Monday 17 September 2018

ETIKA KEWARTAWANAN DITUNJUK RASULULLAH


Islam agama mementingkan kesan baik berkaitan apa saja yang dilakukan oleh umatnya. Perkara ini tidak terkecuali dalam soal berkaitan dengan komunikasi. Dalam dunia media, wartawan adalah penghubung antara sumber berita untuk disampaikan kepada pembaca atau penonton.

 Atas kebijaksanaan wartawan akan menentukan 'bentuk' sebenar berita itu disampaikan. Dalam banyak hal, pembaca menerima sepenuhnya apa yang ditulis oleh wartawan kerana itulah satu-satunya sumber berita yang diterima.

Maka itu, untuk memastikan kebaikan dan mengelak kepada perkara buruk, amat penting wartawan mengamalkan etika kewartawanan berlandaskan kepada acuan Islam sepertimana yang diamalkan oleh Rsulullah.

Dalam sirah Rasulullah kita dapati Nabi Muhammad adalah 'wartawan' terbaik. Apa yang dialami Rasulullah tidak berlaku kepada mana-mana wartawan. Apa yang dimaksudkan ialah Rasulullah berkomunikasi secara langsung dengan Allah, malaikat, bahkan dengan syaitan yang menjadi musuh manusia. 

Maka itu, apa yang disampaikan oleh Rasulullah banyak yang tidak diterima oleh mereka yang tidak beriman. Kaum kafir menolak mentah-mentah apa yang disampaikan oleh Rasulullah yang dianggap dongeng dan tidak masuk akal. 

Namun, di kalangan orang beriman, mereka menerima dengan yakin setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah biarpun ia perkara yang tidak mampu untuk difikirkan oleh akal. Jadi, tentu sekali, penerimaan sedemikian berpunca  kepada nilai-nilai peribadi Rasulullah sendiri. 

Memang seperti dikatakan sebelum ini bahawa penerimaan itu disebabkan rasa keimanan, tetapi bagaimana rasa keimanan itu timbul ketika mula-mula Rasulullah menyampaikan seruan mentauhidkan Allah. Ternyata sekali, keupayaan Rasulullah menyebarkan risalah tauhid adalah berdasarkan kepada nilai-nilai diri yang ada pada baginda. 

Nabi Muhammad digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlaknya yang tidak ada tolak banding. Baginda diutuskan membawa rahmat ke seluruh alam dan membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan keinginan kepada kenikmatan hidup di dunia semata-mata. 

Seluruh cerdikawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin sepanjang zaman, sama ada beragama Islam atau kafir telah sepakat mengakui bahawa Nabi Muhammad sebagai The Saviour of Humanity (Penyelamat Manusia Sejagat).

Lothrop Stoddard, seorang orientalis Barat dalam bukunya The New World of Islam mencatatkan bahawa kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah suatu perkara yang paling menakjubkan dalam sejarah manusia.       

Pengiktirafan yang jujur itu hasil penelitian kajian berkaitan sumbangan besar Nabi Muhammad dalam membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman. Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad.  

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) di alam akhirat serta mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Sesungguhnya, Nabi Muhammad memiliki peribadi yang terlalu agung. Sebab itu baginda diberikan gelaran al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang kebenaran dan kesempurnaan pekerti. Baginda menjadi kebanggan seluruh masyarakat Makkah dan dihormati pendapat dan tutur kata yang diucapkan. 

Gelaran al-Amin yang melambangkan penghormatan besar itu diterima ketika baginda berusia belia dan belum diangkat menjadi rasul. Ini bermakna sikap mulia baginda diamalkan sejak kecil dan berterusan sepanjang hayat. 

Rasulullah membawa risalah Islam yang syumul. Islam diiktiraf Allah sebagai addin yang diredai-Nya.  Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya addin (yang sebenar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”  (Surah Ali Imran, ayat 19).

