Tuesday 19 February 2019

USAHA GIGIH DIKIRA MAKSUD BERJIHAD


Istilah 'jihad’ dalam maksudnya yang meluas yang membawa maksud usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh tidak semestinya membawa kepada faham peperangan atau pertempuran.

Usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh fi sabil illah dapat diusahakan melalui jalan yang aman lagi adil dan bukannya ganas dan zalim.

Faham jihad seharusnya boleh dianggap sebagai satu bentuk dakwah yang boleh diamalkan melalui saluran hikmah, akliah dan mantiqiah dan bukannya melalui saluran ganas menggunakan pedang atau ‘pujukan’ secara bersenjata.

Ahli fuqaha telah membezakan empat kaedah yang membolehkan seseorang yang beriman melaksanakan tanggungjawab jihadnya, iaitu sama ada dengan hatinya, percakapannya ataupun mantiqnya, amalannya, dan melalui pedang (iaitu dengan matlamat mempertahankan dirinya daripada kezaliman).

Kaedah yang pertama berkaitan dengan usaha menentang godaan iblis dan usaha menyelamatkan diri daripada waswas dan hasutannya yang mendorong nafsu manusia agar melakukan kejahatan. Jihad sebegini ditakrifkan sebagai jihad al-nafs. Bagi Nabi Muhammad, ianya ditakrifkan sebagai jihad yang termulia.

Kaedah yang kedua dan ketiga dilaksanakan sebahagian besarnya dengan menyuruh amalan kebaikan secara adil dan memperbetulkan kebatilan melalui saluran ilmu. Seterusnya ianya ditakrifkan sebagai jihad al-‘ilm.

Kaedah keempat membawa maksud qital, yakni peperangan demi pertahanan diri, dan ia berkaitan dengan usaha memerangi musuh agama. Dalam hal ini, umat Muslimin dipertanggungjawabkan untuk mengorbankan harta benda dan nyawa mereka.

Marilah kita berjihad dengan bersatu. Sesungguhnya sesiapa yang benar-benar menghayati ajaran Islam tidak sekali-kali menyukai kepada perpecahan, keganasan dan kemusnahan. 

Islam diturunkan kepada manusia untuk dijadikan panduan hidup yang memenuhi fitrah manusia ingin hidup dalam sejahtera, aman dan selamat.

Malah makna Islam sendiri membawa maksud sejahtera, aman dan selamat. Allah menyeru manusia agar menikmati kesejahteraan hidup secara mutlak melalui Islam.  

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam (keamanan, kesejahteraan) secara keseluruhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).

Sesiapa menerima Islam bermakna perlu menghayati perpaduan yang membawa kepada keamanan dan kesejahteraan yang bukan saja dalam lingkungan orang Islam, bahkan seluruh manusia dan makhluk di muka bumi ini.

Islam menegah umatnya mencetuskan sesuatu yang boleh mendatangkan perpecahan  dalam semua ertikata. Kehalusan dan ketelitian ajaran Islam mencegah berlaku perpecahan dalam hubungan sesama manusia dapat dilihat melalui perintah agar manusia sentiasa merendahkan diri.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Amat baiklah orang yang merendahkan dirinya bukan ketika dia miskin, tetapi juga ketika berada (senang).” (Hadis riwayat Tabrani dan Bazar).

No comments:

Post a Comment