Kuala
Terengganu mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Salah satu
destinasi tersebut ialah Bukit Puteri yang mempunyai keistimewaan agak unik yang banyak menyimpan sejarah Kuala Terengganu dan kesultanan Terengganu.
Bukit
Puteri terletak di tepi muara Sungai Terengganu, bersebelahan Istana Maziah dan
Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu. Dengan kata lain, ia terletak di bandar
Kuala Terengganu. Ketinggiannya 200 meter dari paras laut, yakni sekadar
menyamai ketinggian bangunan beberapa tingkat. Manakala keluasannya kira-kira
0.688 hektar.
Bukit
Puteri asalnya terbiar dan menyakitkan mata memandang. Bagaimanapun, pada tahun
1990, ia telah dimajukan sebagai pusat pelancongan oleh Muzium Negeri
Terengganu. Lanjutan itu, Bukit Puteri mula mendapat perhatian ramai.
Usaha
dilakukan Muzium Negeri Terengganu memperkenalkan konsep muzium dalam taman
atau taman muzium amat tepat sekali. Jelas sekali ia menggabungkan dua dalam
satu.
Bagi
pengunjung melihatnya dalam konsep muzium, maka ia memang diurus sebagai
muzium. Tetapi, jika hendak dikatakan sebuah taman, ia jelas memperlihat ciri-ciri tersebut.
Nama
Bukit Puteri dipercayai diambil sempena ia pernah dijadikan tempat tinggal
Puteri Bunian pada masa dahulu. Nama Bukit Puteri dipercayai digunakan sebelum
tahun 1697 lagi. Ini berdasarkan sejarah Megat Seri Rama yang dihantar oleh
Datuk Bendahara Padang Saujana Johor untuk memerintah Terengganu mendapati
bukit itu telah dipanggil Bukit Puteri.
Bukit
Puteri pernah menjadi medan pertempuran beberapa siri perang saudara di antara
Tengku Umar dan Tengku Mansur akibat perebutan kuasa sekitar tahun 1830.
Kedua-duanya mengaku mempunyai kuasa memerintah Terengganu. Tengku Mansur
sebagai Sultan Terengganu bergelar Sultan Mansur Syah II dan Tengku Umar
sebagai Yang Dipertuan Besar.
Tengku
Umar membina kota di puncak Bukit Puteri sebagai kubu pertahanan. Bagaimanapun, Bukit Puteri berjaya dirampas
oleh Sultan Mansur Syah II dan Tengku Umar terpaksa melarikan diri ke Besut dan
terus ke Daik.
Bukit
Puteri seterusnya dikuasai Sultan Mahamad I yang menaiki takhta setelah
kemangkatan Sultan Mansur Syah II. Tengku Umar yang masih mengimpikan kekuasaan
mutlak memerintah Terengganu telah menyerang Sultan Muhamad I sehingga berjaya
menguasai semula Bukit Puteri.
Menyedari
kemungkinan akan diserang semula, Tengku Mansur telah memperkukuh kubu di
Bukit Puteri dengan menggunakan batu bata, madu dan kapur. Ia juga menggunakan
campuran putih telur untuk menambahkan kekuatannya.
Kekuatan
kubu di Bukit Puteri berjaya menghalang Tengku Umar dikalahkan oleh Sultan
Muhamad I yang dibantu oleh Tengku Hitam dari Dungun.
Pada
zaman pemerintahan Tengku Umar, selain dibina kubu di atas Bukit Puteri,
baginda turut membina sebuah istana di kaki bukit tersebut yang dinamakan
Istana Hijau. Istana tersebut terbakar pada tahun 1882 dan kemudiannya
digantikan dengan Istana Maziah yang masih berdiri megah sehingga sekarang.
Di
atas Bukit Puteri sekarang masih terdapat beberapa monumen dan artifek
bersejarah. Antaranya genta (loceng besar), meriam beranak, tiang bendera,
rumah api, kubu pertahanan dan kubur.
Genta
yang berukuran lilitan 228 cm, 78 cm tinggi dan berat 175 kilogram digunakan
sebagai isyarat berlaku amukan, kebakaran atau ada musuh menyerang negeri.
Apabila genta dibunyikan pada waktu tidak menentu dan pukulan kencang, rakyat
sekitar akan bersedia menghadapi segala kemungkinan.
Terdapat
dua meriam terletak berhampiran, satu besar dan satu kecil. Berdasarkan keadaan tersebut, ada pendapat
mengatakan meriam kecil merupakan anak kepada meriam besar. Oleh itu ia dipanggil Meriam Beranak.
Pada
masa dahulu di Bukit Puteri terdapat banyak meriam seperti Seri Jamlor, Seri
Buih, Seri Johor dan Laila Majnum. Meriam tersebut dikatakan ada yang berasal
dari Sepanyol, Portugis dan Tanah Melayu.
Pengunjung
tidak menghadapi masalah untuk mendaki sehingga ke puncak Bukit Puteri
memandangkan terdapat tangga bertingkat dibina dari pintu masuk sehinggalah ke
puncak dan kawasan sekitarnya. Jadi, kanak-kanakpun dapat mendakinya seperti
menaiki tangga rumah.
Selain
kesan sejarah, pengunjung akan terpesona melihat keindahan sekeliling dihiasi
pelbagai jenis bunga sambil menghirup udara segar. Pengunjung juga dapat
melihat pemandangan cantik sekitar bandar Kuala Terengganu, Pulau Duyung dan
Seberang Takir.
No comments:
Post a Comment