidak diterima Allah SWT. Kehidupan menjadi semakin jauh daripada rahmat Allah SWT dan semakin sesat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak baik (subur) daging yang tumbuh dari usaha haram, melainkan neraka lebih patut baginya" (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment