Thursday 27 September 2018

BAHAYA CABAR KEUPAYAAN PIHAK LAIN

Kita biasa berasa hebat dan tidak peduli tentang kehenbatan orang lain. Malah kita tidak peduli pun tentang nasib apa yang berlaku akibat kemungkinan sikap kita itu. Sikap terlalu angkuh dan berasa hebat seringkali menyebabkan musibah kepada diri sendiri.

Bab kata pepatah, jangan dikejutkan harimau sedang tidur. Atau pepatah lain berbunyi jangan dijolok sarang tebuan. Kita jangan sengaja mencari bala yang kita mampu menahannya akibat perbuatan kita sendiri.

Cuba perhatikan gambar di atas. Sekali pandang memang tiada apa menariknya gambar itu. Namun, yang ingin difikirkan diambil pengajaran ialah tentang makna di sebaliknya.

Ternyata kucing itu telah melihat ekor ular yang menonjol dari lubang kecil dan kucing tersebut berfikir kalau itu adalah ekor tikus, maka dia ingin menarik dan mengusiknya hingga keluar. 

Sebabnya, kucing itu tidak melihat keseluruhan wajah sebenar ular itu. Ekornya kecil, namun sebahagian badan yang lain sebenarnya besar dan mempunyai bisa yang boleh membunuh, bukan sahaja kucing yang kecil itu, tetapi juga makhluk lain yang lebih besar, termasuk manusia.

Pengajaran yang boleh kita fahami ialah kita sebenarnya gagal untuk mengetahui dengan siapa kita 'bermain'. Kita hanya fikir kita sahaja yang betul. Disebabkan orang itu buat tidak kisah, maka semakin galak dan berasa hebat untuk terus bermain.

PASKAL FILEM TERBAIK AKSI KETENTERAAN

Paskal merupakan sebuah filem aksi ketenteraan Malaysia 2018 arahan Adrian Teh terbitan bersama Spectrum Films dan Asia Tropical Films. Filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G, Jasmine Suraya. Filem ini merupakan sebuah filem bercorak aksi. Paskal menelan belanja kira-kira RM10 juta.

Lebih menarik, filem terbitan Asia Tropical Films itu merupakan inspirasi daripada kisah benar yang mengetengahkan kejayaan anggota unit elit Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam melaksanakan Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Angola pada tahun 1998 dan misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada tahun 2011.

Filem yang merangkumi kira-kira 90 peratus aksi itu menjalani penggambaran di beberapa lokasi di dalam dan di luar negara antaranya di Lumut, Perak; Semporna Sabah dan Maghribi pada Mac sehingga Mei 2018.

Paskal mendapat pujian penonton. Ini satu catatan di FB:

Saya baru keluar dari wayang, tengok filem PASKAL =
SAKIT HATI..! MENYAMPAH..! GERAM..! SEDIH..! BENGANG..!
Itulah 5 perasaan yang saya rasa selepas menonton filem PASKAL ini bersama isteri saya tadi.

1. SAKIT HATI.. kerana filem ini telah membuatkan filem-filem genre tentera yang lain sebelum ini berada di bawahnya! Habis semua kehebatan filem Bravo 5, Malay Regiment, Kanang, Leftenan Adnan dan apapun filem genre kombat buatan Malaysia, telah dipotong dengan kehebatan filem PASKAL ini. Pada saya, filem PASKAL telah jadi johan keseluruhan. Welldone!

2. MENYAMPAH.. sebab baru semalam masuk gaji, hari ini kena bayar tiket masuk wayang. Saya memang jenis tak tengok cerita melayu di wayang, bukan standard saya kononnya.. saya hanya tengok percuma saja di internet kalau cerita melayu. Tapi filem PASKAL ni, buat saya terkedu. Konfom lepas ini akan repeat nak tengok lagi dengan kawan-kawan pulak. Habislah duit saya, tapi apakan daya, filem ni berbaloi sangat menontonnya! Terbaik!

3. GERAM.. sewaktu dalam wayang tengok filem itu tadi, saya tak boleh nak terlelap sekejap pun. Selalunya memang saya akan terlena dalam wayang walau pun cerita hantu. Jalan ceritanya memang menarik... Yg buat saya tambah geram, tiba-tiba airmata saya mengalir. Saya boleh menjiwai kejadian-kejadian dan apa yg filem ini tunjukkan, sebab saya pun pernah merasakan seperti dalam filem itu. Tak guna punya filem PASKAL, habis hilang macho dan kejantanan saya. Tabik!

4. SEDIH.. Mestilah saya sedih. Bukannya tak kenal pegawai dan anggota PASKAL, saya amat kenal mereka. Saya pernah beroperasi rutin dan operasi khas, bertugas, bersukan, beramah mesra, berlatih sama-sama mereka. Sepanjang menonton tadi, saya terbayang muka-muka mereka. Saya tahu mereka siapa, saya tahu kebolehan dan pengorbanan perit mereka. Itu buat airmata saya tambah mengalir.. Alangkah ruginya kalau filem ini tidak ditonton oleh rakyat Malaysia. Walaupun saya tak minat dan tak kenal pun pelakon-pelakon utama filem ini, tetapi keseluruhan pelakon tambahan dan yg dibelakang tabir, memang semua anggota PASKAL yg sebenar. Pergilah tengok. Hargailah!

