Tuesday 9 October 2018

CARI LOKAN DI KUALA SEMERAK

Muara Sungai Kuala Semerak yang kaya dengan moluska, menjadikannya sebagai lubuk rezeki kepada keluarga nelayan dan penduduk kampung sekitar.

Kedudukannya yang strategik di laluan pantai berhampiran sempadan dua negeri berjiran, Kelantan dan Terengganu, membuatkan ia tidak putus daripada kunjungan orang ramai.

Fenomena air pasang surut dan tanah berlumpur sekitar Kuala Sungai Semerak ini, menjadikan ia habitat unik kepada pelbagai hidupan moluska seperti lala, lokan, tijah dan tiram.

Pelbagai lapisan masyarakat tertumpu ke muara sungai itu untuk mendapatkan hidupan laut umpama 'permata hitam' itu. Kuala yang berlumpur dan arus pasang surut air sentiasa berubah hingga ada kalanya hampir kering, memudahkan pencari kerang-kerangan mengesan hidupan itu dengan mudah.

Tumpuan pengunjung membawa rezeki kepada ramai penduduk kampung khususnya keluarga nelayan kerana berpeluang menjual hidupan itu yang dicari sendiri kepada pelanggan menerusi gerai tepi jalan di situ.

Hasil jualan itu berbaloi dan permintaannya semakin bertambah terutama pada hari Jumaat dan Sabtu serta cuti umum.

Kebanyakan orang tidak mengenali jenis hidup air seperti lala, lokan, tijah, etak dan tibing (nama mungkin berbeza mengikut tempat) yang tidak kurang lazatnya. 

Tibing dan lala hidup di dalam pasir “bersih”, manakala lokan pula lebih banyak terdapat di tempat yang berlumpur. 

Bilangan tibing, lala dan lokan di lagun Sungai Semerak tidak bermusim. Bagaimanapun pencari tibing melakukannya pada waktu air surut kerana lebih mudah dilakukan. 
 
Manakala pada musim tengkujuh pula masa yang sesuai untuk mengutipnya agak pendek kerana paras air surut masih berada pada peringkat lebih tinggi berbanding biasa.  

Untuk mendapatkan tibing, lala dan lokan yang terdapat di dalam pasir dan lumpur, pencarinya menggunakan tangan. Tidak sukar untuk mendapatnya jika dilakukan dengan tekun dan mengetahui lokasi yang sesuai.   

Kerja mencari biasa dilakukan secara berkumpulan kerana lebih menyeronokkan dan tidak bosan berada di tengah lagun. Tempoh mencari dilakukan kira-kira empat jam sehari sahaja disebabkan faktor pasang surut air.

Pendapatan bersih setiap hari mampu mencapai RM30 sehari. Jika masa air surut siang panjang, jumlah yang mampu dikutip lebih tinggi. 

Tibing dan lala biasanya dijual secara sukatan ‘tin’ antara 40 hingga 50 ekor setin dengan harga RM2 atau RM3. Manakala lokan dikira ekor atau biji, biasanya antara tujuh hingga 10 ekor untuk RM2.

No comments:

Post a Comment