Friday 31 August 2018

PENGGUNA PENIAGA JAMIN NEGARA MAKMUR


Urusan perniagaan amat penting dalam kehidupan seharian manusia. Peniaga dan pengguna adalah dua pihak yang saling berurusan. Kedua-dua golongan ini menyumbang peranan besar dalam menjayakan sesuatu matlamat yang ditetapkan oleh negara. 

Keadaan ekonomi, kesejahteraan, kemakmuran dan kemajuan negara banyak bergantung kepada peranan yang  dimainkan oleh peniaga dan pengguna. 

Urusan perniagaan wujud sejak zaman masyarakat kuno melalui sistem perniagaan bertukar barang. Keperluan menentukan satu nilai barangan untuk urusniaga tanpa pertukaran barang telah melahirkan sistem mata wang seperti wujud sekarang.

Kepentingan urusniaga semakin meningkat dalam era kehidupan sekarang.  Semua barang dan perkhidmatan memerlukan urusniaga untuk diperoleh. Sekarang ini sukar hendak ditemui barang dan perkhidmatan disediakan secara percuma.  

Islam tidak terlepas menetapkan peraturan berkaitan perniagaan dan kepenggunaan yang penting ini. Soal perniagaan dan kepenggunaan ditekankan bagi menyedarkan orang ramai tentang sumbangan mereka kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Perihal pengguna berhemah, ialah bijak berbelanja mengikut keperluan, kemampuan dan memahami hak mereka sebagai pengguna. Pengguna berhemah berbelanja tidak boros. Mereka bijak menguruskan perbelanjaan dan tidak terjebak dengan hutang.

Islam memberi penekanan agar setiap Muslim tidak melakukan pembaziran membelanjakan harta. Sifat membazir adalah amalan syaitan yang perlu dijauhkan. Banyak keburukan berpunca sifat membazir yang membawa kemurkaan Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kedekut, tetapi sederhana (mengikut keperluan).”  (Surah al-Furqan, ayat 67).

Pengguna berhemah berbelanja mengikut apa yang diperlukan saja. Mereka tidak mudah terpedaya dengan tawaran potongan harga atau harga murah. Biarpun harga murah, tetapi jika ia tidak diperlukan, tidak ada untung membelinya. 

Banyak individu yang tidak dapat mengawal nafsu terdorong membeli apa yang tidak diperlukan disebabkan merasakan tawaran harga yang dianggap rugi jika tidak membelinya.   

Sebagai pengguna berhemah seseorang itu tidak terpengaruh dengan apa dibeli orang lain. Setiap orang ada wang dan keperluan yang berbeza. Membeli atau membayar pekhidmatan yang tidak digunakan adalah satu kerugian besar.   

Akibat tidak mampu menguruskan kewangan diri, banyak pengguna terjebak meminjam dengan ceti haram atau along. Kemelut kewangan yang dihadapi menjadi semakin serius apabila tidak mampu menjelaskan pinjaman itu.

Pengguna juga perlu mengetahui hak sebagai pengguna. Perniagaan global hari ini bersifat lebih kompleks. Pengguna perlu mengetahui hak mereka agar tidak tertipu dengan pihak tidak bertanggungjawab. 

Banyak pengguna menjadi mangsa disebabkan kejahilan mengenai undang-undang dan hak sebagai pengguna. Mereka terperangkap dengan taktik halus peniaga mengaut keuntungan secara tidak dibenarkan agama dan undang-undang.

Kerjasama peniaga amat penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang bersih daripada penipuan. Peniaga perlu mengamalkan etika perniagaan yang betul yang berdasarkan kepada hubungan sesama manusia yang terikat dengan ketetapan hukum. 

Hukum Islam tidak membenarkan sebarang bentuk penipuan dan penindasan dalam urusan perniagaan. Perniagaan yang wujud unsur penipuan dan penindasan samalah seperti perbuatan merompak atau mendapatkan sesuatu secara tidak hak.