5. BENGANG.. mahu tak bengang dalam kepala. Saya baru saja hantar surat memohon untuk bersara awal dari tentera. Lepas tengok filem itu tadi, terasa macam nak minta balik surat itu dan koyak. Terus naik semangat membuak dalam dada, terasa diri saya macam kuat dan muda semula. Korang ni team PASKAL, buat saya benganglah. Jangan la buat filem macam ni lagi.. itew x quad la, awaqs goda itew cam nk suro itew cambung keje jew. Muah cikit, muahh! Hehehe

Tambahan- Saya tak mahu komen apa-apa tentang CGI kerana ini bukan cerita Hollywood yang modal $100juta. Sebagai jurulatih tentera, yang saya nampak, semua skill, teknik dan taktik tentera yang digunakan dalam filem ini, ianya 100 peratus sempurna.

Kesimpulan, saya nak beri 3 cadangan=
1. Filem ini mesti ditayangkan di sekolah-sekolah, kolej serta universiti, untuk memberi impak patriotik kepada jiwa anak-anak muda.
2. Mohon kerajaan perbanyakkan lagi filem berkualiti sebegini dengan peruntukan bajet yg bagus, berdasarkan kisah-kisah sebenar dalam tentera.
3. Saya cadang filem PASKAL ini dicalonkan mewakili Malaysia dalam mana-mana festival filem level Asia dan dunia.

Ikhlas dari saya,
Mejar xxxx
Regimen Askar Melayu Diraja
(ex JL Sniper, JL Tinjau, JL Survival, JL Operasi Hutan, JL Tactics).



Anda Perlu Tahu Sinopsis Filem PASKAL The Movie

Sinopsis Filem PASKAL The Movie - Leftenan Komander Arman Anuar TLDM adalah seorang pegawai PASKAL yang mempunyai sejarah perkhidmatan yang cemerlang. Beliau telah mengetuai pasukan menyelamat ketika kapal MV Bunga Laurel dirampas lanun Somalia di Teluk Aden. Beliau juga seorang wira negara dalam misi pengaman PBB di Angola. Tetapi bagaimana seseorang itu menjadi seorang wira? Apakah pengorbanan yang perlu dilakukan dan apa bagaimana pula pandangan ahli keluarga dan masyarakat terhadap mereka yang dipanggil wira ini?

Arman terpaksa memilih antara berkhidmat untuk negara dan menjaga ibunya Khadijah yang sakit. Khadijah tidak bersetuju dengan keputusan Arman yang mengikut jejak langkah arwah suaminya untuk menjadi seorang tentera. Beliau sentiasa bimbang akan keselamatan anaknya dan kemungkinan dia akan kehilangan Arman juga .

Bagi Arman pula, beliau rasa bersalah terpaksa meninggalkan ibu kerana tugas dan juga apabila melihat Lily, balu sahabatnya yang kehilangan suami dan kini meneruskan kehidupan demi anaknya yang masih kecil. Konflik yang dihadapinya membuat beliau mengambil keputusan untuk memohon ditukarkan ke tugasan di pangkalan dan tidak lagi aktif di lapangan.

Namun, masa lampaunya kembali menghantui Arman apabila berjumpa dengan Jeb, bekas anggota PASKAL yang telah diberhentikan. Pertemuan mereka berakhir dengan amaran Jeb, yang kini seorang pembunuh upahan, supaya Arman tidak menghalangnya. Arman semestinya tidak boleh berdiam diri kerana beliau dapat rasakan Jeb sedang merancang sesuatu yang mengancam keselamatan negara.

Siasatan Arman menunjukkan Jeb ingin merampas sebuah pelantar minyak, di mana Lily sedang bekerja. Beliau terus mengumpul rakan-rakan PASKAL yang lain untuk misi yang mungkin menjadi yang terakhir buat Arman.

Wednesday 26 September 2018

POLIMIK ISU BEBAN HUTANG NEGARA


Beban hutang negara menjadi isu polimik yang berpanjangan. Rakyat seakan-akan tidak lagi peduli soal itu. Berapa banyak hutang negara sekarang tidak lagi penting bagi rakyat. Tambah lagi, banyak rakyat sebenarnya tidak faham pun apa itu bilion dan trilion.

Apa yang rakyat ingin ialah kehidupan yang lebih baik. Peluang pekerjaan yang lebih banyak dan terjamin. Golongan muda kini mencari-cari peluang pekerjaan yang semakin mengucup. Pekerja sedia ada pula ada yang mula risau apabila tempat kerja mereka mula melalui fasa perubahan dasar kerajaan yang kononnya untuk penjimatan. Belum berlaku dalam sejarah Malaysia, pejawat awam yang diperhentikan kerja secara beramai-ramai.

Kerajaan sentiasa menggunakan alasan hutang negara tinggi dan negara bakal muflis jika gagal menyusun kembali perbelanjaan negara. Semua itu diletakkan kesalahan kepada bekas kerajaan Barisan Nasional.

Untuk belajar mengenai kadar hutang, mari kita melihat beberapa contoh yang berlaku dalam masyarakat. Dalam masyarakat kita, golongan paling banyak berhutang bukannya golongan miskin. Hakikatnya, yang paling banyak berhutang ialah golongan kaya. Malah, individu berstatus jutawan juga berhutang.

Orang miskin kalau pun berhutang hanya beberapa ratus atau beberapa ribu. Mereka berhutang untuk memenuhi keperluan harian. Untuk membeli makanan dan rawatan. Mungkin juga kerana ingin menampung perbelanjaan pendidikan anak-anak.

Golongan miskin sukar mendapat pinjaman di bank atau institusi kewangan. Bank tidak meluluskan pinjaman golongan miskin kerana tidak yakin kemampuan mereka untuk membayar.

Sebaliknya, golongan kaya disediakan pelbagai kemudahan untuk membuat pinjaman. Dari pinjaman perumahan, kenderaan, perniagaan, bahkan mereka boleh membuat pinjaman untuk melancong. Individu yang mempunyai simpanan tinggi di bank akan dihubungi pihak bank menawarkan pinjaman.

Jadi, orang kaya tidak akan dianggap muflis biarpun mempunyai jumlah hutang yang banyak selagi mereka membayarnya mengikut jumlah dan masa yang ditetapkan. Malah, mereka akan ditawarkan hutang tambahan jika rekod pembayaran yang baik.

Untuk menentukan keupayaan membayar ialah berdasarkan kepada pendapatan dan pebelajaan bulanan. Orang kaya mempunyai pendapatan tinggi dan mampu membayar jumlah hutang yang juga tinggi. Itu tidak ada masalah kepada mereka.

Sebaliknya satu masalah jika pendapatan bulanan lebih kecil berbanding jumlah kena bayar hutang. Jadi, pihak bank akan menentukan kadar peratusan pendapatan berbanding perbelajaan, termasuk jumlah membayar hutang. Pihak bank biasanya tidak akan meluluskan pinjaman jika peratusan perbelajaan telah mencapai 70 peratus atau 80 peratus daripada pendapatan.

Kembali kepada perbincangan awal iaitu hutang negara. Jika penanda aras menentukan hutang individu berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan, hutang negara dilihat kepada nisbah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sepertiman tidak kisah tentang berapa jumlah hutang individu, asalkan pendapatan melebihi perbelanjaan, begitu juga hutang negara. Tidak penting kita mengira berapa hutang negara asalkan nisbah dengan KDNK berada pada peratusan yang munasabah.

Kebanyakan negara meletakkan nibah hutang negara berbanding KDNK sebanyak 60 peratus sebagai satu keadaan yang selamat dan sihat.

Itulah kadar hutang negara semasa pemerintahan BN yang berlegar di bawah 60 peratus berbanding KDNK. Dengan jumlah hutang RM1 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan BN kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya berada pada paras 50.8 peratus.

Mari kita lihat jumlah hutang negara lain berbanding KDNK negara masing-masing. Sebagai contoh, United Kingdom mempunyai jumlah hutang sebanyak RM34.8 trilion dengan peratus nisbah hutang berbanding KDNK ialah 87%.

Amerika Syarikat yang digelar negara terkaya di dunia dan serba hebat, sebenarnya juga mempunyai jumlah hutang negara tertinggi didunia dengan jumlah hutang sebanyak RM87 trilion atau 87 kali ganda lebih banyak berbanding Malaysia. Peratus nisbah hutang/KDNK Amerika Syarikat adalah 107.8%.

Pemimpin kedua-dua negara itu tidak sibuk atau heboh mengenai jumlah hutang mereka dan tidak mengatakan negara mereka bakal muflis.

Sebanyak 97.7% hutang negara Malaysia adalah dalam nilaian Ringgit Malaysia. Manakala lebih 60% pemilik hutang adalah dari institusi kerajaan seperti GLIC dan GLC seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Maybank dan sebagainya. 

Hutang pula adalah bentuk sukuk dan bon, manakala bon / sukuk yang matang pula, ada yang bayaran faedahnya mencecah 30 tahun. Jadual pembayaran telah ditetapkan mengikut perjanjian dan tidak perlu dibayar segera.

Jadi, dakwaan mengatakan negara bakal muflis jika tidak dibayar segera hutang negara hanya satu jenaka dan lawak hiburan. Negara bakal muflis jika tidak diuruskan negara baik untuk tempoh lebih lama. Jadi, berhati-hati menjalankan amanah diserahkan oleh rakyat. 

Tuesday 25 September 2018

KEROPOK LEKOR IDENTITI TERENGGANU

Jika disebut keropok lekor sudah pasti terbayang asalnya dari Terengganu. Keropok lekor terkenal dan menjadi identiti Terengganu. Jadi perkataan keropok lekor sudah senonin dan tidak dapat dipisahkan dengan Terengganu.

Keropok lekor diperbuat daripada isi ikan yang diadun dengan tepung kanji. Cara membuatnya tidak banyak bezanya dengan membuat keropok keping kecuali kandungan isi ikan lebih banyak.

Tempat paling terkenal pengeluar keropok lekor ialah di Losong berhampiran Kuala Terengganu. Nama Losong sering dikaitkan dengan keropok lekor sehingga ramai pengusaha di tempat lain turut menggunakan nama Losong seperti mana pengusaha satay menamakan Satay Kajang biarpun beroperasi di luar Kajang.

Disebabkan keropok lekor terkenal menjadikannya satu tarikan kepada sesiapa datang ke Kuala Terengganu untuk mencubanya. Justeru itu keropok lekor sering dijadikan buah tangan pengunjung setiap kali datang ke Kuala Terengganu.

Keropok lekor dibeli yang digoreng atau direbus sahaja. Jika ingin dibawa pulang elok dibeli yang direbus sahaja. Keropok lekor boleh disimpan beberapa hari jika disimpan dengan elok di dalam peti sejuk dan digoreng sebelum dimakan. 

Sebenarnya keropok lekor boleh dimakan tanpa perlu digoreng kerana telah masak sepenuhnya ketika direbus. Bagaimanapun ramai lebih berminat memakannya yang digoreng bersama pencicah sebagai hidangan ringan minum petang maupun waktu lain.

Kepopularan keropok lekor mampu menjadi satu daya tarikan pelancong ke Kuala Terengganu khasnya dan Terengganu amnya.

Monday 24 September 2018

Larangan Jualan Produk Jus Al Sunnah


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan hasil pemantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan ke atas produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar keluaran syarikat Sri Saga Marketing S/B mendapati syarikat tersebut tidak wujud, di mana ini melanggar Seksyen 16, Akta Makanan 1983.

Di samping itu, hasil analisis mengesahkan ada di antara produk tersebut  mengandungi dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang dilarang di bawah Akta Makanan 1983. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, KKM melarang penjualan JUS AL SUNNAH, JUS AL SUNNAH GOLD DAN JUS PENAWAR yang dikeluarkan oleh syarikat Sri Saga Marketing S/B. Semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.

Dexamethasone dan prednisolone adalah steroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius. Penggunaan dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing. Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius.

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangkamasa yang lama digesa supaya TIDAK memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Ini kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome).

KKM ingin menegaskan supaya semua makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman

sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
24 September 2018

CATATAN PENULIS:
Amat malang sekali apabila terdapat peniaga yang menggunakan unsur atau imej Islam untuk menipu pembeli. Fenomina peniaga yang mengaku produk mereka mengikut sunah dan bahan yang didakwa berdasarkan apa yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis. Istilah pemakanan sunah sering dilaungkan untuk menarik minat pembeli bahawa mereka telah mengikut apa yang diamalkan Rasulullah SAW. 

Kolam Air Panas Poring Ranau

 
Negeri Sabah terkenal destinasi pelancongan. Selain keindahan pulau dan laut, Sabah juga kaya dengan keindahan hutan dan kawasan tanah tinggi.  
 
Ranau antara daerah atau kawasan sangat terkenal dengan bentuk muka buminya yang berbukit-bukau. Dan juga dikenali sebagai pengeluar sayur-sayuran tanah tinggi yang terbesar di sekitar Sabah. 

Salah satu daya tarikan di daerah Ranau ialah Kolam Air Panas Poring. Kolam Air Panas Poring terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Ranau. Tempat tersebut pertama kali telah dibangunkan sebagai tempat istirehat oleh tentera Jepun ketika menakluk Sabah pada zaman Perang Dunia Kedua.

Memandangkan ia berpotensi menarik ramai pengunjung ke Ranau khasnya dan Sabah amnya, kerajaan Sabah telah mengambil insentif membangunkannya dengan lebih sistematik pada awal tahun 60 an dan telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 1966. 

Telaga air panas yang terdapat di situ merupakan mata air semulajadi yang terbentuk oleh aktiviti gunung berapi yang kurang aktif jauh di dalam perut bumi. 

Wap panas dari perut bumi kehilangan sebahagian habanya ketika bergerak naik kepermukaan bumi melalui rekahan gunung berapi. Wap itu mengembang apabila sampai berhampiran permukaan bumi dan kemudian bertukar menjadi cecair dan seterusnya membentuk mata air. 

Tapak kawasan Kolam Air Panas terletak di tanah rendah dan anda boleh memilih untuk berendam di kolam-kolam air panas terbuka atau tertutup. 
 
Air panas yang mengandungi sulfur ini dikatakan mempunyai khasiat kesihatan dan mampu menyegarkan badan dan sendi-sendi yang lenguh. Apatah lagi bagi para pendaki yang baru turun dari puncak Kinabalu.

Air panas di Poring bersuhu di antara 49 hingga 60 darjah Calsius. Ia kaya dengan kandungan sulfur yang dipercayai sesuai untuk mengubati pelbagai jenis penyakit kulit. 

Kehangatan air mineral di sini sudah tentu melenyapkan segala penat lelah. Kolam air panas ini sangat sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga. Pelbagai kemudahan yang disediakan untuk keselesaan para pengunjung. Tak kira dewasa mahupun kanak-kanak.

Untuk kemudahan pengunjung ke Kolam Air Panas Poring mandi air panas dengan selesa, tempat mandi khas disediakan. Air di dalam kolam tersebut boleh diimbangi suhunya mengikut kesesuaian dengan mencampur air sejuk dari gunung.

Terdapat kolam-kolam kecil yang menyediakan air panas. Jika anda mahu privasi, terdapat tempat mandi tertutup tetapi dikenakan bayaran yang lain.
 
Selain kolam mandi air panas, terdapat juga kolam air sejuk untuk kanak-kanak mandi manda. Airnya yang disalurkan terus dari gunung berasa sejuk, bersih dan jernih.

Di Poring, anda boleh juga bersiar-siar di taman kupu-kupu atau melakukan aktiviti yang lebih mencabar iaitu berjalan di puncak pepohon hutan dipterokap di atas Jambatan Kanopi yang bergantung pada ketinggian 41 meter dan sejauh 157.8 meter.

Pemandangan ke bawah dari puncak pohon Menggaris atau Raja Kayu sukar digambarkan. Para pelawat harus mengalaminya sendiri bagi merasai debaran dan kepuasan yang dikecapi berada di celah pucuk pepohon tertinggi.

Kalau anda bercadang untuk bermalam di sini, anda bolehlah ke Poring Hot Springs & Nature Reserve Resort. Ada beberapa chalet yang disediakan. Antara penginapan yang agak murah di sini ialah Serindit Hostel dan Kelicap Hostel.

Berkunjung ke Kolam Air Panas Poring khasnya dan pekan Ranau amnya, pastinya meninggalkan kenangan yang menarik.    




HUTAN LIPUR LATA TEMBAKAH AIR TERJUN TUJUH TINGKAT

Antara hutan lipur terkenal di Terengganu ialah Hutan Lipur Lata Tembakah yang terletak di hutan simpan Pelagat, Besut. Jaraknya kira-kira 130 kilometer dari Kuala Terengganu dan 24 kilometer dari bandar Jertih. 

Hutan Lipur Lata Tembakah semakin terkenal sebagai tempat istirahat. Suasana hutan yang damai dan air terjun yang jernih menjadikan hutan lipur diminati untuk dikunjungi. Jenis hutan di kawasan itu merupakan jenis hutan dipterokarpa bukit.

Keindahan Hutan Lipur Lata Tembakah sentiasa diperkatakan oleh mereka yang pernah mengunjunginya. Keistimewaan Lata Tembakah dikaitkan dengan kawasan yang luas dan jeram air terjun yang banyak. 

Terdapat tujuh tingkat air terjun di Lata Tembakah yang mana setiap satunya di lokasi berlainan. Salah satu air terjun itu melimpahkan air dari ketinggian 100 meter.

Hutan lipur di bawah pengendalian Jabatan Hutan Terengganu itu berkeluasan 300 hektar. Kawasan itu dibuka dari lapan pagi hingga lima petang, kecuali mereka yang mengindap di chelet dan berkhemah.

Pengunjung tidak menghadapi kesukaran untuk bergerak dari satu tingkat air terjun ke tingkat seterusnya. Laluan konkrit dan tangga disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Dari jambatan gantung di pintu masuk, untuk ke air terjun di tingkat 5, ia mengambil masa lebih kurang 60 minit dengan jarak sejauh 1.5 kilometer. Manakala untuk ke air terjun tingkat pertama, ia terletak lebih kurang 700 meter yang mengambil masa kira-kira 20 minit berjalan kaki.

Di sepanjang laluan konkrit dibina tempat rehat terbuka, tempat rehat berbumbung, tempat menukar pakaian, tapak BBQ dan tandas. Pengunjung boleh memilih tempat yang sesuai tanpa perlu berjalan jauh.  

Perjalanan ke tingkat enam dan tujuh memerlukan pengunjung menggunakan denia laluan khas mengikut arah yang disediakan, iaitu satu lencongan bermula dari tapak perkhemahan. Bagaimanapun, ada pengunjung yang meneruskan perjalanan terus ke air terjun tingkat lima dan melalui lereng curan untuk ke air terjun tingkat enam dan tujuh. 

Selain keistimewaan mempunyai banyak air terjun yang sudah tentunya memberi banyak pilihan kepada pengunjung, aliran sungai yang panjang memberi pilihan kepada pengunjung untuk beristirahat di kawasan yang disukai.  

Kebanyakan keluarga yang berkunjung bersama-sama anak kecil memilih tempat yang lebih selamat seperti tempat yang tidak curam dan air yang cetek. 

Sesiapa sahaja yang datang ke Lata Tembakah pasti akan merasai kepuasan. Ramai mengakui apa yang dirasai di Lata Tembakah sukar ditandingi di tempat-tempat lain.

Untuk aktiviti perkhemahan, bermalam dan lain-lain aktiviti di hutan lipur, sila berhubung dengan Unit Hutan Lipur Dan Rekreasi, Ibupejabat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. 

Lata Tembakah terletak di dalam hutan lipur, oleh itu terdapat banyak khazanah alam samada pokok-pokok hutan yang bernilai tinggi mahupun koleksi pokok-pokok herba yang mempunyai khasiat tersendiri disekelilingnya.

Kawasan ini mula dimajukan sekitar tahun 1987 dan menjadi tarikan pengunjung-pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan oleh beberapa keistimewaan yang terdapat di sini.

Hutan lipur yang masih suci daripada pembangunan ini menyajikan keindahan flora dan fauna menakjubkan. Desiran air terjun disulami kicauan pelbagai unggas memberikan pemandangan sungguh mendamaikan dan mampu mengajak pencinta alam pemikir yang mahu mentafsir kejadian ciptaan Yang Maha Esa.

Kehijauan landskap semula jadinya sudah lama menambat hati pengunjung yang sering menjadikan hutan lipur ini sebagai lokasi riadah bersama rakan atau keluarga pada hujung minggu. Kedinginan airnya membuatkan pengunjung tidak puas mandi, apatah lagi apabila dikelilingi panorama air terjun.

Sunday 23 September 2018

CAMERON HIGHLANDS PERANGINAN TANAH TINGGI

Malaysia mempunyai beberapa kawasan pelancongan tanah tinggi yang menjadi tumpuan penduduk tempatan atau pelancong luar. Salah satu tempat pelancongan tanah tinggi terkenal ialah Cameron Highlands. Perkembangan industri pelancongan di Cameron Highlands amat pesat sehingga ketika puncak cuti minggu dan cuti persekolahan, kawasan di Cameron Highlands sesak dengan pengunjung.  

Ketinggian Cameron Highlands dari paras laut kira-kira 1,829 meter. Puncak tertinggi ialah Gunung Berinchang iaitu kira-kira 2031 meter. Pandangan panoramik daripada puncak Gunung Brinchang, juga merupakan jalan yang tertinggi di Semenanjung Malaysia pada ketinggian 2000 meter.

Cemeron Highlands terletak di Banjaran Titiwangsa di negeri Pahang. Cameron Highlands mula ditemui oleh William Cameron, seorang juruukur Inggeris pada tahun 1885 ketika melakukan ekspedisi di kawasan Banjaran Titiwangsa. Beliau mencadangkan pihak pentadbiran Inggeris agar memajukan kawasan tersebut sebagai tempat peranginan. 

Kawasan tersebut kemudiannya dibangunkan sebagai Hill Station oleh pihak kerajaan semasa itu. Diwujudkan sebagai pentadbiran daerah yang tersendiri selepas perang dunia kedua. Majlis Daerah Cameron Highlands ditadbir oleh sebuah jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Pembangunan Cameron Highlands sehingga penghujung tahun 1931

Cuaca di Cameron Highlands berhawa sederhana sejuk. Suasananya nyaman dengan kehijauan alam semula jadi memang amat sesuai dijadikan tempat istirahat. 

