Friday 31 August 2018

BAHAYA AMAL BUDAYA ASSABIYYAH

Malaysia negara berbilang kaum dan agama anutan. Maka, sikap saling menghormati penting diamalkan bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara berkekalan. Tidak dinafikan setiap kaum dan penganut agama akan berusaha untuk mempertahankan hak dan keistimewaan masing-masing.

Namun, perkara paling penting yang perlu diingatkan tidak mengamalkan sikap keterlaluan dan budaya assabiyyah. Rakyat sebaliknya perlu memahami konsep "penerimaan dan kebersamaan" yang menunjangi kesejahteraan hidup. 

Kita perlu mengakui amalan bersikap sederhana dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara adalah tonggak kepada kemakmuran dan  kesejehteraan yang dinikmati hari ini.

Pun begitu, kita sentiasa berdepan dengan ancaman pihak tertentu yang seperti sengaja mencipta sesuatu yang boleh menghncurkan apa yang kita nikmati sekarang ini. Antara cubaan pihak berniat jahat ialah cuba menghakis semangat "kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat. 

Pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan, sedangkan semua pihak tahu dan perlu memahami bahawa kita semua bertanggungjawab menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara. Negara akan hancur jika rakyat sendiri melakukan perkara atau perbuatan yang mencetuskan keadaan huru hara dan perasaan sangsi sesama sendiri.

Perkara utama perlu disemai di setiap sanubari rakyat ialah apa saja yang dilakukan perlulah mencerminkan tanggungjawab untuk menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya. Kita perlu peka kepada sebarang perkara yang berlaku dalam negara untuk dijadikan pengajaran agar tidak berlaku perkara boleh mencetuskan kesan tidak baik.

Kita perlu sedar, sejak kebelakangan ini sering timbul isu yang jika tidak ditangani dengan bijak akan merebak menjadi satu tragedi buruk. Isu-isu berkaitan kaum dan agama tidak boleh danggap isu remeh dan dipandang sebelah mata.

Isu-isu membabitkan perubahan nilai hidup seperti LGBT,  penghinaan terhadap institusi agama dan Raja serta tuntutan isu berkaitan hak asasi tanpa sempadan, jika tidak diatasi akan menjurus kepada kehancuran masyarakat dan negara.

Masyarakat kita dikelirukan dengan pelbagai kecelaruan nilai yang tiada berkesudahan. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana akhirnya ia akan menghancurkan apa yang kita ada selama ini.

Perpaduan kaum merupakan asas utama yang mendasari perjuangan dan pentadbiran perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Atas dasar itu juga, katanya ketika negara mahu menuntut kemerdekaan daripada penjajah British, Tunku Abdul Rahman yang ketika itu presiden UMNO telah mewujudkan kerjasama dengan MCA dan MIC kerana percaya hanya melalui perpaduan kaum kemerdekaan negara dapat dicapai.

Inisiatif Tunku Abdul Rahman dalam mewujudkan parti gabungan iaitu Parti Perikatan yang menggunakan lambang 'Kapal Layar' pada masa itu telah berjaya menyatukan kaum-kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India.

Tunku Abdul Rahman menegaskan kemerdekaan negara akan hanya dicapai melalui kerjasama di antara kaum Melayu, Cina dan India. Gabungan itu kemudiannya menjadi sebuah badan dominan yang memperjuangkan kemerdekaan sehingga negara memperolehi kebebasan mutlak pada 31 Ogos 1957.

Keamanan dan kemakmuran yang dinikmati sekarang akan hancur jika rakyat tidak berhati-hati menangani sikap ekstrem bangsa yang semakin disuburkan di minda sesetengah kelompok masyarakat.

Acuan yang telah dirangka dan diamalkan permimpin terdahulu perlu dipertahankan dan dihayati sepenuh oleh setiap rakyat bagi memastikan Malaysia terus aman dan maju. 

Sikap mudah lupa dan alpa menjadi barah dalam diri manusia yang sering membawa kepada kemusnahan. Keadaan ini perlu dijauhi sebelum ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment