Monday 15 October 2018

Khasiat buah kemunting

Kemunting (Rhodomyrtus tomentosa) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Myrtaceae yang tumbuh di kawasan tropika dari negara India, Sri Lanka, China dan kawasan Asia Tenggara.

Kemunting menghasilkan buah berbentuk beri yang bujur yang dimakan mentah atau boleh dibuat jem, jeli atau jus. Isi buah yang manis ini memang sedap dimakan. Buah yang masih muda rasanya kelat. 

Biasanya, buah yang terhasil daripada pokok yang ditanam lebih manis berbanding dengan pokok yang tumbuh liar.

Pokok kemunting juga mengandungi tar kayu yang digunakan sebagai pewarna hitam iaitu tujuan komestik untuk menghitamkan bulu kening dan juga mencuci gigi.

Pokok Kemunting boleh ditanam dengan menggunakan biji, secara tut atau boleh gunakan keratan ranting. Buah yang masak mengandungi biji yang mudah bercambah. 

Pokok yang ditanam menggunakan biji akan berbuah selepas 3 tahun dtanam, berbanding dengan pokok kemunting yang ditanam dengan cara tut atau keratan yang akan berbuah dalam masa satu (1)  tahun sahaja.

Batang kemunting mampu mencapai tinggi dua meter. Kayunya sangat keras.

Pokok kemunting sesuai dijadikan tumbuhan hiasan. Bunganya yang berwarna merah muda dengan benang sari menawan, layak dijadikan tanaman di halaman rumah.

Buah muda berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna ungu atau ungu tua atau hitam apabila masak. Permukaan buah kemunting yang telah masak seperti berkabut. Setelah bahagian kepalanya dibuang, maka kemunting siap dimakan bersama kulit-kulitnya.

Isinya berwarna merah kuat dan rasanya manis. Buah kemunting masak mengandungi air, gula, vitamin dan juga mineral. Isi buah seperti anggur, hanya terasa lebih berserat. Bahagian daunnya mengandungi bahan tanin yang tinggi yang berguna. 

Khasiat buah kemunting untuk kesihatan amat banyak:
- Air rebusan kemunting yang masak diminum akan merawat cirit birit dan juga disenteri.  
- Buah kemunting yang dimakan segar baik sebagai tonik penghadaman.
- Daun kemunting boleh digunakan sebagai ubat pupuk untuk luka dan menghentikan pendarahan. Juga membantu menyembuhkan luka-luka.  
- Air rebusan daun yang diminum juga mampu menyembuhkan demam panas, melegakan sakit dan juga membantu dalam membersihkan tubuh badan kita.
- Air rebusan daun dan akar kemunting digunakan sebagai minuman untuk ibu-ibu yang lepas bersalin, mengawal cirit birit dan untuk sakit perut.  
- Bahagian akar kemunting yang direbus dijadikan rawatan pedih bawah dada dan mengatasi masaalah sistem penghadaman.
- Akar yang dicampur air mendidih boleh digunakan untuk rawatan mata atau dijadikan ubat pupuk pada dahi.
- Air rebusan akar pokok kemunting boleh digunakan untuk merawat muntah darah.
- Bagi wanita bersalin, air rebusan pucuk daunnya yang direbus dengan daun inai dan daun jambu membantu mengecutkan rahim..
- Untuk merawat keputihan, boleh rebus pucuk dan akarnya.
- Kandungan buah ini mampu meningkatkan hemoglobin, jumlah sel darah merah, dan juga meningkatkan antianoxic.
- Daun juga digunakan sebagai bahan perubatan herba untuk penyakit diabetes. 

1 comment:

  1. Mohon kongsi maklumat dalam YouTube channel saya - Ramli Abdullah

    ReplyDelete