Tuesday 9 October 2018

PANTAI DASAR SABAK LENYAP


Kita sering melihat gambar atau paparan di televisyen mengenai nelayan tradisional di sebuah perkampungan pulang membawa hasil tangkapan dengan suasana meriah nelayan bergotong royong menarik perahu ke daratan. 

Suasana di kampung tersebut sering mendapat perhatian kerana keunikan perahu-perahu dan bot yang dihiasi indah dengan ukiran dan lukisan di badan perahu. Sikap bergotong royong nelayan menarik perahu sambil disaksikan anak dan isteri menyambut kepulangan mereka juga menjadi ‘cerita’ utama media masa.

Namun, kini semuanya hanya tinggal kenangan. Keadaan ini bukan berpunca penduduk di kampung tersebut tidak lagi menjadi nelayan atau identiti mereka telah bertukar, tetapi yang tiada ialah kampung tersebut sendiri. 

Sejak lebih awal 1990an, kawasan Kampung Kemeruk mengalami hakisan pantai yang teruk sehingga menghakis hampir kesemua bahagian daratan kampung tersebut.

Beratus-ratus rumah yang didiami lebih 1000 orang penduduk telah 'dimakan' ombak yang memaksa penduduknya berhijrah mencari penampatan lain. Beribu pokok kelapa dan pokok rhu yang dahulunya menghiasi sekeliling kampung telah lama dihanyutkan arus.

Jalan bertar, padang bola, saluran air paip, talian elektrik dan kemudahan lain semuanya hilang ditelan menjadi sebahagian kawasan laut.

Kampung Kemeruk sebenarnya menjadi sebahagian Pantai Dasar atau Pantai Sabak yang tercatat dalam sejarah sebagai lokasi pendaratan tentera Jepun ketika menyerang Tanah Melayu pada Perang Dunia Kedua.

Sekarang ini, hanya tinggal beberapa hektar dataran yang masih menjadi saksi sejarah kewujudan Kampung Kemeruk dan Pantai Dasar dalam sejarah Kelantan. Dataran itu dapat bertahan setelah pihak kerajaan membina benteng batu besar untuk mengelak hakisan terus berlaku yang mungkin akan terus bergerak sehingga ke kawasan lebih jauh ke dataran.

Jadi, kepada yang penah mengenali Pantai Dasar Sabak, mereka masih berkunjung ke tempat itu untuk melihat kawasan sekitar, selain menikmati makanan di gerai makan yang beroperasi di situ.  

No comments:

Post a Comment