Thursday 30 August 2018

KEKUATAN UMAT ISLAM MELALUI PERPADUAN


Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri berusaha mengubahnya. Untuk berubah mencapai kejayaan bukan sekadar cakap-cakap retorik dan mengharapkan nasib semata-mata. 

Kebangkitan dan kejayaan bukan bersifat silap mata. Semuanya melalui satu proses yang tidak boleh sempurna dalam tempoh masa yang singkat. 

Masalah perbezaan fahaman politik tidak harus dijadikan penghalang kepada satu matlamat yang sama, memartabatkan kedudukan Islam pada kedudukan yang terbaik.   

Setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab menyokong apa-apa usaha untuk kebaikan ummah. Siapa atau pihak mana yang mencetuskan idea dan memulakan usaha perlu disokong asalkan perkara itu memberi kebaikan kepada ummah.

Sikap melakukan sesuatu untuk nama puak atau golongan tertentu menjadi penyakit yang boleh melemahkan perpaduan. Golongan yang tidak sealiran akan menidakkan kebaikan yang dilakukan pihak lain, sedangkan mereka sendiri tidak melakukan apa-apa yang lebih baik. 

Budaya berpuak dan mementingkan ideologi tertentu menyebabkan umat Islam berpecah dan berada dalam keadaan lemah. Usaha lebih banyak dihabiskan untuk berlawan sesama sendiri, dan membiarkan ummah terus dalam keadaan lemah.

Sebab itu Nabi Muhammad sentiasa mementingkan soal perpaduan. Setiap individu Muslim diumpamakan seperti bahan-bahan binaan bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Sekiranya ada bahan yang runtuh, maka keseluruhan bangunan itu mungkin roboh, atau setidak-tidaknya tidak lagi menjadi sempurna dalam erti kata sebenar. 

Sesungguhnya perpaduan antara umat Islam penting diperkuatkan untuk dijadikan tapak utama membina kebangkitan Islam. Kita dapat lihat bagaimana kebangkitan umat Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. 

Selain berpaksikan kepada tauhid, para sahabat sentiasa berpadu untuk membina Islam yang gemilang. 

Segala sumber yang dimiliki digunakan pada tahap maksimun. Potensi ummah diserlahkan dengan keyakinan bahawa apa yang dilakukan semata-mata kerana Allah dan pesuruh-Nya.

Sumber asas untuk kebangkitan ummah telah sedia ada. Bilangan umat Islam di seluruh dunia melebihi 1.5 bilion. Negara Islam ada sumber asli yang boleh dijana sebagai penggerak ekonomi seperti petrolium, galian berharga, dan tanah yang luas dan subur.

Sumber lain yang perlu digembelingkan ialah ‘budaya’ untuk berjaya. Budaya yang diharapkan mestilah lahir daripada pemikiran sedar dan kebijaksanaan. Inilah aset sebenar yang perlu dibentuk sebagai kerangka kehidupan manusia yang menentukan nilai hidup.

Sebaliknya, budaya taklid buta, jumud, ekstrem, malas, mementingkan diri, dan sifat buruk lain adalah pembunuh kepada tunas kebangkitan untuk berjaya. Malah, kuasa yang kuat boleh roboh jika budaya sedemikian wujud di peringkat pemerintah dan rakyat.

Inilah kepincangan yang membawa kepada keruntuhan kuasa umat Islam sejak awal abad 18. Sindorm pemikiran dikuasai nafsu dan kejahilan membawa padah kepada umat Islam. 

Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh Barat yang menaruh dendam terhadap kekalahan mereka dalam Perang Salib (1096-1273M) yang memakan masa hampir dua abad. Sejak itu satu persatu empayar Islam diruntuhkan.

Hakikatnya, seluruh umat Islam mampu bangkit jika dapat membebaskan diri daripada lilitan kuasa Barat. Kekuatan untuk melaksanakan misi tersebut mesti lahir dari dalam diri. Allah memberi peluang sama rata kepada setiap individu dan bangsa untuk mencapai apa yang dihajati, tanpa mengambilkira agama anutan.  

No comments:

Post a Comment