Selaku pembawa risalah, Rasulullah selayaknya digelarkan wartawan dengan menyampaikan kepada manusia apa yang disampaikan oleh Allah melalui perantaran malaikat. Beberapa etika diamalkan Rasulullah ialah benar, amanah, menyampaikan dan bijak.

Benar. Sifat itu amat penting diamalkan sesiapa yang menjadi wartawan. Apa yang disampaikan perlu disahkan kebenarannya. Sikap membuat laporan berdasarkan kepada andaian menyebabkan berita tidak tepat. 

Menyampaikan apa yang tidak tepat boleh disamakan seperti menipu pembaca. Betapa buruk kesannya jika berita yang tidak tepat itu membawa kepada sesuatu kerugian dan tragedi. Satu berita tidak benar boleh mencetuskan huru hara dalam negara. 

Sebab itu Rasulullah sentiasa mementingkan penyampaian perkara yang benar. Kaedah untuk memastikan kebenaran sesuatu berita ialah selidik dulu sumber berita itu. Pembaca jangan mudah menelan bulat-bulat berita atau maklumat yang disajikan kepada mereka. 

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini)." - (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Sesungguhnya, sesiapa yang melakukan perbohongan adalah nyata dirinya tergolong mereka yang tidak beriman. Perkara ini jelas dinyatakan Allah dalam surah an-Nahl, ayat 105 bermaksud: " Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah pendusta.”  

Sesungguhnya dakwah Rasulullah mencapai kejayaan adalah kerana baginda sentiasa menyampaikan perkara yang benar, biarpun ia satu perkara yang pahit atau merugikan diri sendiri. Yang benar tetap benar dan perkara salah tetap salah walaupun hati kita ingin mengatakan benar kepada perkara yang salah.

Amanah. Sifat seterusnya yang menjadikan Nabi Muhammad seorang 'wartawan' yang baik ialah amanah. Sesungguhnya sifat mulia itu sentiasa diamalkan Rasulullah dalam semua perkara dan keadaan. Maka, sikap itu juga yang sering ditekankan oleh Rasulullah agar diamalkan oleh para sahabat dan seluruh umat Islam. 

Amat penting setiap wartawan melaksanakan etika amanah. Antara contoh amanah yang dipikul oleh wartawan ialah mendapatkan berita yang benar mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan dan kemudiannya menulis laporan berdasarkan sumber sahih yang diperoleh itu.

Sikap wartawan memanipulasikan berita untuk kepentingan diri adalah satu amalan tidak amanah. Sikap melaporkan berita untuk kepentingan diri sendiri atau pihak tertentu, biarpun diketahui berita itu tidak betul, adalah satu tanda tidak amanah pada etika dan tanggungjawab sebagai wartawan.

Sesungguhnya Rasulullah amat menekankan kepada sifat amanah. Bahkan, Rasulullah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak amanah, adalah antara tanda-tanda menjadi munafik. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda seseorang munafik itu adalah tiga perkara iaitu apabila berjanji tidak ditunaikan, apa bercakap dia berdusta dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah dalam menyampaikan dakwah sentiasa memegang kepada amanah. Tidak ada perkara atau hukum diubah semata-mata untuk kepentingan baginda atau keluarganya. Contohnya, dalam menjelaskan tentang hukuman bagi pencuri, Rasulullah menyatakan jika perbuatan itu dilakukan oleh anaknya sendiri, maka hukuman sama tetap dilaksanakan sepertimana hukuman kepada pesalah-pesalah lain.

Berani Menyampaikan Kebenaran. Rasulullah tidak sekali-kali takut untuk menyampaikan perkara yang benar biarpun diketahui perkara itu sukar diterima oleh orang ramai. Sebenarnya keadaan inilah antara cabaran paling besar dihadapi Rasulullah ketika mula-mula menyampaikan seruan tauhid di Kota Makkah.

