Wednesday 22 August 2018

Kibar Jalur Gemilang

Buktikan dan tunjukkan semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Tunjukkan kepada dunia bahawa kita sememangnya bangga bergelar rakyat Malaysia. Jalur Gemilang lambang kebanggan negara dan seluruh warganya.  

Kibaran Jalur Gemilang adalah simbol yang sangat penting. Ia lambang patriotisme yang cukup nyata dan berkesan untuk dibuktikan. Kita harus ketepikan tanggapan negatif dan sikap pasif bahawa 31 Ogos tidak lebih daripada hari kelepasan am untuk bersuka ria.

Kempen mengibarkan Jalur Gemilang sebenarnya bermula apabila nama Jalur Gemilang mula diguna pakai sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-40 pada 1997.  

Kempen ini dilihat sebagai usaha ke arah mewujudkan semangat patriotik dan semangat sayang kepada tanah air yang disemai dalam diri generasi muda, selain meningkatkan kesedaran generasi ini untuk menghormati bendera negara.

Generasi muda khususnya pelajar perlu merenung kembali serta menghargai pengorbanan kepemimpinan dan pejuang terdahulu yang berjaya mendapatkan kemerdekaan negara tanpa pertumpahan darah.

Pengibaran Jalur Gemilang adalah pengorbanan kecil yang boleh dilakukan rakyat Malaysia, sekali gus memberi makna bahawa kita menjiwai dan menghargai semangat kemerdekaan.

Sebagai generasi muda yang cintakan negara, apa salahnya kita kibarkan Jalur Gemilang untuk membuktikan kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan dan berbangga dengan keamanan yang dinikmati selama ini.

Semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui kibaran Jalur Gemilang pada 31 Ogos ini, di samping mengingatkan kita akan sejarah perjuangan bangsa.

Marilah kita bersama-sama memanfaatkan sebaik mungkin bulan kemerdekaan ini dengan pelbagai kegiatan bagi menghidupkan kegemilangan tanah air ketika mencapai kemerdekaan.

Kita tidak mahu lama kelamaan rakyat negara ini, terutama generasi muda akan semakin lupa bagaimana untuk menunjukkan rasa kasih dan menghormati tanah air menerusi bendera kebangsaan.

Perlu ditanamkan semangat di jiwa seluruh rakyat Malaysia bahawa mengibarkan Jalur Gemilang adalah suatu tanggungjawab wajib setiap warga negara. Harus ada tanggapan bahawa mengibarkan Jalur Gemilang dilakukan atas rasa kecintaan terhadap negara dan bukannya kerana paksaan.

Bendera yang sudah lapuk dan usang akibat terkena terik mentari dan hujan, sehingga pudar, rosak, koyak dan sakit mata memandang harus diganti baru. Suka atau tidak, memang ada lagi bangunan atau premis yang benderanya terbiar begitu lama tidak diurus sehingga nampak usang dan mencacatkan pemandangan. Tukar segera kepada yang baru demi rasa cinta kepada negara sendiri.

Biarpun kita mempunyai pelbagai fahaman politik, kaum dan anutan agama, kita masih berada di bumi tercinta dan bergelar warga Malaysia. Walau parti politik mana pun yang memerintah, bendera kebangsaan yang dipakai tetap Jalur Gemilang.

No comments:

Post a Comment