Monday 17 September 2018

BELAJAR AMAL SIKAP TAHAN MARAH



Marah adalah antara sifat semuala jadi yang ada dalam diri manusia, lahir apabila ada perkara yang tidak disukai, menyakitkan, merugikan atau tidak seperti dikehendaki berlaku terhadap diri. 

Lawan sifat marah ialah pemaaf. Yakni, biarpun berdepan dengan situasi yang mendatangkan kemarahan, dia tidak menzahirkan kemarahan itu, atau marahnya tidak berlanjutan.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Mereka yang tidak mampu mengawal kemarahan biasanya melakukan tindakan yang menyebabkan dia menyesal kemudiannya. Kerugian atau keadaan yang tidak teruk yang menjadi punca kemarahan itu boleh bertukar satu kerugian yang lebih besar jika kemarahan tidak dapat dikawal. 

Justeru, sifat pemaaf dapat meletakkan seseorang pada kedudukan yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Dia mendapat keuntungan untuk dirinya sendiri dan tidak pula mendatangkan keburukan kepada pihak lain.

Menahan marah satu kebaikan yang tidak perlu melakukan apa-apa tindakan lain, iaitu hanya diam. Tetapi, kebaikan amalan itu amat besar. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat 132).

Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun dia pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya dengan fikiran positif.  

Mungkin pihak yang menyebabkan rasa marah itu tidak mempunyai niat untuk melakukan perbuatan itu, melainkan kerana terpaksa atau tidak mempunyai pilihan lain. Dalam situasi begitu, sesiapa pun tidak dapat mengelakknya. 

Untuk mengelak timbul perasaan marah, jangan melihat sesuatu keadaan dengan terlalu serius sehingga memberi gambaran yang sebaliknya.  

Jadi, jangan cepat menyalahkan orang, sebaliknya fikirkan apakah kita mampu mengelakknya jika berada di sebelah pihak yang menyebabkan kemarahan itu. Daripada terus marah, lebih baik mengambil tindakan positif untuk memperbaiki keadaan itu. Marah akan menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak terkawal dan lebih banyak keburukan akan terjadi.

No comments:

Post a Comment