Friday 16 November 2018

MENGAPA KETUA PERBARISAN DIGELAR MANUSIA HEBAT


Ramai orang ingin menjadi ketua. Sebabnya banyak keistimewaan dan kelebihan sebagai ketua. Namun, pada masa sama jawatan ketua juga menjadi satu amanah dan bebanan besar. Maka, ada juga jawatan ketua yang orang tidak suka dan berharap agar dia tidak dipilih menjadi ketua.

Antara jawatan ketua yang orang tidak suka ialah menjadi ketua perbarisan kawat. Biarpun tugas itu mungkin hanya beberapa puluh minit atau paling lama pun sekitar tiga jam, namun bukan calang-calang orang dapat melakukan tugas dengan baik.

Walaupun tugas sebenar hanya sekejap, latihan dan raptai mengamil masa yang lama. Ada latihan yang mengambil masa berbulan-bulan. Itu semua memang memenatkan.

Ketua perbarisan mempunyai tanggungjawab yang berat. Dia mejadi penentu kepada berjaya atau tidak sesuatu perbarisan. Sedikit kesilapan daripada ketua perbarisan, maka akan merosakkan semua pergerakan anggota perbarisan.

Bayangkan, jika satu arahan tersilap diberikan, dan ada 1000 orang anggota perbarisan, maka kesemuanya akan melakukan kesilapan. Lebih malang jika perbarisan itu dihadiri tetamu kehormat dan disiarkan secara langsung di televisyen atau dirakamkan dalam bentuk video. Sekarang ini, sesuatu yang 'buruk' mudah tular di media sosial.

Ketua perbarisan mesti mempunyai susuk badan yang tegap dan kelihatan hebat. Suaranya mesti mantap. Kalau suara merdu macam susu lemak krim, memang tidak layak jadi ketua perbarisan. Rasanya, penyanyi terkenal pun tidak boleh jadi ketua perbarisan. Suara ketua perbarisan lagi hebat dan dinanti-nanti oleh semua anggota perbarisan.

Fizikal ketua perbarisan juga mesti mentap. Mana tidaknya, dia bukan sahaja memberi arahan suara, malah dia sendiri perlu melakukan pergerakan yang sama.

Memang hebat ketua perbarisan. Dia yang beri arahan dan dia sendiri perlu melakukan pergerakan yang dia arahkan itu. Ini dikatakan contoh dan tauladan. Berbeza sekali dengan jawatan ketua lain. Hanya beri arahan dan menanti anak buah melakukannya.

Ketua perbarisan memang melakukan sumpah setia bersama anggota perbarisan. Hujan mahupun panas, mereka tetap bersama. Masa mula dan tamat tugas juga sama. Itulah ketua sejati.

Arahan ketua perbarisan memang hebat. Setiap apa yang dia arahkan akan terus dilakukan oleh anak buah dalam tempoh satu saat selepas arahan diberikan. Hebat dan terhebat. Rasanya tidak ada arahan ketua lain yang mendapat respon atau tindakan sepantas yang diberi oleh ketua perbarisan.

Pendek kata, ketua perbarisan memang hebat. Jadi, kepada sesiapa yang dipilih menjadi ketua perbarisan, terimalah tugas itu dengan bangga, tetapi bukan sombong.

Tahniah kepada ketua perbarisan. Anda hebat dan terbaik.

1 comment: