Friday 31 August 2018

HULUR BANTUAN KEPADA YANG MEMERLUKAN

Di sekeliling kita sebenarnya terlalu banyak insan-insan yang mengharapkan bantuan pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) maupun individu. Bantuan itu diperlukan untuk meneruskan kehidupan lebih selesa, tujuan perubatan ataupun menceriakan sedikit kesedihan yang ditanggung selama ini. 

Dalam akhbar dan majalah serta televisyen kerap menyiarkan kisah penderitaan individu dan keluarga yang memerlukan bantuan orang ramai. Betapa banyaknya insan di sekeliling kita yang sebenarnya boleh dikategorikan sebagai bernasib malang. 

Laporan itu bukan sekadar untuk melariskan jualan akhbar, tetapi juga merupakan satu tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan. Laporan itu juga bukan setakat untuk dibaca dan kemudian tidak ada apa-apa yang belaku. Ia memerlukan tindakan orang ramai untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.

Alhamdulillah, setakat ini, banyak laporan yang disiarkan di akhbar mendapat respon yang positif daripada pihak yang berkaitan dan orang ramai. Nasib insan malang yang dilaporkan itu sedikit terbela dan ada yang dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu selama ini.  

Sumbangan itu tidak kisahlah sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, tenaga, khidmat nasihat dan apa-apa jua yang dapat membantu golongan itu. Setiap sumbangan pastinya memberi kebaikan kepada penerimanya.

Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap prihatin dan pemurah. Jika ada bencana di luar negara, rakyat Malaysia adalah antara yang terawal menghulurkan bantuan. 

Pelbagai jenis tabung yang dikendalikan oleh kerjaaan, pihak swasta dan NGO diwujudkan untuk menerima bantuan orang ramai bagi disalurkan kepada mangsa atau golongan yang daif di luar negara. Kutipannya ada yang mencecah jutaan ringgit untuk setiap tabung.

Beberapa nama NGO Malaysia kini terkenal di seluruh dunia, khususnya di negara yang pernah mereka menyumbangkan bantuan. Malah, ada NGO antarabangsa dengan kerjasama NGO Malaysia kini menjadikan Malaysia sebagai pangkalan hadapan untuk menyalurkan bantuan bencana di negara-negara rantau Asia.

Selain memberi bantuan di peringkat antarabangsa, kita sepatutnya turut memberi tumpuan untuk membantu golongan daif di negara kita. Mereka ini sepatutnya lebih diutamakan untuk mendapat bantuan kita. Ini tidak pula bermakna perlu menghentikan bantuan kepada rakyat di negara lain. 

Hubungan peringkat antarabangsa memang perlu diwujudkan. Ia secara langsung menaikkan imej negara di mana masyarakat antarabangsa. Rakyat negara kita juga mungkin pada masa akan datang memerlukan bantuan luar negara apabila berlaku bencana besar.

Kepada yang bernasib baik, bersyukurlah dan menghargai setiap kebaikan yang dimiliki sekarang. Salah satu tanda bersyukur ialah menghulurkan sedekah dan bantuan kepada yang memerlukan. Masyarakat prihatin mudah tersentuh hatinya untuk menyumbang membantu individu lain yang mengharapkan bantuan.

Sedikit sumbangan yang dihulurkan kepada golongan daif atau mengharapkan sesuatu bantuan amat bermakna. Bagi golongan kaya mungkin merasakan jumlah itu terlalu kecil yang sekadar cukup untuk sekali belanja. Memang jurang perbezaan perbelajaan golongan kaya dengan golongan miskin amat ketara.

Jumlah yang disediakan untuk sekali makan di hotel mungkin boleh digunakan untuk belanja makan sebulan bagi satu keluarga miskin. Sekali berbelanja di pasar raya bagi orang kaya mungkin menyamai pendapatan sebulan seisi rumah golongan miskin. Jika tidak penuh sebuah troli, akan terus dicari-cari barang biarpun tidak begitu penting untuk digunakan.

Jika diperhatikan, memang besar jurang perbezaan perbelanjaan antara golongan kaya dengan golongan miskin. Ketika ada golongan miskin mengikat perut tiada apa yang hendak dimakan, golongan berada pula berbelanja mewah memenuhi kehendak hati. Perkara ini menjadi perkara biasa dalam semua masyarakat.     

Memang tidak salah golongan kaya berbelanja apa yang diingini. Itu juga satu motivasi untuk berusaha gigih mencari kekayaan. Apa yang dibelanjakan itu juga membentuk satu rantaian ekonomi yang turut dinikmati golongan miskin. 

Apa yang diharapkan daripada golongan kaya ialah hulurkan sedikit simpati kepada golongan miskin. Ringankan tangan untuk menghulurkan bantuan yang pastinya tidak akan mendatangkan bebanan ekonomi kepada diri sendiri. 

Sesungguhnya golongan kaya diuji sama ada bersyukur dengan apa yang dimiliki dengan membelanjakan ke arah kebaikan. Manakala golongan miskin pula diuji adakah reda dengan apa yang terjadi terhadap dirinya.

Dalam Islam telah terdapat mekanisma wajib iaitu zakat yang mesti ditunaikan oleh golongan kaya yang cukup syarat wajib zakat. Jika perintah agama ini dilaksanakan sepenuhnya, nasib golongan miskin akan terbela. Sekarang ini sistem pungutan zakat di negara kita semakin bertambah bersistematik yang diuruskan oleh pakar dan berjaya mengumpulkan jumlah yang besar untuk manfaat golongan yang layak menerimanya.

Jumlah yang wajib dikeluarkan zakat adalah dianggap sebagai milik golongan yang layak menerimanya. Pemilik asal haram daripada terus memegang jumlah harta yang sepatutnya dikeluarkan zakat itu. 

Orang yang enggan mengeluarkan zakat tergolong sebagai tidak sempurna imannya kerana mengeluarkan zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang menjadi tonggak kesempurnaan keislaman seseorang.

Mengeluarkan zakat adalah cara untuk membersihkan harta. Harta yang bersih lebih subur dan diberkati. Ia umpama seperti dahan pokok yang berpenyakit perlu dipotong. Jika tidak dipotong, penyakit akan merebak ke dahan lain. Sebalik, selepas dipotong, akan tumbuh tunas lain yang lebih segar.

Selain zakat, satu lagi tuntutan syariat ialah bersedekah. Islam tidak menetapkan syarat untuk mengeluarkan sedekah, asalkan mampu melakukan dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada diri sendiri.

Sikap sesetengah individu yang bersedekah tanpa menghiraukan keperluan sendiri dan keluarga adalah ditegah. Utamakan dahulu keperluan diri sendiri dan ahli keluarga, baru difikirkan untuk orang lain. Peraturan ini bukan melahirkan sikap mementingkan diri, tetapi satu keperluan dalam kaedah fikah. 

No comments:

Post a Comment