Apa yang disampaikan Rasulullah ada perkara baru bagi masyarakt kafir Quraiys di Makkah. Tentu sekali mereka tidak dapat menerima ajaran yang mengajak mengesakan Allah dan menolak fahaman serta amalan yang telah sebati dalam diri mereka sejak datuk moyang lagi.                                                                                                        

Namun, Rasulullah tidak ada pilihan melainkan menyatakan apa yang benar sepertimana diterima dari Allah. Sehebat mana tentangan daripada kaum Quraiyis tetap tidak mematahkan semangat Rasulullah untuk menyampaikan seruan yang benar.

Begitulah yang mesti dicontohi oleh wartawan dalam melaksanakn tugas menyampaikan perkara yang benar. Fikirkan hanya melalui kebenaran saja akan menghasilkan kesan terbaik. Jangan gadaikan etika kewartawan semata-mata kerana ingin mensensasikan sesuatu berita. 

Rasulullah melarang umatnya menyampaikan berita yang menyebabkan perselisihan antara manusia. Malah, kita diharuskan agar menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan orang lain. Juteru sesiapa yang menyebabkan sesuatu berita yang memang diketahuinya akan mencetuskan perbelahan, jelas sekali apa yang dilakukan itu amat ditegah oleh Islam. 

Mencegah perselisihan amat dituntut. Maka itu, tidak dianggap perbuatan dusta atau menipu (dalam ertikata dosa) jika kita menyatakan perkara tidak benar semata-mata untuk mengelak permusuhan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.” - (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau (Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga untuk mengekalkan kebahagiaan.

Maka, amat jauh bertentang dengan amalan Rasulullah jika wartawan masih melaporkan sesuatu berita yang memang diketahui olehnya bahawa berita itu akan mencetuskan perbalahan. Malah amat buruk sikap wartawan yang sengaja menyiarkan sesuatu berita semata-mata untuk mencetuskan perbalahan dan perselisihan antara manusia.

Bijak. Sifat bijak atau bijaksakna amat dituntut diamalkan dalam semua perkara, lebih-lebih lagi dalam bidang kewartawanan. Etika ini amat dititikberatkan oleh Rasulullah ketika menyampaikan dakwah. 

Rasulullah menyuruh setiap individu menyampaikan apa-apa diketahui biarpun hanya sedikit. Apa yang penting ialah apa yang disampaikan itu benar dan tepat. Setiap individu mempunyai tahap penerimaan dan kefahaman berbeza-beza. Ada individu yang memerlukan masa yang lama untuk memahami sesuatu perkara. Maka sebab itu,  wartawan perlu bijak 'membentu' berita atau rencana yang ditulis. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Hadis riwayat Muslim).

Ketika menyampaikan sesuatu berita, Rasulullah akan memastikan apa yang disampaikan itu dapat difahami para sahabat. Sebab itu, kerap Rasulullah terlebih dahulu bertanya 'tahukah kamu', 'mahukah kamu' dan 'inginkah kamu aku khabarkan'. Pertanyaan itu sebenarnya antara lain Rasulullah ingin menarik perhatian agar para sahabat bersedia untuk menerima sesuatu berita.

Perkara ini juga perlu diamalkan para wartawan. Sesuatu berita perlu diadakan 'pembukaan' agar menarik perhatian pembaca sebelum meneruskan pembacaan. Jika sesuatu perkara penting, tetapi difikirkan pembaca sukar untuk memahaminya, maka berita atau rencana yang ditulis hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Wartawan tidak sepatutnya menulis ikut selera mereka saja. Fikirkan juga tahap penerimaan pembaca. Sesuatu yang tidak difahami pembaca akan menimbulkan fitnah dan kekeliruan.

Sikap wartawan yang suka membuat berita yang mengelirukan perlu dihentikan. Jangan cari populariti melalu kaedah yang boleh menyebebabkan dunia kewartawan disangsi dan dimomok-momok oleh pembaca. Kita kena sedar, pembaca sekarang bijak menilai sesuatu berita. Jika silap ditulis, maruah dan kredibaliti wartawan akan dipersoalkan. 

No comments:

Post a Comment