Pembangunan industri pelancongan telah mewujudkan landskap buatan di Cameron Highlands lebih menarik dan menceriakan. Banyak tempat menarik seperti taman ros, taman kektus, ladang teh, taman rama-rama, kebun sayur dan ladang buah-buahan menjadi kunjungan pelancong sepanjang tahun.

Pengunjung ke Cameron Highlands berpeluang menikmati suasana seperti di negara sejuk, walaupun tidaklah terlalu sejuk. Suasana seperti di negara Barat dapat dirasakan apabila terdapat banyak rumah kediaman berkonsepkan rumah di negara Barat. Sebab itu Cameron Highlands digelarkan ‘A Little Bit of England’.

Kebanyakan penduduk di Cameron Highlands terdiri daripada petani yang mengusahakan kebun sayur, kebun buah-buahan, ladang bunga dan bekerja di ladang teh. Cameron Highlands menjadi pengeluar utama sayur-sayuran di negara kita.  

Pengusahan tanaman bunga di Cameron Highlands pada awalnya sekadar untuk memenuhi permintaan tempatan. Bagaimanapun, sejak tahun 80 an, hasil bunga-bungaan Cameron Highlands telah dieksport ke negara seperti Singapura, Jepun, Thailand, Hong Kong, Taiwan dan beberapa negara lain. Bunga ros menjadi pilihan utama. Terdapat beratus-ratus spesis ros ditanam di Cameron Highlands.

Pekerjaan utama lain penduduk Cameron Highlands ialah yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti bidang perhotelan dan penyediaan produk pelancongan.   

Banyak tempat menarik di Cameron Highland yang tidak habis dilawat dalam masa sehari. Pengunjung tidak menghadapi masalah untuk bermalam di Cameron Highlands. Banyak terdapat rumah tumpangan dan hotel dengan kadar sewa berpatutan disediakan.  

Jumlah penduduk Cameron Highlands pada tahun 2015 seramai 40,000. Biarpun angka itu dianggap masih kecil, namun peratusan peningkatan jumlah penduduk di Cameron Highlands dikata hampir 3 peratus setahun. Peratusan peningkatan yang besar itu selari dengan pembangunan pesat di Cameron Highlands.  

Jarak perjalanan Cameron Highlands dari Kuala Lumpur ialah 300 km atau 3 jam 40 minit perjalanan melalui lebuhraya PLUS. Pengunjung akan melalui susur keluar Tol Tapah. Jarak perjalanan dari Tapah hanya 60km, tetapi di situlah cabaran sebenar perjalanan bermula. Jalan bengkang bengkok, licin dan sempit antara cabaran yang anda hadapi. Sesiapa yang tidak tahan kebiasaanya akan mengalami mabuk dan muntah.

Udara sejuk mula menyapa anda taktala anda melalui pekan Ringlet. Purata suhu di pekan Ringlet sekitar 16 darjah celcius mendinginkan lagi suasana.

Laluan alternatif lain bagi mereka dari Kuala Lumpur atau Lembah Kelang ialah melalui Leburaya Gombak - Betong. Keluar di Plaza Tol Bentong, terus ke Raub, kemudian Sungai Koyan dan terus menuju Cemeron Highlands. Pekan pertama ditemui juga Ringlet. Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur kira-kira 260 kilometer. Laluan itu merupakan jalan utama bagi mereka daripada Pahang.

Sekiranya anda daripada Utara, laluan bermula dari Simpang Pulai berhampiran Ipoh dan akan menemui pekan pertama adalah Kampung Raja. Pengunjung dari Kelantan dan Terengganu pula melalui Gua Musang menuju Lojing sebelum memasuki Kuala Raja.

Jarak antara bandar yang terdapat di Cameron Highlands:
Ringlet ke Tanah Rata - 13km
Tanah Rata ke Brinchang - 6km
Brinchang ke Tringkep - 8km
Tringkap ke Kuala Terla - 5km
Kuala Terla ke Kampung.Raja - 3km

Penampatan utama di Cemaron Highlands:
- Ringlet. Merupakan pekan pertama yang akan dilalui jika pengunjung menggunakan laluan Tapah -  Cameron Highlands.
- Tanah Rata. Pusat pentabiran bagi Daerah Cemerons Highland. Di sini terdapat pejabat kerajaan, ibu pejabat polis daerah, hospital dan kediaman.
- Brinchang. Pekan tertinggi di Cemeron Highlands. Terkenal tempat pasar malam beroperasi. Menjadi pilihan pengunjung yang ingin suasana malam yang meriah.
- Kea Farm. Terkenal sebagai pusat membeli sayur dan pelbagai jenis buah. Kini pesat membangun dengan terbinanya hotel besar.
- Blue Valley. Kawasan terdapatnya ladang sayur dan ladang bunga.
- Tringkap. Kawasan ini menjadi penempatan penanam sayur. Terdapat pasar sayur utama di sini.
- Kuala Terla. Juga merupakan kawasan ladang sayur dan bunga-bungaan.
- Kampung Raja. Menjadi pekan pertama ditempuhi jika datang dari Simpang Pulai dan Lojing.  

MESIN MINI PADI MEMUDAHKAN PROSES HASILKAN BERAS

Mesin mini memproses padi menjadi beras. Teknologi membantu manusia mudah melakukan sesuatu tugasan atau keperluan. Kebanyakan teknologi baru bukan sahaja lebih baik dari segi kecekapan berbanding jentera atau mesin sebelumnya, tetapi juga dari segi ukuran lebih kecil.

