Monday 17 September 2018

SIFAT IKHLAS BINA JIWA TENANG

Orang yang bersifat ikhlas adalah insan yang melakukan tugas seharian sepertimana yang sepatutnya dilakukan, baik sebagai hamba-Nya, dalam perhubungan sesama manusia dan pekerjaan seharian. 

Jelas sekali keikhlasan melakukan ibadat amat penting bagi menentukan balasan di sisi Allah. Tegasnya, tidak ada ibadat tanpa keikhlasan. Tidak ada satupun yang diperintahkan terhadap manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah. 

Insan yang ikhlas melakukan ibadat sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan daripada Allah sebagai ganjaran kepada keikhlasannya. Orang yang ikhlas tidak merasakan melakukan ibadat sebagai satu beban. Ibadat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan terasa kemanisan imannya. Semakin banyak yang dilakukan, lebih lagi dirasakan nikmatnya. 

Sebab itu, biarpun tidak disaksikan sesiapa, orang yang ikhlas tetap meneruskan ibadat. Malah, seboleh-bolehnya dia tidak mahu ibadatnya itu diketahui oleh orang lain. Sembahyang  sunat pada tengah malam ketika kebanyakan orang lain sedang nyanyak tidur adalah antara tanda ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.  

Tidak dinafikan kehidupan seharian kita mempunyai kaitan secara langsung dengan orang lain. Setiap apa yang yang dilakukan tidak terkecuali turut memberi kebaikan kepada orang lain. 

Paling tidak, kita perlu melakukan sesuatu mendatangkan kebaikan kepada orang yang mempunyai hubungan keluarga dengan kita. Bapa perlu menyediakan keperluan keluarga, anak perlu membantu ibu bapa, suami menyara isteri dan sebagainya.      

Di sebalik tugas itu, jika dilakukan dengan ikhlas, pelakunya beroleh kebajikan yang besar. Tugas itu adalah satu perintah Allah. Maka itu dikira satu ibadat. Jadi, mengapa kita tidak berusaha bersungguh-sungguh melaksanakannya. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala sehingga apa yang engkau suapkan mulut isteri engkau.” (Hadis riwayat Bukhari).

No comments:

Post a Comment