Keberkatan urusan perniagaan bergantung kepada cara mana ia dijalankan. Berniaga amalan dipandang mulia dan menguntungkan. Rasulullah menggalakkan agar umatnya berniaga sebagai sebahagian daripada hubungan muamalat sesama manusia. 

Etika utama perlu diamalkan setiap peniaga ialah jujur, amanah dan ikhlas. Peniaga mengamalkan perniagaan secara beretika mendapat keuntungan berkali ganda di dunia dan di akhirat. Peniaga beretika lebih disukai pelanggan dan mendapat keuntungan lumayan hasil usaha perniagaannya.   

Pelanggan tentunya tidak mahu menanggung kerugian akibat perbuatan peniaga yang tidak bertanggungjawab. Sekiranya diketahui dirinya telah tertipu, pelanggan tidak lagi berurusan dengan peniaga yang sama. 

Sekiranya banyak pelanggan menyedari perkara tersebut, lama kelamaan peniaga berkenaan tidak mempunyai pelanggan lagi.

Sebab itu amat penting bagi setiap peniaga mengutamakan kepentingan pelanggan. Persekitaran perniagaan yang baik mewujudkan pelanggan atau pengguna setia. Ini tentu memberi kelebihan kepada peniaga, terutama dalam sektor perniagaan yang mempunyai banyak saingan. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Peniaga jujur akan bersama-sama para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Hadis riwayat Hakim dan Tarmizi). 

Kedudukan tersebut membuktikan betapa perlunya peniaga bersifat jujur dalam urusan perniagaan yang dijalankan.

Sebaliknya, peniaga melakukan penipuan dijanjikan kerugian. Keuntungan yang diperoleh hanyalah satu ilusi. Kehidupan hasil tidak halal tidak membawa berkat. Sebab itu banyak individu biarpun mampu menimbunkan kekayaan, tetapi kehidupan yang dinikmati semakin tertekan dengan masalah yang tidak diduga. 

Firman Allah bermaksud: “Celakalah orang menipu dalam perniagaan. Apabila  mereka mereka memesan barang, mahu mendapatkan barang bermutu dan sempurna. Akan tetapi apabila mereka menjual kepada orang lain, maka mereka akan mengurangkan mutunya.” (Surah al-Mutaffifin, ayat 1 hingga 3).

Allah menguji peniaga tidak jujur dengan dikurniakan keuntungan, tetapi tanpa diduga kekayaan itu boleh lenyap disebab mengalami kerugian besar kemudiannya. Empayar perniagaan yang dibina beberapa tahun boleh runtuh hanya dalam masa yang singkat. 

Masalah ekonomi adalah sebahagian daripada ujian daripada Allah. Kita dapat lihat berapa banyak peniaga jatuh bankrap ketika tempoh kejatuhan ekonomi negara.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 16 bermaksud: “Mereka itulah membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.”

Bagi memastikan urusan perniagaan yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak peniaga dan pengguna, ia mestilah dijalankan dalam penuh ketakwaan dan saling memerlukan. 

Peniaga memerlukan sokongan pengguna untuk membeli apa ditawarkan di pasaran. Manakala pengguna pula memerlukan barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh peniaga.

Sesungguhnya peniagaan hendaklah dilakukan dalam konteks saling mempercayai dan reda di antara peniaga dan pengguna. Itulah keberkatan dan kelebihan perniagaan yang mengikut tuntutan syariat.

Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu makan hasil pendapatan perniagaan yang dilakukan secara salah, kecuali ia dilakukan dengan keredaan pihak-pihak yang kamu terlibat.”  (Surah an-Nisa, ayat 29).

Hakikatnya, kemakmuran dan kejayaan dicapai negara pada hari ini banyak disumbangkan hasil pengguna yang berhemah dan peniaga beretika. Negara mencapai kemakmuran jika urusan perekonomian berjalan dengan lancar dan dalam jumlah yang banyak. Semua pihak dapat menikmati kehidupan selesa dalam iklim ekonomi yang berkembang.

No comments:

Post a Comment