Lihat sahaja gambar mesin memproses padi di atas. Ukurannya kecil dan mudah ditempatkan di kawasan kecil dan senang dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat. Kalau dahulu, sebut sahaja mesin memproses padi menjadi beras, ukurannya memang besar. 

Perlu beroperasi dalam tempat atau kilang yang luas. Paling kecil mesin memproses padi pada masa dahulu memerlukan kawasan 10 meter kali 2 meter. Itu hanya baru untuk meletak mesin.

Dengan mesin mini memproses padi, hanya kawasan kecil diperlukan. Sudah namanya mini, kuantiti yang mampu diproses juga sedikit untuk satu-satu tempoh masa, tetapi sudah dianggap ‘cekap’ dan maksimun untuk satu ukuran mesin yang kecil dan kos yang rendah.

Tulisan ini bukan ingin mempromosi mesin mini memproses padi menjadi beras gambar di atas, tetapi bercakap tentang wujudnya mesin-mesin mini seperti itu. Sebenarnya banyak lagi mesin memproses beras mini yang ada dipasaran. 

Dengan anggaran harga RM2000 hingga RM5000 anda sudah boleh membeli mesin mini memproses padi menjadi beras seumpama ini.  

Pada masa dahulu, lesung hindik digunakan untuk mengasingkan kulit padi agar menjadi beras. Pada masa dahulu, padi yang dituai sama ada disimpan tanpa dipisahkan dari tangkai. 

Padi yang disimpan bersama tangkai yang diikat dipanggil gemai. Padi yang disimpan bersama tangkai biasa lebih tahan. Selain disimpan bersama tangkai, padi juga disimpan dalam bentuk yang telah dileraikan dari tangkai.

Biji padi diseliputi kulit. Untuk mengasingkan kulit, pada masa dahulu padi perlu ditumbuk dengan lesung padi atau dipanggil lesung hindik. Lesung hindik diperbuat daripada kayu yang tahan lama. Ia terdiri daripada ibu yang ditanam di dalam tanah. Ibu lesung menjadi tempat untuk diletakkan beras.

Terdapat satu batang kayu yang di hujungnya diletakkan alu. Untuk menumbuk beras di ibu lesung, batang yang bersambung dengan alu akan dipijak dengan kaki dan dilepaskan. 

Ketika dipijak, alu akan naik ke atas dan apabila dilepaskan, alu akan jatuh ke dalam ibu lesung yang mengandungi beras. Proses pukulan itu akan menyebabkan kulit beras tertanggal. Beras yang telah tertanggal kulit dipanggil beras.

Kulit padi dipanggil sekam atau dedak. Untuk mengasingkan sekam dengan beras, ia perlu ditampi menggunakan nyiru atau badang.

Lesung hindik biasanya dikongsikan penduduk kampung. Maknanya tidak semua petani atau penduduk mempunyai lesung hindik. Tambahan pula, penggunaan lesung hidik tidak digunakan pada masa sama. Jadi, mudahlah untuk penduduk kampung bergilir-gilir menggunakan lesung hindik.

NASIB BERBEZA SONGKOK DAN KASUT


Kasut dan songkok memang berbeza. Namanya pun sudah berbeza. Biarpun kedua-duanya dibeli dan dipakai, namun nasib dan kedudukannya tetap berbeza.

Kasut dipakai di kaki ketika berjalan. Kedudukan kasut paling bawah. Bersedia menerima apa bebanan berat pemakainya dan terpaksa menjadi pemisah antara tapak kaki dangan apa sahaja yang dipihak. Kaki tidak terasa panas tar yang dipijak. Kaki tidak kena tajam duri. Kaki tidak sedar kasut terpijak najis.

Jadi, kasut tidak boleh bermegah biarpun harganya mahal. Apapun jenama dan asal kasut diperbuat dari bahan bernilai, termasuk kulit haiwan berkualiti tinggi, kedudukan kasut tetap di tempat paling rendah.

Kedudukan kasut berjenama hanya nampak hebat ketika berada di kedai kasut. Diletakkan di rak kaca yang mahal dan ada cahaya lampu bergemerlapan. Namun, belumpun dibeli oleh orang yang berminat terhadapnya, kasut yang dicuba sudah diletakkan di lantai.

Nasib kasut berjenama malah akan kembali apabila tidak jadi dibeli. Ia akan kembali diletakkan di tempat tinggi. Jadi, jika kasut tidak mahu kedudukannya jatuh pada kedudukan paling rendah, 'berdoalah' agar tiada siapa membelinya. Dan, jika begitu apa hebatnya menjadi kasut yang tidak digunakan?

Songkok pula dipakai di kepala. Songkok paling tinggi kedudukannya. Songkok dipakai ketika majlis rasmi dan kebesaran. Songkok dipakai ketika menunaikan sembahayang, mengadap Yang Maha Berkuasa.

Orang sanggup menanggalkan songkok jika hari hujan. Biar kepala basah, asal songkok tidak basah. Biarpun songkok ditanggalkan seketika, ia akan diletakkan kembali agar kedudukan lebih betul dan kelihatan segak. Jadi, hebatnya songkok biarpun harganya murah.

Kasut yang mahal dan songkok yang murah dipakai bersama menuju ke masjid. Kasut akan ditanggalkan dan ditinggalkan di tangga. Sedangkan songkok yang murah akan terus dipakai di dalam masjid.

Dalam majlis perkahwinan semasa akad nikah, pengantin lelaki ‘mesti’ pakai songkok. Namun songkok tidak pula dijadikan sebahagian barang hantaran wanita kepada lelaki. Sebaliknya yang biasa dijadikan hantaran ialah kasut.

