Monday 22 October 2018

NASIB PEROKOK PASIF

Ketika seseorang merokok, sebagian besar asapnya tidak masuk ke paru-paru perokok. Namun, sebagian besar asap rokok dilepaskan ke udara, sehingga asap dapat disedut oleh perokok pasif. Biarpun tidak secara langsung merokok, perokok pasif juga turut terkena kesan buruknya juga. 

Kesan kepada kesihatan akibat rokok merupakan masalah yang terjadi secara global. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan terdapat lebih dari 7 juta kematian terjadi akibat penyakit berpunca oleh asap rokok setiap tahunnya. Sekitar 890 ribu kes kematian tersebut terjadi pada perokok pasif di seluruh dunia.

Ketika asap dihembuskan oleh perokok, asap rokok tidak hilang begitu saja. Asap rokok dapat bertahan di udara hingga lebih dua jam. Asap rokok akan tetap ada meski tidak dikesan oleh indera bau maupun penglihatan. Hal ini juga berlaku di tempat tertutup yang tidak luas, seperti di dalam kenderaan. Bahkan, asap rokok mungkin masih ada dalam jumlah besar meskipun orang tersebut telah berhenti merokok.

Andainya anda menganggap asap rokok second-hand atau SHS, iaitu sebagai perokok pasif tidak setoksik yang disangka, anda silap! SHS yang juga dikenali sebagai asap tembakau persekitaran (ETS) terbukti mengandungi paras agen bertoksik yang sama banyak atau lebih tinggi daripada asap laluan utama sehingga mampu mengakibatkan pelbagai penyakit termasuk kanser.

Bukti tentang kesan negatif pendedahan kepada SHS sebenarnya telah dikumpul sejak 1950an lalu. Malah, kajian pertama yang memberi tumpuan kepada kesan SHS terhadap kanak-kanak serta impak merokok oleh ibu ke atas fetusnya telah dijalankan seawal tahun 1950-an dan 1960-an lagi.

Tahap keracunan SHS berpunca daripada kombinasi kandungan asap laluan utama dan asap laluan sampingan.

Ini bermakna, selain asap rokok yang dihembuskan oleh perokok (asap laluan utama), pada masa yang sama, perokok pasif turut terdedah kepada asap dari penghujung puntung rokok yang tidak ditapis (asap laluan sampingan).

Selain kompaun bertoksik seperti nikotina, tar dan karbon monoksida, pendedahan kepada asap tembakau sama ada daripada nyalaan sebatang rokok, cerut ataupun paip boleh mengundang risiko kematian sebelum waktunya.

Bahana maut akibat pelbagai penyakit kesan daripada pendedahan langsung atau tidak langsung kepada SHS telah lama direkodkan. Impak ke atas orang dewasa yang tersedut SHS termasuklah risiko kematian kerana penyakit jantung koronari (CHD) yang dilihat meningkat sebanyak 30 peratus.

Bagi perokok pasif wanita yang terdedah kepada SHS sewaktu tempoh kehamilan, mereka berpotensi melahirkan anak ringan dan pramatang. Pendedahan SHS juga boleh mengakibatkan Sindrom Kematian Bayi secara Mengejut (SIDS) dan keguguran.

Selain itu, SHS juga disalahkan sebagai 'dalang' yang mendorong perkembangan simptom-simptom sistem pernafasan kronik seperti penyakit asma dalam kalangan orang dewasa.

Kanak-kanak yang terdedah kepada SHS turut menjadi mangsa tidak berdosa dalam hal ini. Risiko kanak-kanak yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa perokok untuk mendapat masalah batuk dan kahak juga meningkat. Penyakit telinga tengah atau otitis media yang merupakan masalah biasa bagi kanak-kanak turut terbukti ada kaitannya dengan pendedahan kepada SHS.

Risiko-risiko kesihatan yang dinyatakan tadi hanyalah sebahagian daripada satu senarai panjang 'kecacatan' fizikal dan dalaman yang akan dialami oleh perokok pasif.

Jadi, ingatlah bahawa sebelum anda menyalakan sebatang rokok, fikirkan bahawa anda adalah insan yang patut bertanggungjawab terhadap nyawa lain yang melayang akibat tindakan anda mementingkan diri itu.

Tanyalah diri sendiri, jika anda cuba mengelak daripada 'diracuni' oleh pembakaran terbuka, mengapa perlu anda 'meracuni' diri dan orang lain dengan merokok?

No comments:

Post a Comment