Tuesday 9 October 2018

KAMPUNG TANGOK HUB PENDIDIKAN KELANTAN

Kampung Tangok di jajahan (daerah) Bachok, kini boleh dianggap sebagai perkampungan ilmu kerana di kawasan berkenaan terdapat beberapa buah pusat pengajian untuk anak-anak masyarakat setempat dan luar menimba ilmu pengetahuan.

Antaranya di kampung ini terdapat kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Cawangan Bachok, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, Sekolah Menengah Teknik Tangok (SMTT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Perdana, Pusat Ko-kurikulum Jabatan Pelajaran Kelantan Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok dan Sekolah Kebangsaan Tangok. 

Kewujudan institusi pendidikan itu menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi penduduk setempat melalui kedai runcit, restoran, inap desa, pengangkutan dan kedai alat tulis. Dengan perkembangan ini secara tidak langsung menjadikan Kampung Tangok terkenal dan mendapat perhatian masyarakat luar.

Kampung Tangok terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Jelawat yang dianggap pekan terbesar yang menjadi nadi ekonomi jajahan Bachok. Manakala jarak dari pekan Bachok pula kira-kira tujuh kilometer.

No comments:

Post a Comment