Jadi, jangan bermegah dengan kekayaan dan kedudukan. Maka, jangan pula berasa hina disebabkan miskin. Miskin dan kaya lumrah kehidupan saling melengkapkan. Apa yang penting kita faham peranan dan tugas masing-masing. Hidup ini tidak membawa apa-apa erti tanpa melaksankan tugas yang diamanahkan. 

SEJARAH HOSPITAL BAHAGIA ULU KINTA

Tanjung Rambutan, sebuah pekan di daerah Ulu Kinta, Perak senonim dengan tempat orang 'gila'. Sebut sahaja Tanjung Rambutan, maka terbayanglah tentang sebuah hospital penjagaan mental paling tua dan terkenal di Malaysia. 
 
Sebenarnya, hospital mental atau dipanggil hospital bahagia yang terletak di Tanjung Rambutan tidak pernah menggunakan nama pekan itu secara rasmi.

Sejarah pembinaan pusat rawatan mental yang kini dikenali Hospital Bahagia Ulu Kinta bermula pada tahun 1910 apabila Dr. Samuels telah mencadangkan supaya kerajaan membina sebuah hospital yang diberi nama sebagai Federal Lunatic Asylum di Tanjung Rambutan.

Pembinaan tersebut telah siap dibina pada tahun 1911 dan Dr. W.F. Samuels telah dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama di pusat penjagaan mental itu. Pada peringkat awal, Federal Lunatic Asylum adalah merupakan sebuah yayasan psikiatri yang mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan yang dipisahkan oleh ruang dapur sahaja.

Pada tahun 1928 Federal Lunatic Asylum telah diubah nama kepada Central Mental Hospital dan pada awal tahun 1970, nama telah diubah kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri.

Keluasan asal Hospital Bahagia Ulu Kinta ialah 544 ekar di mana lebih kurang 300 ekar digunakan untuk mendirikan pelbagai bangunan dan bakinya digunakan untuk aktiviti–aktiviti pemulihan pesakit seperti pertanian, penternakan dan perikanan. 
 
Namun begitu, pada tahun 2007 sebanyak 41 ekar telah diserahkan untuk pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta.

Fungsi hospital bahagia menawarkan rawatan jagaan, memberi rawatan klinikal, psikologi, moral, dan kerohanian bagi mereka yang mengalami masalah mental, atau turut dikenali sebagai sakit jiwa, gila, tekanan perasaan dan lain-lain yang berkaitan.

Sungguhpun begitu dari segi perubatan, mereka yang ditempatkan di sini tidak semuanya di luar kawal, dan pesakit yang tidak berapa teruk akan diberi latihan di bengkel pertukangan bagi lelaki dan bengkel kerja tangan bagi wanita. Selain itu pesakit turut diberi latihan bertani dan kesemua aktiviti ini mempunyai nilai rawatan yang dinamakan sebagai terapeutik bagi membantu pesakit bertenang dan pulih.

Hakikatnya pesakit yang dirawat di hospital bahagia bukanlah semuanya 'gila', dan juga bukan semuanya 'liar'. Bahkan ada yang memohon untuk ditempatkan di hospital bahagia bertujuan ingin menenangkan fikiran, jauh dari tekanan kerja dan tekanan hidup.

Petugas di hospital bahagia memerlukan kemahiran berkomunikasi dan berfikir secara kreatif dan inovatif. Mereka sentiasa berdepan dengan pesakit yang tidak mampu dijangka tingkah laku atau reaksi terhadap sesuatu keadaan. Jadi, kesabaran dan pengalaman amat diperlukan.

HENTIAN ECO LOJING


Pengunjung dari Gua Musang menuju ke Cameron Highland mahupun menuju ke Simpang Pulai di Perak, sebelum memasuki kawasan 'pembangunan' Loging, akan menemui hentian ECO R&R.

Hentian rehat dan rawat ECO R&R dibina oleh Majlis Daerah Gua Musang terletak berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Pos Brooke Lojing, Kelantan. Hentian rehat dan rawat itu menjadi mercu tanda baru di Lojing.  

Kewujudan ECO R&R ini merancakkan lagi pembangunan di tanah tinggi Lojing seterusnya menjadikan Jajahan Kecil Lojing salah satu daya tarikan pelancongan di Gua Musang. Diharapkan dengan pembinaan itu akan menarik minat pihak lain membangunkan kemudahan lain di kawasan berhampiran.

Pembangunan fizikal dan kemudahan awam di Lojing agak perlahan. Yang nampak ketara hanyalah projek pembukaan tanah untuk tujuan pertanian yang rakus menarah dan membotakkan bukit. Aktiviti pembukaan tanah pertanian yang tidak terkawal mencetuskan fenomina pencemaran sungai apabila selut dan lumpur mengalir memasuki sungai berhampiran.  

Aliran sungai di Lojing mengalir melalui kawasan tengah negeri Kelantan memasuki laluan terus menuju ke Sungai Kelantan yang mengalir sehingga ke Kota Bharu sebelum memasuki Laut China Selatan. Banjir lumpur atau banjir kuning 2014 antara lain adalah lumpur yang berpunca dari pembangunan tanah tinggi Lojing.

Operasi ECO R&R Lojing telah bermula pada bulan Jun 2016 dengan menempatkan Pejabat Majlis Daerah Gua Musang Cawangan Lojing dan beberapa unit motel untuk disewa oleh pelancong dan pelawat.

Pengguna jalan raya melalui ECO R&R biasanya akan singgah seketika di situ untuk berehat dan sebelum meneruskan perjalanan. Kemudahan tempat letak kenderaan yang luas, termasuk bas, memudahkan pengunjung untuk berhenti seketika menghirup udara segar dan dingin.